Cara pemimpin kita masa kini menangani sesuatu krisis di negara ini amat membimbangkan. Mereka lebih banyak bercakap daripada bekerja. Lebih gemar mencari publisiti daripada berbakti. Terlalu retorik berbanding realiti.
Semuanya bermula dengan konsept 1 Malaysia. Semua rakyat dianggap sama tanpa mengira bangsa dan agama. Ketuanan Melayu dan keistimewaan Bumiputera bukan isu utama. Maka berlumba-lumbalah pemimpin kita melakukan pelbagai aksi untuk menonjolkan sikap tolensi, liberal dan keterbukaan pada tahap yang maksimum. Kamilah pemimpin masa kini. Telus dan betul tanpa mengira warna kulit dan agama. Berbicaralah mereka di depan media. Melontarkan pendapat dengan ghairahnya tanpa mengira sensitiviti kaum dan agama. Provokasi menjadi lumrah dan perdebatan menjadi agenda utama.
Kerapkalinya maruah dan hak orang Melayu menjadi mangsa. Hak keistimewaan dipertikai, segala keutamaan dihina dan dicerca. Tidak adil kata mereka. Kami juga mahu sama rata. Universiti, tanah, wang, biasiswa atau apa sahaja perlu diberi. Kamu semua perlu menjaga hati kami yang bukan Bumiputera. Hati orang Melayu tak perlu dijaga. Mereka perlu berkorban demi 1 Malaysia.
Lahirlah kini ramai pemimpin Melayu yang tanpa segan silu mempersoalkan maruah dan keistimewaan bangsa sendiri. Tidak ada perasaan malu mahupun rasa bersalah di hati sanubari. Maka dikeluarkanlah segala dalil untuk menyokong kenyataan mereka ini. Semuanya dibuat hanya untuk 2 minutes of fame serta meraih populariti.
Apabila ada orang Melayu yang cuba bersuara, mereka dilabel sebagai racist atau pengkhianat kepada agenda 1Malaysia. Tun Mahathir, orang yang telah memimpin Malaysia berpuluh tahun lamanya pun menerima nasib yang sama. Dikutuk dan dihina oleh pemimpin hingusan yang kononnya mempertahankan kepimpinan sedia ada.
Bila gereja di bakar, bantuan diberi dengan segera. Setengah juta dikeluarkan dengan sekelip mata. Surau yang menerima nasib yang sama, dibiarkan begitu sahaja. Hanya kenyataan berbentuk simpati yang diterima. Untuk baiki Batu Cave RM3.5 juta telah tersedia. Hendak diberi peruntukan membaiki membina masjid dan surau, hingga sampai ke Parlimen isu itu dipersoal mereka.
Sekolah agama terpaksa memungut derma ke sana sini hanya untuk membayar gaji guru dan belanja sehari-hari. Begitu juga sekolah kebangsaan dan sekolah berasrama di negara ini. Tak kiralah semua sekolah ini kebanyakannya dipenuhi oleh orang Melayu dan bangsa kita sendiri. Sekolah aliran Cina dan India diberi peruntukan RM 1 billion setiap tahun. Berapakah pula kepada sekolah agama rakyat dan sekolah kebangsaan?
Orang bawahan yang bersuara, akan ditangkap serta merta. Begitu juga dengan blogger yang boleh dikira jumlahnya. Tiada kompromi kata Menteri kita. Tetapi pemimpin besar Melayu, Cina dan India dari pembangkang yang mengutuk, mengumpat dan bermaharaja lela dalam media, hanya senyuman manis diberi kepada mereka. Mana tindakan mahkamah? Mana ISA ? Mana hukuman keras yang diwar-warkan setiap masa. Hendak menangkap orang pemimpin hingusan di depan mata pun diambil masa begitu lama. Inikan pula pemimpin ‘agong’ dan ternama yang sentiasa mengutuk dan mengeji Malaysia di mata dunia.
Pemimpin kita sentiasa menafikan bahawa negara ini mengamalkan komunisma atau konsep Malaysian Malaysia. Kita ada acuan sendiri kata mereka. Tetapi pada masa yang sama, kita cuba mencari kesama-rataan yang sebenarnya tidak ada. Benar, setiap bangsa ada haknya. Tetapi janganlah hingga memijak kepala bangsa lain pula....
Adil bukan bererti sama semuanya. Kalau seorang anak diberi Proton Saga , maka tidak semestinya anak yang lain pun perlu diberi Proton Saga juga. Mereka mungkin mempunyai keperluan atau kehendak yang berbeza.
Adil bermaksud memberikan kepada yang berhak akan haknya mengikut kadar masing-masing atau meletakkan suatu pada tempatnya. Cubalah para pemimpin kita berguru kepada mereka yang beristeri dua atau tiga. Barulah anda semua faham konsep keadilan yang sebenarnya (itu pun kalau berjumpa yang berlaku adillah..)
Pemimpin kita terlalu takut dikritik dan dilabel sebagai tidak terbuka. Untuk apa? Untuk menang pilihan raya? Kalau menang pun rasanya sudah tidak guna. Takut-takut nanti apa yang diwarisi dan yang tinggal hanyalah sebuah negara yang huru hara...
No comments:
Post a Comment