Followers

Wednesday 28 October 2009

Melayu Juara Dadah ....


Paksu sebenarnya sedih bila membaca akhbar KOSMO! dua hari yang lalu. Menurut AADK, 83% daripada penagih dadah yang dikesan antara Januari - Julai 2009 melibatkan orang Melayu. Hanya 10% orang Cina dan 7% orang India. Bandaraya Alor Setar pula adalah tempat yang kedua tertinggi selepas Kuala Lumpur. Menurut statistik di Kedah pula, Kuala Kedah adalah antara tempat yang paling ramai penagih dadah di negeri ini.

Paksu masih teringat ketika ingin membuat program ceramah mengenai dadah di kawasan Kuala Kedah tidak lama dahulu, ramai anggota masyarakat kurang setuju dengan program tersebut.
Anak-anak muda yang dijemput pula enggan menghadirinya termasuk pemimpin belia dan pelajar setempat.
"Tidak penting" kata mereka. "Masalah dadah belum sampai ke tahap yang serius mana pun" rungut mereka. "Lebih baik dibuat progam futsal atau bolasepak. Itu barulah menarik... " ujar mereka lagi.

Begitulah ceteknya pengetahuan anak muda kita mengenai bahaya penyalahgunaan dadah. Akhirnya ramai daripada mereka yang terjebak dan terperangkap dengannya.

Sudah terantuk baru tengadah. Itu sifat orang Melayu kita. Bila nasi sudah menjadi bubur barulah kita mahu menangis dengan seribu penyesalan....

Thursday 22 October 2009

10 Pesanan Imam Shafie...

Paksu terbaca pesanan ini sebentar tadi. Rasanya ia perlu dihayati oleh kita semua.. Anda semua boleh membacanya di sini http://tazkirah.wordpress.com/2007/06/30/10-pesanan-imam-shafie-yang-perlu-diikuti/ atau di bawah..

10 PESANAN IMAM SHAFIE YANG PERLU DIIKUTI


Sebelum Imam Shafie wafat, beliau sempat berpesan kepada muridnya serta umat islam umumnya. berikut adalah kandungan wasiat tersebut: ”

Barangsiapa yg ingin meninggalkan dunia dlm keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan 10 perkara:
  1. Hak kpd diri: mengurangkan tidur, mengurangkan makan, percakapan dan berpada-pada dgn rezeki yd ada.
  2. Hak kpd malaikat maut: mengqadakan kewajipan2 yg tertinggal,mendapatkan kemaafan dr org yg dzalimi, membuat persediaan utk mati dan merasa cinta kpd ALLAH
  3. Hak kpd kubur: membuang tabiat suka mneabur fitnah, tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu org yg dizalimi.
  4. Hak kpd Munkar dan Nakir : tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.
  5. Hak kpd mizan(neraca timbangan amalan pada hari kiamat): menahan kemarahan, byk berzikir, mengikhlaskan amaln dan sanggup menahan kesulitan.
  6. Hak kpd sirat(titian yg merintangi neraka pada hari kiamat): mmbuang tabiat suka mengumpat, warak, suka membantu orang beriman dan suka berjamaah.
  7. Hak kpd Malik(malaikat penjaga neraka): menangis lantaran takutkan ALLAH s.w.t, berbuat baik kpd ibu bapa, bersedekah ketika terang-terangan serta sembunyi dan memperelokkan akhlak.
  8. Hak kpd Ridhzuan(malaiakt penjaga syurga): merasa redha kpd qadha’ ALLAH, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat ALLAH dan bertaubat dr melakukan maksiat.
  9. Hak kpd Nabi MUhd SAW: berselawat ke atasnya, berpegang dgn syariat, bergantung kpd al sunnah (hadith), menyayangi para sahabat dan bersaing dlm mencari kelebihan dari ALLAH.
  10. Hak kpd ALLAH s.w.t: mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.


Kalah Jadi Abu Menang Jadi Arang.

Cerita ini diperoleh daripada salah seorang sahabat di facebook....

hmm.. byk perumpamaan dgn ketam. Have you heard about the ketam seller that didn't bother covering up his basket full of ketam? He said, he is not worried about his ketam climbing out of the basket. As soon as 1 ketam try to, another will step on it. Both fell and thus none can go out. Macam orang UMNO if kuat gaduh sama sendiri. itu belum cite sepit ketam lagi.

Banyak pengajaran daripada cerita ini sebenarnya.

Pelik ya ...Orang Melayu sering digambarkan sebagai orang yang baik, bersopan santun, berbudi bahasa dan berhemah tinggi.

Betulkah begitu? Kalau ya, kenapa terlalu banyak cerita yang menunjukkan sebaliknya?

Benarkah orang Melayu ini suka berbalah sesama sendiri? Benarkah mereka ini tidak suka melihat bangsa sendiri maju ke hadapan? Benarkah mereka sanggup bergaduh, bertengkar, bertikam lidah, berbunuhan sesama sendiri hanya kerana wang, pangkat dan kedudukan? Benarkah iri hati , cemburu atau dengki mendengki wujud dalam masyarakat Melayu? Takkanlah begitu... Orang Melayu kan beragama Islam....

Namun itulah realitinya. Dengki mendengki perkara biasa. Tidak boleh melihat orang lain lebih daripada kita. Perlu dibuat apa sahaja asalkan orang lain gagal mencapai cita-cita. Jika kita berjaya menghalang anak bangsa sendiri daripada mencapai kejayaan, kita akan bertepuk gembira. Ha ha ha .. baru padan muka depa!

Kita tidak mahu melihat anak-anak orang lain berjaya dalam pelajaran. Kita mahu anak kita berjaya. Bukan anak mereka. Kita mahu anak kita hebat. Jadi anak orang lain perlu dibiarkan merempat. Walau pun mereka sebangsa dan seagama, itu bukan perkara utama.

Kita mahu berjaya tapi kita malas untuk berusaha. Kita mahu pandai tapi kita tidak mahu bersusah payah mencari ilmu untuk mencapai cita-cita tersebut. Kita lebih suka berangan daripada bekerja. Kalau boleh , kita semua mahu menjadi raja. Makan disuap sepanjang masa. Duit masuk terus ke poket sahaja. Halal haram lain cerita.

Akhirnya kita bergaduh sesama sendiri. Semuanya perlu aku saja miliki. Kalau pun terpaksa memijak kepala bangsa sendiri untuk mendapatkannya, itu tidak menjadi masalah bagi diri ini. Dalam kehidupan, orang yang pandai mengambil kesempatan, merekalah akan mendapat kejayaan. Benar pendapat itu, tapi bukan dengan melobi, memberi rasuah, mengipas sana sini dan sebagainya. Itu bukan usaha tetapi pengkhianatan sebenarnya.

Bila kita telah berjaya mendapat segala-galanya, kita juga mudah lupa kepada anak bangsa sendiri. Kita malas untuk menolong mereka. Itu bukan kerja kita.

"Itu hanya membuang masa aku sahaja. Buat apa menolong bangsa sendiri? Aku berjaya pun bukan kerana pertolongan sesiapa..." adalah antara lafaz yang sering kedengaran di telinga.

Itulah antara faktor kenapa orang Melayu masih begini. Masih merempat di negara sendiri. Masih ketinggalan dalam segala segi.

Berapa keratkah bangsa kita yang telah berjaya berbanding bangsa asing? Jumlahnya masih sangat kecil. Apa yang lebih menyedihkan, ialah mereka yang telah berjaya pun masih tidak mahu membantu bangsa sendiri. Hanya pandai mengkritik sepanjang hari.

Melayu bodoh, Melayu sombong, Melayu malas, Melayu bangang , Melayu tidak sedar diri.

Jika benar , mereka bodoh, tolonglah jadikan mereka lebih pandai. Jika benar mereka tidak sedarkan diri, gerakkanlah mereka daripada lamunan. Jika benar mereka malas , bantulah mereka supaya lebih rajin semula.

Tiba masanya kita semua berpadu tenaga. Bukan hanya berbalah sesama sendiri sahaja. Yang kuat membantu yang lemah. Yang berada membantu yang tiada.

Bukan ikan yang perlu diberi, sebaliknya dihulurkan pancing supaya mereka lebih berdikari. Budaya subsidi tidak perlu dijadikan kebanggaan. Itu sebenarnya lambang kehinaan.

Marilah sama-sama kita berubah dan berhijrah. Moga-moga usaha kita akan diberkati Allah. Insya Allah.....

Wednesday 21 October 2009

10 Wasiat Hasan Al-Bana

1.Apabila kamu mendengar azan, segeralah bangun sembahyang serta-merta walau bagaimana keadaan kamu sekalipun.

2. Bacalah Al-Quran atau tatapilah ilmu atau pergilah mendengar perkara yang baik atauberzikir. Janganlah sama sekali membuang masa dalam perkara sia-sia.

3. Berusahalah sedaya-upaya untuk bertutur dengan Bahasa Arab Fushohah kerana iamerupakan satu satu syiar islam.

4. Janganlah banyak berdebat dalam apa perkara pun kerana pertengkaran kosong tidak membawa kepada sebarang kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6. Jangan banyak bergurau kerana umat yang berjihad sentiasa bersungguh dan serius dalam setiap perkara.

7. Jangan bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar.

8. Jauhi daripada mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan dan jangan bercakap melainkan perkara yang mendatang kebaikan.

9. Berkenalanlah dengan setiap rakan yang saudara tidak di minta berbuat demikian kerana asas-asas dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenalan.

10. Kewajipan lebih banyak dari waktu, oleh itu bantulah rakanmu untuk memanfaatkan waktunya dan jika saudara berurusan, maka singkatkanlah masa perlaksanaannya.

Tuesday 20 October 2009

Tidak Tahu Menari Dikatakan Lantai Jongkang Jongket

Dalam ilmu psikologi dan perubatan jiwa, ada terdapat satu konsep yang dipanggil defence mechanism atau dalam Bahasa Malaysianya - mekanisma helah bela diri

Defense mechanism ini merujuk kepada cara atau teknik seseorang itu memberi alasan terhadap sesuatu tindakan yang telah dilakukannya. Tujuan utama ialah untuk mengurangkan anxiety atau kegelisahan yang mungkin timbul akibatdaripada kelakuan atau tingkahlaku tersebut. Kerapkali ia bukanlah alasan yang sebenar tetapi tetap dilakukan kerana dengan cara itulah seseorang individu itu boleh menutup kesalahan atau kelemahan diri sendiri

Hakikatnya, dalam kehidupan seharian , ramai daripada kita selesa dengan cara dan teknik tertentu untuk menghadapi sesuatu masalah. Ia dipelajari sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, dan ia kemudiannya akan menjadi sebahagian daripada hidup kita. Kita boleh mengubahnya jika mahu tetapi ia memerlukan kekuatan dan motivasi yang kuat.

Antara defence mechanism yang paling popular ialah blaming others (menyalahkan orang lain) atau projection (projeksi).

Kenapa? Jawapannya senang sahaja. Dalam hidup ini, adalah lebih mudah untuk menyalahkan orang lain di atas sesuatu kesalahan daripada mengakui kelemahan dan kekurangan diri sendiri.

Ramai orang sebenarnya bencikan perubahan. Mereka tidak suka ditegur atau dinasihati. Teguran terhadap diri sendiri bererti mengakui diri telah terkhilaf dan ini merupakan satu sign of weakness atau tanda kelemahan diri sendiri.

Ego manusia tidak dapat menerima ini semua dan akhirnya cara yang paling selesa untuk diguna pakai ialah dengan menyalahkan orang lain.

Mereka yang salah. Bukan aku yang salah. Mereka yang tidak pandai, bukan aku yang tidak pandai. Mereka yang pemalas, bukan aku yang pemalas. Mereka yang tidak mahu membuat kerja , bukan aku yang tidak mahu membuat kerja .....

Secara tidak langsung ia juga membawa erti

Aku ini baik, aku ini rajin , aku ini pandai dan sebagainya....

Itulah sebabnya kadangkala manusia berkelahi sesama sendiri. Bertegang leher menegakkan benang yang basah. Fitnah memfitnah , caci mencaci sesama mereka. Masing-masing terlalu ego untuk mengakui kelemahan diri....

Itulah sebabnya alim ulama sering berpesan, rajin-rajin lah kita bermuhasabah diri. Jangan terlalu cepat untuk menuding jari kerana kerapkali ia akan membawa kemusnahan kepada diri sendiri.....

Monday 19 October 2009

Luka Di Tangan Tampak Berdarah, Luka Di Hati Siapa Yang Tahu..

Kini telah genap 3 bulan, Paksu telah meninggalkan pentas politik Kuala Kedah. Sepanjang tempoh 8 bulan bergiat aktif , banyak sebenarnya yang telah Paksu pelajari. Pelbagai ragam manusia yang Paksu jumpa , begitu juga bermacam kerenah yang telah ditemui.

Ramai yang masih lagi bertanya kenapa Paksu meninggalkan politik sedangkan ramai orang yang sanggup bergolok bergadai untuk berada di tempat itu. Bagi Paksu, jawatan bukanlah segala-galanya dalam dunia ini. Banyak lagi cara yang boleh dilakukan untuk menabur bakti kepada masyarakat. Hingga ke saat ini, Paksu tidak pernah menyesal berbuat demikian. Malah Paksu rasa, ia merupakan antara keputusan terbaik yang pernah Paksu lakukan.

Paksu tidak suka bermusuh dengan sesiapa, tetapi entahlah.. sejak bergiat aktif dalam politik , tiba-tiba ramai musuh yang datang menjelma. Dimaki, dihamun menjadi perkara biasa. Segala benda berubah warna. Kawan menjadi lawan, sahabat menjadi seteru. Fitnah datang bertimpa-timpa daripada setiap sudut dan sepanjang masa.

Paksu tidak suka semua itu. Bukan merajuk atau kecewa. Hanya tidak selesa dengan sikap mereka. Sepanjang hidup kita berusaha untuk hidup tanpa sengketa, namun hanya kerana kepentingan politik semuanya menjadi sia-sia. Mungkin ramai akan berkata, itu lumrah politik di negara kita. Suka tak suka begitulah hakikatnya...

Paksu cuba menarik diri dengan cara yang paling baik. Tidak mahu melukakan hati sesiapa kerana Paksu menghargai segala jasa mereka yang telah sudi memberi peluang kepada Paksu merasai bagaimana pengalaman berpolitik di tahap itu. Rasanya Paksu telah melakukan yang terbaik dan yang termampu. Namun seperti kata pepatah, tidak ada gading yang tak retak dan tidak ada bumi yang tidak ditimpa hujan. Setiap orang tentu ada salah dan silapnya...

Paksu tidak pernah minta dihargai. Maklumlah sumbangan yang Paksu berikan mungkin tidak sebesar mana. Paksu juga bukanlah pemimpin hebat. Hanya sekadar malukut di tepi gantang. Ada tiada pun tidak memberi sebarang kesan.

Namun Paksu juga manusia yang ada perasaan. Jika tidak mahu dipuji pun , janganlah dikeji dan diperlaku dengan sebegitu sekali. Apakah kerana Paksu sudah tidak mempunyai jawatan dalam UMNO , maka Paksu berhak dicerca dan difitnah tanpa diberi peluang untuk membela diri?

Ada kala kita terlupa bahawa dunia ini ibarat roda. Ada masa kita di atas, ada masa pula kita akan berada di bawah. Jangan terlalu angkuh dengan pangkat dan kedudukan. Ia hanya sementara dan boleh diambil Tuhan dengan sekelip mata. Janganlah juga menjadi seperti melepaskan anjing yang tersepit atau seperti si buta mematahkan tongkat...

Menuduh orang , memfitnah orang mudah dilakukan. Mengeji mencerca mendekatkan diri kita kepada Syaitan. Memang lumrah manusia begitu sebenarnya. Menyalahkan orang lain demi menutup kelemahan sendiri. Kerapkali kuman di seberang laut nampak, namun gajah di bibir mata tidak kelihatan.

Jangan terlalu rakus menjatuhkan orang lain hingga sanggup berbuat apa saja. Ingatlah bahawa terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Jangan terlalu mengikut hati kerana ia akan membawa kebinasaan diri .Lebih baik mengikut hukum memiat daging, sakit di awak, sakitlah di orang. .....

Keratan Akhbar Dalam Berita Harian & Utusan Malaysia Hari ini 19.10.2009

Ruangan Surat & E-mel (Berita Harian 19.10.2009 - Muka Surat 31)

Ruangan Forum (Utusan Malaysia 19.10.2009 - Muka Surat 12)

Sunday 18 October 2009

Seperti Enau Dalam Berlukar Melepaskan Pucuk Masing-Masing

UMNO sebenarnya adalah satu parti yang cukup kuat dan cukup hebat. Sejarah telah membuktikan bahawa ia telah berjaya melahirkan pemimpin yang berkaliber dan berkarisma. Kita semua tidak boleh menafikan semua ini dan kita juga tidak boleh menidakkan kekuatan UMNO sebagai satu parti yang telah memerintah negara ini lebih daripada setengah abad lamanya.

Kenapa pula sekarang UMNO semakin lemah? Kenapa UMNO tidak lagi berjaya memenangi pilihan raya walhal ia masih mempunyai pemimpin-pemimpin yang masih hebat. Lihat saja dalam mana-mana bahagian UMNO , pastinya akan ada pemimpin UMNO yang cukup berpengalaman , hebat dan mempunyai kekuatan yang cukup menakjubkan. Namun kenapa secara kolektif , UMNO masih kalah?

Jawapannya mudah sahaja. UMNO tidak bersatu. Pemimpin UMNO lebih selesa dengan cara mereka sendiri. Masing-masing tidak mahu berkompromi. Masing-masing tidak mahu bergabung menjadi satu pasukan.

Telalu banyak paranoia sesama sendiri. Terlalu banyak hasad dengki dan agenda peribadi. Setiap orang ingin berjaya. Oleh yang demikian ia menjadi satu perlumbaan siapa dulu yang akan sampai ke garis penamat. Siapa yang akan dipilih menjadi calon. Siapa yang akan menjadi Ketua Bahagian dan sebagainya.

Umum mengetahui jawatan dalam politik itu penting. Ia juga diikuti dengan pelbagai kemewahan dan keistimewaan. Menjawat jawatan dalam parti bererti peluang untuk menjadi kaya raya akan terbuka dengan luasnya. Ini bukan lawak jenaka . Ia adalah satu rahsia yang telah lama diketahui semua.

Maka setiap orang akan mencuba pelbagai cara untuk berjaya. Setiap orang akan menjadi umpama enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Setiap orang juga akan cuba menghancurkan pesaing mereka. Tidak ada sesiapa yang boleh dianggap rakan sejati dalam politik. Hari ini mungkin si A akan berbaik dengan si B untuk menjatuhkan si C. Namun jangan terkejut kalau beberapa hari kemudian, si B pula bergabung dengan si C untuk menjahanamkan si A.

Itu adalah lumrah politik di negara ini. Masing-masing berkepentingan dan ada visi sendiri. Jika tidak dicalonkan, maka sesiapa saja yang dipilih biarpun rakan baik sendiri akan cuba dihancurkan dan dikalahkan.

Beginilah sikap pemimpin UMNO masa kini dan itulah yang menyebabkan UMNO kalah. Pembangkang sebenarnya tidak sekuat mana. Cuma UMNO sahaja yang menjadi lemah kerana pemimpin dan ahlinya terlalu leka dan selesa dengan agenda untuk memewahkan diri. Mereka telah lupa bahawa rakyat sepatutnya didahulukan bukannya kocek mereka sendiri.

Mungkin selepas ini mereka akan berubah. UMNO sememangnya perlukan perubahan . UMNO perlukan pemimpin yang sejati bukan yang mementingkan diri . UMNO juga memerlukan perpaduan dan bukannya perpecahan.

Bolehkah ini berlaku? Mampukah UMNO menzahirkan perubahan seperti yang dituntut oleh Presidennya? Jika ya, bolehkah ia dilakukan sebelum Pilihan raya Umum ke 13? Kata-kata tidak akan membawa makna jika tidak dikota.

Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Selamat Berubah !

Bila Kaduk Naik Junjung...

RENUNGKANLAH...

Kalau orang buat baik kat kita, kita balas dengan baik.ITU PERKARA BIASA.
Kalau orang buat baik kat kita, kita balas dengan kejahatan.ITU PUN PERKARA BIASA.
Kalau orang buat jahat kat kita, kita balas dengan kejahatan.ITU JUGA PERKARA BIASA.
Kalau orang buat jahat kat kita, kita balas dengan kebaikan, ITU MEMANG LUAR BIASA!

Ini merupakan petikan yang diambil daripada blog http://cicittoknadoq.blogspot.com/ kelolaan Ekeng A/L Etong .

Sesuatu yang Paksu rasa cukup dalam maknanya. Memang benar kata-kata beliau. Dalam poltik khasnya dan dalam hidup amnya, itulah hakikat yang perlu kita terima...

Seringkali kita berbuat baik kepada orang dengan harapan mereka juga akan berbuat perkara yang sama kepada kita. Mengenang budi kita atau boleh menolong kita di masa hadapan bila kita berada dalam kesusahan. Bukan mengharap sangat tetapi itulah yang lazimnya terlintas difikiran kita.

Bila kita berada di bawah, kita mengharapkan orang atasan menolong kita untuk berjaya seperti mereka. Bila berada di atas pula, tanggung jawab kita ialah membantu orang di bawah supaya dapat bersama-sama menikmati apa yang kita rasa. Kita mahukan semua orang berjaya. Kita mahu semua anak bangsa berjaya mencapai cita-cita. Kita mahukan semua orang hidup sempurna.

Benarkah begitu? Adakah ia hanya kata-kata untuk menyedapkan telinga?

Dalam politik , everything is possible. Seperti lirik lagu Headwind yang popular di zaman Paksu muda-muda dahulu ....segalanya berkemungkinan....

Dalam tempoh yang cukup singkat bergiat aktif dalam politik, perkara pertama yang Paksu perhatikan ialah sikap hipokrit yang cukup nyata. Itu telah Paksu ulas sebelum ini. Perkara kedua ialah apa yang lebih tepat digambarkan sebagai kacang lupakan kulit dan seperti kadok naik junjung...

Teringat pula cerita seekor buaya yang ditimpa kayu. Kebetulan datang seekor kerbau di tempat itu. Lalu dirayu oleh buaya untuk melepaskannya daripada dihempap kayu itu. Sang Kerbau yang begitu naive dan berperasangka baik, bersusah payah mengangkat kayu tersebut. Namun bila telah terlepas, Sang Buaya terus menangkap kaki Sang Kerbau.

Terkejut dengan perbuatan itu, Sang Kerbau bertanya kenapa Sang Buaya berbuat begitu padahal ia telah berbuat baik kepada Sang Buaya. Kenapa pula air susu dibalas dengan tuba? Kenapa kebaikan dibalas dengan kejahatan pula. Lalu Sang Buaya terus ketawa dan berkata. "Itulah hakikat dunia.. orang yang bodoh seperti kamu selalu menjadi mangsa. Maka bersedialah untuk menjadi makanan hamba!"

Maka menangislah Sang Kerbau menanti saat kematiannya. Namun ditakdirkan Tuhan, datanglah Sang Kancil yang bijaksana. Beliau bertanya cerita sebenarnya. Lalu diceritakanlah oleh Sang Kerbau dengan penuh duka.

Sang Kancil kemudiannya berkata " Memang benar kata Sang Buaya. Orang bodoh dan betul bendul itulah akibatnya.. Namun aku masih tidak percaya, bagaimana Sang Kerbau boleh mengangkat kayu seberat itu.."

Sang Buaya dengan bangganya tersenyum gembira. Lalu dengan angkuhnya cuba menunjukkan pandainya pula. " Mari Sang Kerbau, letakkan kembali kayu ini supaya Sang Kancil yang bijaksana ini dapat melihat bagaimana kejadian sepenuhnya"

Lalu dilepaskan kaki Sang Kerbau daripada mulutnya. Maka Sang Kerbau pun mengangkat kembali kayu yang berat itu dan diletakkan kembali ke atas buaya seperti mana pada asalnya. " Lekas, angkat kembali kayu itu seperti mana engkau telah lakukan tadi " kata Sang Buaya dengan angkuhnya.

Maka berkata pula Sang Kancil yang bijaksana "Jangan Sang Kerbau.. Itu kerja bodoh namanya. Dia dah lepaskan kau , mengapa engkau nak lepaskan dia semula? " Maka terkejutlah dan terpinga-pingalah Sang Buaya. Lalu ditinggalkan oleh mereka hingga sampailah ajalnya...

Ini mungkin cerita kanak-kanak tetapi pengajaran yang boleh diambil daripadanya cukup banyak..

Kerapkali, orang suka mengambil kesempatan di atas kebaikan kita. Pengorbanan yang kita lakukan tidak dilihat oleh mereka. Apa yang penting bagi mereka ialah apa yang mereka berjaya dapatkan daripada titik peluh kita. Mereka suka mengaut keuntungan daripada usaha orang lain. Memerah keringat orang demi mencapai cita-cita mereka. Merayu untuk kita membantu mereka tetapi bila telah dibantu, kita pula hendak dianiaya..

Bila mereka sudah di atas , orang di bawah dilupakan. Orang yang telah menolong mereka diketepikan begitu sahaja. Malah dipijak-pijak lagi agar lebih menderita.

Bila sudah mendapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Bila sudah mendapat kuasa, mereka berlagak seolah ia tidak ada penghujungnya..

Kaduk naik junjung adalah istilah yang paling tepat untuk menggambarkannya. Sombong dan angkuh adalah ciri-cirinya. Hanya mereka yang pandai semua. Orang lain semuanya bodoh belaka...

Namun ingatlah bahawa hidup ini ibarat roda. Ada ketika kita di atas, ada pula ketika, kita akan di bawah pula. Jangan angkuh bila di atas takut nanti merana bila kita hilang semuanya. Kalau kita berbuat sesuatu yang tidak baik kepada orang, mungkin orang itu tidak dapat membalasnya semula. Walau bagaimanapun satu hari nanti, orang lain pula akan menganiayai kita. Mungkin lebih teruk daripada itu lagi....

Paksu ini sememangnya hanya insan biasa. Tidak ada harta mahupun kuasa. Tidak berpangkat tinggi atau mempunyai wang berjuta-juta. Senjata dan perisai Paksu hanyalah doa....

Terima kasih kepada semua yang telah menghantar sms, emel dan message tanda sokongan. Paksu ini bukan minta dipuji mahupun dipuja. Paksu sendiri pun ada banyak salah silapnya. Hanya Paksu memohon ke hadrat Ilahi, agar dibenarkan menghabiskan sisa-sisa hidup ini tanpa ada rasa dendam dan dengki di hati...

Saturday 17 October 2009

Pasca Perhimpunan UMNO 2009 - Bersedia Untuk Berubah Atau Masih Selesa Dengan Perangai Lama?

Perhimpunan UMNO telah berlalu. Perwakilan telah kembali ke tempat masing-masing dengan semangat yang baru. Persoalannya sekarang apakah mesej yang disampaikan oleh Presiden telah diterima dan dihayati sepenuhnya oleh mereka.

Bilakah UMNO akan berubah? Sekarang, esok , lusa , sebulan lagi, setahun lagi atau bila? Perlukah ia dibuat segera atau masih boleh ditangguhkan dulu? "Tidak apa...masa masih ada. Awal lagi , nak kalut apa..". Adalah antara ungkapan yang sering didengar.

"Kita mesti berubah segera ..mesti ada urgency" kata Timbalan Presiden Begitulah juga kata-kata yang didengar ketika UMNO dan Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya bulan Mac 2008. Bilakah UMNO akan keluar daripada zon selesa? Entahlah... lagi pun bak kata pepatah Inggeris - old habits die hard!

Menzahirkan perubahan adalah mesej utama Presiden. Kata mesti dikota - bukan hanya omongan kosong. Pemimpin tidak boleh hanya pandai bercakap kosong atau menabur janji setiap masa. Banyakkan amalan bukan khayalan.

Masa untuk berubah...Benar . Sebenarnya ia sepatutnya telah lama berlaku. Namun seperti biasa, UMNO memerlukan pemimpin atasan untuk bersuara. Jika tidak, mereka tidak akan berbuat apa-apa. Sudahkah terlambat untuk berubah? Rasanya , masa masih ada. Cuma perlu lebih agresif dan proaktif sepanjang masa.Tidak ada masa lagi untuk bersengketa. Tidak ada masa lagi untuk bersukaria. Tidak ada masa lagi untuk mengadu domba.

UMNO bukan parti untuk mencari makan. UMNO bukan juga parti untuk mencari populariti. Pemimpin UMNO perlu humble dan merendah diri. Rajin turun ke akar umbi bukan sibuk memenuhkan kocek sendiri. Cantas mencantas perlu dihindari. Lebihkan bantu membantu sesama sendiri. Jangan menjadi seperti burung merak bila sudah berjaya atau menikam semula orang yang telah membantu mereka.

Jangan suka meminta-minta. Bantuan hanya untuk orang yang susah dan bukannya kepada orang yang berada. Projek untuk rakyat bukannya untuk pemimpin mencari komisyen berjuta-juta.

Bolehkah pemimpin UMNO dan ahlinya berubah? Sama-samalah kita menunggu untuk mendapatkan jawapannya. Jika berjaya, mereka akan memerintah semula. Jika gagal, maka ucapkanlah selamat tinggal kepada senario politik negara ini untuk selama-lamanya...

Friday 16 October 2009

BIla Air Susu Dibalas Dengan Tuba...

Petang tadi Paksu menerima satu message melalui facebook .Ia daripada salah seorang yang menjadi pengikut blog dan facebook UMNO Kuala Kedah ketika Paksu menjadi Ketua Penerangan dulu. Begini katanya...

salam..
doc, dengaq dari telinga saya sendiri.. yang doc tak nak bagi password (blog umno kuala kedah) yang doc handle masa jadi ketua penerangan dulu.. betul ka..

Terima kasih diucapkan di atas keprihatinan dan kejujuran beliau untuk mendapatkan kebenaran. Fitnah sememangnya ada di mana-mana. Adalah lebih baik kita mendengar penjelasan daripada tuan empunya badan daripada mendengar spekulasi daripada orang lain yang tentunya mempunyai agenda tersendiri.

Izinkan Paksu memberi sedikit penjelasan mengenai Blog UMNO Kuala Kedah ini dari mula hinggalah Paksu meletakkan jawatan supaya akan terlerai segala kekusutan.

Blog UMNO Kuala Kedah mula Paksu buat sehari selepas dilantik menjadi Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah secara rasmi iaitu pada 6.12.2008. Post yang pertama ialah seperti berikut:

Sunday, December 7, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Adha
YBhg. Dato' Latt Shariman dan seluruh AJK UMNO Bahagian Kuala Kedah ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua muslimin dan muslimat khususnya yang berada di kawasan Parlimen Kuala Kedah.Jari sepuluh disusun memohon ampun dan maaf di atas segala salah dan silap.Semoga hidup kita semua aman, tenteram dan sentiasa diberkati Allah SWT, Insya Allah.
Posted by UMNO BAHAGIAN KUALA KEDAH at 11:46 PM 0 comments

Paksu juga telah mewujudkan beberapa laman maya yang lain dalam UMNO Kuala Kedah secara berperingkat dalam tempoh beberapa bulan memegang jawatan tersebut
  1. Facebook
  2. Chatbox
  3. Live spaces
  4. Laman web UMNO Kuala Kedah

Tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada ahli UMNO untuk berinteraksi dengan kepimpinan bahagian secara terus dan telus tanpa melalui orang tengah atau mana-mana perantara.

Kesemuanya dibawah kendalian Paksu sendiri. Bukan kerana ingin mengawal semuanya tetapi tidak ada seorang pun daripada AJK Penerangan atau kakitangan UMNO Kuala Kedah yang lain yang sanggup memberi komitmen yang berterusan untuk mengendalikan semuanya secara sukarela tanpa sebarang bayaran.

Sebagai Ketua Penerangan, Paksu tidak mempunyai sebarang sumber kewangan tetap daripada UMNO Kuala Kedah untuk membayar atau mengupah sesiapa untuk melakukannya. Paksu juga tidak mempunyai budget untuk membuat laman web secara profesional. Oleh yang demikian, Paksu terpaksa menggunakan sedikit sebanyak kemahiran yang ada di samping mempelajari cara-cara mengendalikannya secara sendirian , melalui nasihat rakan terdekat dan melalui internet.

Walaupun sibuk dengan tugas harian dan pelbagai tugasan yang lain, Paksu tetap cuba mengendalikannya dengan sebaik mungkin walau pun kadangkala terpaksa bersengkang mata. Bagi Paksu, ia merupakan satu pengorbanan yang perlu dilakukan dan cara Paksu membalas budi kepada UMNO dan kerajaan yang telah membantu Paksu sampai ke tahap sekarang. Wang ringgit untuk membeli scanner, notebook, mobile internet dan sebagainya serta masa yang dikorbankan tidak pernah dituntut daripada UMNO Bahagian mahupun daripada Ketua Bahagian.

Apabila Paksu meletak jawatan pada 17.07.2009, post yang terakhir dibuat adalah mengenai perletakan jawatan Paksu. Walau bagaimanapun Paksu telah dihubungi oleh SUK UMNO Kuala Kedah (Encik Borhan Sidqi Abdullah) meminta untuk Paksu mengeluarkan post tersebut pada hari yang sama atas permintaan Ketua Bahagian.

Paksu juga telah diminta untuk memberikan password untuk blog UMNO Kuala Kedah kerana beliau (SUK UMNO Bahagian) telah diberi tugas untuk mengambil alih blog tersebut. Paksu dengan rela hati memberikannya kerana ia sememangnya dibuat untuk UMNO dan bukan untuk Paksu sendiri. Sejak daripada itu, Paksu tidak lagi membuka atau membaca blog Kuala Kedah kerana ingin mencari ketenangan diri selepas apa yang telah berlaku.

Paksu sekali lagi dihubungi oleh SUK UMNO 2-4 minggu selepas itu. Kata SUK, beliau tidak boleh mengakses atau log in ke blog tersebut dan mengatakan mungkin ada orang telah cuba membuat sabotaj terhadap blog yang dikendalikan oleh beliau pada masa itu. Sepanjang tempoh hampir 8 bulan, Paksu tidak pernah menghadapi masalah demikian dan Paksu sendiri hairan bagaimana ia boleh berlaku.

Daripada siasatan Paksu dan serba sedikit kemahiran yang ada, rupa-rupanya beliau telah menggunakan teknik reset password berulang kali hingga menyebabkan blog tersebut telah disekat oleh pengendali blog tersebut (blogger.com). Mungkin beliau lupa atau tersilap menggunakan password yang asal pada permulaannya hingga menyebabkan beliau kemudiannya menggunakan teknik reset tersebut.

Paksu juga mendapati banyak element dalam blog asal tersebut telah hilang. Paksu musykil bagaimana ia boleh berlaku kerana tidak ada orang lain yang mengendalikan blog UMNO Kuala Kedah itu dalam masa tersebut kecuali SUK (atau mungkin orang lain yang membantu beliau). Paksu cuba mendapatkan penjelasan daripada SUK UMNO Kuala Kedah namun beliau telah menafikan pernah membuangnya dengan sengaja.

Bagi mengelak kejadian yang sama berulang ketika itu, Paksu telah menggunakan teknik - add authors - dan memberi kebenaran kepada beliau (SUK UMNO Kuala Kedah) untuk menyumbangkan post tanpa perlu melalui administrator asal iaitu umno.kualakedah. Beberapa hari kemudiannya Paksu telah menukar kembali password kepada yang asal seperti yang diberikan kepada SUK UMNO Kuala Kedah kerana tidak lagi mahu terlibat dalam pengedalian Blog UMNO Kuala Kedah. Bagi Paksu, sememangnya itulah jalan terbaik kerana Paksu tidak lagi mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Jadi persoalan Paksu tidak memberi password atau masih ingin mengawal Blog UMNO Kuala Kedah adalah tidak benar sama sekali. Paksu tidak tahu bagaimana cerita yang telah diputar belit ini boleh sampai kepada orang lain kerana hanya dua orang yang mengetahui kedudukan sebenarnya iaitu Paksu dan SUK UMNO Bahagian Kuala Kedah hinggalah ke saat ini. Paksu sendiri tidak pernah menceritakan kepada sesiapa mengenainya kerana ia dirasakan tidak perlu diketahui oleh orang yang tidak berkenaan dalam hal-hal begini. Tak pasti pula sama ada SUK UMNO Kuala Kedah pernah menceritakannya kepada orang lain....

Paksu ini bukanlah seorang yang gila jawatan atau gila kedudukan. Juga bukan seperti orang yang gila talak yang enggan melepaskan isterinya pergi walau pun telah hilang sebarang hak kepadanya. Paksu bukan lagi Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah. Tak perlu membebankan diri dengan benda-benda remeh seperti ini. Kalau Paksu ingin mengkhianati UMNO Kuala Kedah, cara yang paling mudah ialah menghapuskan blog itu sama sekali. Dengan satu klik sahaja Paksu boleh berbuat demikian.

Paksu bukan manusia yang berhati busuk seperti itu. Bukan orang yang suka menyimpan dendam hingga sanggup melakukan kerja-kerja bodoh untuk menjahanamkan parti. Paksu tidak seperti orang yang marahkan nyamuk kelambu dibakar. Paksu ada maruah diri. Paksu masih lagi teguh iman. Masih lagi waras dan tenang pemikiran. Paksu masih menghormati Y.Bhg Dato Latt sebagai seorang pemimpin dan sebagai seorang kawan. Mustahil Paksu akan melakukan sesuatu yang sehina itu.

Kepada mereka yang masih cuba menabur fitnah, Paksu ingin memberi sedikit kata nasihat.Sudahlah...Insaflah..Bertaubatlah... Berubahlah ! Hidup kita hanya sementara. Perangai yang menjijikkan seperti ini tidak akan membawa bangsa kita maju ke hadapan. Ia hanya memalukan diri sendiri di hadapan Tuhan.

Ingat juga pepatah orang tua-tua ..Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Jika kail panjang sejengkal , laut dalam jangan diduga. Kalau takut dilambung ombak , jangan berumah di tepi pantai...

Air susu yang diberi janganlah dibalas dengan tuba dan jangan cuba bermain api takut nanti terbakar diri.

Ingat lah juga bahawa antara doa yang dimakbulkan ialah doa orang yang teraniaya...

Thursday 15 October 2009

Gila Ada Pelbagai Jenis Gila...

Sedutan daripada Ucapan Dasar Presiden Pada Perhimpunan Agong UMNO 2009

http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_5646e6f8-7f000010-6cf97c00-f01f3b0b

..........Gila ada pelbagai jenis gila. Kata orang bila seseorang itu bercakap sendirian, belum lagi dianggap gila. Bila dia mula berceloteh sendiri, dan kemudian menjawab balik kepada dirinya sendiri, itu namanya separuh gila. Peringkat kedua, bila dia membebel dan mengomel sendiri, kemudian menjawab balik dan percaya pula pada yang dia jawab kembali itu, tandanya memang dah sah lah dia gila.

Satu lagi jenis gila, adalah berbuat sesuatu secara berulang kali dengan tatacara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza. Dalam melaksanakan sesuatu dasar misalnya, kita tidak boleh terlalu dogmatik sehingga yang menjadi tumpuan adalah wahana atau pendekatan digunakan berbanding keberhasilan atau “outcome’’.

Ini kerana, alat dan pendekatan boleh berubah dek perjalanan masa. Wahana dan kaedah yang sesuai hari ini mungkin akan lapuk sepuluh tahun dari sekarang. Begitulah kereta kuda dan mesin telegraf yang suatu ketika dahulu adalah alat dan pendekatan yang terbaik pada zaman bahari, kini, sudah tidak atau sudah jarang digunakan.....

SETUJU !

UMNO sekarang sebenarnya masih terlalu khayal dalam mimpi yang telah lapuk. Pendekatan yang ketinggalan zaman dan pemikiran yang kolot adalah trademark yang harus dihapuskan daripada jiwa UMNO buat selama-lamanya.

Rakyat sebenarnya sudah muak dengan perangai pemimpin yang tidak sedarkan diri. Pemimpin yang rasuah, gila jawatan, bermuka-muka dan tidak mempunyai visi dan misi yang jelas sudah sepatutnya disingkirkan sama sekali daripada terus menodai perjuangan UMNO.

Sampai bilakah masyarakat harus diperbodohkan dengan sandiwara palsu dan sikap hipokrit sebahagian besar pemimpin yang sedia ada? Rakyat benci dengan ungkapan yang klise kononnya ingin memperjuangkan nasib mereka dan berkorban demi agama, bangsa dan negara. Padahal apa yang sering diperjuangkan adalah jawatan dan projek-projek besar yang akan memenuhi kocek mereka dan kroni-kroni mereka nanti. Bila dicalonkan mereka akan gembira, bila orang dipilih, mereka mula mengadu domba. Cerca mencerca perkara biasa. Sanggup menjahamkan parti kerana kecewa.

Sememangnya seperti kata Dato' Seri Najib, ada banyak jenis gila. Mungkin ini juga salah satu daripadanya. Gila jawatan atau gila kuasa. Pilih saja ungkapan mana yang anda suka. Susah untuk mengubat penyakit begini kerana bagi mereka , aku tidak gila...Sama seperti pesakit jiwa yang tidak ada insight iaitu tidak sedar bahawa mereka itu sakit dan memerlukan rawatan untuk penyakit mereka..

Orang beginilah yang selalunya menhancurkan parti. Sanggup menggadaikan maruah demi mendapat apa yang dikehendaki. Lautan api pun sanggup mereka renangi tapi hanya kerana wang dan jawatan yang dicari. Bukan untuk berjuang demi parti tetapi untuk kocek dan perut sendiri....

Kalau UMNO sedia berubah, alhamdulillah. Tapi kalau perubahan hanya di bibir sahaja, maka bersedialah untuk pupus daripada arena politik Malaysia...

Wednesday 14 October 2009

Suruhanjaya Khas Pantau Gejala Fitnah Laman Web, Blog

Hmm.........idea di bawah ni ada baiknya dari segi teori namun perlaksanaannya mungkin agak sukar dan pastinya tidak popular.

Ia akan dilihat satu cara kerajaan menghalang kebebasan dan hak untuk bersuara. Mungkin juga dianggap sebagai usaha terdesak untuk mengekang kekuatan pembangkang yang sememangnya jelas menguasai media baru.

Fitnah, khabar angin , rumours ada di mana-mana. Blog penyokong kerajaan pun kini menggunakan strategi yang sama. Pokok pangkalnya - sensasi. Benar atau tidak, itu perkara kedua. Politik sememangnya begitu. Kadangkala ia lebih kepada propaganda demi mencari secebis publisiti...

Dalam dunia tanpa sempadan ini, ia mungkin akan dilihat sebagai satu langkah ke belakang. Zaman di mana kerajaan dapat mengawal semua media sebenarnya telah lama berlalu.
Hakikatnya, sekarang manusia juga semakin pandai untuk menilai dan lebih pandai untuk mencari jalan keluar daripada belenggu kawalan itu...


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1014&pub=utusan_malaysia&sec=Terkini&pg=bt_39.htm&arc=hive

14/10/2009 5:15pm

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Perwakilan Puteri UMNO Kedah hari ini mencadangkan parti itu menubuhkan satu suruhanjaya khas siber bagi memantau laman web dan blog secara lebih serius supaya penyebaran gejala fitnah dapat dibendung.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kedah, Norashimah Md. Nowar berkata, gejala fitnah di kalangan pengendali laman web dan blog semakin berleluasa sehingga mencemarkan imej negara sebagai sebuah negara Islam.

"Ia bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah ia bertentangan dengan ajaran agama Islam yang sebenar."Melalui penubuhan suruhanjaya tersebut, kita berharap identiti penulis laman web dan blog dapat dikesan untuk di bawa kemuka pengadilan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas usul cadangan dasar Ketua Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurut Norashimah, penggunaan laman web dan blog harus dimanfaatkan dengan sebaiknya terutamanya generasi muda yang bakal memimpin negara. - Utusan

Tuesday 13 October 2009

Jiwa Baru Dalam UMNO - Bolehkah Ia Menjadi Realiti?

Tan Sri Muhyidin Yasin malam ini dalam ucapan Perasmian Persidangan Serentak Pemuda, Wanita & Puteri UMNO mahukan UMNO berubah - transformasi - kepada UMNO yang baru - berjiwa baru bersesuaian dengan kepimpinan baru . UMNO katanya ialah Parti Dari Rakyat, Oleh Rakyat dan Untuk Rakyat

UMNO perlu gemilang semula . Perjuangannya perlu berlandaskan agama. UMNO perlu melahirkan barisan pelapis dan kepimpinan yang sedia untuk berkorban demi parti, agama dan bangsa.

Tidak boleh wujud lagi golongan munafik dalam UMNO, golongan Si Kitul dalam UMNO. Tidak boleh lagi ada cantas mencantas, tidak boleh lagi ada ugut mengugut dan tidak boleh lagi persengketaan dalam UMNO. Tiada lagi kumpulan A atau B. Hanya satu suara, satu wadah , satu tujuan , satu pasukan dan satu UMNO...

Alangkah baiknya kalau ini menjadi realiti.. Alangkah hebatnya kalau UMNO bersatu kembali. Alangkah gemilangnya kalau UMNO dapat merapatkan barisan demi menjamin kegemilangan parti..

Mungkin ketika bersidang, semua perwakilan amat bersemangat sekali. Namun apa yang dikhuatiri ialah apabila mereka kembali ke kawasan sendiri, segala azam mungkin akan hanya tinggal mimpi....

Transformasi ? Mungkinkah ia hanya rhetorik atau adakah ia benar-benar akan menjadi realiti? Kembali kepada kegemilangan atau akan terus menuju kehancuran. Bangun semula dengan lebih perkasa atau kecundang sebelum berjuang?

Kepada semua pemimpin dan ahli UMNO, tepuk dada , tanyalah selera !

Renungi Pendapat Ini...

Bila membaca artikel ini, bagi yang bias tentunya berkata ia hanya keluhan orang yang telah kalah.. Biasalah kata mereka. Dah kalah tapi masih mahu memberi pelbagai alasan. Hakikatnya BN dah menang. Itu sahaja. Tidak ada yang lain yang perlu dibicara.

Namun banyak lagi makna yang tersirat sebenarnya. Dalam keghairahan untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya, UMNO terpaksa mengorbankan prinsip dan idealisma. Walau pun pedih untuk ditelan namun UMNO akhirnya memilih jalan lama. Isu rasuah dan sebagainya terpaksa ditolak tepi demi menjamin kemenangan dalam pilihan raya. Katanya itu kehendak akar umbi, maka UMNO perlu ambil peduli.

Hakikatnya seperti kata Tun Dr Mahathir, UMNO did win the battle but it has actually lost the war...UMNO sebenarnya tidak berani untuk berkorban. UMNO sebenarnya tidak sanggup kalah lagi. Walaupun terpaksa mengorbankan prinsip yang diagong-agongkan selama ini, ia tetap dilakukan demi untuk menang satu kerusi di Bagan Pinang.

Selepas ini bolehkah UMNO berdiri dengan gagah mengatakan kami anti rasuah? Beranikah UMNO menasihati rakan-rakan dalam BN bahawa pemimpin yang kita perlukan adalah pemimpin yang bersih?

Trend sebegini dikhuatiri boleh membawa kehancuran kepada UMNO. Sebagai parti komponen terbesar dalam Barisan Nasional, UMNO seharusnya lebih bijaksana. Imej Islam juga harus dipelihara. Adakah selepas ini UMNO berupaya mengawasi MCA , MIC atau lain-lain parti komponen nanti?

Entahlah... hanya pemimpin tertinggi UMNO sahaja yang dapat menjawab semua ini.


BN ambil langkah terbalik: Nik Aziz

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story5247503.asp

KOTA BHARU – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang kelmarin dianggap sebagai tidak bermoral kerana calon yang dipilih memiliki rekod lampau yang tidak baik. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, walaupun calon BN, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berjaya menewaskan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar namun kemenangannya itu akan membebankan BN dan UMNO.
Beliau berkata, tindakan UMNO memilih Mohd Isa amat memalukan jika dibandingkan langkah yang diambil kaum Cina di dalam MCA yang menolak dua pemimpin utamanya dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Sabtu lepas . “Langkah yang diambil UMNO terbalik dan cukup memalukan. Cina yang tidak beragama Islam tolak Presiden dan Timbalan Presiden kerana terlibat dengan yang seorang tu kerana skandal duit dan hak seorang lagi tu skandal perempuan. “Tetapi yang ini pula memang UMNO sendiri mengaku dia terlibat dengan skandal tetapi dia pilih. Pilih pula dengan majoriti banyak. Jadi di mana duduk moral, malu pada orang Cina yang tidak beragama Islam. Saya nak ulang sekali lagi malu kepada orang Cina yang tidak beragama Islam,” katanya.

Menteri Besar Kelantan itu turut memuji cara MCA menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi kerana masyarakat Cina menolak dua pemimpin parti itu yang terlibat dengan skandal. “Saya puji cara MCA berpolitik. Cara mereka menyelesaikan masalah. Mereka buat EGM dan tidak menggunakan kekerasan sebagaimana di Bagan Pinang. “Pemikiran politik orang Melayu khasnya UMNO masih ke belakang. Memang betul seperti saya agak selama ini bahawa Cina lebih jauh pandai berpolitik berbanding orang Melayu,” katanya.

Mengulas mengenai kekurangan majoriti yang diperoleh di Bagan Pinang, beliau berkata, soal calon Pas tidak timbul kerana pengundi akan memilih parti yang membawa dasar Islam dan bukannya calon itu sendiri sahaja. “Kita dalam Pas, kita pilih parti. Parti itu parti Islam. Lepas itu baru kita pilih calon. Sesuai atau tidak calon berkenaan dengan parti yang diwakili itu tidak timbul kerana dasar parti itu adalah Islam,” katanya.

Beliau bagaimanapun akur dengan kekalahan itu kerana pengundi sudah membuat pilihan dengan memilih BN. “Kalau mereka memilih BN dengan kehendak hati sendiri, saya tidak boleh buat apa. Tetapi hak yang 2,000 lagi yang mengundi PAS itu saya harap biar ia jadi benih yang cukup bernas untuk menyebarkan Islam di masa depan,” katanya.

Beliau turut melahirkan dukacita pergaduhan yang berlaku antara penyokong parti yang bertanding pada pilihan raya itu, kerana ia tidak mencerminkan ketamadunan Melayu dan amat memalukan. “Itu adalah unsur yang tidak patut berlaku pada zaman moden sekarang ini. Malu kita dibuatnya. Demokrasi pun tidak Islam pun tidak. Mana boleh budak-budak itu buat kerja kalau tidak ada pemimpin,” katanya.

Monday 12 October 2009

Benarkah UMNO Telah Kuat Kembali?

Kemenangan UMNO di Bagan Pinang dikatakan sebagai kejayaan yang cukup significant kepada parti itu khasnya dan Barisan Nasional amnya. Ramailah penganalisis dan tokoh-tokoh UMNO yang mula mendabik dada dan mengimpikan bahawa ia akan membawa domino effect pada masa yang terdekat dan seterusnya kepada pilihan raya ke 13 yang akan datang.

Perlukah kita terlalu ghairah untuk membuat kesimpulan sedemikian? Tidakkah ini tindakan yang terlalu premature? Hakikatnya UMNO telah kalah dalam semua pilihan raya kecil yang diadakan di Semenanjung Malaysia sebelum ini. Ini baru kemenangan pertama. Bayangkanlah dalam permainan bola sepak di mana kita sedang kalah 7-0. Tiba-tiba kita berjaya menjaringan gol. Itu baru 7-1. Bagaimana kita boleh bersorak dengan riuh rendah mengatakan kita telah menang? Bagaimana kita boleh mengatakan kita ini kuat dan lawan kita sudah lemah? Logikkah alasan kita? Masuk akalkah kesimpulan yang telah kita buat?

Usah pergi jauh ke peringkat nasional. Lihat sahaja di peringkat negeri Kedah atau lebih baik di peringkat UMNO Bahagian Kuala Kedah. Bolehkah kita mendabik dada sekarang mengatakan gelombang biru telah mula melanda Kuala Kedah? Cukup melucukan dan mencuit hati kiranya ada yang berpendapat sedemikian....

Hakikatnya Kuala Kedah masih seperti dahulu. Belum ada perubahan drastik berlaku yang boleh menunjukkan UMNO telah berjaya memikat pengundi kembali. UMNO masih jauh di belakang. UMNO masih jauh ketinggalan.

UMNO masih berperang sesama sendiri. UMNO masih tercari-cari formula baru untuk memikat kembali para pengundi. Pengundi veteran mungkin masih setia kepada UMNO. Golongan pertengahan dan golongan muda telah ramai yang lari menjauhkan diri. Begitu juga kaum bukan bumiputera..

Apakah yang telah dilakukan oleh UMNO sekarang sudah mencukupi? Pemuda dan Puteri masih sepi. Wanita pula sering melarikan diri. AJK Bahagian masih lagi berbalah sesama sendiri. Kepimpinan tertinggi juga masih enggan berbaik demi parti. Walaupun imej solidariti cuba diberi namun hakikatnya ia umpama lakonan dalam satu pementasan yang jelas tidak menjadi...

Dengan cara beginikah UMNO akan berjaya menang kembali? Hmmm... rasanya masih jauh perjalanan yang perlu dilalui.!

Saturday 10 October 2009

Selesa Dengan Keadaan Sekarang...

Baru-baru ini Paksu diberitahu bahawa Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah yang baru telah membuat keputusan untuk mengambil semula semua ahli jawatan kuasa Biro Penerangan UMNO yang lalu bagi melaksanakan tugas-tugas dalam UMNO Kuala Kedah. (Sama ada ini benar atau tidak, Paksu tidak pasti).

Walau bagaimanapun , sememangya ia terletak di bawah budi bicara Ketua Penerangan yang baru. Beliau berhak menentukan hala tuju Biro Penerangan UMNO Kuala Kedah mengikut visi dan misi yang ditetapkan oleh Ketua Bahagian. Sebagai orang lama dalam UMNO Kuala Kedah, beliau tentunya telah bersedia untuk mengambil alih tugas tersebut.

Ada orang bertanya sama ada Paksu ada apa-apa masalah dengan keputusan itu. Tidak sama sekali, adalah jawapan paling ringkas yang boleh diberi. Ambillah siapa pun dan buatlah apa yang dirasakan baik. Paksu ini tidak lagi ada sebarang jawatan dalam UMNO Bahagian. Oleh yang demikian , sememangnya telah hilang sebarang privilege / rights untuk campur tangan lagi. Kenapa perlu ditanya Paksu? Paksu bukan Ketua Bahagian atau orang yang hebat-hebat dalam UMNO Kuala Kedah...

Lagi pun tentulah Ketua Penerangan yang baru tidak mahu sesiapapun campur tangan dalam urusan beliau. Beliau perlu dibenarkan untuk membuat keputusan tanpa perlu dibayangi oleh sesiapa. Jika ada yang dirasakan baik, beliau akan teruskan . Jika tidak memenuhi cita rasa yang diingini, beliau akan tinggalkan. Biarlah beliau bebas membuat perubahan.

Ada juga orang meminta Paksu menolong dalam membuat blog atau meneruskan urusan blog UMNO Kuala Kedah . Urusan media baru kata mereka...Terima kasih lah Paksu ucapkan di atas pelawaan itu..Terima kasih kerana masih mahu mengambil hati Paksu.

Namun Paksu rasa Urus Setia UMNO Kuala Kedah sudah boleh melakukan semuanya. SUK kan ada. AJK Penerangan baru kan ada. Ketua Penerangan baru juga semestinya lebih daripada berupaya untuk menguruskan semua itu. Tak perlulah Paksu menyibuk lagi. Lagipun Paksu ni bukanlah sepandai mana dalam urusan demikian. Dalam UMNO Kuala Kedah , bukankah ramai yang pandai-pandai belaka.Tentunya dalam situasi begini , mereka akan bekerja dengan sukarela...

Paksu sebenarnya sudah selesa begini. Tiada lagi kebimbangan di hati. Boleh dengan tenang menjaga anak dan isteri. Tidak perlu lagi cuba memuaskan hati sesiapa.

Tidak ada lagi orang mengeluarkan kata-kata kesat atau menghantar sms yang menyakitkan hati. Tidak lagi kata-kata maki hamun atau difitnah tanpa sebarang bukti. Mungkin mereka sudah puas hati kerana telah berjaya menyingkirkan Paksu daripada UMNO Kuala Kedah buat selama-lamanya. Biarlah...Buatlah apa sahaja asalkan mereka bahagia !

Izinkan Paksu bersara dengan tenang dan gembira. Paksu seronok menjadi bloger bebas tanpa sebarang sekatan dan halangan. Boleh meluahkan isi hati dan perasaan tanpa perlu rasa malu dan segan. Walau pun tidak ramai yang sudi membaca blog ini, namun ia merupakan cara Paksu berbicara sendiri. Ini adalah satu bentuk ventilasi . Bukan bertujuan untuk menyakitkan hati.

Terima kasihlah kepada mereka yang masih ingat pada Paksu. Masih sudi untuk bersalam-salaman jika berjumpa di pasar minggu. Kepada yang telah lupa kepada diri ini, terima kasih dan seribu kemaafan juga Paksu ucapkan di atas pengalaman dan kenangan yang telah diberikan.

Ada hikmah di sebalik apa yang telah berlaku ini . Sekurang-kurangnya Paksu telah berjaya mengenali siapa kawan dan siapa lawan di dunia yang fana ini....

Thursday 8 October 2009

Kisah Hipokrit & Sandiwara Politik Masih Belum Berakhir...

Paksu ada menerima dua komen di bawah yang Paksu rasa cukup menarik. Komen yang pertama memang jelas maksudnya dan dalam maknanya. Komen yang kedua agak emosional. Tak pasti pula siapa penulisnya. Hanya nama 1 Kedah dan mempunyai dua blog iaitu http://pak-wan.blogspot.com/ dan http://pakwan63.blogspot.com/ diberikan. Paksu tidak pasti kenapa nama pak wan digunakan. Mungkin beliau memang seorang yang berketurunan Wan atau sahaja ingin menggunakan nama tersebut sebagai samaran.

Walau bagaimanapun, ada 4 ayat yang menarik perhatian Paksu...


  1. ....Trend ini dah lama dah berlaku.. sejak you dari bangku sekolah rendah lagi.
  2. .....Orang politik hidup atas publisiti, sama ada ikhlas atau tidak itu urusan mereka dengan Allah, you tak payah campur tangan.
  3. .....Orang politik perlukan semua publisiti tersebut kerana mereka memerlukan undi dari rakyat pada pilihanraya nanti. kalau dah tak ada publisiti, macam mana rakyat nak kenal pemimpin, kalau tak derma sana dan tak derma sini,kalau tak tolong sana dan tak tolong sini, macam mana rakyat nak kenai pemimpin
  4. ...Politik dan Publisiti ibarat irama dan lagu.. tak boleh berpisah
Paksu boleh menerima pandangan tersebut. Paksu ini Pakar Jiwa. Kalau setakat menulis untuk meluahkan perasaan yang marah itu, biasalah. Setiap hari Paksu mendengar perkara yang serupa khususnya daripada orang yang mengalami tekanan perasaan.

Paksu anggap ia merupakan satu cara untuk penulis tersebut melepaskan apa yang terpendam di jiwa beliau. Mungkin tulisan dalam kedua artikel berkenaan banyak mengguris hati 1 kedah. Jika benar, baguslah kerana menggunakan cara yang baik to ventilate his feelings dan bukannya menggunakan kekerasan atau mengamuk tidak tentu arah.

Memang benar, trend ini telah lama berlaku. Tetapi apakah kerana ia telah lama berlaku maka ia perlu diterima sebagai sesuatu yang baik? Memang benar juga keikhlasan itu adalah antara individu dengan Tuhan, tetapi sebagai insan , kita perlu menegur jika dirasakan teguran itu akan memberi keinsafan kepada mereka yang berkenaan.

Adakah kita perlu takut dengan ahli politik? Mereka juga manusia seperti kita. Mereka juga hamba Allah di bumi ini. Mereka juga bukan maksum atau dapat lari daripada melakukan dosa dan pahala. Mahukah kita melihat pemimpin kita terang-terangan melakukan kemungkaran dan maksiat? Sanggupkah kita dipimpin oleh pemimpin sedemikian?

Tidak salah menghulurkan derma. Malah digalakkan berbuat demikian. Kalau ada wang sejuta hendak disedekahkan pun tidak ada siapa yang akan menghalangnya. Begitu juga menolong orang di sana sini. Tidak dilarang sama sekali. Kecil tapak tangan nyiru mereka tadahkan.

Apa yang dipersoalkan ialah apakah pertolongan itu perlu bersyarat? Apakah derma itu perlu diiringi dengan undi? Kamu semua kena undi aku sebab aku dah labur banyak duit untuk kamu semua. Aku dah bagi derma berjuta2... Aku dah tolong kamu semua buat bermacam2 benda? Kenapa masih tidak mahu mengundi aku? Itu perlu. Itu wajib. Semua pertolongan dan derma aku sebenarnya ada syaratnya....

Itukah yang dinamakan keikhlasan? Itukah ciri pemimpin yang mahu kita hormati dan sanjungi? Inikah ciri pemimpin Islam yang kita cari? Inikah pemimpin yang dikatakan berjiwa rakyat? Inikah pemimpin yang sanggup berkorban untuk rakyat?

Pemimpin dan publisiti tidak boleh dipisahkan ? Benarkah kenyataan ini? Kenapa ia terus diagong-agongkan, walau pun belum jelas hala dan tujuan? Takut nanti riak jadinya. Dengan memberi kain sehelai dua adakah cukup untuk mengatakan mereka itu pemimpin sejati? Dengan memberi beras sekampit dua, perlukah rakyat mengundi mereka?

Samalah seperti pemimpin yang berlakun simpati ketika menjelang pilihan raya tetapi selepas menang, mereka hilang entah ke mana. Bermacam janji yang mereka lafazkan namun tidak ada satu pun yang menjadi kenyataan. Bila tiba mengundi semula, barulah merengek-rengek mencari pengundi. Maklumlah, jawatan dan pangkat perlu dicari, supaya rumah, kereta, duit dan isteri bertambah lagi... Bermacam alasan mereka beri . Kononnya telah berusaha sekuat hati. Jadi berilah peluang kepada mereka sekali lagi supaya dapat menunaikan segala janji.

Hakikatnya itu bukanlah yang mereka maksudkan. Mereka hanya menggunakan pengundi sebagai batu loncatan. Orang dulu bolehlah mereka perbodohkan. Pengundi sekarang lebih kritis dalam membuat pilihan...

Itulah sebabnya UMNO dan Barisan Nasional semakin lemah. Pemimpinnya masih merasakan apa yang mereka lakukan itu betul. Buatlah seminar berbulan-bulan atau retreat sampai ke bulan. Kalau masih pemikiran cara begini yang mereka gunakan, Paksu bimbang pilihan raya akan datang, UMNO akan hanya tinggal kenangan...

Paksu sedar diri ini bukanlah pemimpin atau pemikir handalan. Mungkin hanya boleh dianggap budak hingusan. Tapi Paksu hanya ingin melihat orang Melayu kuat semula. Paksu inginkan Malaysia terus hebat di persada dunia. Paksu ingin melihat orang Islam kembali ke zaman kegemilangannya. Bukan menuju kehancuran dengan sifat dan kedegilan pemimpin kita yang sedia ada.

Paksu sentiasa berdoa agar mereka semua insaf kembali. Boleh kembali ke jalan yang diredhai. Janganlah terlalu hanyut dalam kemungkaran. Ia akan membawa kita semua ke arah kehancuran....


Komen Pilihan:

Ekeng A/L Etong said...
Politik adalah pentas sandiwara dan ahli-ahli politik adalah pelakon-pelakonnya yang memegang watak Raja, Menteri hinggalah inang serta pemegang tombak. Cuma mutu cerita yang dipentaskan saja yang akan menentukan sesuatu persembahan diterima atau ditolak oleh penonton.Wayang kulit Ekeng pun serupa.....

1Kedah said...
Dr Wan, tolong namakan kepada saya mana- mana pemimpin politik yang tak mahukan publisiti.Trend ini dah lama dah berlaku.. sejak you dari bangku sekolah rendah lagi, cuma cara nya yang agak berbeza, semua pemimpin politik mahukan publisiti.. Orang politik hidup atas publisiti, sama ada ikhlas atau tidak itu urusan mereka dengan Allah, you tak payah campur tangan, kalau you bagi derma atau buat jamuan rakyat dengan mengantung banner dan membuat sedikit kenyatan akhbar, saya rasa perbuatan you itu agak pelik sedikit tapi tidak mustahil kerana you tak perlu buat semua itu sebab you hanyalah seorang doctor.Orang politik perlukan semua publisiti tersebut kerana mereka memerlukan undi dari rakyat pada pilihanraya nanti. kalau dah tak ada publisiti, macam mana rakyat nak kenal pemimpin, kalau tak derma sana dan tak derma sini,kalau tak tolong sana dan tak tolong sini, macam mana rakyat nak kenai pemimpin. Politik dan Publisiti ibarat irama dan lagu.. tak boleh berpisah.. you dulu buat program pun banyak juga masuk dalam blog.. untuk apa blog tu..? kan untuk publisiti. Sekian.
05 October 2009 15:43

Wednesday 7 October 2009

Jangan Jadi Bahan Ketawa Rakyat!

Paksu terbaca artikel ini dalam Sinar Harian edisi Utara hari ini. Ia lebih kurang sama dengan maksud Paksu semasa menulis artikel - Hipokrit dalam Politik. Cuba hayati dan dalami maksud yang tersirat dan tersurat dalam tulisan berkenaan. Ia boleh diakses di laman ini http://www.sinarharian.com.my/com/content/story5209586.asp
atau di baca di bawah: - gambar penulisnya pun ada disertakan.

Bersandiwara memang enak, ramai yang akan tersenyum membariskan gigi yang rongak kala menikmati gelagat manusia yang asyik bermain bersandiwara. Di sekitar Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, penulis sudah melihat sedikit sebanyak ‘sandiwara’ berputar di sana-sini sudut alam ini. Hulur bantuan, senyumannya di bibir tapi jiwa kosong! Curah bakti sekadar luaran tetapi di hati penuh ketidakjujuran.

Bagi penulis, jika mahu bersandiwara sekalipun tapi biarlah kena pada saat dan masanya. Apatah lagi kalau sandiwara yang dimainkan bukan sekadar yang kecil-kecilan tetapi isunya besar hingga mampu dilihat dan dinilai sendiri oleh masyarakat kita yang kini semakin bijak. Silap hari bulan, boleh jadi gigi yang rongak luruh bersepai atas jalan, kredibiliti diri tercicir dipijak dek ‘salah langkah’ sendiri.

Sandiwara begitu sinonim dalam setiap pilihan raya yang dilangsungkan di negara ini. Kecil besar pilihan raya, pasti akan terselit kisah-kisah sandiwara yang sifatnya tidak kekal lama. Kita pernah tersenyum dengan kisah asid dalam plastik dan berbagai macam sandiwara yang akhirnya hilang dalam lipatan akhbar, tidak diungkit sebaik tamat pilihan raya dan pemenang kerusi diumumkan.

Bagi yang masih belum sedar, penulis suka mengingatkan jangan sampai sandiwara yang dimainkan dihidu dan diketawakan masyarakat. Orang kita bukan lagi masyarakat buta huruf tetapi mereka kini celik IT. Mereka bijak pandai dan punya banyak saluran informasi untuk memastikan duduk perkara dan kronologi peristiwa.

Setiap kali tercetus sesuatu isu, masyarakat kita akan merujuk kepada saluran baru ini untuk melihat sendiri duduk perkara sebenar. Apatah lagi kini ramai antara kita yang gemar menerbitkan video amatur dalam laman-laman web sebagai platform untuk menguji kecekapan. Kesannya, insan-insan amatur ini mampu menghasilkan yang lebih baik, telus, jujur, tanpa ada sekelumit ‘sandiwara’ dan mampu menarik kepercayaan rakyat. Justeru, penulis kira mana-mana pihak yang terlibat dalam pertempuran kali ini tidak perlu lagi menggunakan kaedah lapuk mahupun taktik kotor dengan membuat tuduhan demi tuduhan dan provokasi demi provokasi kurang bijak untuk menarik perhatian dan minat rakyat khususnya pengundi.

Tidak keterlaluan jika penulis sifatkan taktik ini sebagai undi simpati murahan. Penulis takut jika kita ‘terus’ bersandiwara, yang ditertawakan itu adalah diri kita sendiri. Cerita pasal sandiwara penulis teringat kisah Laksamana Do Re Mi yang berkisarkan kerajaan Pasir Berdengung lakonan P Ramlee dan dua lagi aktor yang menggunakan sandiwara untuk menakluki semula negeri dan memenangi hati sang puteri yang cantik jelita.

Tiga laksamana ‘sengaja’ menggunakan sandiwara kerana dijanjikan ganjaran besar sementara dalam filem Nujum Pak Belalang Pak Belalang, P Ramlee ‘terpaksa’ bersandiwara dek kerana keadaan dan akhirnya diangkat menjadi wira dan menantu Raja. Mujur juga sandiwara Pak Belalang menjadi, dapatlah dia memiliki puteri cantik jelita dan menjadi tokoh tersohor di dalam negara.

Cuma penulis kasihan melihat nasib Laksamana Do Re Mi yang dipermainkan sang raja dan puteri kerana sandiwara yang dicipta. Sudah lah puteri cantik milik orang, di akhir cerita ketiganya menjadi ‘bahan ketawa’ rakyat, lari lintang pukang dikejar ‘peminat murahan’. Nasib badan....
Tak sanggup diri diketawakan.

Tuesday 6 October 2009

Kenapa Masih Belum Ada Keinsafan?

Ketika membaca surat khabar hari ini dan beberapa hari yang lalu, Paksu berasa cukup terharu terutama bila melihat keadaan gempa bumi yang melanda negara jiran kita, Indonesia. Bangunan runtuh, nyawa melayang dan pelbagai lagi kejadian yang cukup menyayat hati.

Terbaca juga komen beberapa ulama dalam akhbar yang mengatakan kejadian tersebut merupakan bala yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepada penduduk di dalam kawasan yang digelar Serambi Mekah ke 2 selepas Acheh di Indonesia. Khabarnya ramai orang muda di sana telah lalai dengan hiburan ; manakala yang tua pula lebih suka bersabung ayam daripada menunaikan tanggung jawab kepada Tuhan.

Ya Allah ! Jika benar itulah hakikatnya, maka di manakah pula kita berada? Orang Malaysia juga ramai yang telah jauh menyimpang daripada agama. Berjudi, meminum arak, mengambil dadah, berseronok-seronok tanpa mengira tempat dan masa, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, rasuah, penipuan dan sebagainya cukup berleluasa.

Tidak perlu pergi jauh. Di Kuala Kedah pun telah cukup untuk kita melihat semua itu. Pergilah ke tepi pantai, ke jeti-jeti dan kedai-kedai yang ada di sekeliling kita. Macam-macam ragam manusia yang kita jumpa. Fitnah memfitnah, keji mengeji, umpat mengumpat sudah dianggap perkara biasa. Rasuah dan penipuan juga tidak lagi dipandang hina. Pergaulan bebas seolah-olah menjadi lumrah alam dan tidak lagi dihalang oleh sesiapa. Menghisap dadah pun mencapai status yang sama.

Tidak berapa lama dahulu , ramai nelayan di Kuala Kedah ditangkap kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Beberapa hari yang lalu, juga di Kuala Kedah, seorang gadis berusia 15 tahun melahirkan anak tidak sampai 24 jam selepas bergelar isteri. Kisah seorang lelaki meminum racun lalu mati membunuh diri hanya kerana gagal memikat seorang wanita beberapa tahun yang lalu masih jelas bermain di mata. Lelaki tersebut juga orang Kuala....

Paksu rasa kita semua perlu insaf dengan apa yang telah berlaku di negara jiran kita. Padang itu tidak sejauh mana. Malah sebahagian daripada kita telah pun merasa kesan daripada malapetaka tersebut walaupun pada skala yang kecil.

Namun apa yang jelas ialah mungkin kita juga boleh menerima nasib yang sama. Apakah kita masih belum mahu insaf dan mengambil iktibar dengan apa yang telah berlaku? Masihkah kita terus dibuai dan diulit mimpi yang tidak berkesudahan? Masihkah kita mahu berdengki dan beriri hati sesama kita. Tidak cukupkah dosa yang telah kita lakukan? Belum puaskah kita bermusuh-musuhan sesama sendiri? Dengki mendengki tidak akan membawa kita ke mana-mana. Iri hati akan hanya mendekatkan kita kepada neraka.

Pangkat dan kedudukan boleh hilang sekelip mata. Kekayaan walau sebanyak mana tidak akan menjamin kemasukan kita ke dalam syurga. Berlumba-lumba ke arah kemungkaran bukanlah caranya. Menabur wang, memfitnah orang lain, riak dan derhaka kepada agama , bangsa dan negara akan hanya membawa kepada kehancuran dan bencana.

Politik tidak boleh menghalalkan perkara yang haram di mata agama. Membenci sesama sendiri dan berdusta juga buruk padahnya. Apakah dengan menjatuhkan maruah orang lain, kita boleh bergembira dan mendabik dada? Bukankah kita orang Islam semuanya bersaudara? Mengutuk , memaki hamun , mencerca bukan cara kita. Kita orang Islam . Kita juga orang Melayu. Sekiranya kita masih waras, kita pastinya tidak akan melakukan begitu....

Paksu sedih melihat bangsa kita. Berseronok-seronok menjadi agenda utama. Bermewah-mewah dan menunjuk-nunjuk menjadi amalan kita. Menjatuhkan maruah orang lain menjadi mainan semata-mata. Kita seronok melihat bangsa kita jatuh. Kita gembira melihat saudara kita berduka. Kita bangga kerana telah berjaya menghancurkan maruah mereka. Kita akan sedih bila melihat mereka berjaya. Kita lebih suka anak bangsa kita mundur dan menderita.

Siapakah pemimpin sejati yang kita cari? Mereka yang mempunyai harta atau wang berguni-guni? Adakah mereka boleh menolong kita di kemudian hari? Mungkinkah kita hanya dijadikan batu loncatan untuk mencari kekayaan seperti lautan yang tidak bertepi ?

Pemimpin beginikah yang kita mahu? Pemimpin beginikah yang kita perlu? Cuma hidangkan hiburan dan wang di depan mata, akhirnya kita semua terus hanyut dalam dosa di lembah yang hina.

Paksu cukup bimbang dengan apa yang sedang berlaku. Masjid semakin kosong di kebanyakan waktu. Tempat hiburan dan keseronokan pula yang kita tuju. Mereka yang jujur kita pinggirkan, mereka yang jahil dan pendusta kita agongkan.

Apakah kita mahu menerima nasib yang sama dengan saudara kita di Indonesia? Jawapannya terletak kepada kita.....

Sunday 4 October 2009

Ulasan - Artikel Hipokrit Dalam Politik

Paksu mengucapkan terima kasih di atas dua komen yang diberikan berkaitan artikel Paksu tempoh hari : -http://tintapersona.blogspot.com/2009/09/hipokrit-dalam-politik.html . Terima kasih juga kepada mantan Ketua Puteri UMNO Kuala Kedah, Puan Zuraini kerana sudi melawat blog Paksu yang tidak seberapa ini. Tak sangka pula ada juga pemimpin UMNO Kuala Kedah yang sanggup membaca tulisan-tulisan Paksu ini....Alhamdulillah!

Artikel tersebut bukanlah bertujuan untuk menyakitkan hati sesiapa sama ada yang hidup mahupun yang telah tiada. Sememangnya it was intended to be a general statement dan bukannya ditujukan kepada sesiapa. Namun jika ada sesiapa yang termakan cili dia akan terasa pedasnya...Tak perlu lebih specific daripada itu!

Dalam artikel tersebut Paksu juga berkata -

........Fenomena ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan pemimpin UMNO khasnya dan Barisan Nasional amnya, bahkan ia telah menjadi ikutan dalam kalangan pemimpin pembangkang juga. Pasanglah banner dan sepanduk merata-rata......

Maksudnya ia bukanlah fenomena yang khusus dalam UMNO sama ada di peringkat nasional, negeri mahu pun Kuala Kedah. Ia wujud dalam Barisan Nasional , PAS dan hampir kesemua parti politik sekarang ini. Ia menjadi trend dan ikutan di mana-mana. Apatah lagi bila menjelang pilihan raya.

Bila akan berlaku sahaja pertandingan, barulah pemimpin kalut untuk turun ke padang. Menunjukkan muka di mana sahaja. Memberi derma dan bantuan , tapi dengan syarat perlu ada publisiti dan pujian. Apakah itu boleh dianggap sesuatu yang dibuat dengan cara yang ikhlas? Memang benar, niat penentu segala-galanya. Tapi apakah perlu kita menunjuk-nunjuk. Tak bolehkah diberi secara diam-diam atau tanpa perlu sebarang publisiti besar-besaran? Bukankah itu akan mendekatkan diri kepada riak dan keangkuhan?

Namun begitu Paksu faham. Dalam politik, seseorang pemimpin politik itu bukan sahaja perlu bekerja tapi perlu dilihat membuat kerja...Inilah konflik yang sering dialami oleh mereka. Orang PAS sendiri pun membuat perkara yang sama dan bukan sahaja orang UMNO dan BN. Paksu percaya ada juga pemimpin politik UMNO dan sebagainya yang benar-benar ikhlas untuk membantu. Tapi mungkin itu hanya sebilangan kecil sahaja. Mungkin satu dalam seribu..Atau mungkin juga lebih daripada itu.

Walaubagaimanapun sememangnya kita manusia tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan niat mereka. Itu antara mereka dengan Tuhan. Namun kita juga berhak menasihati pemimpin-pemimpin kita agar tidak terjerumus dalam dosa dan noda. Tidak salah sekiranya kita saling berpesan-pesan ke arah kebaikan dan menjauhkan diri daripada kemungkaran.

Kalau ada daripada pemimpin kita yang boleh hidup tanpa bergantung kepada projek UMNO dan sebagainya, baguslah. Alhamdulillah. Semoga apa yang dilakukan itu mendapat keberkatan. Namun lobi melobi juga harus dihindarkan. Apa yang kita dapat perlulah daripada usaha yang jujur dan kebolehan yang ada, bukannya kerana kita mengenali orang atasan, Dato' itu , Tan Sri ini dan sebagainya...

Paksu berpendapat menegur tidak ada salahnya. Tidaklah sampai membakar kelambu kerana marakan nyamuk atau berkerat rotan berpatah arang. Hidup kita semua hanya sementara. Paksu pun manusia biasa. Tidak boleh lari daripada melakukan salah dan dosa. Banyak atau sikit, itu lain cerita. Di samping itu , kita perlu sentiasa berdoa agar dihindari daripada terjerumus ke lembah yang hina.

Paksu ini bukan pemimpin yang agong. Hanya mungkin sekadar pemimpin kampung.. Itu pun sebenarnya belum berani mengaku diri seorang pemimpin. Masih banyak yang perlu dipelajari sebelum berani menawarkan diri untuk memimpin orang lain. Setakat ini Paksu hanya sekadar pemimpin dalam keluarga sahaja!

Sesuatu organisasi itu bukannya keramat. Orang yang memacu organisasi juga tidak maksum dan tidak lari daripada melakukan kesalahan. Jangan terlalu mengagong-agongkan pemimpin atau parti. Takut nanti memakan diri. Memperjuangkan bangsa sesuatu yang perlu tetapi hakikatnya janganlah pula lupa agama dan negara.

Berusahalah sekadar yang terdaya... Benar. Dalam Islam pun kalau kita tidak mampu mengubah dengan perbuatan , ubahlah dengan perkataan. Sekiranya itupun tidak mampu , hanya setakat dengan hati sahaja - dan itulah serendah-rendah iman.

Kita semua ada had dan kekuatan masing-masing. Gunakanlah sebaik mungkin. Pemimpin perlu bertanggungjawab dengan semua yang di bawah kepimpinannya. Mereka akan disoal di akhirat nanti. Baik buruk di tangan kita. Tepuk dada tanya selera....



Petikan daripada komen yang diberikan :

ROBAH said...
Inilah penyakit masyarakat yang melanda orang-orang Melayu kini, pemimpin hipokrit menjadi pilihan ramai, pemimpin yang melakukan keburukan menjadi pilihan. Kekadang terfikir saya sistem pemerintihan demokrasi yang kita amalkan terlalu banyak kelemahannya, terutama kepada mereka yang tidak berfikiran matang.Tapi bukan senang nak jadikan semua rakyat matang berfikir, orang yang sedang menghadapi masalah akan memuji orang yang membantunya, orang yang menerima pujian akan merasa bangga sehingga kekadang tidak berpijak di bumi nyata.
28 September 2009 13:13

zue said...
salam doci rasa komen u agak `kabur dan keras'. saya tak pasti kpd siapa u tujukan tuduhan ini. Tp sebagai mantan ketua pu3 dan pemimpin masyarakat, saya rasa tak semua org buat kerja politik utk mendapatkan `penghormatan dan puji2an'. saya mengenali ramai rakan2 seangkatan , Kita Tak pernah hidup dgn Projek UMNO tapi kita masih mahu berkhidmat bakti kpd masyarakat kerana kita sayangkan parti dan bangsa Melayu!!Kita tak heran pun pasai jawatan dlm UMNO kerana kita hidup atas hasil usaha sendiri. Pesan saya kpd Doc ; Jgn kerana marahkan nyamuk, dibakar kelambu. Jgn kerana Nila setitik Rosak susu sebelanga.Benar, ini blog anda, and u can say whatever u want and desire. Tp u jugak merupakan `pemimpin'.. maka adakalanya kita perlu tujukan sesuatu tepat pd sasaran bukan sekadar luahan amokan yang tersasar!Keep up good writing and constructive topics and issues. Bersama kita membina Melayu yang kuat dan bersatu demi maruah sebuah bangsa!!Bagi saya UMNO tiada dosa, ianya sebuah parti yang benar2 membela bangsa Melayu!! Falsafah saya hari ini: BUAT SEKADAR MAMPU........

03 October 2009 21:15

Saturday 3 October 2009

Ucapan Tahniah Kepada Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah Yang Baru

Paksu ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah di atas perlantikan Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah yang baru. Beliau telah menghantar SMS kepada Paksu baru-baru ini untuk memberitahu akan perlantikan beliau ke jawatan tersebut.

Paksu mengucapkan berbanyak terima kasih di atas kesudian beliau untuk menghubungi Paksu. Oleh kerana Paksu tidak pasti sama ada Dato' Latt akan membuat pengumuman rasmi di masa yang terdekat, jadi lebih baik Paksu tidak mendedahkan identiti beliau di sini. Nanti apa pula kata orang kuat UMNO yang lain. Paksu ini tidak ada hak lagi untuk berbuat demikian...

Tahniah sekali lagi dan selamat bertugas...

Friday 2 October 2009

Habis Manis Sepah Dibuang?

Ramai yang bertanya Paksu, kenapa sejak meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah, mereka tidak lagi nampak Paksu di mana-mana majlis UMNO lagi. Paksu ni merajukkah? atau sudah beralih arah?

Seperti yang pernah Paksu tekankan dahulu, Paksu masih kekal sebagai ahli UMNO biasa. Tak pasti lah pula sama ada Paksu telah dibuang atau tidak. Namun sepanjang yang Paksu ketahui diri ini belum pernah disingkirkan lagi daripada menjadi ahli...

Memang Paksu telah meletak jawatan secara rasmi dan ia telah diterima oleh Y.Bhg Dato' Latt melalui emel yang telah dikirimkan kepada Paksu lebih kurang beberapa minggu selepas tarikh surat rasmi yang dikirimkan kepada beliau.Kenapa Paksu tidak hadir ke majlis UMNO lagi? Jawapannya mudah sahaja, kalau tidak dijemput macam mana Paksu nak hadir ? Kenduri manapun kalau tidak dijemput, kita tidak boleh meredah membuta tuli.. Ikut Islam , lagilah dilarang.

Paksu tidak pernah menyalahkan sesiapa. Paksu sedar di mana diri ini berada. Paksu sudah tidak ada apa-apa. Siapalah Paksu ini... Hanya sekadar insan biasa yang tidak mempunyai kedudukan lagi. Tidak lagi diperlukan dan tidak lagi dihargai.

Kini sudah tidak ada lagi panggilan telefon atau sms bertanya khabar. Sudah tidak ada lagi senyuman bila berjumpa di tepi jalan. Malah ramai yang cuba menjauhkan diri. Berjumpa di pasar raya atau di pasar malam pun, mereka dengan pantas berpusing ke arah lain. Tidak ada lagi jemputan minum di kedai kopi, tidak ada lagi jemputan ke majlis kahwin atau majlis kesyukuran. Rumah terbuka pun tidak pernah dijemput atau diberitahu. Semua orang tidak lagi mahu mengenali diri ini.Umpama habis manis sepah dibuang...

Paksu sebenarnya tidak ambil hati. Ketika meletak jawatan, perkara sebegini memang telah Paksu bayangkan akan terjadi. Paksu telah lama mengenali orang-orang UMNO. Mereka sahaja yang tidak mengenali Paksu sebelum ini. Paksu anggap ini sebagai lumrah dunia. Hidup ini umpama roda , ada masa di atas dan ada masa di bawah. Kalau kita ada kedudukan, kita dihurung seperti semut menghurung gula. Bila sudah tidak ada apa-apa, kita umpama sampah busuk yang perlu dibuang seberapa segera.

Paksu telah maafkan mereka semua. Paksu sebenarnya tidak hilang apa-apa. Paksu kembali menjadi insan biasa. Menjaga keluarga dan terus bekerja sebagai Pakar Jiwa. Segala tohmahan dan kejian daripada mereka yang berhasad dengki pun sudah tiada lagi. Maklumlah ia tidak lagi membawa sebarang erti..Alhamdulillah! Paksu bekerja untuk UMNO sebelum ini pun adalah kerana memikirkan anak bangsa dan agama. Bukan untuk mencari pangkat dan kedudukan. Alhamdulillah, Paksu sudah mencapai hampir semua apa yang Paksu inginkan dalam hidup setakat ini. Usaha dan kerja yang dibuat dahulu hanyalah bagi mencari secebis pahala untuk dibawa ke akhirat bila Paksu sudah tiada.

Terima kasih Paksu ucapkan kepada Y.Bhg Dato' Latt kerana telah memberi peluang kepada Paksu sebelum ini. Paksu serahkan pula kepada orang lain untuk meneruskan perjuangan. Paksu tidak pernah meminta untuk dilantik semula. Paksu juga tidak lagi mahu mengacau daun atau menyibuk dengan pentadbiran Biro Penerangan di bawah kepimpinan yang baru. Biarlah Ketua Penerangan yang telah dilantik baru-baru ini membawa haluan dengan cara dan acuannya sendiri. Masa Paksu sudah berlalu. Tidak perlu menjadi seperti orang yang gila talak atau menjadi duri dalam daging kepada kepimpinan UMNO yang baru.

Dalam Islam , berdendam tidak akan membawa kita ke mana-mana. Hanya akan mendekatkan kita kepada Syaitan dan kegilaan dunia.....

Thursday 1 October 2009

UMNO Perlu Keluar Daripada 'Comfort Zone'

Salah satu masalah yang paling ketara dalam UMNO ialah keengganan pemimpin dan ahli mereka untuk menerima hakikat atau takdir yang telah berlaku dan keluar daripada zon selesa mereka sendiri.

Ramai daripada mereka masih bermimpi di siang hari. Enggan mengakui bahawa mereka telah kehilangan kuasa di Kuala Kedah. Enggan menerima hakikat bahawa mereka sudah dipinggirkan dan ditolak oleh masyarakat setempat.

Para ketua-ketua cawangan masih berlagak seolah-olah mereka masih berkuasa. Meminta yang bukan-bukan dan masih ingin mendabik dada bahawa mereka lah pemimpin bangsa. Begitu juga ahli-ahli UMNO. Semua ingin meminta-minta. Semua ingin dimanja dan dibelai dengan pelbagai kemewahan dan bantuan.

Pemimpin atasan pula berlagak seolah-olah mereka masih disayangi rakyat. Mungkin mereka popular dalam kalangan ahli UMNO , namun dalam pandangan masyarakat, kedudukan mereka telah jauh berbeza dan kekuatan mereka semakin terhakis....

Apa yang jelas, mereka sudah jauh ditinggalkan. Sudah lama dilupakan dan dipinggirkan. Tapi mereka tidak mahu menerima hakikat ini. Masih dengan sikap dan perangai lama. Masih dengan pemikiran kolot yang telah pupus ditelan zaman.

Pengundi sekarang semakin bijak menilai ; bukan boleh dipermainkan atau diperbudakkan ; bukan boleh dikotak-katekkan. Mereka menilai melalui pemikiran yang matang dan berdasarkan fakta dan realiti. Zaman bermewah dan menunjuk-nunjuk sudah berlalu. Zaman orang memilih dan memangkah seseorang individu hanya kerana beliau bijak menabur wang ketika pilihan raya tidak lagi wujud sekarang ini.

Bakal pemimpin kini perlu menjadi hamba rakyat; perlu bekerja sepenuh masa. Mereka juga perlu mempunyai nilai murni dan peribadi yang mulia ; bukan setakat pandai memakai kepiah lebai dan beristeri dua atau tiga. Membodek ketua cawangan untuk mendapat undi dalam parti tidak akan menjamin sokongan padu akar umbi.

Pemimpin dan ahli UMNO perlu keluar daripada zon selesa. Perlu bekerja keras sepanjang masa. Anda semua sudah menjadi pembangkang. Terimalah hakikat ini dahulu. Baru kita boleh bergerak maju.

Pikatlah kembali golongan muda. Pujuklah kembali orang-orang tua. Carilah kawan-kawan kita daripada kaum Cina dan India. Membuat kenduri atau memberi derma semata-mata bukan caranya. Perlu ada usaha daripada semua. Bukan hanya dibebankan kepada ketua. Timbalan dan Naib perlu lebih berusaha. Begitu juga AJK Bahagian yang semakin hilang kekuatannya. Jangan hanya pandai mengadu domba dan bersandiwara.

Buktikan kepada dunia anda semua layak berada di situ. Bukannya hanya kerana pernah atau pandai menabur wang ketika pemilihan dulu. Itulah ciri pemimpin yang sejati. Nescaya akan terus disanjungi dan dihormati di hari kemudian nanti.

Akan Adakah Sinar Baru untuk UMNO di Kuala Kedah ?

Kini telah lebih 18 bulan tsunami politik yang melanda negeri Kedah amnya dan Kuala Kedah khasnya. Ketika ia mula berlaku, riuh rendah lah barisan kempimpinan UMNO di kawasan ini.

Pada awalnya, semua menuding jari menyalahkan satu sama lain. 'hang sabotaj aku... dan aku sabotaj hang.....' adalah antara ungkapan yang sering kedengaran. Ini bukan salah aku. Semuanya salah anda semua.

Orang Cina tak bagi undi pada kita, orang India tak bagi undi pada kita, orang Melayu tak bagi undi pada kita... Itu semua salah mereka... Mereka itu bodoh. mereka itu tidak mengenang budi... Mereka itu terpengaruh dengan hasutan pembangkang... Pembangkang main taktik kotor...

Dato' itu yang sabotaj aku... suruh orang undi orang lain....suruh orang tak pangkah aku....suruh orang boikot aku... suruh orang tak pi mengundi.... .suruh orang UMNO cantas aku...

Aku tak salah. UMNO tak salah. Calon tak salah... Kami semua buat kerja. Kami semua disayangi pengundi. Cuma ada orang sabotaj saja...

Itulah antara cakap-cakap yang sering keluar daripada pemimpin UMNO. Orang lain yang salah. Mereka tidak salah. Mereka betul semua. Mereka pandai semua. Mereka memang buat kerja. Suka mendabik dada. Suka membangga diri.

Malangnya mereka tidak sedar bahawa pengundi sebenarnya sudah muak dengan perangai mereka. Benci dengan sikap dan kesombongan mereka. Meluat dengan ketaksuban mereka. Usah diungkit cerita lama. Cerita baru tak ada apa - apa. Berapa tahun kamu menjadi wakil rakyat - apakah yang telah kamu lakukan? Cubalah muhasabah diri. Jangan suka meninggi diri. Jangan lupa kepada mereka yang di akar umbi.

Zaman di mana meletakkan siapa saja - akan pasti mendapat kemenangan sudah lama berlalu. Rakyat telah pandai menilai. Mereka tidak lagi boleh diugut dan dipaksa. Mereka bukan lagi boleh dirasuah sepuluh dua untuk mengundi anda semua. Mereka sudah membuka mata.

Hanya pemimpin UMNO sahaja yang masih leka dibuai mimpi. Masih perasan dikehendaki oleh akar umbi. Masih merasakan diri relevan walaupun hakikatnya zaman kegemilangan mereka telah berakhir.

Zaman ini memerlukan pemimpin yang progresif . Pemimpin yang berwibawa dan berpelajaran. Pemimpin yang mampu mengorak langkah membawa rakyat ke era baru. Pemimpin yang tidak hanya pandai bercakap tapi tetapi tidak pandai bekerja sudah boleh bersara...

Berilah peluang kepada pemimpin baru dengan idea dan pendekatan yang berbeza. Berilah sokongan kepada mereka , bukan terus dicantas dan dihina. UMNO memerlukan anjakan paradigma. UMNO memerlukan tenaga yang baru. Tenaga yang mampu membawa kemajuan kepada agama, bangsa dan negara.

Kuala Kedah sebenarnya penuh dengan mereka yang cukup hebat. Cuma tidak diberi kesempatan untuk menabur bakti. Kepada para pemimpin lama, renunglah diri sendiri. Bukan kah masa anda telah berlalu? Berilah sokongan pula kepada mereka yang baru.

Itulah kesinambungan yang diperlukan oleh UMNO. Itulah pengorbanan yang perlu dibuat oleh pemimpin-pemimpin masa dahulu. Barulah UMNO akan gagah semula. Bukan menjadi kenangan semata-mata!
Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails