Followers

Monday, 22 February 2010

Politik Malaysia - Unik atau Caca Merba?

Baru-baru ini dalam salah satu rancangan yang disiarkan oleh Astro Awani, seorang Profesor berbangsa Cina (kalau tidak silap, daripada salah sebuah universiti di Melaka) berkata Malaysia mempunyai sistem politik yang sungguh pelik dan tidak pernah dipraktikkan di mana-mana negara di dunia ini.

Rakyat Malaysia, ujar beliau, menganggap wakil rakyat mereka sebagai Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mereka akan meminta pelbagai benda, sama ada bantuan rumah, buku, kesihatan, pakaian, biasiswa dan sebagainya tanpa mengira waktu dan masa. Malah tambah beliau, hanya wakil rakyat di Malaysia yang terpaksa Pusat Khidmat hanya untuk memuaskan hati rakyat jelata.

Ini sesungguhnya sesuatu yang tidak pernah berlaku di mana-mana tempat di dunia. Hasilnya, banyak masa dan wang wakil rakyat terbuang semata-mata untuk melayan kerenah orang ramai, walaupun banyak lagi tugas dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh mereka.

Orang Malaysia sebenarnya cukup manja. Semuanya perlu dibuat dan dilakukan untuk mereka. Segalanya wajib diberi walau dengan apa cara. Mungkin kalau mereka yang meminta dan merayu itu datangnya daripada golongan yang layak, mungkin ianya boleh lagi diterima. Namun, agak kerap juga tuntutan itu dibuat oleh orang masih sihat atau sebenarnya kaya raya.

Lihatlah apa yang terjadi bila seseorang pemimpin itu melawat kawasan. Duit mesti penuh di poket untuk ditaburkan kepada 'orang-orang kuat' mereka. Si Ketua Cawangan, Ketua Pemuda, Ketua Puteri dan Ketua Wanita wajiblah dibela. Itu tidak termasuk lagi semua ahli jawatankuasa. Masing-masing akan turun dengan seribu harapan ketika berjumpa Tok Ketua. Bila tangan berisi ketika bersalaman, maka tentunya si pemimpin akan dipuji dan dipuja. Kalau tidak, alamat maki hamun yang bakal diterima.

" Dato' , kenalah hulur sekupang dua kepada mereka. Insya Allah, sokongan akan terus diberi kepada kita" . Begitulah agaknya suara yang berbisik kepada Tok Ketua. Mahu tidak mahu, si pemimipin akan terpaksa akur dengan permintaan mereka. Tidak kiralah sama ada ianya dibuat dengan rela atau pun paksa. Jawatan yang dikejar lebih besar maknanya. Itu pelaburan kecil sahaja, kata mereka.

Cerita di atas sekadar muqaddimah sebenarnya. Banyak lagi yang sering dipinta. Jalan raya, lampu, letrik, air, rumah, beg dan buku sekolah, yuran anak-anak, jersi bola dan sebagainya merupakan antara permintaan yang paling popular. Tidak terkecuali, gelanggang futsal dan kerusi roda.

Oleh yang demikian, pemimpin politik di Malaysia secara logiknya perlukan dana yang besar sebelum berani untuk bersua muka atau bersuara. Takut dikatakan kedekut atau pemimpin papa kedana. Lebih membimbangkan kalau undi yang diimpikan turut melayang juga.

Mahu tidak mahu, projek perlu dicari. Lobi melobi para menteri untuk mendapat wang yang berguni-guni. Apa yang diperolehi bukan sahaja untuk kepentingan peribadi dan anak isteri, tetapi juga untuk ditaburkan kepada penyokong, orang-orang kuat, anak buah dan bakal pengundi.

Tidak hairanlah kenapa rasuah menjadi-jadi. Pemimpin atasan mesti kaya raya atau mempunyai harta yang berpeti-peti. Bijak dan berkelayakkan.. kriteria itu bukanlah jaminan untuk mereka mendapat undi. Politik wang, itu rasanya istilah yang paling tepat sekali bagi mencerminkan senario politik negara masa kini.

Suka atau tidak, ini satu realiti. Dari sekecil-kecil atau serendah-rendah jawatan yang dicari hinggalah ke peringkat yang paling tinggi. Fenomena ini sememangnya akan terus kekal selagi masyarakat kita masih begini.

Susah untuk orang politik menafikannya. Sama ada daripada kerajaan atau pembangkang , semuanya sama sahaja. Apa yang berbeza mungkin modus operandi atau jumlahnya sahaja. Tidak guna menafikannya atau cuba berdolak dalih ke sini dan ke sana. Tidak ada sesiapa yang akan mempercayainya.

Tidak matang, politik murahan, jakun dan apa sahaja gelaran yang ingin diberi, ia tetap tidak akan merubah hakikat ini. Pemimpin dan rakyat bersekongkol demi kepentingan dan agenda tersendiri. Cuma yang ditakuti ialah kemungkinan ianya akan merosakkan masa depan negara yang kita cintai ini.

1 comment:

Yaziz said...

Ini lah akibatnya bila manusia menjadi wang sebagai tuhan mereka dan bukan wang sebagai hamba. Nafsu keduniaan menguasai diri dan yang pasti kehancuran sedang menanti. Yang hak di ejek tapi yang batil di sanjung.

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails