Telah lama Paksu tidak menulis mengenai senario politik di Kuala Kedah. Mungkin telah banyak yang diperkatakan oleh bloggers lain hingga Paksu merasakan tidaklah perlu untuk menokok tambah atau mengeruhkan suasana.
Sebenarnya setelah mengundur diri daripada bergiat secara aktif dalam politik, Paksu lebih banyak menumpukan kepada aktiviti yang berkaitan dengan Kedah Medical Centre sahaja. Cuma sekali sekala melepaskan gian dengan menulis di dalam blog ini walaupun ianya tidak lebih daripada luahan hati dan perasaan yang terpendam.
Kewujudan blog ini juga bukan bertujuan untuk mencari publisiti atau untuk menarik perhatian sesiapa. Tidak ada niat walaupun sebesar hama. Lagipun siapalah Paksu ini.. Hanya seorang insan biasa yang tidak mempunyai pangkat yang besar mahupun kedudukan yang tinggi. Kritikan atau komen yang dibuat mungkin tidak ubah bagai anjing menyalak di ekor gajah.
Walau bagaimanapun ramai orang yang masih ingin bercerita dengan Paksu. Terima kasih diucapkan. Cuma kerapkali Paksu akan cuba mengelak daripada memberi apa-apa komen melainkan hanya melontarkan sebuah senyuman. Manis atau tidak senyuman yang diberikan, itu terpulanglah kepada mereka yang melihat untuk menilainya...
Bagi Paksu, biarlah episod itu berlalu. Lagipun rasanya ia telah menjadi isu basi. Paksu dah lama melupakannya kerana bak kata orang putih , ' life must go on'. Kita perlu terus hidup dan tidak boleh terlalu terbawa-bawa atau terkenang-kenang kisah yang silam.
Cuma mungkin yang Paksu harapkan, pemimpin Kuala Kedah khususnya UMNO kembali bersatu. Tidak ada gunanya terus bersengketa. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Tidak kiralah siapa yang menjadi ketua, beliau perlu diberi sokongan. Yang lama jangan diketepikan, yang baru pula jangan terlalu angkuh dan merak dengan jawatan.
Sejarah menunjukkan bahawa Kuala Kedah telah melahirkan ramai pemimpin yang berkaliber. Sesetengah daripada mereka masih lagi hidup dan berupaya untuk membantu. Pengalaman mereka tidak harus disia-siakan. Begitu juga pemimpin besar daripada kem yang berlainan. Tidak salah rasanya kalau kedua atau ketiga-tiga pemimpin tersebut duduk semeja bagi menyelesaikan masalah yang ada di depan mata.
Alangkah hebatnya UMNO kalau semua pemimpin ini bersatu di bawah satu bumbung. UMNO tentunya akan menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang. Pemimpin datang dan pemimpin pergi. Apa yang lebih penting ialah kita semua bersatu hati.
Cukuplah rasanya kita semua bersengketa. Tidak ada faedah langsung kepada agama, bangsa dan negara. Perkara-perkara buruk dalam parti sendiri tidak harus dihebah atau dihebohkan. Tidak ada gunanya membuka pekung di dada atau lebih baik lagi, sudah bongkok jangan menyeranggah. Selesaikan dengan cara yang berhemah bukan dengan cara bertelagah.
Itu sahaja yang kami semua inginkan. Bukan senario politik yang penuh dengan fitnah dan tohmahan berterusan !
No comments:
Post a Comment