Finally...some common sense. Thank you !!!
Terima kasih kepada TPM kita yang nampaknya lebih rasional dalam menangani isu dan politik perkauman yang semakin membimbangkan di negara ini.
Hakikatnya selama ini kita hidup dalam harmoni . Malaysia sememangnya adalah negara yang berbilang kaum dan setiap daripada kita perlu saling menghormati antara satu sama lain. Melayu ada haknya, begitu juga Cina, India dan sebagainya.
Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan sepatutnya menambahkan kekuatan dan perpaduan ini dan bukan sebaliknya. Namun jika penghayatan konsep ini disalahtafsirkan , maka di situlah masalah akan timbul. Jika pemimpin politik atau masyarakat mula menggunakan isu perkauman sebagai platform untuk mencari populariti, maka negara ini akan musnah.
Keadilan seperti yang kita sedia maklum ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ia bukan bererti sama rata. Lelaki dan perempuan mempunyai kemahuan dan kehendak yang berbeza. Begitu juga setiap bangsa. Tidak ada masalah untuk menuntut sesuatu tetapi kita harus sedar bahawa bangsa lain memerlukan pembelaan juga.
Memang diakui kehidupan orang Melayu telah jauh lebih baik daripada dahulu. Telah ramai daripada mereka yang berjaya dalam hidup. Namun hakikatnya masih ramai lagi yang memerlukan bantuan dan sokongan. Bukan subsidi yang berterusan yang diimpikan tetapi lebih kepada pembelaan yang ditagih daripada kerajaan.
Apa yang menimbulkan kemarahan kepada orang Melayu ialah apabila hak mereka mula dipertikai dan segala keistimewaan yang dahulunya dinikmati kini hanya tinggal kenangan. Gambar pemimpin mereka dipijak, Raja mereka dihina dan yang paling menyakitkan hati ialah apabila Kalimah Allah pula dipermainkan oleh mereka yang seolah-olah menganggap maruah orang Melayu boleh dijual dan dipersenda tanpa sempadan. Semua ini kononnya untuk memperjuangkan hak bangsa mereka sendiri, walhal ianya jelas sekadar mainan politik murahan.
Lebih mendukacitakan ialah bila pemimpin kita juga selama ini berlebih-lebihan melayan tuntutan yang bukan-bukan daripada golongan ini ; dan pada masa yang sama, menghukum bangsa sendiri yang cuba membuka mulut untuk bersuara bagi mempertahankan apa yang sememangnya hak mereka. Kononnya semua yang dilakukan oleh pemimpin kita itu adalah atas nama 1Malaysia.
Ironinya, pada masa yang sama, bukan pujian yang diperolehi. Sebaliknya pemimpin kita terus dicela kerana mereka seolah-olah menari dana mengikut rentak tarian pembangkang. 1 Malaysia dicanang sebagai tiruan daripada acuan Malaysian Malaysia yang dijuarai oleh DAP dan prinsip kesamarataan yang diperjuangkan oleh Parti Komunis Malaya satu ketika dahulu. Hasilnya, apa yang dikejar kita tidak dapat, tetapi apa yang kita kendong pula jatuh berciciran.
Undi Cina dan India sememangnya penting. Walau bagaimanapun kita juga perlu terus mengekalkan undi orang Melayu yang sedia ada. Mungkin kita berjaya mendapat sekarung undi daripada bangsa lain dengan terus memperjuangkan idealisma yang sama , namun hakikatnya kita telah kehilangan lebih berkarung-karung undi daripada orang Melayu yang selama ini bersama berjuang dan berkorban untuk kita. Oleh yang demikian, kita merayu kepada pemimpin kita supaya menilai semula apa yang telah dan sedang berlaku sebelum nasi menjadi bubur.
Kita perlukan kestabilan untuk memerintah negara. Namun pada masa yang sama, kita tidak boleh dan tidak perlu memuaskan hati semua. Acuan yang begitu baik yang telah dilaksanakan oleh pemimpin sebelum ini perlu diambilkira supaya kita tidak hilang segalanya. Perubahan itu baik tetapi harus kena pada masa dan tempatnya. Jangan terlalu ghairah untuk merubah semua tanpa mengambil iktibar dan mendengar nasihat mereka yang lebih tua dan berpengalaman daripada kita.
Buatlah sesuatu demi agama, bangsa dan negara dan bukannya mengikut nafsu muda yang bergelora. Hakikatnya walau sebaik manapun kita, nafsu dan kegilaan manusia untuk terus meminta-minta tidak akan ada penghujungnya....
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm
TPM selar persatuan Cina
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
Muhyiddin Yassin bertanyakan sesuatu kepada Pegawai Operasi, Mas Eniky Zakaria mengenai timbangan emas selepas merasmikan pembukaan cawangan Ar-Rahnu X'Change Koperasi KGMMB di Cheras Maju, Kuala Lumpur,semalam.
KUALA LUMPUR 12 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyelar sesetengah persatuan Cina yang sengaja menimbulkan prasangka terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga mencetuskan tanggapan buruk di kalangan masyarakat.
Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagai contoh mereka dengan mudah menuduh kerajaan tidak responsif pada setiap memorandum yang dihantar dan lebih malang lagi ia dibuat dalam nada berbau perkauman.
''Jangan kerana kerajaan tidak memberi respons dan tidak menjawab kepada memorandum atau cadangan mereka, kerajaan dikatakan tidak mengambil kira kepentingan kaum Cina di negara ini.
''Saya harap mereka tidak mudah membuat kesimpulan atau mudah menimbulkan prasangka. Dalam Islam kita dilarang buruk sangka kerana kesannya amat buruk,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pembukaan cawangan Ar-Rahnu X'Change Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) di Cheras Maju dekat sini hari ini.
Muhyiddin sebelum itu ditanya mengenai kenyataan gabungan persatuan Cina bahawa kerajaan tidak respons terhadap memorandum yang diberikan.
Dalam hal ini, Timbalan Perdana Menteri turut menyelar beberapa media khususnya berbahasa Cina yang cenderung mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman.
''Ini kenyataan sedikit berbau perkauman dan telah diputar-belitkan oleh media. Maaflah saya katakan bahawa sesetengah media Cina (akan salahkan) kerajaan kalau Cina minta, (kerajaan) tak bagi, kalau Cina tuntut, tak bagi... kalau Cina hantar memo, tidak diambil kira.
''Saya tidak fikir sikap itu baik. Mereka mesti bersikap terbuka dan bersedia kerana setiap keputusan kerajaan akan mengambil kira kepentingan semua pihak," katanya.
Beliau berkata, kerajaan sering menerima memorandum dan kertas cadangan bukan sahaja daripada kaum Cina, malah kaum lain termasuk Melayu dan India.
''Oleh itu, kerajaan sentiasa mengambil kira kepentingan semua kaum dalam setiap pelaksanaan model baru bagi mengelak ada masyarakat yang tercicir daripada pembangunan.
''Urusan kerajaan tidak boleh setiap kali orang hantar, kita respons. Kita ambil kira soal-soal yang lebih besar. Kalau hendak ambil kepentingan satu kaum, kena juga ambil kira kepentingan kaum lain.
''Itu dasar yang sudah kita amalkan sejak dulu. Jadi, kepada persatuan-persatuan Cina, saya mohon supaya mereka bersikap lebih saksama, jangan buat dan timbul tanggapan, kerajaan tidak layan," katanya.
No comments:
Post a Comment