Kisah menyayat hati yang berlaku baru-baru ini rasanya perlu dijadikan iktibar kepada kita. Dalam keghairahan mengejar kemajuan duniawi, ramai daripada kita yang telah lupa tanggung jawab sebagai seorang Islam.
Lihatlah di sekeliling kita. Berapa ramaikah jiran yang kita kenali? Adakah cukup makan minum dan pakaian mereka? Susah atau senangkah mereka? Apakah mereka memerlukan bantuan?
Kita semua menjadi semakin angkuh. Mementingkan diri sendiri. Tidak mahu mengambil tahu hal orang lain. "Biarlah... itu bukan hal kita". Mungkin itulah yang sering diungkap dibibir kita !
Bukankah sudah ada JKKK, Tok Imam, Tok Kadi , Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis, Wakil Rakyat dan sebagainya. Kenapa kita perlu menyusahkan diri?
Malangnya sikap beginilah yang menyebabkan masyarakat kita semakin hari semakin hilang nilai-nilai murni yang menjadi kebanggaan satu ketika dahulu. Kita umpama enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
Mungkin tiba masanya kita semua mengkaji semula prinsip tidak mahu menjaga tepi kain orang. Konsep ini berakar umbi daripada barat dan tidak perlu diguna pakai dan diamalkan di negara ini. Mengapa tidak kita kembali kepada prinsip dan ajaran agama Islam yang telah lama wujud? Jiran kita ada hak terhadap kita dan begitu juga sebaliknya.
Islam bukanlah terhad kepada sembahyang lima waktu sahaja.. Banyak lagi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan demi kebaikan seluruh umat. Ingatlah juga bahawa kita semua akan disoal dan diadili di akhirat nanti.....
http://www.hmetro.com.my/articles/Dosabersekedudukandikongsisemua/Article/
Dosa bersekedudukan dikongsi semua
2010/03/02
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khir Jamil Baharom berkata, pasangan wanita lelaki yang tinggal bersekedudukan memang terbukti mereka bersalah kerana tinggal bersama tanpa akad nikah tetapi ‘saham’ itu dikongsi ibu bapa dan masyarakat jika tidak ambil peduli dan membiarkannya.
“Ibu bapa perlu ambil tahu bagaimana anak mereka bernikah, bila tarikhnya, siapa wali atau siapa izinkan. Mereka bersekedudukan memang bersalah tetapi paling penting masyarakat prihatin dan ambil perhatian perbuatan terkutuk itu dapat ditegah.
“Tidak hanya membabitkan mana-mana kes tetapi isu pasangan bersekedudukan amat merisaukan dan perkara itu perlu ditangani supaya tidak terus berleluasa,” katanya. mengulas kes seorang ibunya yang tinggal bersekedudukan dengan kekasihnya sehingga menyebabkan anak perempuannya berusia tiga tahun mati dipercayai disepak dan ditendang oleh teman lelaki dalam kejadian di Ulu Yam, dekat Batang Kali, Khamis lalu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pengeluaran Kad Nikah 1 Wilayah 1 Jam dan Pelancaran Logo Rasmi Jawi di sini semalam. Hadir Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
No comments:
Post a Comment