Followers

Friday, 19 February 2010

Ada Dalanya Diam Itu Lebih Baik Daripada Bersuara...

Sesuatu yang unik dalam suasana politik negara masa kini adalah kecenderungan para pemimpin politik untuk mengulas mengenai apa sahaja yang berlaku. Bila ada isu yang diketengahkan atau bilamana terjadi musibah, kontroversi dan sebagainya, berlumba-lumbalah mereka memberi komen, cadangan, saranan atau mengemukakan teori masing-masing.

Anehnya kadang-kadang isu yang ada tidak langsung menyentuh bidang kepakaran atau portfolio mereka, namun ia tidak menghalang para pemimpin berkenaan untuk terus bersuara. Ada ketika cadangan mereka boleh diterima namun kerapkali ianya sekadar omongan kosong yang tidak ada hala atau kebenarannya.

Mungkin kecederungan ini didorong oleh keinginan untuk menonjolkan diri atau menjadi popular. Maklumlah semakin popular seseorang pemimpin politik, semakin tinggi sahamnya untuk mendapat pangkat dan kedudukan daripada ketua mereka. Begitu juga peluang untuk bertanding dalam pilihan raya akan terbuka seluas-luasnya. Fenomena ini bukan sahaja prevalen dalam kalangan pemimpin dalam parti kerajaan, tetapi ia juga wujud dalam pakatan pembangkang.

Bila direnung dengan lebih mendalam, kebanyakan kata-kata yang diucap lebih ke arah cuba menyedapkan hati orang ramai sahaja. Tindakan yang dibuat pula kerapkalinya bersifat reaktif (atau lebih tepat lagi ‘knee-jerk reaction’), tanpa mengambil kira implikasi jangka panjang kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.

Cubalah kita renung jalan penyelesaian yang dicadangkan untuk beberapa isu yang terkini. Masalah subsidi minyak, gula, isu penggunaan Kalimah Allah dan kes buang bayi adalah antara topik yang hangat diperdebatkan di ruang media sama ada media konvensional mahupun di alam siber. Pelbagai teori yang dikemukakan untuk melerai kebuntuan yang timbul namun daripada pengalaman masa lalu, ianya tidak langsung diimplementasikan atau diberi perhatian yang sewajarnya.

Apa yang sering berlaku ialah bilamana isu tersebut telah semakin dilupakan oleh media dan masyarakat, maka cadangan yang dikemukakan akan turut hilang bersama-sama. Lebih menarik lagi bila isu yang sama timbul kembali, maka semua pemimpin kembali menyuarakan pandangan dan cadangan yang lapuk itu semula, tidak ubah seperti memasang kembali kaset buruk yang telah bersawang di dalam simpanan.

Sikap reaktif begini susah sebenarnya untuk diubah. Telah bertahun lamanya ia wujud dan diwarisi daripada satu keturunan ke satu keturunan yang lain. Formula dan caranya mungkin sama, tetapi mungkin kali ini orang lain pula yang membentangkannya. Maka sekali lagi penuhlah dada akhbar dan pelbagai media mengulangi dan mengutarakan teori berkenaan kepada pembaca mereka walhal ianya merupakan laporan ulangan semata-mata.

Ironinya kalau seorang pakcik tua daripada kampung yang bersuara, tidak ada siapa yang teringin untuk mendengarnya. Namun jika pemimpin utama negara yang mengemukakan cadangan yang sama – cadangan yang dahulunya tidak diendahkan atau sebelum ini tidak dipandang walaupun sebelah mata - maka ramailah pula yang bersorak gembira. Itu cadangan yang amat hebat , kata mereka.

Jadi konklusinya - dalam masyarakat kita, pembawa idea untuk perubahan perlu mempunyai pangkat dan kedudukan. Jika tidak, maka sebaik manapun idea yang ada, kemungkinan besar hanya tong sampah sahaja akan menjadi destinasinya.

Mungkin itulah agaknya sebab pemimpin politik masa kini bersifat seperti murai tercabut ekornya. Maklumlah cakap mereka dianggap boleh menjadikan idea hingusan kepada teori luar biasa. Begitulah hebatnya mereka. Tetapi semuanya juga bergantung kepada siapa anda sebenarnya. Kaya raya, berpangkat dan pandai berkata-kata. Rasanya itulah sebenarnya kriteria untuk berjaya dalam senario politik negara.

Jadi dek kerana hebatnya pemimpin negara kita ini, maka tentulah tidaklah salah bagi mereka untuk terus mengemukakan pandangan dan saranan di mana-mana tanpa perlu takut mahupun curiga. Namun rasanya elok juga (walau pun sekali sekala) berdiam diri sahaja kalau sememangnya mereka tidak tahu apa-apa. Bukannya apa, cuma bimbang kredibiliti mereka akan hilang dek kerana terlalu kerap ditertawakan dan dipersenda oleh rakyat jelata....

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails