Followers

Friday, 22 January 2010

Hati-hati Bila Berbicara.

Paksu sebenarnya cukup terkilan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Nazri kita terutamanya sejak kebelakangan ini. Mungkin ada sebab mengapa beliau bertindak sedemikian, namun rasanya elok kalau beliau berhenti sejenak dan bermuhasabah diri semula.

Kalau populariti yang dicari, rasanya tindakan yang dilakukan itu bukanlah sesuatu yang bijak. Sebelum ini beliau cuba mencari 'political milage' dengan mempersenda dan menghina bekas Perdana Menteri dengan menuduh beliau seorang yang 'racist' . Terkini beliau bersuara lagi. Kali ini tanpa sebarang justifikasi atau alasan yang kukuh , beliau membuat kenyataan membenarkan penggunaan Kalimah Allah di Pulau Pinang, Sabah & Sarawak tanpa mempedulikan proses rundingan serta perundangan yang sedang diusahakan.

Apa sebenarnya yang bermain di minda beliau? Inikah cara seorang yang bergelar Menteri? Layakkah beliau berbicara tentang agama dengan sewenang-wenangnya? Seperti yang Paksu pernah katakan, kita mempunyai Menteri yang khusus untuk hal ehwal agama. Bukankah itu sebabnya Dato' Seri Jamil Khir dan Dato' Masyitah Ibrahim dibawa masuk ke dalam kabinet? Tidakkah mereka ini lebih arif dalam bidang tersebut berbanding beliau sendiri?

Jadi kenapa ingin terus mencari publisiti murahan seperti ini? Tidakkah ada orang yang boleh menegur beliau supaya tidak terus melakukan tindakan yang kurang cerdik seperti itu? Kita semua mengutuk tindakan YB Khalid Samad kerana mempertikaikan keputusan Sultan Selangor mengenai isu tersebut, tetapi pada masa yang sama kita membiarkan Dato' Nazri terus mempersendakan perkara yang sama.

Hairan ya..... Perlukah Dato' Seri Najib memanggil beliau sekali lagi seperti mana beliau dipanggil dalam isu memperlekehkan Mantan Perdana Menteri kita dahulu? Perlukah beliau diberi arahan oleh PM baru beliau akan diam dan akur dengan perintah tersebut?

Susahlah kalau menteri-menteri kita semua bersikap begini. Bercakap tanpa berfikir implikasi yang mungkin timbul rasanya amat kurang bijak. Ini isu sensitif . Jadi biarlah orang yang berkelayakan diberi masa untuk menyelesaikannya. Jangan cuba menahan lukah di pergentingan. Jangan suka menangguk di air keruh. Nasihat Nabi kita, Muhammad SAW, jika tidak ada yang baik dan berfaedah yang hendak diperkatakan, adalah lebih baik kita berdiam diri.

Mencari populariti memang diakui lumrah dalam kalangan ahli politik. Tapi rasanya Dato' Nazri, bukankah cara begini sebenarnya lebih terarah kepada 'political hara kiri' ???

Entahlah.....Paksu ini bukan orang yang hebat dalam politik. Dato' Nazri dengan Paksu umpama langit dengan bumi. Paksu cuma ingin memberi nasihat sahaja. Itu pun sekiranya Dato' sudi menerima. Paksu bukan mengharapkan apa-apa. Cuma ingin melihat bangsa dan agama kita terus kukuh di persada dunia.

Tepuk Dada Tanya Iman....Hanya ALLAH SWT sahaja Yang Maha Mengetahui.

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails