Followers

Saturday, 16 January 2010

Renungilah Pandangan Raja Nazrin Ini......

Dalam akhbar Utusan Malaysia 15.01.2010 , Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah telah menasihati dan mengingatkan semua pihak untuk tidak memandang ringan perkara-perkara yang berunsur kontroversi.....
(anda boleh membacanya di sini : Jangan Pandang Ringan - Raja Nazrin

Oleh HAMIMAH HAMID
 atau di bawah)

Ramai daripada kita mungkin terdiam sejenak bila mendengar nasihat bernas yang telah dikeluarkan itu. Sebelum ini Sultan Selangor pun pernah bertitah dengan nada yang sama. Terdetik di hati kita , hmmm... benar juga titah baginda.  Lantas kita pun terus menggaru-garu kepala kita yang tidak gatal itu.

Persoalannya - benarkah pemimpin kita masa kini makin leka, makin lupa atau makin mengambil mudah isu yang berpotensi untuk menjadi kontroversi. Jika ya, kenapa? Entahlah... adakah mungkin mereka terlalu ingin menunjuk-nunjuk bahawa mereka itu berfikiran luas , moden , hebat dan terbuka...?

Kami boleh berkongsi dan boleh berbincang semuanya. Kami boleh beri apa saja yang diminta. Kami sanggup berkorban apa saja. Kami pemimpin zaman moden. Bukan pemimpin kolot seperti mereka yang terdahulu. Kami boleh bagi apa saja demi mengkotakan semangat 1 Malaysia. Syaratnya anda semua mesti undi kami dan pastikan kami terus berkuasa... Mungkin itulah agaknya yang bermain di fikiran mereka.

Rasanya terlalu banyak isu yang timbul sebelum ini yang boleh diselesaikan dengan cara yang lebih cerdik berhemah dan 'subtle' kata orang putih. Malangnya, seperti biasa, ramai pemimpin kita semuanya lebih gemar menangguk di air keruh. Tak kiralah daripada parti apa mereka berasal dan logik apa yang mereka pakai. Isu kontroversi adalah tiket mudah untuk popular.

Pemimpin mana yang tidak ingin menjadi popular? Pemimpin mana yang tidak ingin menonjolkan diri ? Lihatlah semua rakyat Malaysia. Akulah pemimpin yang paling hebat sekali. Akulah pejuang bangsa. Akulah orang kuat Dato' Seri Najib , Tan Sri Muhyiddin dan sebagainya. Pandanglah aku, ingatlah aku dan ambillah aku bila pilihan raya menjelang nanti. Akulah hulubalang PM dan aku akan lawan siapa saja. Betul atau tidak apa yang aku kata, itu lain cerita. Bagilah aku jawatan tinggi kerana aku pandai menonjol diri walaupun kerja aku tak seberapa......Itulah rasanya yang berpusing-pusing dalam jiwa dan sanubari pemimpin kita.

Isu terkini ialah kontroversi penggunaan Kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Sungguh malang nasib orang Melayu dan orang Islam bila kebanyakan pemimpin kita pada mulanya mengambil ringan isu tersebut. Tak pasti pula mengapa. Juga tidak pasti mengapa akhbar berkenaan tiba-tiba beria-ia ingin menggunakan Kalimah Allah sedangkan sebelum ini tidak pula begitu.Apa sebenarnya motif mereka? Ingin cuba melihat sejauh mana toleransi umat Islam di negara ini? Mungkin ya atau mungkin juga ada muslihat yang lebih besar daripada itu. Tak berani pula kita hendak mentafsirkannya. Takut nanti dicap sebagai menghina mahkamah.

Bila penghakiman dibuat di Mahkamah Tinggi, tentulah sedih laymen seperti kita mendengar komen Tuan Hakim Yang Arif lagi bijaksana. Ujar beliau, pihak yang mewakili kerajaan antaranya gagal membuktikan secara jelas terperinci mengapa Kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam bagi menyampaikan mesej kepada orang bukan Islam yang lain.

Tentunya ramai daripada kita terkebil-kebil memikirkan penghakiman tersebut. Terdetik di hati kecil ini -  kenapa, mengapa dan bagaimana ia dibenarkan berlaku?  Mungkinkah Peguam Negara dan sahabat-sahabatnya yang ramai dan bijak pandai itu tidak (atau kurang) bersedia untuk menghadapi kes ini? Mungkinkah mereka terlalu yakin kerana telah mendapat kemenangan di peringkat awal hingga mereka lalai dan mengambil ringan bila ia tiba di Mahkamah Tinggi?

Tidakkah Peguam Negara mendapat nasihat yang baik daripada peguam Syariee yang berada di bawah tangan mereka? Terlalu sibukkah beliau untuk beliau bertanya kepada para ulama yang lebih maklum dalam bidang ini? Paling kurangpun kita ada Dato' Jamil Khir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Dato' Masyitah Ibrahim di tempat yang sama. Bukan calang2 orang mereka ini.

Itu belum lagi termasuk ribuan ilmuan dan cerdik pandai yang mampu menangkis seribu alasan dan hujah yang bakal dikemukakan oleh penguam yang menentang. Kenapa Yang Arif lagi Bijaksana Tuan Peguam Negara tidak mengganggapnya satu priority untuk mengendalikan kes ini sepenuhnya sendiri daripada dibiarkan anak buah beliau sahaja bertungkus lumus di mahkamah? Ini isu besar dan isu penting. Maruah agama yang dipertaruhkan. Bukan benda kecil...

Lebih pelik dan menyedihkan, ialah kenapa ia dibenarkan dibawa ke Mahkamah Sivil in the first place. Tidakkah ia merupakan satu isu sensitif? Bukankah Kalimah Allah tersebut telahpun diharamkan penggunaannya oleh orang bukan Islam di Malaysia sebelum ini? Tidak bolehkah Kementerian Dalam Negeri menggunakan cara yang lebih discrete dan lebih diplomasi bagi menghalangnya daripada sampai ke peringkat ini?

Benar, ada ketika kita boleh bertoleransi dan kita boleh bekerjasama. Namun janganlah sampai kepala kita pun hendak dipijak. Aduhh... kalau beginilah pemikiran pemimpin kita masa kini, bagaimanalah nasib anak cucu kita nanti? Mungkinkah kita akan merempat di negara sendiri? Mungkinkah kita semua akan pupus dek kerana kerakusan dan kealpaan pemimpin kita yang nampaknya seperti orang pandai tak boleh diturut , atau orang bodoh yang tak boleh diajar?

Entahlah, hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Kita hanya mampu berdoa. Tadahlah tangan setiap kali lepas sembahyang. Pohonlah agar pemimpin kita kembali ke jalan yang benar. Manalah tahu, moga-moga Allah akan makbulkan doa daripada hamba-hambanya yang kerdil ini....


Raja Dr. Nazrin Shah menerima zakat perniagaan daripada pengarah urusan tiga syarikat, Korakan Sdn. Bhd., GPB Corporation Sdn.Bhd dan DSI Bumi (M) Sdn. Bhd., Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (dua dari kiri) di Persidangan MAIAMP Ke-169 di Ipoh, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------
IPOH 14 Jan. - Raja Muda, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan semua pihak supaya tidak memandang ringan perkara-perkara berunsur kontroversi sebaliknya bijaksana mengenal pasti asas untuk meningkatkan perpaduan.

Baginda bertitah, untuk hidup dalam suasana harmoni, perkara-perkara yang boleh meningkatkan persefahaman wajar disuburkan dan mengelak sesuatu yang boleh menimbulkan persengketaan.

"Perkara-perkara yang bersifat kontroversi sangat mudah mendatangkan reaksi dan salah faham malah berpotensi mencetuskan suasana konfrontasi.

"Sejarah banyak membuktikan bahawa peperangan dan pertentangan bermula daripada perkara kecil. Sedarilah bahawa api yang besar lagi memusnahkan bermula daripada bara-bara kecil yang gagal dipadamkan," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah demikian pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) Ke-169 di sini hari ini.

Menurut Raja Muda, semua pihak perlu memahami implikasi negatif yang boleh dicetuskan daripada perkara-perkara yang bersifat kontroversi tersebut.

Tegas baginda, sifat tidak mahu berganjak semata-mata untuk mempertahankan ego hanya akan mengakibatkan kesemua pihak menanggung rugi.

"Kembalikanlah minda untuk mencapai kejayaan sejati yang tidak menjejaskan keharmonian insan dan perpaduan. Perpaduan adalah faktor yang sangat diutamakan.

"Perpaduan merupakan elemen menjamin hubungan di antara insan dapat berlangsung secara harmoni. Perpaduan akan dicapai melalui sifat persefahaman dan saling menghormati di antara satu sama lain," titah baginda.

Sementara itu, menurut Raja Nazrin, dalam memantapkan struktur organisasi dan pentadbiran, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 telah dipinda dan akan berkuat kuasa Februari ini.

Titah baginda, berasaskan Enakmen Pindaan 2009 itu, jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MAIAMP dipisahkan.

Baginda bertitah, lantikan Ketua Pegawai Eksekutif MAIAMP di bawah kuasa mutlak Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang bertanggungjawab memenuhi peranan setiausaha dan pentadbir serta menjalankan dasar dan ketetapan MAIAMP.

"Melalui pemisahan kuasa dan jawatan ini, MAIAMP dapat beroperasi dan berfungsi mencapai tahap kemajuan lebih tinggi, berupaya memperkenalkan budaya pengurusan lebih dinamik, inovatif, cekap dan berkesan.

"MAIAMP perlu adakan program lebih dinamik, berdimensi baru, lebih segar dan bernafas baru. Fikirkan, perkenalkan dan laksanakan program yang dapat membawa anak muda mendekati Islam," titah baginda.

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails