Followers

Tuesday, 6 October 2009

Kenapa Masih Belum Ada Keinsafan?

Ketika membaca surat khabar hari ini dan beberapa hari yang lalu, Paksu berasa cukup terharu terutama bila melihat keadaan gempa bumi yang melanda negara jiran kita, Indonesia. Bangunan runtuh, nyawa melayang dan pelbagai lagi kejadian yang cukup menyayat hati.

Terbaca juga komen beberapa ulama dalam akhbar yang mengatakan kejadian tersebut merupakan bala yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepada penduduk di dalam kawasan yang digelar Serambi Mekah ke 2 selepas Acheh di Indonesia. Khabarnya ramai orang muda di sana telah lalai dengan hiburan ; manakala yang tua pula lebih suka bersabung ayam daripada menunaikan tanggung jawab kepada Tuhan.

Ya Allah ! Jika benar itulah hakikatnya, maka di manakah pula kita berada? Orang Malaysia juga ramai yang telah jauh menyimpang daripada agama. Berjudi, meminum arak, mengambil dadah, berseronok-seronok tanpa mengira tempat dan masa, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, rasuah, penipuan dan sebagainya cukup berleluasa.

Tidak perlu pergi jauh. Di Kuala Kedah pun telah cukup untuk kita melihat semua itu. Pergilah ke tepi pantai, ke jeti-jeti dan kedai-kedai yang ada di sekeliling kita. Macam-macam ragam manusia yang kita jumpa. Fitnah memfitnah, keji mengeji, umpat mengumpat sudah dianggap perkara biasa. Rasuah dan penipuan juga tidak lagi dipandang hina. Pergaulan bebas seolah-olah menjadi lumrah alam dan tidak lagi dihalang oleh sesiapa. Menghisap dadah pun mencapai status yang sama.

Tidak berapa lama dahulu , ramai nelayan di Kuala Kedah ditangkap kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Beberapa hari yang lalu, juga di Kuala Kedah, seorang gadis berusia 15 tahun melahirkan anak tidak sampai 24 jam selepas bergelar isteri. Kisah seorang lelaki meminum racun lalu mati membunuh diri hanya kerana gagal memikat seorang wanita beberapa tahun yang lalu masih jelas bermain di mata. Lelaki tersebut juga orang Kuala....

Paksu rasa kita semua perlu insaf dengan apa yang telah berlaku di negara jiran kita. Padang itu tidak sejauh mana. Malah sebahagian daripada kita telah pun merasa kesan daripada malapetaka tersebut walaupun pada skala yang kecil.

Namun apa yang jelas ialah mungkin kita juga boleh menerima nasib yang sama. Apakah kita masih belum mahu insaf dan mengambil iktibar dengan apa yang telah berlaku? Masihkah kita terus dibuai dan diulit mimpi yang tidak berkesudahan? Masihkah kita mahu berdengki dan beriri hati sesama kita. Tidak cukupkah dosa yang telah kita lakukan? Belum puaskah kita bermusuh-musuhan sesama sendiri? Dengki mendengki tidak akan membawa kita ke mana-mana. Iri hati akan hanya mendekatkan kita kepada neraka.

Pangkat dan kedudukan boleh hilang sekelip mata. Kekayaan walau sebanyak mana tidak akan menjamin kemasukan kita ke dalam syurga. Berlumba-lumba ke arah kemungkaran bukanlah caranya. Menabur wang, memfitnah orang lain, riak dan derhaka kepada agama , bangsa dan negara akan hanya membawa kepada kehancuran dan bencana.

Politik tidak boleh menghalalkan perkara yang haram di mata agama. Membenci sesama sendiri dan berdusta juga buruk padahnya. Apakah dengan menjatuhkan maruah orang lain, kita boleh bergembira dan mendabik dada? Bukankah kita orang Islam semuanya bersaudara? Mengutuk , memaki hamun , mencerca bukan cara kita. Kita orang Islam . Kita juga orang Melayu. Sekiranya kita masih waras, kita pastinya tidak akan melakukan begitu....

Paksu sedih melihat bangsa kita. Berseronok-seronok menjadi agenda utama. Bermewah-mewah dan menunjuk-nunjuk menjadi amalan kita. Menjatuhkan maruah orang lain menjadi mainan semata-mata. Kita seronok melihat bangsa kita jatuh. Kita gembira melihat saudara kita berduka. Kita bangga kerana telah berjaya menghancurkan maruah mereka. Kita akan sedih bila melihat mereka berjaya. Kita lebih suka anak bangsa kita mundur dan menderita.

Siapakah pemimpin sejati yang kita cari? Mereka yang mempunyai harta atau wang berguni-guni? Adakah mereka boleh menolong kita di kemudian hari? Mungkinkah kita hanya dijadikan batu loncatan untuk mencari kekayaan seperti lautan yang tidak bertepi ?

Pemimpin beginikah yang kita mahu? Pemimpin beginikah yang kita perlu? Cuma hidangkan hiburan dan wang di depan mata, akhirnya kita semua terus hanyut dalam dosa di lembah yang hina.

Paksu cukup bimbang dengan apa yang sedang berlaku. Masjid semakin kosong di kebanyakan waktu. Tempat hiburan dan keseronokan pula yang kita tuju. Mereka yang jujur kita pinggirkan, mereka yang jahil dan pendusta kita agongkan.

Apakah kita mahu menerima nasib yang sama dengan saudara kita di Indonesia? Jawapannya terletak kepada kita.....

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails