Followers

Sunday 5 December 2010

Berketak Ayam, Tahu Akan Bertelur atau Tidak.

Maksudnya: Orang yang bijaksana itu, apabila mendengar orang bercakap, tahu ia benar atau bohong, berilmu atau tidak.

Kata orang bijaksana, menjadi ahli politik perlu ada kemahirannya. Tak perlu IQ yang tinggi, apa yang perlu adalah kebolehan untuk membuatkan orang lain percaya dengan apa yang kita ingini. Dalam erti kata lain, kita mahukan orang mengikut telunjuk kita, mengikut apa sahaja dan mempercayai apa sahaja yang kita ceritakan. Betul atau salah, bukan menjadi persoalan. Yang lebih penting ialah kehendak kita dapat dilaksanakan...

Mungkin menjadi ahli politik di sekitar zaman merdeka lebih mudah agaknya. Maklumlah, rakyat ketika itu tidak ramai yang mempunyai tidak ramai yang berpendidikan tinggi. Bersekolah darjah 6 pun dah kira hebat. Kalau sekolah orang putih, lagi 'glamour'lah jawabnya...

Golongan pemimpin, kebanyakannya daripada keturunan orang berada. Ada wang yang berjuta dan harta yang berkoyan-koyan banyaknya. Mereka ini jugalah yang lebih berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Itupun boleh dibilang dengan jari.

Rakyat masa dahulu mudah dikawal. Begitu juga dengan informasi yang hendak diberikan kepada mereka. Semuanya berada dalam kawalan kerajaan dan tiada sesiapa yang akan mampu melawan. Cakaplah apa sahaja, nescaya rakyat semua akan percaya. Tidak akan persoal atau banyak bertanya, kerana maklumlah, mengaji pun tidak setinggi mana...

Tapi itu dulu... Kini zaman dah banyak berubah. Informasi kini dengan mudah boleh diperolehi. Ramai anak-anak muda yang telah menjejak kaki ke universiti sama ada di dalam mahupun di luar negeri. Media tidak boleh dikongkong lagi, kerana dalam dunia tanpa sempadan, segala maklumat boleh diakses dengan hanya menekan butang di hujung jari.

Peliknya, ramai pemimpin kita masih tidak mahu mengakui hakikat ini. Mungkin terlalu leka dalam kemewahan yang ada hingga lupa untuk sedar dari lamunan mereka. Atau mungkin juga terlalu bongkak dengan kepandaian sendiri, hingga tidak mahu percaya bahawa orang lain juga boleh ada kehebatan dan kebijaksanaan yang jauh lebih hebat daripada apa yang mereka miliki.

Dipendekkan cerita, ramai daripada ahli-ahli politik ini masih terperangkap dalam landskap politik masa silam; dan masih menggunakan taktik dan falsafah yang telah lapuk dan ketinggalan zaman. Kerapkalinya mereka cuba mengeluarkan kenyataan dan fakta tanpa berfikir panjang yang akhirnya memakan diri sendiri.

Terbaru ialah isu kenaikan harga gula dan bahan api. Alasan yang digunakan oleh Pak Menteri, kononnya untuk penyelarasan subsidi dan kalau tidak dilakukan, negara akan muflis di masa hadapan... Begitu juga ulangan kenyataan bahawa ' kenaikan ini adalah minima dan masih rendah jika dibandingkan dengan negara jiran yang lain'....Tak ubah seperti 'a broken record' , kata bahasa penjajah kita. "Insulting our intelligence" - kata orang-orang muda kita semakin berilmu dan bijaksana.

'Kenaikan itu sedikit sahaja', ujar seorang lagi pemimpin lain pula. Benar... tapi sedikit itu relatif kepada siapa? Orang yang ada wang yang berjuta atau kepada mereka yang hendak makan pun terpaksa berkira...Kepada Pak Menteri yang kaya raya, kenaikan sekupang dua itu memanglah tidak akan memberi apa-apa makna, tetapi kepada si nelayan atau petani, ianya mungkin bererti keluarga mereka terpaksa mengikat perut untuk sehari dua....

Kerajaan yang bijak, akan mencari jalan alternatif untuk menyelamatkan keadaan tanpa memerlukan pengorbanan atau menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kesengsaraan. Tidak ada gunanya menjadi negara maju, kalau rakyat sendiri terpaksa mengemis untuk mendapatkan sesuatu!

Negara bukanlah satu makmal yang boleh diexperimentasi. Penderitaan rakyat tidak boleh dijual beli atau dikompromi. Janganlah terlalu mementingkan diri sendiri kerana takut nanti, rakyat pula yang akan membuatkan anda semua menggigit jari.....
Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails