Followers

Thursday 1 October 2009

UMNO Perlu Keluar Daripada 'Comfort Zone'

Salah satu masalah yang paling ketara dalam UMNO ialah keengganan pemimpin dan ahli mereka untuk menerima hakikat atau takdir yang telah berlaku dan keluar daripada zon selesa mereka sendiri.

Ramai daripada mereka masih bermimpi di siang hari. Enggan mengakui bahawa mereka telah kehilangan kuasa di Kuala Kedah. Enggan menerima hakikat bahawa mereka sudah dipinggirkan dan ditolak oleh masyarakat setempat.

Para ketua-ketua cawangan masih berlagak seolah-olah mereka masih berkuasa. Meminta yang bukan-bukan dan masih ingin mendabik dada bahawa mereka lah pemimpin bangsa. Begitu juga ahli-ahli UMNO. Semua ingin meminta-minta. Semua ingin dimanja dan dibelai dengan pelbagai kemewahan dan bantuan.

Pemimpin atasan pula berlagak seolah-olah mereka masih disayangi rakyat. Mungkin mereka popular dalam kalangan ahli UMNO , namun dalam pandangan masyarakat, kedudukan mereka telah jauh berbeza dan kekuatan mereka semakin terhakis....

Apa yang jelas, mereka sudah jauh ditinggalkan. Sudah lama dilupakan dan dipinggirkan. Tapi mereka tidak mahu menerima hakikat ini. Masih dengan sikap dan perangai lama. Masih dengan pemikiran kolot yang telah pupus ditelan zaman.

Pengundi sekarang semakin bijak menilai ; bukan boleh dipermainkan atau diperbudakkan ; bukan boleh dikotak-katekkan. Mereka menilai melalui pemikiran yang matang dan berdasarkan fakta dan realiti. Zaman bermewah dan menunjuk-nunjuk sudah berlalu. Zaman orang memilih dan memangkah seseorang individu hanya kerana beliau bijak menabur wang ketika pilihan raya tidak lagi wujud sekarang ini.

Bakal pemimpin kini perlu menjadi hamba rakyat; perlu bekerja sepenuh masa. Mereka juga perlu mempunyai nilai murni dan peribadi yang mulia ; bukan setakat pandai memakai kepiah lebai dan beristeri dua atau tiga. Membodek ketua cawangan untuk mendapat undi dalam parti tidak akan menjamin sokongan padu akar umbi.

Pemimpin dan ahli UMNO perlu keluar daripada zon selesa. Perlu bekerja keras sepanjang masa. Anda semua sudah menjadi pembangkang. Terimalah hakikat ini dahulu. Baru kita boleh bergerak maju.

Pikatlah kembali golongan muda. Pujuklah kembali orang-orang tua. Carilah kawan-kawan kita daripada kaum Cina dan India. Membuat kenduri atau memberi derma semata-mata bukan caranya. Perlu ada usaha daripada semua. Bukan hanya dibebankan kepada ketua. Timbalan dan Naib perlu lebih berusaha. Begitu juga AJK Bahagian yang semakin hilang kekuatannya. Jangan hanya pandai mengadu domba dan bersandiwara.

Buktikan kepada dunia anda semua layak berada di situ. Bukannya hanya kerana pernah atau pandai menabur wang ketika pemilihan dulu. Itulah ciri pemimpin yang sejati. Nescaya akan terus disanjungi dan dihormati di hari kemudian nanti.

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails