Followers

Wednesday 7 October 2009

Jangan Jadi Bahan Ketawa Rakyat!

Paksu terbaca artikel ini dalam Sinar Harian edisi Utara hari ini. Ia lebih kurang sama dengan maksud Paksu semasa menulis artikel - Hipokrit dalam Politik. Cuba hayati dan dalami maksud yang tersirat dan tersurat dalam tulisan berkenaan. Ia boleh diakses di laman ini http://www.sinarharian.com.my/com/content/story5209586.asp
atau di baca di bawah: - gambar penulisnya pun ada disertakan.

Bersandiwara memang enak, ramai yang akan tersenyum membariskan gigi yang rongak kala menikmati gelagat manusia yang asyik bermain bersandiwara. Di sekitar Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, penulis sudah melihat sedikit sebanyak ‘sandiwara’ berputar di sana-sini sudut alam ini. Hulur bantuan, senyumannya di bibir tapi jiwa kosong! Curah bakti sekadar luaran tetapi di hati penuh ketidakjujuran.

Bagi penulis, jika mahu bersandiwara sekalipun tapi biarlah kena pada saat dan masanya. Apatah lagi kalau sandiwara yang dimainkan bukan sekadar yang kecil-kecilan tetapi isunya besar hingga mampu dilihat dan dinilai sendiri oleh masyarakat kita yang kini semakin bijak. Silap hari bulan, boleh jadi gigi yang rongak luruh bersepai atas jalan, kredibiliti diri tercicir dipijak dek ‘salah langkah’ sendiri.

Sandiwara begitu sinonim dalam setiap pilihan raya yang dilangsungkan di negara ini. Kecil besar pilihan raya, pasti akan terselit kisah-kisah sandiwara yang sifatnya tidak kekal lama. Kita pernah tersenyum dengan kisah asid dalam plastik dan berbagai macam sandiwara yang akhirnya hilang dalam lipatan akhbar, tidak diungkit sebaik tamat pilihan raya dan pemenang kerusi diumumkan.

Bagi yang masih belum sedar, penulis suka mengingatkan jangan sampai sandiwara yang dimainkan dihidu dan diketawakan masyarakat. Orang kita bukan lagi masyarakat buta huruf tetapi mereka kini celik IT. Mereka bijak pandai dan punya banyak saluran informasi untuk memastikan duduk perkara dan kronologi peristiwa.

Setiap kali tercetus sesuatu isu, masyarakat kita akan merujuk kepada saluran baru ini untuk melihat sendiri duduk perkara sebenar. Apatah lagi kini ramai antara kita yang gemar menerbitkan video amatur dalam laman-laman web sebagai platform untuk menguji kecekapan. Kesannya, insan-insan amatur ini mampu menghasilkan yang lebih baik, telus, jujur, tanpa ada sekelumit ‘sandiwara’ dan mampu menarik kepercayaan rakyat. Justeru, penulis kira mana-mana pihak yang terlibat dalam pertempuran kali ini tidak perlu lagi menggunakan kaedah lapuk mahupun taktik kotor dengan membuat tuduhan demi tuduhan dan provokasi demi provokasi kurang bijak untuk menarik perhatian dan minat rakyat khususnya pengundi.

Tidak keterlaluan jika penulis sifatkan taktik ini sebagai undi simpati murahan. Penulis takut jika kita ‘terus’ bersandiwara, yang ditertawakan itu adalah diri kita sendiri. Cerita pasal sandiwara penulis teringat kisah Laksamana Do Re Mi yang berkisarkan kerajaan Pasir Berdengung lakonan P Ramlee dan dua lagi aktor yang menggunakan sandiwara untuk menakluki semula negeri dan memenangi hati sang puteri yang cantik jelita.

Tiga laksamana ‘sengaja’ menggunakan sandiwara kerana dijanjikan ganjaran besar sementara dalam filem Nujum Pak Belalang Pak Belalang, P Ramlee ‘terpaksa’ bersandiwara dek kerana keadaan dan akhirnya diangkat menjadi wira dan menantu Raja. Mujur juga sandiwara Pak Belalang menjadi, dapatlah dia memiliki puteri cantik jelita dan menjadi tokoh tersohor di dalam negara.

Cuma penulis kasihan melihat nasib Laksamana Do Re Mi yang dipermainkan sang raja dan puteri kerana sandiwara yang dicipta. Sudah lah puteri cantik milik orang, di akhir cerita ketiganya menjadi ‘bahan ketawa’ rakyat, lari lintang pukang dikejar ‘peminat murahan’. Nasib badan....
Tak sanggup diri diketawakan.

1 comment:

Ekeng A/L Etong said...

Politik adalah pentas sandiwara dan ahli-ahli politik adalah pelakon-pelakonnya yang memegang watak Raja, Menteri hinggalah inang serta pemegang tombak. Cuma mutu cerita yang dipentaskan saja yang akan menentukan sesuatu persembahan diterima atau ditolak oleh penonton.

Wayang kulit Ekeng pun serupa.....

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails