Hmm.........idea di bawah ni ada baiknya dari segi teori namun perlaksanaannya mungkin agak sukar dan pastinya tidak popular.
Ia akan dilihat satu cara kerajaan menghalang kebebasan dan hak untuk bersuara. Mungkin juga dianggap sebagai usaha terdesak untuk mengekang kekuatan pembangkang yang sememangnya jelas menguasai media baru.
Fitnah, khabar angin , rumours ada di mana-mana. Blog penyokong kerajaan pun kini menggunakan strategi yang sama. Pokok pangkalnya - sensasi. Benar atau tidak, itu perkara kedua. Politik sememangnya begitu. Kadangkala ia lebih kepada propaganda demi mencari secebis publisiti...
Dalam dunia tanpa sempadan ini, ia mungkin akan dilihat sebagai satu langkah ke belakang. Zaman di mana kerajaan dapat mengawal semua media sebenarnya telah lama berlalu.
Hakikatnya, sekarang manusia juga semakin pandai untuk menilai dan lebih pandai untuk mencari jalan keluar daripada belenggu kawalan itu...
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1014&pub=utusan_malaysia&sec=Terkini&pg=bt_39.htm&arc=hive
14/10/2009 5:15pm
KUALA LUMPUR 14 Okt. - Perwakilan Puteri UMNO Kedah hari ini mencadangkan parti itu menubuhkan satu suruhanjaya khas siber bagi memantau laman web dan blog secara lebih serius supaya penyebaran gejala fitnah dapat dibendung.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kedah, Norashimah Md. Nowar berkata, gejala fitnah di kalangan pengendali laman web dan blog semakin berleluasa sehingga mencemarkan imej negara sebagai sebuah negara Islam.
"Ia bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah ia bertentangan dengan ajaran agama Islam yang sebenar."Melalui penubuhan suruhanjaya tersebut, kita berharap identiti penulis laman web dan blog dapat dikesan untuk di bawa kemuka pengadilan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas usul cadangan dasar Ketua Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Menurut Norashimah, penggunaan laman web dan blog harus dimanfaatkan dengan sebaiknya terutamanya generasi muda yang bakal memimpin negara. - Utusan
No comments:
Post a Comment