Hidup ini sebenarnya terlalu singkat. Rasanya kalau manusia ini sedar betapa cepatnya masa berlalu, dan betapa sikitnya bekalan yang bakal kita bawa ke Akhirat nanti, mungkin kita tidak akan berbuat apa-apa lagi kecuali beramal ibadat sepanjang masa.
Hakikatnya, manusia ini mudah lupa atau mungkin sengaja memilih untuk tidak mempedulikannya. Ramai daripada kita yang terlalu lalai serta hanyut dalam keseronokan duniawi. Tidak kurang juga yang berkelakuan seolah-olah dunia ini tidak ada penghujungnya.
Fitnah, khianat mengkhianati adalah fenomena biasa dalam kehidupan manusia. Malah ada di antara kita berpendapat ianya adalah lumrah dunia. "Kita tidak dapat lari daripada itu semua" , kata mereka. Hampir seluruh masyarakat dan di dunia ini menghadapi masalah yang sama. Kisah anak-anak Nabi Adam menjadi bukti bahawa ia wujud sejak manusia mula menjejak kaki di dunia...
Orang Melayu juga tentunya tidak terkecuali. Dengki mendengki, khianat mengkhianati sesama sendiri. Kita tidak boleh melihat orang lain lebih baik, lebih berjaya atau lebih hebat daripada diri kita sendiri. Kita juga tidak rela melihat bangsa sendiri maju ke hadapan kerana bimbang tergugat kepentingan peribadi.
Hasilnya.. kita akan cuba menjatuhkan sesiapa sahaja yang cuba menonjolkan diri. Tidak kira kaum keluarga, sahabat handai mahupun rakan sendiri. Realitinya biarlah aku sahaja yang dipuja dan terus dipuji. Orang lain tidak boleh dan tidak berhak memiliki semua ini.
Mungkin itulah punca kenapa orang Melayu masih gagal untuk maju di bumi sendiri. Pelbagai inisiatif dan subsidi telah diberi. Ratusan malah ribuan peluang diwujudkan untuk memastikan anak Melayu bertapak di institusi pengajian tinggi. Tapi kenapa hingga kini kita masih gagal lagi?
Banyak faktor sebenarnya. 'Multifactorial', kata orang putih. Walau bagaimanapun dengki dan khianat mengkhianati mungkin boleh dikategorikan sebagai antara punca utama kegagalan kita. Kita semua suka bersengketa. Berpuak-puak menjadi amalan zaman berzaman. Bacalah mana-mana buku sejarah Melayu. Akan ada cerita dan kisah yang boleh dijadikan sempadan dan bukan teladan....
Pengkhianat bangsa, rasanya itulah gelaran yang paling tepat untuk dilabelkan mereka. Mereka rela melihat anak bangsa menderita kononnya atas nama keadilan untuk semua. Mereka bangga menganiayai bangsa sendiri hanya untuk memuaskan hati dan nafsu diri. Kocek dan kepentingan peribadi menjadi agenda utama dan bukannya perjuangan membela agama, bangsa dan negara.
Biarlah orang lain mampus... Yang penting dalam dunia ini hanyalah aku dan keluargaku. Inilah hukum alam. 'Survival of the fittest', ujar mereka. Siapa yang kuat akan berjaya. Siapa yang lemah, lebih baik dinyahkan dan dihapuskan daripada dunia. Tidak ada gunanya aku membantu mereka kerana ia hanya akan menyebabkan aku pula akan kehilangan kuasa...
Itulah sifat dan budaya orang kita. Orang yang kononnya mengaku diri Islam dan menyembah Allah Subhanahu Wataala. Rasanya mereka ini sudah lupa bahawa Islam bukan hanya menekankan amalan wajib dan sembahyang semata-semata. Lebih daripada itu, wahai saudara sebangsa dan seagama....
Marilah kita semua kembali ke landasan yang yang sebenar. Tiada gunanya terus hidup dalam kesesatan. Hidup ini hanya sementara dan tidak ada seorangpun daripada kita yang akan terus menongkat dunia buat selama-lama.
Ingatlah bahawa hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa di atas segala-galanya....
No comments:
Post a Comment