Followers

Wednesday, 13 January 2010

Sudah Terantuk Baru Tengadah

Paksu tersenyum sendiri bila membaca kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengatakan bahawa setelah mengambil kira pandangan beban ibu bapa dan keselamatan pelajar, maka Kementerian Pelajaran telah bersetuju untuk menaikkan jumlah hari penyediaan makanan pelajar di asrama daripada 200 kepada 240 hari. Itupun masih kurang 10 hari daripada 250 hari yang ditetapkan sebelumnya.

Paksu musykil kenapa arahan awal yang tidak begitu cerdik dikeluarkan oleh pihak Kementerian. Tidak adakah orang dalam Kementerian Pelajaran yang dapat menjangka bahawa keputusan yang sedemikian akan menyebabkan ramai ibu bapa mengeluh dalam penuh penderitaan? Mungkinkah mereka yang membuat keputusan di bilik berhawa dingin dengan memakai baju yang mahal-mahal, telah lupa bahawa ramai orang Malaysia khususnya orang Melayu masih ramai yang berada dalam kesusahan? Mungkin juga mereka telah tidak lagi peduli dengan kesengsaraan yang ditanggung oleh orang-orang Melayu....

Kenapa , kenapa dan kenapa? Kementerian yang dikuasai oleh pemimpin UMNO yang berbangsa Melayu dan beragama Islam sendiri telah lupa bahawa ramai anak Melayu yang akan tersiksa dengan keputusan tersebut. Siapakah yang kebanyakannya menjadi penghuni asrama di sekolah-sekolah? Orang Melayu bukan? Berapa peratuskah daripada mereka mempunyai ibu bapa berpendapatan melebih RM 5000 sebulan? Amat sedikit bukan?

Jadi mengapa kita membuat keputusan yang jelas akan mendera orang Melayu? Sudah butakah mata pemimpin kita? Sudah pekak kah telinga mereka ? Sudah hilangkah belas kasihan mereka kepada orang yang sebangsa dan seagama dengan mereka?

Inikah yang dilaung-laungkan oleh UMNO sebagai Juara Rakyat? Juarakah UMNO kalau terus membantu menindas orang Melayu? Juarakah UMNO jika pemimpin yang hanya manis di mulut tetapi di hati masih busuk isinya?

Kenapa pemimpin kita semakin mudah lupa? Mengapa mereka tidak lagi peka dengan kehendak bangsa kita? Kenapa kita terikut-ikut rentak pembangkang yang inginkan kesamarataan tetapi pada masa yang sama menindas bangsa Melayu kita sendiri?

Kita masih ada kuasa. Kenapa begitu bodoh untuk tidak menggunakannya? Kenapa begitu mudah mengalah tanpa mahu berjuang? Adakah saki baki darah Laksamana Hang Tuah tidak lagi mengalir di dalam badan pemimpin kita? Mahukah kita terus menjadi tolol seperti kerbau yang dicucuk hidung?

Kadangkala Paksu rasa pemimpin kita masa kini sudah seperti kehilangan arah dan tujuan. Natijah perjuangan telah jauh menyimpang daripada landasan yang sebenar. Jika pemimpin atasan sendiri telah hanyut dalam keghairahan dan kerakusan untuk terus berkuasa hingga sanggup menggadai apa saja yang ada , apa lagi yang tinggal untuk kita?

Ya Allah... sedarkanlah pemimpin kami daripada mimpi mereka. Jauhkanlah mereka daripada kemungkaran dan godaan syaitan. Berilah mereka sedikit kekuatan untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara......

Wahai para pemimpin UMNO sekelian. Muhasabahlah diri kembali. Bangsa kamu masih mengharapkan kamu untuk terus berjuang. Bukan terus hanyut dalam kesenangan dan kehendak duniawi....Pangkat dan kedudukan bukan segala-galanya... Ingatlah bahawa setiap pemimpin itu akan disoal di akhirat nanti sama ada anda semua telah melakukan yang terbaik di dunia ini.....

Ingatlah wahai pemimpin ku sekelian. Bahawa Allah itu ada. Akhirat itu ada. Hari pengadilan itu ada. Kehidupan kita tidak berakhir di sini...........

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails