Followers

Monday, 19 October 2009

Luka Di Tangan Tampak Berdarah, Luka Di Hati Siapa Yang Tahu..

Kini telah genap 3 bulan, Paksu telah meninggalkan pentas politik Kuala Kedah. Sepanjang tempoh 8 bulan bergiat aktif , banyak sebenarnya yang telah Paksu pelajari. Pelbagai ragam manusia yang Paksu jumpa , begitu juga bermacam kerenah yang telah ditemui.

Ramai yang masih lagi bertanya kenapa Paksu meninggalkan politik sedangkan ramai orang yang sanggup bergolok bergadai untuk berada di tempat itu. Bagi Paksu, jawatan bukanlah segala-galanya dalam dunia ini. Banyak lagi cara yang boleh dilakukan untuk menabur bakti kepada masyarakat. Hingga ke saat ini, Paksu tidak pernah menyesal berbuat demikian. Malah Paksu rasa, ia merupakan antara keputusan terbaik yang pernah Paksu lakukan.

Paksu tidak suka bermusuh dengan sesiapa, tetapi entahlah.. sejak bergiat aktif dalam politik , tiba-tiba ramai musuh yang datang menjelma. Dimaki, dihamun menjadi perkara biasa. Segala benda berubah warna. Kawan menjadi lawan, sahabat menjadi seteru. Fitnah datang bertimpa-timpa daripada setiap sudut dan sepanjang masa.

Paksu tidak suka semua itu. Bukan merajuk atau kecewa. Hanya tidak selesa dengan sikap mereka. Sepanjang hidup kita berusaha untuk hidup tanpa sengketa, namun hanya kerana kepentingan politik semuanya menjadi sia-sia. Mungkin ramai akan berkata, itu lumrah politik di negara kita. Suka tak suka begitulah hakikatnya...

Paksu cuba menarik diri dengan cara yang paling baik. Tidak mahu melukakan hati sesiapa kerana Paksu menghargai segala jasa mereka yang telah sudi memberi peluang kepada Paksu merasai bagaimana pengalaman berpolitik di tahap itu. Rasanya Paksu telah melakukan yang terbaik dan yang termampu. Namun seperti kata pepatah, tidak ada gading yang tak retak dan tidak ada bumi yang tidak ditimpa hujan. Setiap orang tentu ada salah dan silapnya...

Paksu tidak pernah minta dihargai. Maklumlah sumbangan yang Paksu berikan mungkin tidak sebesar mana. Paksu juga bukanlah pemimpin hebat. Hanya sekadar malukut di tepi gantang. Ada tiada pun tidak memberi sebarang kesan.

Namun Paksu juga manusia yang ada perasaan. Jika tidak mahu dipuji pun , janganlah dikeji dan diperlaku dengan sebegitu sekali. Apakah kerana Paksu sudah tidak mempunyai jawatan dalam UMNO , maka Paksu berhak dicerca dan difitnah tanpa diberi peluang untuk membela diri?

Ada kala kita terlupa bahawa dunia ini ibarat roda. Ada masa kita di atas, ada masa pula kita akan berada di bawah. Jangan terlalu angkuh dengan pangkat dan kedudukan. Ia hanya sementara dan boleh diambil Tuhan dengan sekelip mata. Janganlah juga menjadi seperti melepaskan anjing yang tersepit atau seperti si buta mematahkan tongkat...

Menuduh orang , memfitnah orang mudah dilakukan. Mengeji mencerca mendekatkan diri kita kepada Syaitan. Memang lumrah manusia begitu sebenarnya. Menyalahkan orang lain demi menutup kelemahan sendiri. Kerapkali kuman di seberang laut nampak, namun gajah di bibir mata tidak kelihatan.

Jangan terlalu rakus menjatuhkan orang lain hingga sanggup berbuat apa saja. Ingatlah bahawa terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Jangan terlalu mengikut hati kerana ia akan membawa kebinasaan diri .Lebih baik mengikut hukum memiat daging, sakit di awak, sakitlah di orang. .....

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails