Followers

Thursday, 11 February 2010

Antara Dua Darjat ?

Dalam dunia yang serba ideal, mereka yang bersalah akan tetap dihukum tanpa mengira pangkat, keturunan, agama, bangsa mahu pun warna kulit. Seorang yang melakukan kesalahan yang sama perlu diberi hukuman yang setimpal.

Anda mungkin seorang Dato' atau Tan Sri atau anda juga mungkin hanya seorang buruh kasar atau petani. Walau sebanyak manapun harta yang dimiliki , daripada seorang yang papa kedana atau mereka yang mempunyai wang yang berguni-guni, jika melakukan sesuatu kesalahan yang menyalahi undang-undang negara, hukuman yang diterima perlu sama. Begitu juga jika kalau anda seorang yang mewakili kerajaan atau parti yang memerintah, mahupun parti pembangkang dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Salah tetap salah. Hukuman tetap perlu dijalankan. Kalaupun anda seorang Perdana Menteri atau pun anda pemimpin Parti Pembangkang yang amat terkenal di dunia ini. Mereka yang menguatkuasakan undang-undang perlu diberi ruang dan hak untuk menjalankan tugas tanpa ada diskriminasi, prejudis atau hipokrasi.

Namun realitinya kehidupan ini jauh daripada ideal. Keadilan tidak semestinya dinikmati oleh semua. Mereka yang kaya, berkedudukan atau popular boleh mendapat apa sahaja, manakala golongan miskin dan kurang bernasib baik sentiasa ditindas dan diperlakukan dengan sesuka hati. Rakyat biasa tidak boleh silap berkata-kata. Tersilap kata badan binasa. Pemimpin besar, lain pula hukumannya. Bercakaplah apa sahaja, ia akan dianggap sebagai hak anda untuk bersuara...

Lihatlah apa yang sedang berlaku dalam senario negara ini. Pihak berkuasa seolah-olah dikongkong dan diikat oleh rantai-rantai ghaib yang entah siapa tuan yang empunya. Peguam pula bermaharaja lela dengan pelbagai hujah yang mengabui mata.

Jika anda insan biasa, tidak kiralah sama ada anda penulis blog hingusan atau sekadar berjenaka dalam ruang sembang bersama teman-teman di tempat kerja, tertulis sepatah perkataan atau berpatah-patah (dengan sengaja atau tidak sengaja) yang salah, akan dengan cepatnya menyebabkan anda dihumban dalam penjara di hadapan berpuluh-puluh media dengan lensa-lensa mereka.

Namun kalau anda pemimpin pembangkang  yang terkenal (atau mungkin jutawan yang kaya raya) membuat perkara yang sama, pihak berkuasa akan mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk mencari cara untuk menghampiri anda. Maklumlah, anda akan dikelilingi oleh peguam bela yang memberi pelbagai alasan untuk menafikan hak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan atau media asing yang bertalu-talu memberi ulasan bahawasanya negara ini tidak menghormati hak asasi dan kebebasan si polan dan si polan.

Begitu juga jika anda pemimpin kerajaan, atau contoh yang lebih baik, pemimpin UMNO yang melakukan sesuatu kesalahan kecil, maka berlumba-lumbalah semua daripada parti pembangkang memberi kritikan. Hukum mereka dengan seberat-beratnya. Jika mereka didapati tidak bersalah oleh mahkamah, itu semua bermakna ada tangan ghaib dalam mahkamah bertanggung jawab melepaskan mereka. Ertinya, mereka telah dianggap bersalah tanpa diberi peluang membela diri. Orang dalam parti UMNO sendiri pun begitu juga. Terlalu mudah untuk menghukum kaum kerabat sendiri dan sanak saudara sendiri dalam parti tanpa memikirkan akibat dan implikasi. Maka dibuanglah dan dihukumlah segala hulubalang dan laksamana , hingga yang tinggal hanyalah pak turut dan para tukang angguk kepala....

Pemimpin pembangkang pula boleh berkata apa sahaja. Menghina raja, memijak poster , menghina mahkamah, membuat fitnah dan sebagainya. Itu hak kami, kata mereka. Ini adalah kebebasan bersuara. Kalau anda bersetuju dengan kami, anda sememangnya orang yang paling baik dalam dunia. Jika sebaliknya, anda seolah-olah syaitan yang bertopengkan manusia. Kalau apa sahaja keputusan mahkamah yang menyebelahi mereka, semua orang disuruh menerima dengan hati yang terbuka. Anehnya, jika ia tidak memihak kepada mereka, maka semua hakim dianggap boneka kerajaan semata-mata.

Mungkin sudah tiba masanya untuk pemimpin kita merubah persepsi ini. Kenapa mereka yang suka menimbulkan huru-hara ini tidak dihumbankan sahaja dalam penjara? Itukan lebih baik daripada membiarkan mereka bercakap membabi buta. Kalau tidak boleh menggunakan undang-undang biasa , guna sahaja ISA. Baru padan muka mereka....

Janganlah takut kepada peguam dan media antarabangsa. Ini negara kita. Ia hak mutlak kita dan bukannya kepunyaan mereka. Pemimpin kita sebelum ini telah melakukannya . Tanyalah Tun Mahathir yang masih ada bersama kita. Namakanlah Operasi  Lalang atau Operasi apa sahaja. Janji mereka yang menderhaka kepada raja dan negara itu dikurung atau lebih baik dibuang sahaja dari bumi Malaysia.

Kita ingin hidup dalam harmoni. Berganding bahu demi menjamin masa depan agama, bangsa dan negara.
Rasanya kita tidak ada masa lagi untuk melayan politik murahan seperti yang berulang kali dimainkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang yang semakin hari semakin gila.....

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails