Followers

Sunday, 18 October 2009

Bila Kaduk Naik Junjung...

RENUNGKANLAH...

Kalau orang buat baik kat kita, kita balas dengan baik.ITU PERKARA BIASA.
Kalau orang buat baik kat kita, kita balas dengan kejahatan.ITU PUN PERKARA BIASA.
Kalau orang buat jahat kat kita, kita balas dengan kejahatan.ITU JUGA PERKARA BIASA.
Kalau orang buat jahat kat kita, kita balas dengan kebaikan, ITU MEMANG LUAR BIASA!

Ini merupakan petikan yang diambil daripada blog http://cicittoknadoq.blogspot.com/ kelolaan Ekeng A/L Etong .

Sesuatu yang Paksu rasa cukup dalam maknanya. Memang benar kata-kata beliau. Dalam poltik khasnya dan dalam hidup amnya, itulah hakikat yang perlu kita terima...

Seringkali kita berbuat baik kepada orang dengan harapan mereka juga akan berbuat perkara yang sama kepada kita. Mengenang budi kita atau boleh menolong kita di masa hadapan bila kita berada dalam kesusahan. Bukan mengharap sangat tetapi itulah yang lazimnya terlintas difikiran kita.

Bila kita berada di bawah, kita mengharapkan orang atasan menolong kita untuk berjaya seperti mereka. Bila berada di atas pula, tanggung jawab kita ialah membantu orang di bawah supaya dapat bersama-sama menikmati apa yang kita rasa. Kita mahukan semua orang berjaya. Kita mahu semua anak bangsa berjaya mencapai cita-cita. Kita mahukan semua orang hidup sempurna.

Benarkah begitu? Adakah ia hanya kata-kata untuk menyedapkan telinga?

Dalam politik , everything is possible. Seperti lirik lagu Headwind yang popular di zaman Paksu muda-muda dahulu ....segalanya berkemungkinan....

Dalam tempoh yang cukup singkat bergiat aktif dalam politik, perkara pertama yang Paksu perhatikan ialah sikap hipokrit yang cukup nyata. Itu telah Paksu ulas sebelum ini. Perkara kedua ialah apa yang lebih tepat digambarkan sebagai kacang lupakan kulit dan seperti kadok naik junjung...

Teringat pula cerita seekor buaya yang ditimpa kayu. Kebetulan datang seekor kerbau di tempat itu. Lalu dirayu oleh buaya untuk melepaskannya daripada dihempap kayu itu. Sang Kerbau yang begitu naive dan berperasangka baik, bersusah payah mengangkat kayu tersebut. Namun bila telah terlepas, Sang Buaya terus menangkap kaki Sang Kerbau.

Terkejut dengan perbuatan itu, Sang Kerbau bertanya kenapa Sang Buaya berbuat begitu padahal ia telah berbuat baik kepada Sang Buaya. Kenapa pula air susu dibalas dengan tuba? Kenapa kebaikan dibalas dengan kejahatan pula. Lalu Sang Buaya terus ketawa dan berkata. "Itulah hakikat dunia.. orang yang bodoh seperti kamu selalu menjadi mangsa. Maka bersedialah untuk menjadi makanan hamba!"

Maka menangislah Sang Kerbau menanti saat kematiannya. Namun ditakdirkan Tuhan, datanglah Sang Kancil yang bijaksana. Beliau bertanya cerita sebenarnya. Lalu diceritakanlah oleh Sang Kerbau dengan penuh duka.

Sang Kancil kemudiannya berkata " Memang benar kata Sang Buaya. Orang bodoh dan betul bendul itulah akibatnya.. Namun aku masih tidak percaya, bagaimana Sang Kerbau boleh mengangkat kayu seberat itu.."

Sang Buaya dengan bangganya tersenyum gembira. Lalu dengan angkuhnya cuba menunjukkan pandainya pula. " Mari Sang Kerbau, letakkan kembali kayu ini supaya Sang Kancil yang bijaksana ini dapat melihat bagaimana kejadian sepenuhnya"

Lalu dilepaskan kaki Sang Kerbau daripada mulutnya. Maka Sang Kerbau pun mengangkat kembali kayu yang berat itu dan diletakkan kembali ke atas buaya seperti mana pada asalnya. " Lekas, angkat kembali kayu itu seperti mana engkau telah lakukan tadi " kata Sang Buaya dengan angkuhnya.

Maka berkata pula Sang Kancil yang bijaksana "Jangan Sang Kerbau.. Itu kerja bodoh namanya. Dia dah lepaskan kau , mengapa engkau nak lepaskan dia semula? " Maka terkejutlah dan terpinga-pingalah Sang Buaya. Lalu ditinggalkan oleh mereka hingga sampailah ajalnya...

Ini mungkin cerita kanak-kanak tetapi pengajaran yang boleh diambil daripadanya cukup banyak..

Kerapkali, orang suka mengambil kesempatan di atas kebaikan kita. Pengorbanan yang kita lakukan tidak dilihat oleh mereka. Apa yang penting bagi mereka ialah apa yang mereka berjaya dapatkan daripada titik peluh kita. Mereka suka mengaut keuntungan daripada usaha orang lain. Memerah keringat orang demi mencapai cita-cita mereka. Merayu untuk kita membantu mereka tetapi bila telah dibantu, kita pula hendak dianiaya..

Bila mereka sudah di atas , orang di bawah dilupakan. Orang yang telah menolong mereka diketepikan begitu sahaja. Malah dipijak-pijak lagi agar lebih menderita.

Bila sudah mendapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Bila sudah mendapat kuasa, mereka berlagak seolah ia tidak ada penghujungnya..

Kaduk naik junjung adalah istilah yang paling tepat untuk menggambarkannya. Sombong dan angkuh adalah ciri-cirinya. Hanya mereka yang pandai semua. Orang lain semuanya bodoh belaka...

Namun ingatlah bahawa hidup ini ibarat roda. Ada ketika kita di atas, ada pula ketika, kita akan di bawah pula. Jangan angkuh bila di atas takut nanti merana bila kita hilang semuanya. Kalau kita berbuat sesuatu yang tidak baik kepada orang, mungkin orang itu tidak dapat membalasnya semula. Walau bagaimanapun satu hari nanti, orang lain pula akan menganiayai kita. Mungkin lebih teruk daripada itu lagi....

Paksu ini sememangnya hanya insan biasa. Tidak ada harta mahupun kuasa. Tidak berpangkat tinggi atau mempunyai wang berjuta-juta. Senjata dan perisai Paksu hanyalah doa....

Terima kasih kepada semua yang telah menghantar sms, emel dan message tanda sokongan. Paksu ini bukan minta dipuji mahupun dipuja. Paksu sendiri pun ada banyak salah silapnya. Hanya Paksu memohon ke hadrat Ilahi, agar dibenarkan menghabiskan sisa-sisa hidup ini tanpa ada rasa dendam dan dengki di hati...

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails