Dato' Nasir Ketika Menyampaikan Ucapan di Program Penghayatan Rukun Negara Peringkat Parlimen Kuala Kedah di RTM Alor Setar (07.03.2009)
Paksu sebenarnya amat sedih bila membaca nasib yang menimpa Mantan Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Malaysia, Y.Bhg. Dato' Nasir Safar. Sudah dua hari ingin menulis tetapi entah kenapa, jari-jari ini berasa terlalu lemah untuk menyusun kata-kata.
Paksu sangat kagum dengan semangat beliau terutama ketika membicarakan hal yang berkaitan dengan orang Melayu. Sesungguhnya susah untuk mencari mereka yang begitu 'passionate' dan sanggup berkorban apa sahaja demi bangsa Melayu dan agama Islam yang tercinta. Jelas darah keturunan Laksamana Hang Tuah cukup penuh mengalir dalam tubuh badan beliau.
Walaupun Paksu telah lama meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah, dan beliau ketika itu sudah pun menjawat jawatan Pegawai Khas kepada Perdana Mentei Malaysia, namun beliau masih sudi berhubung dan menghantas SMS kepada insan yang kerdil seperti Paksu ini. Keikhlasan beliau amat Paksu sanjung dan hormati. Bagi Paksu, orang seperti beliau, hanya ada satu dalam berjuta....
Namun kejadian dan peristiwa yang menimpa Y.Bhg Dato' baru-baru ini cukup menghiris perasaan. Paksu sedih bila beliau diperlakukan begitu. Dihina, dikecam dan dipaksa meletak jawatan hanya kerana satu kesalahan yang jelas diperbesarkan oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan politik.
Lebih menyedihkan ialah bila ramai pemimpin Melayu dan Perdana Menteri sendiri tidak menyebelahi beliau. Jawatan yang dipegang sebagai Pegawai Khas turut melayang. Semuanya gara-gara ingin memuaskan hati mereka yang secara terang-terangan menggunakan isu ini sebagai platform untuk mendapat 'political mileage'.
Kesalahan beliau hanyalah membela orang Melayu. Bukan pujian diterima tetapi bala pula yang menimpa. Beliau hilang segala-galanya dalam sekelip mata. Jasa dan pengorbanan beliau sebelum ini terus dilupakan. Malah ada pemimpin bangsa lain yang sanggup menggelarkan beliau parasit atau penjenayah negara. Beginikah layanan yang sepatutnya diterima oleh seorang negarawan dan pejuang bangsa?
Bila orang lain mengutuk bangsa Melayu dan agama Islam, tidak ada pula tindakan dikenakan. Pemimpin pembangkang memijak gambar pemimpin Melayu, menulis secara rasis terang-terangan dalam akhbar, blog dan sebagainya tidak pula disiasat dibawah akta hasutan. Kenapa? Takut atau terlalu bimbang populariti UMNO dan Barisan Nasional akan terhakis? Jika itu sebabnya maka bangsa Melayu perlu menangis lagi. Menangis kerana pemimpin yang sedia ada terlalu BACUL untuk mempertahankan hak dan kedaulatan bangsa dan agama sendiri.
Kita tidak pernah meminta supaya kita membiarkan bangsa lain hilang hak mereka. Tapi janganlah dibiarkan bangsa Melayu menjadi peminta sedekah di bumi kita sendiri. Memetik kenyataan Tun Dr Mahathir dalam Utusan Malaysia beberapa hari dahulu - Parti Melayu amnya dan UMNO khususnya telah mula lupa kepada bangsa sendiri.
Mereka terlalu asyik melayan kehendak bangsa lain, tidak kira sama ada ianya berlandaskan perlembagaan atau pun tidak. Semuanya atas dasar ingin mendapatkan sokongan daripada orang lain hinggakan nasib dan hak anak bangsa sendiri semakin lama semakin terhakis. Pelbagai tuntutan yang tidak munasabah atau tidak sepatutnya disuarakan ditunaikan tanpa memikirkan implikasi yang bakal menjelma.
Tanah, biasiswa, wang yang berjuta dan hak kerakyatan dikorbankan. Semuanya gara-gara untuk membuktikan kesamarataan antara semua kaum di negara ini. Hak Bumiputra dan orang Melayu khususnya semakin hilang dan semakin pupus ditelan zaman. Tiada lagi keistimewaan kepada anak-anak bangsa sendiri yang semakin ketinggalan.
Entahlah... mungkin Paksu ini terlalu emosional bila membicarakan hal-hal seperti ini. Hakikatnya Paksu cuma mampu bersuara. Paksu tidak ada kuasa atau harta yang berjuta. Lagipun siapalah Paksu ini berbanding pemimpin kita katanya ADIL LAGI BIJAKSANA....
Apa yang boleh Paksu lakukan juga adalaah berdoa. Berdoa semoga Dato' Nasir masih bersemangat untuk berjuang demi bangsa dan agama. Paksu akan sentiasa menyokong beliau hingga bila-bila.
Paksu juga menadah tangan memohon agar Allah membukakan hati dan memberi petunjuk kepada pemimpin kita. Semoga mereka sedar apa yang sedang atau telah berlaku ; dan akan segera mengubahnya... Insya Allah.
LAKUKANLAH SESUATU SEBELUM BANGSA MELAYU HILANG UNTUK SELAMA-LAMANYA DARIPADA BUMI MALAYSIA!
No comments:
Post a Comment