Followers

Wednesday, 31 March 2010

Forum Politik di Alam Maya

Media Baru - satu bentuk media yang cukup digeruni satu masa dulu oleh Barisan Nasional. Dalam PRU-12 yang lalu, ia memberi impak dan advantage yang cukup besar kepada Pakatan Rakyat. Segala berita mahupun propaganda kerajaan ditangkis dan dijawab oleh mereka dengan begitu berkesan sekali. Malah ketika pilihan raya berjalan, orang ramai khususnya golongan muda lebih gemar mendapat berita melalui saluran ini berbanding saluran konvensional.

Namun begitu, setelah lebih 2 tahun berlalu, UMNO dan Barisan Nasional kini telah belajar daripada kesilapan mereka. Media Baru ini kini menjadi fokus utama dalam memenangi semula hati rakyat di negara ini. Kalau dulu, majoriti blog dan laman web yang berpihak kepada Pakatan Rakyat, kini senarionya telah jauh berubah. UMNO khususnya telah begitu aktif mewujudkan laman-laman web yang menyokong Barisan Nasional.

Memetik kata-kata  Dato' Ahmad Maslan (Ketua Penerangan UMNO Malaysia) bahawa UMNO kalu dulu UMNO hanya lebih memfokuskan kepada Media Bersemuka, Media Cetak, Media Elektronik, kini Media Maya juga digunakan bagi mendekati rakyat.

Benar, Media Cetak dan Eletronik sememangnya telah didominasikan oleh parti pemerintah. Jadi itu tentulah tidak akan mengundang sebarang masalah.

Media Bersemuka pula agak tricky kerana sebelum PRU-12, ramai pemimpin Barisan Nasional mungkin telah 'terlena' sekejap. Mereka tidak mendekati rakyat, menghampiri rakyat atau mengambil tahu hal rakyat hingga menyebabkan akhirnya mereka juga dilupakan oleh rakyat. Jadi tidak hairanlah kenapa peranan Media Bersemuka juga penting khususnya untuk memenangi hati golongan veteran, warga tua, suri rumah tangga dan mereka-mereka yang kurang terdedah kepada ledakan teknologi yang berlaku di negara ini.

Walaupun begitu, trend terkini ialah berinteraksi di alam maya.Kalau dulu kita gemar bersembang dengan rabungnya di kedai-kedai kopi, kini ruang sembang menjadi lebih luas dan terbuka. Kopi boleh dibancuh sendiri dan anda boleh duduk berjam-jam untuk bersembang walau di mana sahaja anda berada atau pada bila-bila masa. Bagi yang lebih advance dan berkemampuan, telefon bimbit 'Blackberry' atau lain-lain model yang canggih menjadi pilihan kerana ia lebih mudah diakses berbanding komputer riba atau komputer biasa.

Anak-anak muda memang menggilainya. Begitu juga golongan terpelajar atau profesional. Mereka ini sebenarnya mendominasi kelompok pengundi di masa yang akan datang dan mereka juga lebih terbuka dalam berbicara.

Ruang sembang di alam maya sebenarnya jauh lebih fleksible. Tak perlu duduk berjam-jam di kedai kopi. Anda boleh berbicara sambil bekerja atau berbuat apa sahaja. Tanpa sempadan dan tanpa halangan ; dan boleh dilakukan pada bila-bila masa atau di mana-mana sahaja. 

Oleh yang demikian tidak hairanlah forum sebegini menjadi pilihan. Kalau satu masa dulu, blog-blog  menjadi fokus utama namun kini  Facebook pula mengambil tempatnya.

Ada yang berpendapat menulis blog ini ada perlu ada skillnya. Bukan semudah yang disangka. Pendek kata ia memerlukan kemahiran dan kepetahan berbicara. Idea perlu disusun dengan teliti supaya ia lebih mudah dibaca dan difahami. Hiasan dan pautan dalamnya perlu kreatif supaya pengunjung lebih kagum dengan apa yang anda cuba paparkan. Ertinya bukan isi sahaja yang penting, presentation nya juga akan dinilai oleh pembaca.

Sebab itulah ramai penulis blog yang kecundang. Mungkin pada awalnya mereka begitu bersemangat. Namun sedikit demi sedikit, post mereka menjadi lebih jarang dan isinya pun tidak lagi menyengat.

Maka wujudlah blog-blog yang hanya dipenuhi dengan gambar-gambar. Kalau ada pun tulisan, mungkin hanya satu dua perkataan untuk menjelaskan keadaan.Jadilah ia seperti album kosong yang tidak ada nilainya di mata pembaca.

Ada pula yang gemar memaparkan gambar-gambar lucah dan provokatif. Alasannya - supaya ia  memberi mesej yang lebih jelas kepada pembaca. Tapi dalam keseronokan dan keghairahan berbuat demikian, mungkin mereka terlupa bahawa ia sebenarnya haram di sisi agama..... 

Kalau dulu blog menjadi medan percambahan idea dan informasi, kini kebanyakannya menjadi ruang mempromosi diri dan memenuhi agenda peribadi. Oleh yang demikian tidak hairanlah kenapa banyak blog-blog yang telah di private kan, dan tidak kurang pula yang tidak langsung memberi ruang kepada orang ramai atau pembaca untuk berinteraksi. Ialah....bagaimana hendak berinteraksi kalau alamat emel tidak diberi, dan ruang untuk memberi komen pula dibuang sama sekali.....

Disebabkan kepincangan inilah Group Facebook menjadi pilihan. Fungsinya lebih kemas dan tersusun. Komunikasi  juga bercorak dua hala . Semua orang boleh memberi komen dan orang yang berbicara juga lebih mudah untuk dikenali (walau pun masih ramai yang memilih untuk menggunakan nama samaran dan sebagainya). Tidak perlu ada gambar besar yang provokatif kerana apa yang lebih penting di forum tersebut ialah isinya dan bukan hiasannya.

Di Kuala Kedah sahaja terdapat 3 forum Facebook.

  1. UMB Kuala Kedah  - Admin : Rozairi (Pegawai JASA Kubang Rotan)
  2. UMNO Kuala Kedah - Admin : Dr Zaki dan Cikgu Zul 
  3. Forum Politik 1 Kuala Kedah - Admin : Politik Kuala Kedah
UMNO Kuala Kedah adalah forum tertutup. Anda perlu dijemput atau diluluskan keahlian. Isinya pula lebih tertumpu kepada aktiviti bahagian mahupun diskusi antara mereka yang sememangnya menyokong UMNO. Rasanya mungkin mereka lebih selesa berbuat demikian kerana tidak mahu orang luar mencampuri urusan bahagian atau tidak mahu ianya dijadikan medan pertempuran....

UMB pula setakat ini nampak kurang mendapat sambutan. Walaupun ia forum terbuka namun admin ruang tersebut rasanya perlu lebih kreatif dalam menyampaikan mesej yang ingin diutarakan. Kenyataan yang bersifat retorik atau klise' selalunya jarang mendapat sambutan.

Kalau setakat ucapan tahniah atau well done yang dicari, lebih baik tidak payah mewujudkan forum sebegini. Masyarakat bukannya mahukan itu semua. Jika ia dianggap forum rasmi untuk UMNO, rasanya eloklah ia dipenuhi dengan informasi terkini mengenai kegiatan dan aktiviti parti. Perlu diingat, matlamatnya bukan setakat menarik perhatian ahli sendiri, tetapi ia juga perlu meyakinkan orang di luar sana betapa hebatnya UMNO di media maya....

Ruang Forum Politik 1 Kuala Kedah dilihat lebih provokatif dan sangat aktif sejak ia mula beroperasi. Sejauh mana ia akan bertahan,  sama-sama kita tunggu dan lihat. Mungkin juga ia lebih diterima oleh komuniti maya dek kerana sifatnya seperti akhbar SINAR - memberi informasi tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Namun begitu daripada pengamatan  setakat ini, ia lebih pro kepada UMNO berbanding pembangkang. Betul atau tidak, sama-samalah kita menilainya sendiri....

Secara ringkasnya, Kuala Kedah amat hebat dari segi media maya. UMNO Negeri sendiri tidak sehebat itu... Namun apa yang menyedihkan ialah sambutan yang diterima masih jauh daripada yang diharapkan. Terlalu sedikit warga Kuala Kedah yang sanggup mengambil bahagian. Tapi entahlah.. mungkin apabila pilihan raya semakin menjelang tiba, sambutan mungkin berubah daripada beratus kepada beribu-ribu pula. Ketika itu rasanya, barulah forum sebegini akan dapat mencapai matlamatnya....

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails