Followers

Monday, 25 January 2010

Kenapa Orang Kita Suka Meminta-minta?

Budaya meminta-minta sudah sememangnya sinonim dengan masyarakat Melayu. Entah mengapa, orang Melayu lebih selesa dengan fenomena ini. Ia malah dianggap sebagai sesuatu yang lumrah dan tidak lagi pelik di mata masyarakat kita.

Kita suka meminta apa sahaja. Bantuan sara hidup, baiki rumah, biasiswa , baiki basikal , motosikal, kereta, lori, bas dan sebagainya. Kita juga sukakan subsidi. Subsidi baju sekolah, kasut sekolah, buku sekolah, baja, minyak petrol , beras atau apa sahaja yang dirasakan perlu untuk kesenangan kita.

Yang peliknya, kalau yang menerima bantuan ini terdiri daripada orang yang susah dan tidak berkemampuan untuk bekerja lagi itu mungkinlah boleh diterima. Tapi yang peliknya mereka yang sihat tubuh badan dan akal fikiran juga berkehendakan benda yang sama. Aku pun ada hak, kata mereka. Kenapa dia saja yang dapat, kenapa pula aku tidak dapat?

Orang Melayu juga tidak malu untuk menerima zakat atau bantuan walaupun mereka sebenarnya tidak layak langsung untuk menerimanya. Mereka menggunakan saluran politik, orang dalam dan sesiapa sahaja yang dirasakan boleh membantu mereka mendapatkannya. Malah borang untuk Skim Baucer Tuisyen atau Skim Program Makanan Untuk Kanak-kanak Sekolah pun tidak terkecuali. Menipu dalam borang Penyata Pendapatan Ibu Bapa bukanlah sesuatu yang luar biasa. Maklumlah Pengerusi JKKKP bukankah orang kita, jawab mereka. Maka terjadilah senario di mana wang kerajaan disalurkan kepada mereka yang tidak benar-benar tidak berhak menerimanya.

Begitu juga dalam senario politik tanah air kita. Orang Melayu daripada peringkat bawah hingga ke peringkat atasnya gemar meminta-minta. Mungkin jumlah yang diminta sahaja berbeza. Biasalah ...ikan kecil perlukan umpan yang kecil , ikan besar tentulah memerlukan umpan yang lebih lumayan! Tanyalah kepada bijak pandai dalam politik. Kalau anda sebagai seorang ketua bahagian contohnya, dan anda tidak pandai 'menabur wang', maka karier anda dalam politik tidak lama lagi akan turut melayang.

Rakan-rakan dan orang sekeliling perlu 'dijaga'. Dalam erti kata lain, mereka perlu diberikan habuan dalam bentuk apa sekalipun untuk memastikan mereka terus menyokong anda. Pemimpin cawangan, pemuda, wanita, puteri dan sebagainya pun turut menjadi sebagaian dairpada tanggung jawab anda. Itu tidak kira lagi rakyat jelata yang hanya menunggu masa untuk anda datang ke tempat mereka.

Wang pun dihambur di sana sini. Rumah rosak perlu dibaiki. Basikal yang lama perlu diganti. Bot yang baru perlu dibeli. Bayaran bil letrik, air dan sebagainya jangan pula dilupa kerana itu semua penting dibantu oleh Tok Ketua....

Sakit demam perlu dilawati. Begitu juga kenduri kahwin dan apa saja lagi. Maklumlah orang UMNO kan kena Kerja Pagi Petang Siang Malam Subuh Senja....Tapi jelasnya poket ketua sendiri pun kena tebal juga. Kalau tidak bagaimana hendak dihulur ketika melawat ke tempat mereka. Diberi sedikit dikatakan kedekut. Diberi banyak dikata menunjuk-nunjuk. Tak dihulur langsung, alamat nama pemimpin akan diusung keliling kampung. Pemimpin begitu memang tak guna dan tak perlu disokong...Pulaukan dia, jatuhkan dia, hancurkan dia, laung mereka....

Duit kerajaan pun kadang-kadang digunakan juga. Maklumlah untuk salurkan bantuan kepada pengundi mereka. Maka dimintalah bantuan rumah PPRT, ASB dan apa saja. Khususnya untuk orang kuat mereka. Kadang-kadang ramai pemimpin yang mengeluh. Kenapa permintaan mereka ini tidak habis-habis? Duit aku berjuta aku laburkan. Namun suara mereka masih kedengaran...

Namun selagi pemimpin kita dari peringkat atas hingga ke bawah tidak mahu berubah, jangan haraplah fenomena ini akan bertemu noktah. Elakkan memberi sesuatu hanya untuk untuk mengabui mata atau menutup dosa. Bekerjalah  dengan ikhlas dan mematuhi kehendak agama. Budaya begini tentunya dapat dihindari.

Bolehkah kita semua berubah dengan sekelip mata ?? Hmmm.... rasanya masih terlalu awal untuk mengimpikannya....

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails