Followers

Monday, 28 September 2009

Hipokrit Dalam Politik.

Dalam arena politik masa kini, hipokrit adalah satu aset utama yang perlu ada dalam setiap daripada mereka yang ingin berjaya dalam bidang ini. Walau pun ianya merupakan sesuatu yang buruk dan seharusnya dibuang sejauh mungkin, namun hakikatnya ia amat berleluasa.

Lihatlah ramai pemimpin politik masa kini. Bermuka-muka di hadapan orang ramai. Berpura-pura simpati adalah fenomena biasa. Masing-masing ingin menunjukkan sifat caring dan empathy walaupun ia sekadar lakonan semata-mata.

Maka kedengaranlah kata-kata seperti - 'kita harus membantu semua anak-anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang tidak bernasib baik setiap masa dan setiap ketika , tidak kira di mana sahaja mereka berada...' , ' kita akan sentiasa membela nasib mereka' dan seumpamanya.

Lalu diberikanlah beras sekampit dua, kain pelikat atau kain batik sehelai dua, susu setin dua dan hamper hampir setinggi manusia.. Berlumba-lumbalah mereka mencari pemberita, supaya nama dan gambar mereka terpampang di akhbar seluruh negara. Selepas itu mereka pun mendabik dada. 'Akulah pembela agama dan bangsa... Dan jangan lupa calonkan aku di pilihan raya yang akan datang ya...' . Berikan aku projek berjuta -juta supaya aku menjadi lebih kaya raya'

Fenomena ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan pemimpin UMNO khasnya dan Barisan Nasional amnya, bahkan ia telah menjadi ikutan dalam kalangan pemimpin pembangkang juga. Pasanglah banner dan sepanduk merata-rata.

"Wajah aku perlu dilihat oleh rakyat jelata. Kenalilah aku sekarang juga. Semoga impianku menjadi calon akan tercapai jua..."

Ini sebenarnya yang tersirat dalam poster, keratan akhbar dan sebagainya. Bukan keikhlasan untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Menderma bukan perlu dihebahkan sedemikian rupa. Ada ulama yang berkata, perkara sedemikian harus dibuat dalam keadaan seperti semut hitam yang berjalan di waktu malam. Ertinya , tidak payah ada kamera dan hebahan merata-rata. Takut niat kita yang ikhlas akan menjadi riak dan bangga diri.

Aku kaya raya dan berharta. Pilihlah aku jadi ketua kamu. Akan ku taburkan lagi duitku yang berjuta ini...

Akhirnya nanti , derma kita akan menjadi sia-sia..

Namun hakikatnya , itulah yang disukai oleh pemimpin politik masa kini. Orang atasan perlu tahu akan kebaikanku supaya namaku akan diingati di waktu pilihan raya nanti. Orang-orang bawah ini senang saja untuk dimenangi. Campakkan duit dan hamper - memujilah mereka akan diriku melangit tingginya.

Sampai bila kita semua harus diperbodohkan begini? Apakah mereka yang bersifat begini perlu diangkat menjadi pemimpin. Mereka yang hanya pandai bercakap dan membangga diri. Bila disuruh bekerja, mereka lari menjauhkan diri. Akulah pemimpin yang sejati...tapi masalah kamu semua , pandai-pandailah tanggung sendiri...

Aku mahu popular. Aku mahu penghormatan. Aku mahu jawatan. Aku mahu projek yang berjuta-juta. Aku mahu isteri dua tiga....Pilihlah aku. Akan ku berikan duit kopi dan wang untuk kamu semua bergembira.

Lantaklah apa hendak jadi kepada bangsa sendiri. Mereka itu bodoh dan tak perlu ditolong lagi. Bila masa mengundi dah tiba, bagilah kepada mereka duit seratus dua. Mereka akan terus menurut kata kita....Waktu sekarang ialah waktu untuk kita bersuka ria. Memenuhkan kocek sebanyak mungkin. Pijaklah kepala mana yang perlu untuk memuaskan nafsu diriku.

Itulah senario sebenar politik tanahair kita masa kini. Selagi kita sebagai rakyat tidak mahu berubah atau mengubah keadaan, ia akan menjadi lebih parah di masa akan datang. Pemimpin datang , pemimpin pergi. Malangnya perangai mereka sama sahaja. Untuk mencari pemimpin yang suci dan bermaruah, mungkin ada satu dalam seribu!

2 comments:

ROBAH said...

Inilah penyakit masyarakat yang melanda orang-orang Melayu kini, pemimpin hipokrit menjadi pilihan ramai, pemimpin yang melakukan keburukan menjadi pilihan. Kekadang terfikir saya sistem pemerintihan demokrasi yang kita amalkan terlalu banyak kelemahannya, terutama kepada mereka yang tidak berfikiran matang.

Tapi bukan senang nak jadikan semua rakyat matang berfikir, orang yang sedang menghadapi masalah akan memuji orang yang membantunya, orang yang menerima pujian akan merasa bangga sehingga kekadang tidak berpijak di bumi nyata.

Zuraini Kamal said...

salam doc
i rasa komen u agak `kabur dan keras'. saya tak pasti kpd siapa u tujukan tuduhan ini. Tp sebagai mantan ketua pu3 dan pemimpin masyarakat, saya rasa tak semua org buat kerja politik utk mendapatkan `penghormatan dan puji2an'. saya mengenali ramai rakan2 seangkatan , Kita Tak pernah hidup dgn Projek UMNO tapi kita masih mahu berkhidmat bakti kpd masyarakat kerana kita sayangkan parti dan bangsa Melayu!!
Kita tak heran pun pasai jawatan dlm UMNO kerana kita hidup atas hasil usaha sendiri. Pesan saya kpd Doc ; Jgn kerana marahkan nyamuk, dibakar kelambu. Jgn kerana Nila setitik Rosak susu sebelanga.
Benar, ini blog anda, and u can say whatever u want and desire. Tp u jugak merupakan `pemimpin'.. maka adakalanya kita perlu tujukan sesuatu tepat pd sasaran bukan sekadar luahan amokan yang tersasar!
Keep up good writing and constructive topics and issues. Bersama kita membina Melayu yang kuat dan bersatu demi maruah sebuah bangsa!!
Bagi saya UMNO tiada dosa, ianya sebuah parti yang benar2 membela bangsa Melayu!!
Falsafah saya hari ini: BUAT SEKADAR MAMPU........

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails