Followers

Tuesday, 12 January 2010

Konsep 1 Malaysia - Menguntungkan Siapa Sebenarnya?

Konsep 1 Malaysia mula diperkenalkan oleh Dato' Seri Najib ketika beliau mula mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi pada tahun lalu. Prinsip utama ialah untuk menjadikan dan mewujudkan satu bangsa Malaysia - tanpa mengira bangsa dan keturunan asal mereka. Semua bangsa di Malaysia secara dasarnya dianggap sama rata dan mempunyai hak yang sama.

Ramai cendikiawan, bijak pandai dan pemimpin bangsa Melayu ketika itu melahirkan rasa bimbang dan ragu-ragu terhadap idea demikian. Apakah hak dan keistimewaan orang Melayu akan terhakis? Apakah orang Melayu akan dipinggirkan di bumi mereka sendiri? Bolehkah UMNO dan Barisan Nasional terus membela nasib anak-anak bangsa Melayu di masa yang akan datang?

Tentu sekali, jawab para pemimpin UMNO kita dari segenap lapisan. Kami akan terus membela dan mempertahankan hak kita di negara yang tercinta ini. Walau pun ketika itu, ramai pemimpin UMNO sendiri masih kabur dan bingung dengan konsep yang baru diperkenalkan, namun mereka terus mengulangi pendirian pemimpin atasan seperti 'a broken record' kata orang putih....Takkan lah pemimpin dari kalangan orang Melayu akan menganak tirikan orang Melayu sendiri, ujar mereka.

Setelah hampir setahun berkuasa, nampaknya apa yang dikhuatiri oleh ramai pemimpin dan cendikiawan Melayu mula menghantui kita semua. Mungkin pemimpin kita masih cuba berdolak dalih dengan pelbagai alasan dan ulasan, namun hakikatnya orang Melayu sekarang menjadi seperti menumpang di bumi sendiri.

Hak dan keistimewaan kita mula terhakis satu persatu. Untuk mengaku diri mempertahankan orang Melayu, tidak lagi dibenarkan oleh bangsa lain. Itu rasis kata mereka. Ianya berunsur perkauman, laung mereka.

Dari segi pendidikan contohnya, kerajaan sanggup membelanjakan RM 1 billion setahun untuk sekolah Cina dan Sekolah Tamil (kata Tan Sri Muhyiddin). Bagaimana pula dengan Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama Rakyat? Berapa banyakkah yang diperuntukkan kepada mereka?

Lihatlah di sekeliling kita. Berapa banyak pelajar dan guru dari Sekolah Agama Rakyat yang terpaksa mengemis dan meminta sedekah hanya untuk membina asrama dan mendapat kemudahan yang boleh dianggap primitif dan 'out dated' ketika ini. Anak-anak yatim terpaksa menjual minyak angin dan kalendar hanya untuk mencari sekupang dua bagi membiayai pengajian mereka.

Sekarang tidak ada lagi skim baucer tuisyen untuk kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan. Ditangguhkan kata kerajaan.....Sekolah-sekolah terpaksa membayar bayaran elektrik dan air sendiri. Sekolah berasrama hanya akan menanggung makan dan minum pelajar untuk tempoh 200 hari persekolahan sahaja...

Sekolah Cina dan Tamil dengan mudah mendapat pelbagai peruntukan kerajaan untuk memperbaiki prasarana. Sekolah Kebangsaan pula terpaksa mencari inisiatif sendiri. Mintalah kepada ibu bapa. Cari lah tajaan dan bantuan. Rayulah kepada Yang Berhormat dan sebagainya. Itupun kalau rayuan mereka masih didengar. Kerapkali Yang Berhormat, Ketua Bahagian, dan lain-lain hanya tersenyum dan memberi seribu dalih dan sejuta alasan. Itu bila melibatkan bangsa kita....Kalau bangsa lain., hmmm.... cepat pula ada peruntukannya...

Anehnya, kita masih punya kuasa. Namun kita tidak mampu untuk membuat sesuatu yang begitu mudah demi maruah bangsa dan agama kita. Isu Kalimah Allah menjadi contoh yang paling mudah. Sepatutnya ia tidak langsung menjadi perdebatan. Namun dek kerana ingin membuktikan sikap keterbukaan dan keharmonian yang entah di mana penghujungnya, kita terperangkap dalam dilema yang cukup memalukan. Inikah yang dikatakan ingin membela agama dan memelihara bangsa?

Kita sanggup memberi apa saja kepada orang lain dek kerana ingin berkuasa. Kita pernah menyalahkan Sultan dan Keturunan Diraja  kerana sanggup menggadai tanah dan hak orang Melayu kerana ingin mengekalkan kuasa satu masa dahulu. Namun apa bezanya kita dengan mereka? Kita lebih rela memberi tanah yang berjuta nilainya kepada bangsa lain tetapi tidak sanggup memberi seinci pun tanah kepada bangsa sendiri? Itukah yang dinamakan keadilan? Itukah yang dinamakan 1 Malaysia???

Pemimpin masa kini hanya pandai menggunakan wang untuk memujuk rakyat. Kononnya atas alasan simpati dan perikemanusiaan. Gereja yang dibom, secara automatik mendapat RM 500,000 untuk dibina semula. Bagaimana pula dengan masjid yang roboh dan surau yang telah musnah dipukul ribut? Berapa lama mereka perlu merayu hanya untuk mendapat sedikit peruntukan. Itupun kalau diberi. Kerapkali jawatankuasa qariah terpaksa mengemis dan merayu di sana sini. Bertahun lamanya diperlukan, baru boleh dibina semula. Bangsa lain..., hari ini rosak, esok peruntukan tiba!

Nampaknya pemimpin kita telah mula melupakan kita. Orang Melayu kini telah menjadi hamba dan pengemis di bumi sendiri....Pemimpin kita berlagak umpama suami yang tergila-gilakan janda dan bini orang, dan membiarkan isteri sendiri terbiar kesepian. Anak kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah dibiar mati kelaparan...

Kita hanya boleh berdoa agar mereka berubah. Agar mereka segera bermuhasabah diri dan menyedari hakikat ini. Tapi entahlah...Kita hanya boleh berdoa. Hanya Tuhan sahaja yang dapat menentukannya......

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails