Ulang tahun ke 2 kekalahan besar UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum pada ke 12 yang lalu akan tiba tidak lama lagi. Pada bulan Mac 2008, parti terbesar di negara ini telah kehilangan 4 buah negeri (3 sahaja - kalau diambil kira pengambilalihan semula negeri Perak baru-baru ini) dan hampir tersungkur di peringkat nasional (terpaksa bergantung kepada sokongan daripada Sabah & Sarawak).
Ketika itu, ramailah bijak pandai, para ilmuan dan penganalisis politik dari seluruh negara mula bersuara. UMNO dan BN katanya perlu membuat perubahan yang drastik. TRANSFORMASI kata mereka - bukannya REFORMASI (mungkin kerana tidak mahu dianggap meniru slogan yang diguna pakai oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakan....) yang diperlukan.
Maka sejak daripada itu, berlumba-lumbalah pemimpin UMNO dan parti komponen Barisan Nasional yang lain untuk menunjukkan bukti kepada rakyat bahawa mereka SEMEMANGNYA ingin dan akan berubah.
Malangnya, hanya UMNO sahaja yang banyak melakukan aktiviti. Parti komponen lain pula masih tercari-cari formula yang sesuai untuk mereka. Bukan formula untuk berubah, tetapi lebih kepada formula untuk SURVIVAL. Perpecahan dalam parti mereka terlalu besar untuk disembunyikan dan hingga kini mereka masih terkial-kial tanpa arah dan tujuan.
Dari segi perubahan, memang diakui telah banyak yang dibuat oleh UMNO dalam merealisasikan impian untuk menakluki semula kerusi yang telah hilang dari genggaman mereka. Media baru telah dieksploitasikan sepenuhnya dan mereka kini telah mula mendabik dada mengakui bahawa merekalah juara di alam siber. Lebih hebat daripada PAS dan PKR, dan semestinya lebih ampuh daripada DAP.
Macam-macam slogan yang diwar-warkan dan dihebahkan. Tujuannya hanya satu - menarik kembali undi yang telah hilang baik di peringkat parti mahupun di peringkat kerajaan yang lebih tinggi. Terbaru ialah Program UMNO Juara Rakyat yang telah pun bermula di beberapa negeri.
Namun dalam keghairahan untuk berubah atau merealisasikan transformasi, ramai bijak pandai politik yang menganggap perubahan yang dilakukan sebenarnya jauh daripada mencukupi. Ia tidak lebih daripada melakukan pembedahan plastik atau memakai kosmetik untuk menutup isi hati yang sudah terlalu busuk untuk dinikmati, atau rupa yang terlalu hodoh untuk dimiliki.
Hakikatnya ' the core ' masih sama, kata mereka. Orang yang sama masih lagi menguasai UMNO dan hasilnya perubahan tidak dapat berlaku dengan berkesan. Mereka yang di dalam masih enggan untuk melepaskan kerusi empuk masing-masing. Yang tua merasakan diri mereka terlalu berharga untuk mengudur diri. Bagi mereka, tenaga muda yang sedia ada terlalu mentah untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Yang muda pula, berlumba-lumba mencari populariti dan merebut kuasa hingga lupa dasar dan kehendak perjuangan bangsa dan agama.
Sungguh aneh melihat pemimpin politik tempatan berlumba-lumba membuat blog, facebook dan sebagainya. Konon untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan lebih mudah dengan rakyat jelata khususnya golongan muda.Namun kebanyakan daripada blog dan ruang sembang siber yang dimiliki, lebih menumpukan kepada mempublisitikan diri sendiri. Tidak kurang pula yang 'menswastakan' perjalanan ruang siber tersebut kepada setiausaha atau pembantu peribadi kerana tidak tahu atau malas untuk mengendalikannya sendiri.
Apa yang jelas ialah mesej yang cuba disampaikan tetap sama - "Aku telah pergi ke sana dan ke sini. Memberi dan menabur wang demi membela nasib orang yang susah, lemah dan memerlukan setiap hari. Lihatlah betapa baiknya aku ini. Pujilah aku kerana akulah pemimpin sejati. Sudah pastinya aku perlu dicalonkan dan diberi undi bila tiba pilihan raya nanti" - begitulah antara yang mungkin bermain-main di fikiran mereka.
Hasilnya, fungsi asal ruang yang dimiliki itu terbantut dengan sendiri. Bukan publisiti yang dicari oleh pengundi tetapi ruang untuk berkomunikasi dengan si pemilik yang menjadi agenda masa kini. Agaknya pemimpin berkenaan mungkin tidak menyedari hakikat ini atau belum sempat mempelajarinya lagi!
Tak mengapalah. Sekurang-kurangnya mereka telah cuba untuk berubah. That is the first step. Masih banyak ruang untuk memperbaiki diri. Apa yang lebih penting sebenarnya bukan agenda peribadi, tetapi hak bangsa dan agama yang perlu diperjuang dan ditangani.
1 comment:
Tak ada satu pun yang saya berkenan dgn umno ni, walaupun seluruh keluarga penyokong umno. Semuga pas akan memerintah kedah lagi, tak payah nak risau tentang rasuah berjuta-juta ringgit. Kalau depa dah start macam umno kita undi puak lain pulak.
- power to the people. yeah
Post a Comment