Followers
Tuesday, 23 November 2010
Kuman di Seberang Laut Nampak, Gajah di Depan Mata Tak Nampak
Dalam hidup ini, ramai daripada kalangan kita yang sering berasa apa yang kita lakukan adalah terbaik. Kita lah yang paling pandai, paling cerdik, teramat arif dalam segala hal. Seperti kata orang putih, ' i can do no wrong...'
Begitu juga adalah lumrah untuk mengandaikan bahawa semua pendapat yang kita keluarkan adalah benar dan tidak ada lain yang lebih benar daripadanya. Pendapat orang lain yang tidak menyokong pandangan atau matlamat yang kita perjuangkan, akan dianggap salah, kolot atau bodoh.
Tak payah melihat jauh' Lihat sahaja apa yang sedang berlaku di negara kita sendiri. Berapa ramaikah dalam kalangan pemimpin negara ini yang berasa diri mereka sebagai terbaik. terpandai, terbilang dan apa-apa lagi istilah yang boleh digunakan untuk menunjukkan bahawa mereka ini 'infallible' (incapable of error). Tidak hairanlah kalau sifat angkuh, bongkak, sombong ini menjadi budaya dan 'nature' mereka.
Bagi golongan ini , ' i lead , you follow...' adalah prinsip utama. Dalam erti kata lain, akulah pemimpin yang sejati, paling demokratik, paling memahami dan tahu apa yang diperlukan oleh rakyat, bangsa dan negara. Ungkapan "I know best...." menjadi pegangan dan kepercayaan.
Sukar untuk mereka menerima pendapat atau pendirian yang sebaliknya. Bila ramai yang bersorak menyokong mereka, pemimpin sebegini akan tersenyum lebar dan mendabik dada. Bila rakyat tidak menyebelahi mereka, lantaran orang lain pula yang akan dipersalahkan bagi menutup kesalahan atau kelemahan diri sendiri.
Coretan ini bukan untuk menghina mana-mana pemimpin atau daripada parti mana beliau berasal. Gambar di atas juga tidak bertujuan untuk menuduh sesiapa...
Namun ia sekadar cubaan untuk menggambarkan apa yang sedang, telah dan mungkin akan terus berlaku di masa yang akan datang. Pemimpin datang pemimpin pergi. Begitu juga dengan rakyat jelata. Kita semua bukan akan terus menongkat langit.....
Apa pun, mesej yang ingin diutarakan mudah sahaja. Untuk menjadi pemimpin yang bertanggungjawab, mungkin adalah lebih baik kalau kadang kala kita bermuhasabah diri sendiri terlebih dahulu, sebelum beria-ia menuduh, menghina, mengecam atau membesar-besarkan kesalahan orang lain. Benar, setiap manusia akan ada salah dan silapnya, tapi mungkin kita juga patut mengakui bahawa diri sendiri juga tidak terkecuali.
Matlamat kita seharusnya ialah memperjuangkan agama, bangsa dan negara; bukannya menonjolkan kehebatan diri dan pada masa yang sama menindas serta memperkecil-kecilkan kemampuan orang lain. Kalau anda benar-benar berkemampuan dan berada di pihak yang benar, buktikannya secara 'gentleman'. Bukannya bak kata pepatah seperti melempar batu, sembunyi tangan...
Ingat ya, (sekadar peringatan kepada saudara kita yang mungkin dah terlupa...) dalam Islam, fitnah itu berdosa besar hukumnya....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment