Followers

Friday 16 October 2009

BIla Air Susu Dibalas Dengan Tuba...

Petang tadi Paksu menerima satu message melalui facebook .Ia daripada salah seorang yang menjadi pengikut blog dan facebook UMNO Kuala Kedah ketika Paksu menjadi Ketua Penerangan dulu. Begini katanya...

salam..
doc, dengaq dari telinga saya sendiri.. yang doc tak nak bagi password (blog umno kuala kedah) yang doc handle masa jadi ketua penerangan dulu.. betul ka..

Terima kasih diucapkan di atas keprihatinan dan kejujuran beliau untuk mendapatkan kebenaran. Fitnah sememangnya ada di mana-mana. Adalah lebih baik kita mendengar penjelasan daripada tuan empunya badan daripada mendengar spekulasi daripada orang lain yang tentunya mempunyai agenda tersendiri.

Izinkan Paksu memberi sedikit penjelasan mengenai Blog UMNO Kuala Kedah ini dari mula hinggalah Paksu meletakkan jawatan supaya akan terlerai segala kekusutan.

Blog UMNO Kuala Kedah mula Paksu buat sehari selepas dilantik menjadi Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah secara rasmi iaitu pada 6.12.2008. Post yang pertama ialah seperti berikut:

Sunday, December 7, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Adha
YBhg. Dato' Latt Shariman dan seluruh AJK UMNO Bahagian Kuala Kedah ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua muslimin dan muslimat khususnya yang berada di kawasan Parlimen Kuala Kedah.Jari sepuluh disusun memohon ampun dan maaf di atas segala salah dan silap.Semoga hidup kita semua aman, tenteram dan sentiasa diberkati Allah SWT, Insya Allah.
Posted by UMNO BAHAGIAN KUALA KEDAH at 11:46 PM 0 comments

Paksu juga telah mewujudkan beberapa laman maya yang lain dalam UMNO Kuala Kedah secara berperingkat dalam tempoh beberapa bulan memegang jawatan tersebut
  1. Facebook
  2. Chatbox
  3. Live spaces
  4. Laman web UMNO Kuala Kedah

Tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada ahli UMNO untuk berinteraksi dengan kepimpinan bahagian secara terus dan telus tanpa melalui orang tengah atau mana-mana perantara.

Kesemuanya dibawah kendalian Paksu sendiri. Bukan kerana ingin mengawal semuanya tetapi tidak ada seorang pun daripada AJK Penerangan atau kakitangan UMNO Kuala Kedah yang lain yang sanggup memberi komitmen yang berterusan untuk mengendalikan semuanya secara sukarela tanpa sebarang bayaran.

Sebagai Ketua Penerangan, Paksu tidak mempunyai sebarang sumber kewangan tetap daripada UMNO Kuala Kedah untuk membayar atau mengupah sesiapa untuk melakukannya. Paksu juga tidak mempunyai budget untuk membuat laman web secara profesional. Oleh yang demikian, Paksu terpaksa menggunakan sedikit sebanyak kemahiran yang ada di samping mempelajari cara-cara mengendalikannya secara sendirian , melalui nasihat rakan terdekat dan melalui internet.

Walaupun sibuk dengan tugas harian dan pelbagai tugasan yang lain, Paksu tetap cuba mengendalikannya dengan sebaik mungkin walau pun kadangkala terpaksa bersengkang mata. Bagi Paksu, ia merupakan satu pengorbanan yang perlu dilakukan dan cara Paksu membalas budi kepada UMNO dan kerajaan yang telah membantu Paksu sampai ke tahap sekarang. Wang ringgit untuk membeli scanner, notebook, mobile internet dan sebagainya serta masa yang dikorbankan tidak pernah dituntut daripada UMNO Bahagian mahupun daripada Ketua Bahagian.

Apabila Paksu meletak jawatan pada 17.07.2009, post yang terakhir dibuat adalah mengenai perletakan jawatan Paksu. Walau bagaimanapun Paksu telah dihubungi oleh SUK UMNO Kuala Kedah (Encik Borhan Sidqi Abdullah) meminta untuk Paksu mengeluarkan post tersebut pada hari yang sama atas permintaan Ketua Bahagian.

Paksu juga telah diminta untuk memberikan password untuk blog UMNO Kuala Kedah kerana beliau (SUK UMNO Bahagian) telah diberi tugas untuk mengambil alih blog tersebut. Paksu dengan rela hati memberikannya kerana ia sememangnya dibuat untuk UMNO dan bukan untuk Paksu sendiri. Sejak daripada itu, Paksu tidak lagi membuka atau membaca blog Kuala Kedah kerana ingin mencari ketenangan diri selepas apa yang telah berlaku.

Paksu sekali lagi dihubungi oleh SUK UMNO 2-4 minggu selepas itu. Kata SUK, beliau tidak boleh mengakses atau log in ke blog tersebut dan mengatakan mungkin ada orang telah cuba membuat sabotaj terhadap blog yang dikendalikan oleh beliau pada masa itu. Sepanjang tempoh hampir 8 bulan, Paksu tidak pernah menghadapi masalah demikian dan Paksu sendiri hairan bagaimana ia boleh berlaku.

Daripada siasatan Paksu dan serba sedikit kemahiran yang ada, rupa-rupanya beliau telah menggunakan teknik reset password berulang kali hingga menyebabkan blog tersebut telah disekat oleh pengendali blog tersebut (blogger.com). Mungkin beliau lupa atau tersilap menggunakan password yang asal pada permulaannya hingga menyebabkan beliau kemudiannya menggunakan teknik reset tersebut.

Paksu juga mendapati banyak element dalam blog asal tersebut telah hilang. Paksu musykil bagaimana ia boleh berlaku kerana tidak ada orang lain yang mengendalikan blog UMNO Kuala Kedah itu dalam masa tersebut kecuali SUK (atau mungkin orang lain yang membantu beliau). Paksu cuba mendapatkan penjelasan daripada SUK UMNO Kuala Kedah namun beliau telah menafikan pernah membuangnya dengan sengaja.

Bagi mengelak kejadian yang sama berulang ketika itu, Paksu telah menggunakan teknik - add authors - dan memberi kebenaran kepada beliau (SUK UMNO Kuala Kedah) untuk menyumbangkan post tanpa perlu melalui administrator asal iaitu umno.kualakedah. Beberapa hari kemudiannya Paksu telah menukar kembali password kepada yang asal seperti yang diberikan kepada SUK UMNO Kuala Kedah kerana tidak lagi mahu terlibat dalam pengedalian Blog UMNO Kuala Kedah. Bagi Paksu, sememangnya itulah jalan terbaik kerana Paksu tidak lagi mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Jadi persoalan Paksu tidak memberi password atau masih ingin mengawal Blog UMNO Kuala Kedah adalah tidak benar sama sekali. Paksu tidak tahu bagaimana cerita yang telah diputar belit ini boleh sampai kepada orang lain kerana hanya dua orang yang mengetahui kedudukan sebenarnya iaitu Paksu dan SUK UMNO Bahagian Kuala Kedah hinggalah ke saat ini. Paksu sendiri tidak pernah menceritakan kepada sesiapa mengenainya kerana ia dirasakan tidak perlu diketahui oleh orang yang tidak berkenaan dalam hal-hal begini. Tak pasti pula sama ada SUK UMNO Kuala Kedah pernah menceritakannya kepada orang lain....

Paksu ini bukanlah seorang yang gila jawatan atau gila kedudukan. Juga bukan seperti orang yang gila talak yang enggan melepaskan isterinya pergi walau pun telah hilang sebarang hak kepadanya. Paksu bukan lagi Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah. Tak perlu membebankan diri dengan benda-benda remeh seperti ini. Kalau Paksu ingin mengkhianati UMNO Kuala Kedah, cara yang paling mudah ialah menghapuskan blog itu sama sekali. Dengan satu klik sahaja Paksu boleh berbuat demikian.

Paksu bukan manusia yang berhati busuk seperti itu. Bukan orang yang suka menyimpan dendam hingga sanggup melakukan kerja-kerja bodoh untuk menjahanamkan parti. Paksu tidak seperti orang yang marahkan nyamuk kelambu dibakar. Paksu ada maruah diri. Paksu masih lagi teguh iman. Masih lagi waras dan tenang pemikiran. Paksu masih menghormati Y.Bhg Dato Latt sebagai seorang pemimpin dan sebagai seorang kawan. Mustahil Paksu akan melakukan sesuatu yang sehina itu.

Kepada mereka yang masih cuba menabur fitnah, Paksu ingin memberi sedikit kata nasihat.Sudahlah...Insaflah..Bertaubatlah... Berubahlah ! Hidup kita hanya sementara. Perangai yang menjijikkan seperti ini tidak akan membawa bangsa kita maju ke hadapan. Ia hanya memalukan diri sendiri di hadapan Tuhan.

Ingat juga pepatah orang tua-tua ..Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Jika kail panjang sejengkal , laut dalam jangan diduga. Kalau takut dilambung ombak , jangan berumah di tepi pantai...

Air susu yang diberi janganlah dibalas dengan tuba dan jangan cuba bermain api takut nanti terbakar diri.

Ingat lah juga bahawa antara doa yang dimakbulkan ialah doa orang yang teraniaya...

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails