Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak kisah yang berlaku dalam arena politik tanah air. Ada yang boleh dijadikan tauladan, tidak kurang yang lebih baik dijadikan sempadan.
Perbincangan dan perdebatan secara terbuka mengenai banyak isu-isu yang dahulunya cukup sensitif untuk dibicarakan mungkin boleh dilihat sebagai indikasi betapa terbukanya pemikiran ahli politik kita masa kini. Walau bagaimana pun , kita cukup bimbang kerana tidak semua rakyat di negara ini telah sampai ke tahap pemikiran yang sedemikian.
Isu perkauman bukanlah sesuatu yang boleh dimain-mainkan. Begitu juga isu agama yang sememangnya cukup sensitif dalam kalangan orang Melayu. Mempertikaikan berapa banyak wang yang boleh dibelanjakan untuk membina masjid atau lain-lain isu yang berkaitan contohnya bukanlah satu cara yang baik untuk mencari populariti mahupun memancing undi.
Begitu juga isu tuduh menuduh mengenai rasuah, salah laku, pembaziran atau apa saja bentuk spekulasi yang boleh menjejaskan maruah orang yang dituduh tanpa sebarang asas yang kukuh. Lahirlah konsep baru iaitu bersalah hingga dibuktikan benar dan bukan sebaliknya.
Anehnya masyarakat kita semakin menyukai fenomena sebegini. Tuduhan demi tuduhan melalui media arus perdana, media eletronik, mahupun media baru seperti blog, facebook, twitter dan sebagainya cukup berleluasa. Tidak kurang pula ramai dalam kalangan kita yang begitu ghairah memberikan pendapat tanpa menyedari atau memikirkan akibat dan implikasi daripada perbuatan, kata-kata atau tindakan yang telah dilakukan.
Mungkin dalam keseronokan pemimpin kita memberi reaksi terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan, mereka menjadi semakin hanyut dalam melayan emosi. Kata-kata kesat dihamburkan, caci mencaci menjadi amalan hingga seolah-olah kita telah lupa kepada budaya dan asas agama. Ada yang sanggup berkata apa saja demi untuk menegakkan benang yang basah. Ada juga hingga rela menggadai maruah agama dan bangsa demi mengejar '5 minutes of fame' atau populariti yang hanya bersifat sementara.
Hanya apa yang aku lakukan sahaja yang betul semuanya. Apa yang orang lain buat semuanya salah belaka. Falsafah "I can do no wrong" menjadi pegangan mereka. Maka lahirlah pendapat, arahan mahupun fatwa yang bukan-bukan. Semuanya demi untuk menyedapkan hati mereka sendiri mahupun pengikut fanatik yang sanggup mempercayai apa sahaja yang dilaungkan oleh pemimpin mereka.
Ayat Quran dan Hadis dijadikan mainan politik. Malah telah ada pendapat yang mengatakan tidak salah jika orang yang bukan Islam sekali pun menggunakan atau melafazkannya tanpa sebarang asas ilmu yang kukuh. Semuanya kerana untuk menang . Semuanya untuk menegakkan benang yang basah. Benarkah begitu? Bolehkah mereka yang jahil dalam ilmu agama bercakap mengalahkan seorang ulama?
Mungkin tiba masanya para pemimpin kita kembali bermuhasabah diri. Tidak salah kalau kita berbeza aliran dan fahaman politik. Itukan fenomena biasa yang telah diterima sejak berkurun lamanya. Bak kata pepatah, rambut sama hitam, hati lain-lain. Namun ada ketikanya kita perlu bersatu dan ada masanya kita perlu mengakui kesilapan kita sendiri. Tidak ada ruginya atau tidak akan tergugat ego kita sekiranya terpaksa berbuat demikian. Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya..
Jika kita semua masih berdegil atau terlalu enak dibuai mimpi, mungkin satu masa nanti kita akan hilang segala-galanya. Tidak ada gunanya kalau kita hanya menang sorak tetapi kampung tergadai. Kepentingan diri perlu dihindari. Sebaliknya maruah bangsa dan agama perlu dibela. Ianya bukan boleh dijual beli atau dimanipulasi demi memuaskan nafsu sendiri. Tanggungjawab yang diberikan adalah amanah yang perlu ditunaikan dengan baik dan sempurna
Ingatlah bahawa anak cucu kita akan menilai kita satu hari nanti. Tolong jangan biarkan mereka menangis di kemudian hari....
No comments:
Post a Comment