Baru-baru ini Paksu diberitahu bahawa Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah yang baru telah membuat keputusan untuk mengambil semula semua ahli jawatan kuasa Biro Penerangan UMNO yang lalu bagi melaksanakan tugas-tugas dalam UMNO Kuala Kedah. (Sama ada ini benar atau tidak, Paksu tidak pasti).
Walau bagaimanapun , sememangya ia terletak di bawah budi bicara Ketua Penerangan yang baru. Beliau berhak menentukan hala tuju Biro Penerangan UMNO Kuala Kedah mengikut visi dan misi yang ditetapkan oleh Ketua Bahagian. Sebagai orang lama dalam UMNO Kuala Kedah, beliau tentunya telah bersedia untuk mengambil alih tugas tersebut.
Ada orang bertanya sama ada Paksu ada apa-apa masalah dengan keputusan itu. Tidak sama sekali, adalah jawapan paling ringkas yang boleh diberi. Ambillah siapa pun dan buatlah apa yang dirasakan baik. Paksu ini tidak lagi ada sebarang jawatan dalam UMNO Bahagian. Oleh yang demikian , sememangnya telah hilang sebarang privilege / rights untuk campur tangan lagi. Kenapa perlu ditanya Paksu? Paksu bukan Ketua Bahagian atau orang yang hebat-hebat dalam UMNO Kuala Kedah...
Lagi pun tentulah Ketua Penerangan yang baru tidak mahu sesiapapun campur tangan dalam urusan beliau. Beliau perlu dibenarkan untuk membuat keputusan tanpa perlu dibayangi oleh sesiapa. Jika ada yang dirasakan baik, beliau akan teruskan . Jika tidak memenuhi cita rasa yang diingini, beliau akan tinggalkan. Biarlah beliau bebas membuat perubahan.
Ada juga orang meminta Paksu menolong dalam membuat blog atau meneruskan urusan blog UMNO Kuala Kedah . Urusan media baru kata mereka...Terima kasih lah Paksu ucapkan di atas pelawaan itu..Terima kasih kerana masih mahu mengambil hati Paksu.
Namun Paksu rasa Urus Setia UMNO Kuala Kedah sudah boleh melakukan semuanya. SUK kan ada. AJK Penerangan baru kan ada. Ketua Penerangan baru juga semestinya lebih daripada berupaya untuk menguruskan semua itu. Tak perlulah Paksu menyibuk lagi. Lagipun Paksu ni bukanlah sepandai mana dalam urusan demikian. Dalam UMNO Kuala Kedah , bukankah ramai yang pandai-pandai belaka.Tentunya dalam situasi begini , mereka akan bekerja dengan sukarela...
Paksu sebenarnya sudah selesa begini. Tiada lagi kebimbangan di hati. Boleh dengan tenang menjaga anak dan isteri. Tidak perlu lagi cuba memuaskan hati sesiapa.
Tidak ada lagi orang mengeluarkan kata-kata kesat atau menghantar sms yang menyakitkan hati. Tidak lagi kata-kata maki hamun atau difitnah tanpa sebarang bukti. Mungkin mereka sudah puas hati kerana telah berjaya menyingkirkan Paksu daripada UMNO Kuala Kedah buat selama-lamanya. Biarlah...Buatlah apa sahaja asalkan mereka bahagia !
Izinkan Paksu bersara dengan tenang dan gembira. Paksu seronok menjadi bloger bebas tanpa sebarang sekatan dan halangan. Boleh meluahkan isi hati dan perasaan tanpa perlu rasa malu dan segan. Walau pun tidak ramai yang sudi membaca blog ini, namun ia merupakan cara Paksu berbicara sendiri. Ini adalah satu bentuk ventilasi . Bukan bertujuan untuk menyakitkan hati.
Terima kasihlah kepada mereka yang masih ingat pada Paksu. Masih sudi untuk bersalam-salaman jika berjumpa di pasar minggu. Kepada yang telah lupa kepada diri ini, terima kasih dan seribu kemaafan juga Paksu ucapkan di atas pengalaman dan kenangan yang telah diberikan.
Ada hikmah di sebalik apa yang telah berlaku ini . Sekurang-kurangnya Paksu telah berjaya mengenali siapa kawan dan siapa lawan di dunia yang fana ini....
No comments:
Post a Comment