Followers

Wednesday, 24 February 2010

Buruk Dibuang Dengan Rundingan , Baik Ditarik Dengan Muafakat

Telah lama Paksu  tidak menulis mengenai senario politik di Kuala Kedah. Mungkin telah banyak yang diperkatakan oleh bloggers lain hingga Paksu merasakan tidaklah perlu untuk menokok tambah atau mengeruhkan suasana.

Sebenarnya setelah mengundur diri daripada bergiat secara aktif dalam politik, Paksu lebih banyak menumpukan kepada aktiviti yang berkaitan dengan Kedah Medical Centre sahaja. Cuma sekali sekala melepaskan gian dengan menulis di dalam blog ini walaupun ianya tidak lebih daripada luahan hati dan perasaan yang terpendam.

Kewujudan blog ini juga bukan bertujuan untuk mencari publisiti atau untuk menarik perhatian sesiapa. Tidak ada niat walaupun sebesar hama. Lagipun siapalah Paksu ini.. Hanya seorang insan biasa yang tidak mempunyai pangkat yang besar mahupun kedudukan yang tinggi. Kritikan atau komen yang dibuat mungkin tidak ubah bagai anjing menyalak di ekor gajah.

Walau bagaimanapun ramai orang yang masih ingin bercerita dengan Paksu. Terima kasih diucapkan. Cuma kerapkali Paksu akan cuba mengelak daripada memberi apa-apa komen melainkan hanya melontarkan sebuah senyuman. Manis atau tidak senyuman yang diberikan, itu terpulanglah kepada mereka yang melihat untuk menilainya...

Bagi Paksu, biarlah episod itu berlalu. Lagipun  rasanya ia telah menjadi isu basi. Paksu dah lama melupakannya kerana bak kata orang putih , ' life must go on'. Kita perlu terus hidup dan tidak boleh terlalu terbawa-bawa atau terkenang-kenang kisah yang silam.

Cuma mungkin yang Paksu harapkan, pemimpin Kuala Kedah khususnya UMNO kembali bersatu. Tidak ada gunanya terus bersengketa. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Tidak kiralah siapa yang menjadi ketua, beliau perlu diberi sokongan. Yang lama jangan diketepikan, yang baru pula jangan terlalu angkuh dan merak dengan jawatan.

Sejarah menunjukkan bahawa Kuala Kedah telah melahirkan ramai pemimpin yang berkaliber. Sesetengah daripada mereka masih lagi hidup dan berupaya untuk membantu. Pengalaman mereka tidak harus disia-siakan. Begitu juga pemimpin besar daripada kem yang berlainan. Tidak salah rasanya kalau kedua atau ketiga-tiga pemimpin tersebut duduk semeja bagi menyelesaikan masalah yang ada di depan mata.

Alangkah hebatnya UMNO kalau semua pemimpin ini bersatu di bawah satu bumbung. UMNO tentunya akan menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang. Pemimpin datang dan pemimpin pergi. Apa yang lebih penting ialah kita semua bersatu hati.

Cukuplah rasanya kita semua bersengketa. Tidak ada faedah langsung kepada agama, bangsa dan negara. Perkara-perkara buruk dalam parti sendiri tidak harus dihebah atau dihebohkan. Tidak ada gunanya membuka pekung di dada atau lebih baik lagi, sudah bongkok jangan menyeranggah. Selesaikan dengan cara yang berhemah bukan dengan cara bertelagah.

Itu sahaja yang kami semua inginkan. Bukan senario politik yang penuh dengan fitnah dan tohmahan berterusan !

Monday, 22 February 2010

Politik Malaysia - Unik atau Caca Merba?

Baru-baru ini dalam salah satu rancangan yang disiarkan oleh Astro Awani, seorang Profesor berbangsa Cina (kalau tidak silap, daripada salah sebuah universiti di Melaka) berkata Malaysia mempunyai sistem politik yang sungguh pelik dan tidak pernah dipraktikkan di mana-mana negara di dunia ini.

Rakyat Malaysia, ujar beliau, menganggap wakil rakyat mereka sebagai Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mereka akan meminta pelbagai benda, sama ada bantuan rumah, buku, kesihatan, pakaian, biasiswa dan sebagainya tanpa mengira waktu dan masa. Malah tambah beliau, hanya wakil rakyat di Malaysia yang terpaksa Pusat Khidmat hanya untuk memuaskan hati rakyat jelata.

Ini sesungguhnya sesuatu yang tidak pernah berlaku di mana-mana tempat di dunia. Hasilnya, banyak masa dan wang wakil rakyat terbuang semata-mata untuk melayan kerenah orang ramai, walaupun banyak lagi tugas dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh mereka.

Orang Malaysia sebenarnya cukup manja. Semuanya perlu dibuat dan dilakukan untuk mereka. Segalanya wajib diberi walau dengan apa cara. Mungkin kalau mereka yang meminta dan merayu itu datangnya daripada golongan yang layak, mungkin ianya boleh lagi diterima. Namun, agak kerap juga tuntutan itu dibuat oleh orang masih sihat atau sebenarnya kaya raya.

Lihatlah apa yang terjadi bila seseorang pemimpin itu melawat kawasan. Duit mesti penuh di poket untuk ditaburkan kepada 'orang-orang kuat' mereka. Si Ketua Cawangan, Ketua Pemuda, Ketua Puteri dan Ketua Wanita wajiblah dibela. Itu tidak termasuk lagi semua ahli jawatankuasa. Masing-masing akan turun dengan seribu harapan ketika berjumpa Tok Ketua. Bila tangan berisi ketika bersalaman, maka tentunya si pemimpin akan dipuji dan dipuja. Kalau tidak, alamat maki hamun yang bakal diterima.

" Dato' , kenalah hulur sekupang dua kepada mereka. Insya Allah, sokongan akan terus diberi kepada kita" . Begitulah agaknya suara yang berbisik kepada Tok Ketua. Mahu tidak mahu, si pemimipin akan terpaksa akur dengan permintaan mereka. Tidak kiralah sama ada ianya dibuat dengan rela atau pun paksa. Jawatan yang dikejar lebih besar maknanya. Itu pelaburan kecil sahaja, kata mereka.

Cerita di atas sekadar muqaddimah sebenarnya. Banyak lagi yang sering dipinta. Jalan raya, lampu, letrik, air, rumah, beg dan buku sekolah, yuran anak-anak, jersi bola dan sebagainya merupakan antara permintaan yang paling popular. Tidak terkecuali, gelanggang futsal dan kerusi roda.

Oleh yang demikian, pemimpin politik di Malaysia secara logiknya perlukan dana yang besar sebelum berani untuk bersua muka atau bersuara. Takut dikatakan kedekut atau pemimpin papa kedana. Lebih membimbangkan kalau undi yang diimpikan turut melayang juga.

Mahu tidak mahu, projek perlu dicari. Lobi melobi para menteri untuk mendapat wang yang berguni-guni. Apa yang diperolehi bukan sahaja untuk kepentingan peribadi dan anak isteri, tetapi juga untuk ditaburkan kepada penyokong, orang-orang kuat, anak buah dan bakal pengundi.

Tidak hairanlah kenapa rasuah menjadi-jadi. Pemimpin atasan mesti kaya raya atau mempunyai harta yang berpeti-peti. Bijak dan berkelayakkan.. kriteria itu bukanlah jaminan untuk mereka mendapat undi. Politik wang, itu rasanya istilah yang paling tepat sekali bagi mencerminkan senario politik negara masa kini.

Suka atau tidak, ini satu realiti. Dari sekecil-kecil atau serendah-rendah jawatan yang dicari hinggalah ke peringkat yang paling tinggi. Fenomena ini sememangnya akan terus kekal selagi masyarakat kita masih begini.

Susah untuk orang politik menafikannya. Sama ada daripada kerajaan atau pembangkang , semuanya sama sahaja. Apa yang berbeza mungkin modus operandi atau jumlahnya sahaja. Tidak guna menafikannya atau cuba berdolak dalih ke sini dan ke sana. Tidak ada sesiapa yang akan mempercayainya.

Tidak matang, politik murahan, jakun dan apa sahaja gelaran yang ingin diberi, ia tetap tidak akan merubah hakikat ini. Pemimpin dan rakyat bersekongkol demi kepentingan dan agenda tersendiri. Cuma yang ditakuti ialah kemungkinan ianya akan merosakkan masa depan negara yang kita cintai ini.

Sunday, 21 February 2010

Dengki Mendengki, Khianat Mengkhianati ...Itukah Sebenarnya Budaya Kita?

Hidup ini sebenarnya terlalu singkat. Rasanya kalau manusia ini sedar betapa cepatnya masa berlalu, dan betapa sikitnya bekalan yang bakal kita bawa ke Akhirat nanti, mungkin kita tidak akan berbuat apa-apa lagi kecuali beramal ibadat sepanjang masa.

Hakikatnya, manusia ini mudah lupa atau mungkin sengaja memilih untuk tidak mempedulikannya. Ramai daripada kita yang terlalu lalai serta hanyut dalam keseronokan duniawi. Tidak kurang juga yang berkelakuan seolah-olah dunia ini tidak ada penghujungnya.

Fitnah, khianat mengkhianati adalah fenomena biasa dalam kehidupan manusia. Malah ada di antara kita berpendapat ianya adalah lumrah dunia. "Kita tidak dapat lari daripada itu semua" , kata mereka. Hampir seluruh masyarakat dan di dunia ini menghadapi masalah yang sama. Kisah anak-anak Nabi Adam menjadi bukti bahawa ia wujud sejak manusia mula menjejak kaki di dunia...

Orang Melayu juga tentunya tidak terkecuali. Dengki mendengki, khianat mengkhianati sesama sendiri. Kita tidak boleh melihat orang lain lebih baik, lebih berjaya atau lebih hebat daripada diri kita sendiri. Kita juga tidak rela melihat bangsa sendiri maju ke hadapan kerana bimbang tergugat kepentingan peribadi.

Hasilnya.. kita akan cuba menjatuhkan sesiapa sahaja yang cuba menonjolkan diri. Tidak kira kaum keluarga, sahabat handai mahupun rakan sendiri. Realitinya biarlah aku sahaja yang dipuja dan terus dipuji. Orang lain tidak boleh dan tidak berhak memiliki semua ini.

Mungkin itulah punca kenapa orang Melayu masih gagal untuk maju di bumi sendiri. Pelbagai inisiatif dan subsidi telah diberi. Ratusan malah ribuan peluang diwujudkan untuk memastikan anak Melayu bertapak di institusi pengajian tinggi. Tapi kenapa hingga kini kita masih gagal lagi?

Banyak faktor sebenarnya. 'Multifactorial', kata orang putih. Walau bagaimanapun dengki dan khianat mengkhianati mungkin boleh dikategorikan sebagai antara punca utama kegagalan kita. Kita semua suka bersengketa. Berpuak-puak menjadi amalan zaman berzaman. Bacalah mana-mana buku sejarah Melayu. Akan ada cerita dan kisah yang boleh dijadikan sempadan dan bukan teladan....

Pengkhianat bangsa, rasanya itulah gelaran yang paling tepat untuk dilabelkan mereka. Mereka rela melihat anak bangsa menderita kononnya atas nama keadilan untuk semua. Mereka bangga menganiayai bangsa sendiri hanya untuk memuaskan hati dan nafsu diri. Kocek dan kepentingan peribadi menjadi agenda utama dan bukannya perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

Biarlah orang lain mampus... Yang penting dalam dunia ini hanyalah aku dan keluargaku. Inilah hukum alam. 'Survival of the fittest', ujar mereka. Siapa yang kuat akan berjaya. Siapa yang lemah, lebih baik dinyahkan dan dihapuskan daripada dunia. Tidak ada gunanya aku membantu mereka kerana ia hanya akan menyebabkan aku pula akan kehilangan kuasa...

Itulah sifat dan budaya orang kita. Orang yang kononnya mengaku diri Islam dan menyembah Allah Subhanahu Wataala. Rasanya mereka ini sudah lupa bahawa Islam bukan hanya menekankan amalan wajib dan sembahyang semata-semata. Lebih daripada itu, wahai saudara sebangsa dan seagama....

Marilah kita semua kembali ke landasan yang yang sebenar. Tiada gunanya terus hidup dalam kesesatan. Hidup ini hanya sementara dan tidak ada seorangpun daripada kita yang akan terus menongkat dunia buat selama-lama.

Ingatlah bahawa hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa di atas segala-galanya....

Friday, 19 February 2010

Ada Dalanya Diam Itu Lebih Baik Daripada Bersuara...

Sesuatu yang unik dalam suasana politik negara masa kini adalah kecenderungan para pemimpin politik untuk mengulas mengenai apa sahaja yang berlaku. Bila ada isu yang diketengahkan atau bilamana terjadi musibah, kontroversi dan sebagainya, berlumba-lumbalah mereka memberi komen, cadangan, saranan atau mengemukakan teori masing-masing.

Anehnya kadang-kadang isu yang ada tidak langsung menyentuh bidang kepakaran atau portfolio mereka, namun ia tidak menghalang para pemimpin berkenaan untuk terus bersuara. Ada ketika cadangan mereka boleh diterima namun kerapkali ianya sekadar omongan kosong yang tidak ada hala atau kebenarannya.

Mungkin kecederungan ini didorong oleh keinginan untuk menonjolkan diri atau menjadi popular. Maklumlah semakin popular seseorang pemimpin politik, semakin tinggi sahamnya untuk mendapat pangkat dan kedudukan daripada ketua mereka. Begitu juga peluang untuk bertanding dalam pilihan raya akan terbuka seluas-luasnya. Fenomena ini bukan sahaja prevalen dalam kalangan pemimpin dalam parti kerajaan, tetapi ia juga wujud dalam pakatan pembangkang.

Bila direnung dengan lebih mendalam, kebanyakan kata-kata yang diucap lebih ke arah cuba menyedapkan hati orang ramai sahaja. Tindakan yang dibuat pula kerapkalinya bersifat reaktif (atau lebih tepat lagi ‘knee-jerk reaction’), tanpa mengambil kira implikasi jangka panjang kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.

Cubalah kita renung jalan penyelesaian yang dicadangkan untuk beberapa isu yang terkini. Masalah subsidi minyak, gula, isu penggunaan Kalimah Allah dan kes buang bayi adalah antara topik yang hangat diperdebatkan di ruang media sama ada media konvensional mahupun di alam siber. Pelbagai teori yang dikemukakan untuk melerai kebuntuan yang timbul namun daripada pengalaman masa lalu, ianya tidak langsung diimplementasikan atau diberi perhatian yang sewajarnya.

Apa yang sering berlaku ialah bilamana isu tersebut telah semakin dilupakan oleh media dan masyarakat, maka cadangan yang dikemukakan akan turut hilang bersama-sama. Lebih menarik lagi bila isu yang sama timbul kembali, maka semua pemimpin kembali menyuarakan pandangan dan cadangan yang lapuk itu semula, tidak ubah seperti memasang kembali kaset buruk yang telah bersawang di dalam simpanan.

Sikap reaktif begini susah sebenarnya untuk diubah. Telah bertahun lamanya ia wujud dan diwarisi daripada satu keturunan ke satu keturunan yang lain. Formula dan caranya mungkin sama, tetapi mungkin kali ini orang lain pula yang membentangkannya. Maka sekali lagi penuhlah dada akhbar dan pelbagai media mengulangi dan mengutarakan teori berkenaan kepada pembaca mereka walhal ianya merupakan laporan ulangan semata-mata.

Ironinya kalau seorang pakcik tua daripada kampung yang bersuara, tidak ada siapa yang teringin untuk mendengarnya. Namun jika pemimpin utama negara yang mengemukakan cadangan yang sama – cadangan yang dahulunya tidak diendahkan atau sebelum ini tidak dipandang walaupun sebelah mata - maka ramailah pula yang bersorak gembira. Itu cadangan yang amat hebat , kata mereka.

Jadi konklusinya - dalam masyarakat kita, pembawa idea untuk perubahan perlu mempunyai pangkat dan kedudukan. Jika tidak, maka sebaik manapun idea yang ada, kemungkinan besar hanya tong sampah sahaja akan menjadi destinasinya.

Mungkin itulah agaknya sebab pemimpin politik masa kini bersifat seperti murai tercabut ekornya. Maklumlah cakap mereka dianggap boleh menjadikan idea hingusan kepada teori luar biasa. Begitulah hebatnya mereka. Tetapi semuanya juga bergantung kepada siapa anda sebenarnya. Kaya raya, berpangkat dan pandai berkata-kata. Rasanya itulah sebenarnya kriteria untuk berjaya dalam senario politik negara.

Jadi dek kerana hebatnya pemimpin negara kita ini, maka tentulah tidaklah salah bagi mereka untuk terus mengemukakan pandangan dan saranan di mana-mana tanpa perlu takut mahupun curiga. Namun rasanya elok juga (walau pun sekali sekala) berdiam diri sahaja kalau sememangnya mereka tidak tahu apa-apa. Bukannya apa, cuma bimbang kredibiliti mereka akan hilang dek kerana terlalu kerap ditertawakan dan dipersenda oleh rakyat jelata....

Wednesday, 17 February 2010

Antara Kosmetik , Plastik dan Retorik

Ulang tahun ke 2 kekalahan besar UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum pada ke 12 yang lalu akan tiba tidak lama lagi. Pada bulan Mac 2008, parti terbesar di negara ini telah kehilangan 4 buah negeri (3 sahaja - kalau diambil kira pengambilalihan semula negeri Perak baru-baru ini) dan hampir tersungkur di peringkat nasional (terpaksa bergantung kepada sokongan daripada Sabah & Sarawak).

Ketika itu, ramailah bijak pandai, para ilmuan dan penganalisis politik dari seluruh negara mula bersuara. UMNO dan BN katanya perlu membuat perubahan yang drastik. TRANSFORMASI kata mereka - bukannya REFORMASI (mungkin kerana tidak mahu dianggap meniru slogan yang diguna pakai oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakan....) yang diperlukan.

Maka sejak daripada itu, berlumba-lumbalah pemimpin UMNO dan parti komponen Barisan Nasional yang lain untuk menunjukkan bukti kepada rakyat bahawa mereka SEMEMANGNYA ingin dan akan berubah.

Malangnya, hanya UMNO sahaja yang banyak melakukan aktiviti. Parti komponen lain pula masih tercari-cari formula yang sesuai untuk mereka. Bukan formula untuk berubah, tetapi lebih kepada formula untuk SURVIVAL. Perpecahan dalam parti mereka terlalu besar untuk disembunyikan dan hingga kini mereka masih terkial-kial tanpa arah dan tujuan.

Dari segi perubahan, memang diakui telah banyak yang dibuat oleh UMNO dalam merealisasikan impian untuk menakluki semula kerusi yang telah hilang dari genggaman mereka. Media baru telah dieksploitasikan sepenuhnya dan mereka kini telah mula mendabik dada mengakui bahawa merekalah juara di alam siber. Lebih hebat daripada PAS dan PKR, dan semestinya lebih ampuh daripada DAP.

Macam-macam slogan yang diwar-warkan dan dihebahkan. Tujuannya hanya satu - menarik kembali undi yang telah hilang baik di peringkat parti mahupun di peringkat kerajaan yang lebih tinggi. Terbaru ialah Program UMNO Juara Rakyat yang telah pun bermula di beberapa negeri.

Namun dalam keghairahan untuk berubah atau merealisasikan transformasi, ramai bijak pandai politik yang menganggap perubahan yang dilakukan sebenarnya jauh daripada mencukupi. Ia tidak lebih daripada melakukan pembedahan plastik atau memakai kosmetik untuk menutup isi hati yang sudah terlalu busuk untuk dinikmati, atau rupa yang terlalu hodoh untuk dimiliki.

Hakikatnya ' the core ' masih sama, kata mereka. Orang yang sama masih lagi menguasai UMNO dan hasilnya perubahan tidak dapat berlaku dengan berkesan. Mereka yang di dalam masih enggan untuk melepaskan kerusi empuk masing-masing. Yang tua merasakan diri mereka terlalu berharga untuk mengudur diri. Bagi mereka, tenaga muda yang sedia ada terlalu mentah untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Yang muda pula, berlumba-lumba mencari populariti dan merebut kuasa hingga lupa dasar dan kehendak perjuangan bangsa dan agama.

Sungguh aneh melihat pemimpin politik tempatan berlumba-lumba membuat blog, facebook dan sebagainya. Konon untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan lebih mudah dengan rakyat jelata khususnya golongan muda.Namun kebanyakan daripada blog dan ruang sembang siber yang dimiliki, lebih menumpukan kepada mempublisitikan diri sendiri. Tidak kurang pula yang 'menswastakan' perjalanan ruang siber tersebut kepada setiausaha atau pembantu peribadi kerana tidak tahu atau malas untuk mengendalikannya sendiri.

Apa yang jelas ialah mesej yang cuba disampaikan tetap sama - "Aku telah pergi ke sana dan ke sini. Memberi dan menabur wang demi membela nasib orang yang susah, lemah dan memerlukan setiap hari. Lihatlah betapa baiknya aku ini. Pujilah aku kerana akulah pemimpin sejati. Sudah pastinya aku perlu dicalonkan dan diberi undi bila tiba pilihan raya nanti" - begitulah antara yang mungkin bermain-main di fikiran mereka.

Hasilnya, fungsi asal ruang yang dimiliki itu terbantut dengan sendiri. Bukan publisiti yang dicari oleh pengundi tetapi ruang untuk berkomunikasi dengan si pemilik yang menjadi agenda masa kini. Agaknya pemimpin berkenaan mungkin tidak menyedari hakikat ini atau belum sempat mempelajarinya lagi!

Tak mengapalah. Sekurang-kurangnya mereka telah cuba untuk berubah. That is the first step. Masih banyak ruang untuk memperbaiki diri. Apa yang lebih penting sebenarnya bukan agenda peribadi, tetapi hak bangsa dan agama yang perlu diperjuang dan ditangani.

Tuesday, 16 February 2010

Hanya Sekadar Jenaka...

Paksu dapat emel ini daripada seorang rakan. Bukan ditujukan kepada sesiapa. Hanya sekadar jenaka ringan semata-mata.

Seperti biasa, orang bijak pandai akan berkata, ahli politik yang dimaksudkan di sini lebih menjurus kepada mereka yang di luar negara. Bukan daripada negara kita . Tidak sama  sekali ! Hmmmm...


A cannibal was walking through the jungle and came upon a restaurant operated by a fellow cannibal.  

Feeling somewhat hungry, he sat down and looked over the menu...
  • Tourist:  $5.00
  • Broiled Missionary:  $7.00 
  • Fried Explorer:  $9.00 
  • Freshly Baked Politician: $150
The cannibal called the waiter over and asked, 'Why such a huge price difference for the Politicians?'
The cook replied, 'Have you ever tried to clean one? They're so full of shit, it takes all morning.'

Sunday, 14 February 2010

Recipe For Disaster...

Benar kata orang bijak pandai, mengkritik memang mudah. Bila disuruh melakukannya sendiri baru gelabah....

Itulah rasanya yang telah berlaku dalam Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. Pelbagai kisah , bermacam kontroversi mula mewarnai suasana politik negeri yang kononya dikatakan bebas daripada rasuah atau segala salah guna kuasa.

Hmmm... mungkin KM yang khabarnya amat disayangi itu mula merasai bahang realiti kehidupan sebagai orang yang memerintah negeri. Itu baru satu negeri, belum lagi sebuah negara, Tuan KM.

Hakikatnya politik ini bukanlah semuanya hitam dan putih. Sensitiviti dan diplomasi harus diutamakan tanpa kompromi. Bukan idealisma kosong yang diwar-warkan atau digembar-gemburkan dalam ceramah di sana sini.

Cubaan untuk bermain dengan kata-kata tanpa memikirkan risiko yang bakal menimpa adalah seperti kata orang putih - 'a recipe for disaster'. Ingatlah bahawa rakyat sekarang amat pandai menilai yang mana kaca dan yang mana permata.

Sungguh sedih bila rakyat Pulau Pinang dipergunakan, dipermainkan dan diperbudak-budakkan seperti itu. Cuma apa yang dibimbangi ialah jika bila mereka yang mula ditindas tidak lagi dapat menahan kesabaran. Tentunya kita semua tidak mahu melihat tragedi 13 Mei berulang kembali.....

Mungkin apa yang telah berlaku di Perak boleh menjadi teladan dan sempadan. Tidak mustahil juga perubahan kerajaan akan menjadi kenyataan..... Manalah tahu kan.. dalam politik, 'everything is possible' !



Ketua jabatan ada bukti batal

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm


Oleh NURUL HUDA HASSAN

huda.hassan@utusan.com.my

PULAU PINANG 13 Feb. - Seorang ketua jabatan yang kesal dengan tindakan kerajaan negeri membatalkan majlis perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul tampil menunjukkan pekeliling mengenai perkara itu hari ini.

Pekeliling yang diterimanya itu adalah dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bertarikh 5 Februari 2010 mengenai pembatalan majlis perarakan itu pada tahun ini.

Pekeliling yang ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Muhammad Yusoff Wazir itu sekali gus membuktikan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng berbohong apabila menafikan membatalkan perarakan tersebut.

Menurut ketua jabatan itu yang enggan dikenali, beliau tampil menunjukkan pekeliling itu kerana tidak mahu bersekongkol dengan pembohongan tersebut dan kemudian menuduh Utusan Malaysia membuat fitnah terhadap kerajaan negeri.

''Saya tidak faham mengapa mereka hendak berbuat demikian (menafikan) sedangkan saya dan ketua-ketua jabatan yang lain sudah menerima pekeliling mengenai pembatalan perarakan Maulidur Rasul.

''Macam mana saya tidak marah, sebagai orang Islam kita tentu marah kerana kerajaan negeri selama ini melaung-laungkan konsep pentadbiran Amar Maaruf Nahi Mungkar dan kononnya mengikut cara kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz.

''Apa yang paling saya sedih apabila ada di kalangan orang Islam sendiri seolah-olah menghalalkan pembohongan yang dibuat ini," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Kandungan pekeliling itu berbunyi:

"Sebagai makluman, Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 1431H/2010M dalam mesyuaratnya bertarikh 3 Februari 2010 telah memutuskan bahawa majlis perarakan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul adalah dibatalkan dan diteruskan dengan Majlis Perhimpunan Ummah pada 26 Februari 2010 yang akan diadakan di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang".

Pekeliling berkenaan diedarkan kepada semua ketua jabatan negeri dan Persekutuan, ketua badan berkanun negeri dan Persekutuan serta ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan negeri.

Salinan pekeliling itu dihantar kepada Setiausaha Sulit, Timbalan Ketua Menteri I; Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.

Saturday, 13 February 2010

Terima Kasih TPM...

Finally...some common sense. Thank you !!!

Terima kasih kepada TPM kita yang nampaknya lebih rasional dalam menangani isu dan politik perkauman yang semakin membimbangkan di negara ini.

Hakikatnya selama ini kita hidup dalam harmoni . Malaysia sememangnya adalah negara yang berbilang kaum dan setiap daripada kita perlu saling menghormati antara satu sama lain. Melayu ada haknya, begitu juga Cina, India dan sebagainya.

Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan sepatutnya menambahkan kekuatan dan perpaduan ini dan bukan sebaliknya. Namun jika penghayatan konsep ini disalahtafsirkan , maka di situlah masalah akan timbul. Jika pemimpin politik atau masyarakat mula menggunakan isu perkauman  sebagai platform untuk mencari populariti, maka negara ini akan musnah.

Keadilan seperti yang kita sedia maklum ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ia bukan bererti sama rata. Lelaki dan perempuan mempunyai kemahuan dan kehendak yang berbeza. Begitu juga setiap bangsa. Tidak ada masalah untuk menuntut sesuatu tetapi kita harus sedar bahawa bangsa lain memerlukan pembelaan juga.

Memang diakui kehidupan orang Melayu telah jauh lebih baik daripada dahulu. Telah ramai daripada mereka yang berjaya dalam hidup. Namun hakikatnya masih ramai lagi yang memerlukan bantuan dan sokongan. Bukan subsidi yang berterusan yang diimpikan tetapi lebih kepada pembelaan yang ditagih daripada kerajaan.

Apa yang menimbulkan kemarahan kepada orang Melayu ialah apabila hak mereka mula dipertikai dan segala keistimewaan yang dahulunya dinikmati kini hanya tinggal kenangan. Gambar pemimpin mereka dipijak, Raja mereka dihina dan yang paling menyakitkan hati ialah apabila Kalimah Allah pula dipermainkan oleh mereka yang seolah-olah menganggap maruah orang Melayu boleh dijual dan dipersenda tanpa sempadan. Semua ini kononnya untuk memperjuangkan hak bangsa mereka sendiri, walhal ianya jelas sekadar mainan politik murahan.

Lebih mendukacitakan ialah bila pemimpin kita juga selama ini berlebih-lebihan melayan tuntutan yang bukan-bukan daripada golongan ini ; dan pada masa yang sama, menghukum bangsa sendiri yang cuba membuka mulut untuk bersuara bagi mempertahankan apa yang sememangnya hak mereka. Kononnya semua yang dilakukan oleh pemimpin kita itu adalah atas nama 1Malaysia.

Ironinya, pada masa yang sama, bukan pujian yang diperolehi. Sebaliknya pemimpin kita terus dicela kerana mereka seolah-olah menari dana mengikut rentak tarian pembangkang. 1 Malaysia dicanang sebagai tiruan daripada acuan Malaysian Malaysia yang dijuarai oleh DAP dan prinsip kesamarataan yang diperjuangkan oleh Parti Komunis Malaya satu ketika dahulu. Hasilnya, apa yang dikejar kita tidak dapat, tetapi apa yang kita kendong pula jatuh berciciran.

Undi Cina dan India sememangnya penting. Walau bagaimanapun kita juga perlu terus mengekalkan undi orang Melayu yang sedia ada. Mungkin kita berjaya mendapat sekarung undi daripada bangsa lain dengan terus memperjuangkan idealisma yang sama , namun hakikatnya kita telah kehilangan lebih berkarung-karung undi daripada orang Melayu yang selama ini bersama berjuang dan berkorban untuk kita. Oleh yang demikian, kita merayu kepada pemimpin kita supaya menilai semula apa yang telah dan sedang berlaku sebelum nasi menjadi bubur.

Kita perlukan kestabilan untuk memerintah negara. Namun pada masa yang sama, kita tidak boleh dan tidak perlu memuaskan hati semua. Acuan yang begitu baik yang telah dilaksanakan oleh pemimpin sebelum  ini perlu diambilkira supaya kita tidak hilang segalanya. Perubahan itu baik tetapi harus kena pada masa dan tempatnya. Jangan terlalu ghairah untuk merubah semua tanpa mengambil iktibar dan mendengar nasihat mereka yang lebih tua dan berpengalaman daripada kita.

Buatlah sesuatu demi agama, bangsa dan negara dan bukannya mengikut nafsu muda yang bergelora. Hakikatnya walau sebaik manapun kita, nafsu dan kegilaan manusia untuk terus meminta-minta tidak akan ada penghujungnya....









http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm

TPM selar persatuan Cina


Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

pengarang@utusan.com.my

Muhyiddin Yassin bertanyakan sesuatu kepada Pegawai Operasi, Mas Eniky Zakaria mengenai timbangan emas selepas merasmikan pembukaan cawangan Ar-Rahnu X'Change Koperasi KGMMB di Cheras Maju, Kuala Lumpur,semalam.

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyelar sesetengah persatuan Cina yang sengaja menimbulkan prasangka terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga mencetuskan tanggapan buruk di kalangan masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagai contoh mereka dengan mudah menuduh kerajaan tidak responsif pada setiap memorandum yang dihantar dan lebih malang lagi ia dibuat dalam nada berbau perkauman.

''Jangan kerana kerajaan tidak memberi respons dan tidak menjawab kepada memorandum atau cadangan mereka, kerajaan dikatakan tidak mengambil kira kepentingan kaum Cina di negara ini.

''Saya harap mereka tidak mudah membuat kesimpulan atau mudah menimbulkan prasangka. Dalam Islam kita dilarang buruk sangka kerana kesannya amat buruk,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pembukaan cawangan Ar-Rahnu X'Change Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) di Cheras Maju dekat sini hari ini.

Muhyiddin sebelum itu ditanya mengenai kenyataan gabungan persatuan Cina bahawa kerajaan tidak respons terhadap memorandum yang diberikan.

Dalam hal ini, Timbalan Perdana Menteri turut menyelar beberapa media khususnya berbahasa Cina yang cenderung mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman.

''Ini kenyataan sedikit berbau perkauman dan telah diputar-belitkan oleh media. Maaflah saya katakan bahawa sesetengah media Cina (akan salahkan) kerajaan kalau Cina minta, (kerajaan) tak bagi, kalau Cina tuntut, tak bagi... kalau Cina hantar memo, tidak diambil kira.

''Saya tidak fikir sikap itu baik. Mereka mesti bersikap terbuka dan bersedia kerana setiap keputusan kerajaan akan mengambil kira kepentingan semua pihak," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sering menerima memorandum dan kertas cadangan bukan sahaja daripada kaum Cina, malah kaum lain termasuk Melayu dan India.

''Oleh itu, kerajaan sentiasa mengambil kira kepentingan semua kaum dalam setiap pelaksanaan model baru bagi mengelak ada masyarakat yang tercicir daripada pembangunan.

''Urusan kerajaan tidak boleh setiap kali orang hantar, kita respons. Kita ambil kira soal-soal yang lebih besar. Kalau hendak ambil kepentingan satu kaum, kena juga ambil kira kepentingan kaum lain.

''Itu dasar yang sudah kita amalkan sejak dulu. Jadi, kepada persatuan-persatuan Cina, saya mohon supaya mereka bersikap lebih saksama, jangan buat dan timbul tanggapan, kerajaan tidak layan," katanya.

Thursday, 11 February 2010

Antara Dua Darjat ?

Dalam dunia yang serba ideal, mereka yang bersalah akan tetap dihukum tanpa mengira pangkat, keturunan, agama, bangsa mahu pun warna kulit. Seorang yang melakukan kesalahan yang sama perlu diberi hukuman yang setimpal.

Anda mungkin seorang Dato' atau Tan Sri atau anda juga mungkin hanya seorang buruh kasar atau petani. Walau sebanyak manapun harta yang dimiliki , daripada seorang yang papa kedana atau mereka yang mempunyai wang yang berguni-guni, jika melakukan sesuatu kesalahan yang menyalahi undang-undang negara, hukuman yang diterima perlu sama. Begitu juga jika kalau anda seorang yang mewakili kerajaan atau parti yang memerintah, mahupun parti pembangkang dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Salah tetap salah. Hukuman tetap perlu dijalankan. Kalaupun anda seorang Perdana Menteri atau pun anda pemimpin Parti Pembangkang yang amat terkenal di dunia ini. Mereka yang menguatkuasakan undang-undang perlu diberi ruang dan hak untuk menjalankan tugas tanpa ada diskriminasi, prejudis atau hipokrasi.

Namun realitinya kehidupan ini jauh daripada ideal. Keadilan tidak semestinya dinikmati oleh semua. Mereka yang kaya, berkedudukan atau popular boleh mendapat apa sahaja, manakala golongan miskin dan kurang bernasib baik sentiasa ditindas dan diperlakukan dengan sesuka hati. Rakyat biasa tidak boleh silap berkata-kata. Tersilap kata badan binasa. Pemimpin besar, lain pula hukumannya. Bercakaplah apa sahaja, ia akan dianggap sebagai hak anda untuk bersuara...

Lihatlah apa yang sedang berlaku dalam senario negara ini. Pihak berkuasa seolah-olah dikongkong dan diikat oleh rantai-rantai ghaib yang entah siapa tuan yang empunya. Peguam pula bermaharaja lela dengan pelbagai hujah yang mengabui mata.

Jika anda insan biasa, tidak kiralah sama ada anda penulis blog hingusan atau sekadar berjenaka dalam ruang sembang bersama teman-teman di tempat kerja, tertulis sepatah perkataan atau berpatah-patah (dengan sengaja atau tidak sengaja) yang salah, akan dengan cepatnya menyebabkan anda dihumban dalam penjara di hadapan berpuluh-puluh media dengan lensa-lensa mereka.

Namun kalau anda pemimpin pembangkang  yang terkenal (atau mungkin jutawan yang kaya raya) membuat perkara yang sama, pihak berkuasa akan mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk mencari cara untuk menghampiri anda. Maklumlah, anda akan dikelilingi oleh peguam bela yang memberi pelbagai alasan untuk menafikan hak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan atau media asing yang bertalu-talu memberi ulasan bahawasanya negara ini tidak menghormati hak asasi dan kebebasan si polan dan si polan.

Begitu juga jika anda pemimpin kerajaan, atau contoh yang lebih baik, pemimpin UMNO yang melakukan sesuatu kesalahan kecil, maka berlumba-lumbalah semua daripada parti pembangkang memberi kritikan. Hukum mereka dengan seberat-beratnya. Jika mereka didapati tidak bersalah oleh mahkamah, itu semua bermakna ada tangan ghaib dalam mahkamah bertanggung jawab melepaskan mereka. Ertinya, mereka telah dianggap bersalah tanpa diberi peluang membela diri. Orang dalam parti UMNO sendiri pun begitu juga. Terlalu mudah untuk menghukum kaum kerabat sendiri dan sanak saudara sendiri dalam parti tanpa memikirkan akibat dan implikasi. Maka dibuanglah dan dihukumlah segala hulubalang dan laksamana , hingga yang tinggal hanyalah pak turut dan para tukang angguk kepala....

Pemimpin pembangkang pula boleh berkata apa sahaja. Menghina raja, memijak poster , menghina mahkamah, membuat fitnah dan sebagainya. Itu hak kami, kata mereka. Ini adalah kebebasan bersuara. Kalau anda bersetuju dengan kami, anda sememangnya orang yang paling baik dalam dunia. Jika sebaliknya, anda seolah-olah syaitan yang bertopengkan manusia. Kalau apa sahaja keputusan mahkamah yang menyebelahi mereka, semua orang disuruh menerima dengan hati yang terbuka. Anehnya, jika ia tidak memihak kepada mereka, maka semua hakim dianggap boneka kerajaan semata-mata.

Mungkin sudah tiba masanya untuk pemimpin kita merubah persepsi ini. Kenapa mereka yang suka menimbulkan huru-hara ini tidak dihumbankan sahaja dalam penjara? Itukan lebih baik daripada membiarkan mereka bercakap membabi buta. Kalau tidak boleh menggunakan undang-undang biasa , guna sahaja ISA. Baru padan muka mereka....

Janganlah takut kepada peguam dan media antarabangsa. Ini negara kita. Ia hak mutlak kita dan bukannya kepunyaan mereka. Pemimpin kita sebelum ini telah melakukannya . Tanyalah Tun Mahathir yang masih ada bersama kita. Namakanlah Operasi  Lalang atau Operasi apa sahaja. Janji mereka yang menderhaka kepada raja dan negara itu dikurung atau lebih baik dibuang sahaja dari bumi Malaysia.

Kita ingin hidup dalam harmoni. Berganding bahu demi menjamin masa depan agama, bangsa dan negara.
Rasanya kita tidak ada masa lagi untuk melayan politik murahan seperti yang berulang kali dimainkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang yang semakin hari semakin gila.....

Dato' Seri Nizar, It Is Time To Move On...


Seperti yang semua sedia maklum, Dato' Seri Nizar telah gagal dalam rayuannya untuk mendapat kembali jawatan Menteri Besar Perak baru-baru ini.

Walaupun sebelum ini beliau pernah mengaku untuk menerima apa saja keputusan mahkamah, namun apabila ia tidak menyebelahinya, nampaknya beliau kembali bermain dengan kata-kata.

Paksu tidak pasti apa alasan beliau berbuat demikian. Namun bagi Paksu, beliau patut menerima hakikat bahawa beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti dalam DUN di negeri Perak. Sokongan yang ada pun kebanyakannya hanyalah daripada parti DAP yang dari dahulunya lebih selesa menggunakan beliau sebagai boneka untuk mencapai tujuan mereka. Kalaupun beliau berjaya mendapat jawatan tersebut, beliau berkemungkinan besar akan terpaksa mengikut telunjuk parti tersebut dan hanya akan melakukan kesalahan demi kesalahan yang lebih besar di masa akan datang.

Mungkin ada hikmah disebalik apa yang telah berlaku ini. Nasib orang Melayu dan negeri Perak sendiri lebih baik rasanya di bawah Dato' Seri Zamry berbanding Dato' Seri Nizar. Oleh yang demikian, eloklah jika beliau menerima kekalahan ini dengan cara yang terhormat dan 'move on'. Banyak lagi yang boleh dilakukan jika sesungguhnya beliau ikhlas untuk berbakti kepada masyarakat. Hentikanlah terlalu banyak bermain politik kerana semua itu tidak akan membawa kebaikan kepada agama, bangsa dan negara.

Friday, 5 February 2010

Melayu Semakin Hilang Kuasa , Hilang Suara dan Hilang Satu Lagi Pejuang Bangsa...


Dato' Nasir Ketika Menyampaikan Ucapan di Program Penghayatan Rukun Negara Peringkat Parlimen Kuala Kedah di RTM Alor Setar (07.03.2009)

Paksu sebenarnya amat sedih bila membaca nasib yang menimpa Mantan Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Malaysia, Y.Bhg. Dato' Nasir Safar. Sudah dua hari ingin menulis tetapi entah kenapa, jari-jari ini berasa terlalu lemah untuk menyusun kata-kata.

Paksu pertama kali berjumpa beliau ketika Program Penghayatan Rukun Negara Peringkat Parlimen Kuala Kedah pada bulan Mac 2009. Ketika itu beliau menjawat jawatan Pegawai Khas kepada Dato' Seri Najib (masih Timbalan Perdana Menteri).

Paksu sangat kagum dengan semangat beliau terutama ketika membicarakan hal yang berkaitan dengan orang Melayu. Sesungguhnya susah untuk mencari mereka yang begitu 'passionate'  dan sanggup berkorban apa sahaja demi bangsa Melayu dan agama Islam yang tercinta. Jelas darah keturunan Laksamana Hang Tuah cukup penuh mengalir dalam tubuh badan beliau.

Walaupun Paksu telah lama meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah, dan beliau ketika itu sudah pun menjawat jawatan Pegawai Khas kepada Perdana Mentei Malaysia, namun beliau masih sudi berhubung dan menghantas SMS kepada insan yang kerdil seperti Paksu ini. Keikhlasan beliau amat Paksu sanjung dan hormati. Bagi Paksu, orang seperti beliau, hanya ada satu dalam berjuta....

Namun kejadian dan peristiwa yang menimpa Y.Bhg Dato' baru-baru ini cukup menghiris perasaan. Paksu sedih bila beliau diperlakukan begitu. Dihina, dikecam dan dipaksa meletak jawatan hanya kerana satu kesalahan yang jelas diperbesarkan oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan politik.

Lebih menyedihkan ialah bila ramai pemimpin Melayu dan Perdana Menteri sendiri tidak menyebelahi beliau. Jawatan yang dipegang sebagai Pegawai Khas turut melayang. Semuanya gara-gara ingin memuaskan hati mereka yang secara terang-terangan menggunakan isu ini sebagai platform untuk mendapat 'political mileage'.

Kesalahan beliau hanyalah membela orang Melayu. Bukan pujian diterima tetapi bala pula yang menimpa. Beliau hilang segala-galanya dalam sekelip mata. Jasa dan pengorbanan beliau sebelum ini terus dilupakan. Malah ada pemimpin bangsa lain yang sanggup menggelarkan beliau parasit atau penjenayah negara. Beginikah layanan yang sepatutnya diterima oleh seorang negarawan dan pejuang bangsa?
Bila orang lain mengutuk bangsa Melayu dan agama Islam, tidak ada pula tindakan dikenakan. Pemimpin pembangkang memijak gambar pemimpin Melayu, menulis secara rasis terang-terangan dalam akhbar, blog dan sebagainya tidak pula disiasat dibawah akta hasutan. Kenapa? Takut atau terlalu bimbang populariti UMNO dan Barisan Nasional akan terhakis? Jika itu sebabnya maka bangsa Melayu perlu menangis lagi. Menangis kerana pemimpin yang sedia ada terlalu BACUL untuk mempertahankan hak dan kedaulatan bangsa dan agama sendiri.

Kita tidak pernah meminta supaya kita membiarkan bangsa lain hilang hak mereka. Tapi janganlah dibiarkan bangsa Melayu menjadi peminta sedekah di bumi kita sendiri. Memetik kenyataan Tun Dr Mahathir dalam Utusan Malaysia beberapa hari dahulu - Parti Melayu amnya dan UMNO khususnya telah mula lupa kepada bangsa sendiri.


Mereka terlalu asyik melayan kehendak bangsa lain, tidak kira sama ada ianya berlandaskan perlembagaan atau pun tidak. Semuanya atas dasar ingin mendapatkan sokongan daripada orang lain hinggakan nasib dan hak anak bangsa sendiri semakin lama semakin terhakis. Pelbagai tuntutan yang tidak munasabah atau tidak sepatutnya disuarakan ditunaikan tanpa memikirkan implikasi yang bakal menjelma.

Tanah, biasiswa, wang yang berjuta dan hak kerakyatan dikorbankan. Semuanya gara-gara untuk membuktikan kesamarataan antara semua kaum di negara ini. Hak Bumiputra dan orang Melayu khususnya semakin hilang dan semakin pupus ditelan zaman. Tiada lagi keistimewaan kepada anak-anak bangsa sendiri yang semakin ketinggalan.

Entahlah... mungkin Paksu ini terlalu emosional bila membicarakan hal-hal seperti ini. Hakikatnya Paksu cuma mampu bersuara. Paksu tidak ada kuasa atau harta yang berjuta. Lagipun siapalah Paksu ini berbanding pemimpin kita katanya ADIL LAGI BIJAKSANA....

Apa yang boleh Paksu lakukan juga adalaah berdoa. Berdoa semoga Dato' Nasir masih bersemangat untuk berjuang demi bangsa dan agama. Paksu akan sentiasa menyokong beliau hingga bila-bila.

Paksu juga menadah tangan memohon agar Allah membukakan hati dan memberi petunjuk kepada pemimpin kita. Semoga mereka sedar apa yang sedang atau telah berlaku ; dan akan segera mengubahnya... Insya Allah.

LAKUKANLAH SESUATU SEBELUM BANGSA MELAYU HILANG UNTUK SELAMA-LAMANYA DARIPADA BUMI MALAYSIA!

Wednesday, 3 February 2010

Kes Dato' Seri Anwar Bermula.

Kes liwat Anwar bermula petang ini - Karpal Singh

03/02/2010 12:04pm

PUTRAJAYA 3 Feb. – Perbicaraan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dijalankan petang ini, kata peguam utamanya Karpal Singh.
Bercakap kepada pemberita selepas menemui Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff di sini pagi ini, beliau berkata, Alauddin akan menetapkan minggu ini satu tarikh bagi satu semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar untuk mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak pendakwaan bagi tujuan pembelaannya.
Pagi semalam, pasukan pembelaan Anwar mengemukakan permohonan agar keputusan Mahkamah Persekutuan yang dibuat pada 29 Januari lepas itu, disemak semula.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah, yang diberitahu mengenai permohonan semakan semula itu, menetapkan agar perbicaraan bermula pada 2.30 petang ini setelah menolak permohonan Anwar supaya ia ditangguh.
Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Permatang Pauh, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan. – Bernama

Komen Paksu : 

Eloklah diteruskan. Asyik bertangguh sahaja pun susah juga. Semua orang ingin mengetahui keadaan sebenar. Tak perlu berdolak dalik dan tangguh bertangguh lagi. Semua orang sepatutnya mendapat layanan yang sama tanpa mengira pangkat mahu pun  kedudukan. 

Paksu berdoa agar keadilan akan dapat ditegakkan. Kalau beliau benar bersalah, maka terimalah hukuman yang diberikan. Hukuman di dunia ini tidak seberapa. Hukuman di Akhirat lebih teruk lagi sebenarnya. Jika sebaliknya, eloklah mereka yang membuat tuduhan atau fitnah itu bertaubat segera. 

Buat masa ini, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Monday, 1 February 2010

Menang Sorak Kampung Tergadai....

Cara pemimpin kita masa kini menangani sesuatu krisis di negara ini amat membimbangkan. Mereka lebih banyak bercakap daripada bekerja. Lebih gemar mencari publisiti daripada berbakti. Terlalu retorik berbanding realiti.

Semuanya bermula dengan konsept 1 Malaysia. Semua rakyat dianggap sama tanpa mengira bangsa dan agama. Ketuanan Melayu dan keistimewaan Bumiputera bukan isu utama. Maka berlumba-lumbalah pemimpin kita melakukan pelbagai aksi untuk menonjolkan sikap tolensi, liberal dan keterbukaan pada tahap yang maksimum. Kamilah pemimpin masa kini. Telus dan betul tanpa mengira warna kulit dan agama. Berbicaralah mereka di depan media. Melontarkan pendapat dengan ghairahnya tanpa mengira sensitiviti kaum dan agama. Provokasi menjadi lumrah dan perdebatan menjadi agenda utama.

Kerapkalinya maruah dan hak orang Melayu menjadi mangsa. Hak keistimewaan dipertikai, segala keutamaan dihina dan dicerca. Tidak adil kata mereka. Kami juga mahu sama rata. Universiti, tanah, wang, biasiswa atau apa sahaja perlu diberi. Kamu semua perlu menjaga hati kami yang bukan Bumiputera. Hati orang Melayu tak perlu dijaga. Mereka perlu berkorban demi 1 Malaysia.

Lahirlah kini ramai pemimpin Melayu yang tanpa segan silu mempersoalkan maruah dan keistimewaan bangsa sendiri. Tidak ada perasaan malu mahupun rasa bersalah di hati sanubari. Maka dikeluarkanlah segala dalil untuk menyokong kenyataan mereka ini. Semuanya dibuat hanya untuk 2 minutes of fame serta meraih populariti.

Apabila ada orang Melayu yang cuba bersuara, mereka dilabel sebagai racist atau pengkhianat kepada agenda 1Malaysia. Tun Mahathir, orang yang telah memimpin Malaysia berpuluh tahun lamanya pun menerima nasib yang sama. Dikutuk dan dihina oleh pemimpin hingusan yang kononnya mempertahankan kepimpinan sedia ada.

Bila gereja di bakar, bantuan diberi dengan segera. Setengah juta dikeluarkan dengan sekelip mata. Surau yang menerima nasib yang sama, dibiarkan begitu sahaja. Hanya kenyataan berbentuk simpati yang diterima. Untuk baiki Batu Cave RM3.5 juta telah tersedia. Hendak diberi peruntukan membaiki membina masjid dan surau, hingga sampai ke Parlimen isu itu dipersoal mereka.

Sekolah agama terpaksa memungut derma ke sana sini hanya untuk membayar gaji guru dan belanja sehari-hari. Begitu juga sekolah kebangsaan dan sekolah berasrama di negara ini. Tak kiralah semua sekolah ini kebanyakannya dipenuhi oleh orang Melayu dan bangsa kita sendiri. Sekolah aliran Cina dan India diberi peruntukan RM 1 billion setiap tahun. Berapakah pula kepada sekolah agama rakyat dan sekolah kebangsaan?

Orang bawahan yang bersuara, akan ditangkap serta merta. Begitu juga dengan blogger yang boleh dikira jumlahnya. Tiada kompromi kata Menteri kita. Tetapi pemimpin besar Melayu, Cina dan India dari pembangkang yang mengutuk, mengumpat dan bermaharaja lela dalam media, hanya senyuman manis diberi kepada mereka. Mana tindakan mahkamah? Mana ISA ? Mana hukuman keras yang diwar-warkan setiap masa. Hendak menangkap orang pemimpin hingusan di depan mata pun diambil masa begitu lama. Inikan pula pemimpin ‘agong’ dan ternama yang sentiasa mengutuk dan mengeji Malaysia di mata dunia.

Pemimpin kita sentiasa menafikan bahawa negara ini mengamalkan komunisma atau konsep Malaysian Malaysia. Kita ada acuan sendiri kata mereka. Tetapi pada masa yang sama, kita cuba mencari kesama-rataan yang sebenarnya tidak ada. Benar, setiap bangsa ada haknya. Tetapi janganlah hingga memijak kepala bangsa lain pula....

Adil bukan bererti sama semuanya. Kalau seorang anak diberi Proton Saga , maka tidak semestinya anak yang lain pun perlu diberi Proton Saga juga. Mereka mungkin mempunyai keperluan atau kehendak yang berbeza.

Adil bermaksud memberikan kepada yang berhak akan haknya mengikut kadar masing-masing atau meletakkan suatu pada tempatnya. Cubalah para pemimpin kita berguru kepada mereka yang beristeri dua atau tiga. Barulah anda semua faham konsep keadilan yang sebenarnya (itu pun kalau berjumpa yang berlaku adillah..)

Pemimpin kita terlalu takut dikritik dan dilabel sebagai tidak terbuka. Untuk apa? Untuk menang pilihan raya? Kalau menang pun rasanya sudah tidak guna. Takut-takut nanti apa yang diwarisi dan yang tinggal hanyalah sebuah negara yang huru hara...
Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails