Followers

Monday, 2 November 2009

Telunjuk Lurus Kelingking Berkait

Ini merupakan salah satu peribahasa yang cukup dalam maknanya. Istilah yang paling mudah ialah hipokrit atau berpura-pura. Banyak lagi peribahasa yang membawa maksud yang lebih kurang sama contohnya talam dua muka , pepat di luar runcing di dalam dan musang berbulu ayam.

Dalam Islam, terdapat istilah 'munafik' iaitu orang yang memiliki sifat nifaq (bermaksud apa yang dizahirkan tidak serupa dengan apa yang ada pada batinnya). Ia dianggap satu penyakit hati yang berbahaya dan berdosa besar.Dengan lain perkataan, seseorang itu menonjolkan lahiriah sebagai seorang Muslim padahal di hatinya ia menyembunyikan kekafiran.

Dalam surah At-Taubah ayat 101, Allah berfirman yang maksudnya:

'Antara orang-orang Arab Badwi yang di sekelilingmu itu, ada orang-orang munafik; dan (juga) di antara penduduk Madinah. Mereka melampau dalam kemunafikannya. Kamu (Muhammad) tidak mengetahui mereka tetapi Kamilah yang mengetahui mereka. Nanti mereka akan Kami seksa dua kali, kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar.'

Rasulullah saw telah menyebut bahawa antara sifat-sifat munafik:

'Sesiapa yang mempunyai tiga perkara ini, maka dia adalah seorang munafik walaupun dia berpuasa, bersolat, menunaikan haji, umrah, mengatakan dirinya seorang Muslim.'Para sahabat bertanya: 'Apakah tiga perkara ini?' Jawab Baginda: 'Iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia tidak menepatinya, dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya.' (Riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadis Bukhari, ada diterangkan petanda orang-orang munafik.

'Ada empat sifat; sesiapa yang bersifat dengannya bererti dia seorang munafik yang nyata, dan sesiapa yang mempunyai salah satu daripada sifat-sifat itu bererti dia mempunyai satu sifat munafik sehinggalah dia meninggalkannya.'Sifat-sifat tersebut ialah apabila bertutur dia berdusta, apabila berjanji dia memungkiri janjinya, apabila diberi amanah dia mengkhianatinya dan apabila dia berbalah (bertengkar) dia melampaui batas.'

Sekarang, marilah kita merenung sejenak dan melihat apa yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang. Muhasabah semula diri sendiri sama ada kita juga memiliki ciri-ciri ini....

Pada zahirnya kita semua bersembahyang, berpuasa dan membuat pelbagai amal ibadat. Namun pada masa yang sama, kita menganggap pembohongan itu sebagai sesuatu yang lumrah dalam kehidupan. Janji yang dikata tidak pernah terniat untuk dikota. Amanah yang diberikan tidak dianggap sebagai tanggungjawab sebaliknya disalah gunakan untuk kepentingan peribadi dan keluarga sendiri.

Lihatlah pula kepada para pemimpin kita. Benarkah mereka juga memiliki ciri-ciri yang sama? Jika ya, kenapa pula kita terus mengagung-agungkan mereka?Pemimpin di zaman ini ramai (bukan semua...) yang lebih mementingkan pangkat dan jawatan. Bukan kerana keinginan untuk berbakti kepada masyarakat tetapi dek kerana ia menjanjikan kemewahan dan pelbagai kekuasaan. Janji kepada rakyat untuk berbakti bila sudah mendapat undi hilang begitu sahaja kerana telah dikaburi dengan kesenangan dan wang yang berguni-guni....

Tidak kira di mana tempat mereka. Di peringkat tertinggi mahupun dekat dengan akar umbi, sifat begini cukup berleluasa. Prinsip perjuangan rela dibuang kerana memikirkan peluang yang akan mendatang. Pemimpin yang dusta masih disayang kerana mereka masih mempunyai wang.

Siapa yang menjadi mangsanya kalau bukan orang kita. Rata-rata masih ramai orang Melayu yang masih merempat dan mengemis di bumi sendiri. Kepentingan orang lain diagung-agungkan, hak dan kepentingan bangsa sendiri terus diketepikan. Tidak ubah seperti kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiarkan mati kelaparan....

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails