Followers

Wednesday 3 March 2010

Reformasi, Kontroversi dan Keluar Parti - PKR dalam Dilema

Umum mengetahui bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan sebuah parti diasaskan mulanya atas dasar memperjuangkan nasib Dato' Seri Anwar Ibrahim setelah beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Namun kemudian ia mula berkembang, bergabung dan akhirnya berjaya menaikkan martabatnya dalam senario politik tanah air. Maka lahirlah apa yang dipanggil Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.  Objektif mereka cukup mudah - iaitu menjadikannya sebagai alternatif kepada Barisan Nasional, parti pemerintah yang selama ini cukup gagah di bumi sendiri.

Kalau dulu PKR, DAP dan PAS gagal menandingi BN secara individu, namun gabungan ketiga-tiga parti tersebut dengan strategi yang lebih tersusun telah berjaya menafikan kerajaan sekarang daripada mendapat 2/3 majoriti di samping menguasai beberapa buah negeri di negara ini. "Cukup hebat", mungkin itulah ungkapan yang paling tepat dalam menggambarkan apa yang terjadi ketika itu.

Tetapi kini keretakan mula berlaku. Pergaduhan, tuduh menuduh, maki memaki menyebabkan parti yang asasnya memperjuangkan REFORMASI kini terjerut dalam pelbagai KONTROVERSI.  Terkini, ketika musim padi baru berlalu, maka tiba pula musim baru iaitu MUSIM KELUAR PARTI.

Maka beramai-ramailah ahli parti PKR yang mula menyuarakan rasa tidak puas hati, kecewa, marah dan sebagainya kepada pucuk pimpinan parti. "Kami tidak lagi percaya dengan kepimpinan PKR", ungkapan yang kini menjadi trend ketika mereka membuat sidang akhbar yang berhari-hari akan disiarkan dalam media perdana.

Seperti biasa dan mungkin sudah menjadi terlalu 'predictable", maka berlumba-lumbalah pemimpin (atasan dan bawahan) UMNO / BN membuat kenyataan dan ulasan. Malah tidak kurang yang mula bercakap mengenai kemungkinan diadakan pilihan raya umum dalam jangka masa yang terdekat.

Aduh... kenapa begitu singkat pemikiran mereka? Inilah masalahnya bila kita berbicara tanpa melihat kepada fakta. Gopoh , gelojoh atau mungkin lebih mudah, kurang matang dalam berpolitik.

Benar, PKR kini melalui masa yang sukar. Krisis yang melanda parti ini dalam saat-saat di mana pemimpin agong mereka juga bergelut dengan kes dalam mahkamah, sedikit sebanyak menampakkan kelemahan yang ketara dalam struktur kepimpinan mereka. Hanya DSAI sahaja yang menjadi penghubung atau penguat semangat. Samalah juga dalam Pakatan Rakyat.

Hakikatnya PKR dan Pakatan Rakyat terlalu bergantung kepada DSAI. Apa pun krisis sebelum ini, hanya beliau sahaja yang dilihat dapat memainkan peranan untuk menyatukan semua parti dalam gabungan tersebut. Hilang beliau, maka lumpuhlah pakatan alternatif ini.

Tidak harianlah kalau kita lihat dalam suasana sekarang, ketika kedudukan DSAI sendiri yang tidak menentu, maka ramailah ahli-ahli PKR yang cuba menangguk di air keruh. Mencetuskan pelbagai kontroversi demi untuk kepentingan diri. Ia tidak ubah seperti bila kucing tidak ada, maka tikus-tikus pun mula bermaharaja lela.

Ramai daripada mereka ini asalnya merupakan golongan serpihan daripada UMNO dan BN. Mereka yang kecewa kerana tidak mendapat tempat sebelum ini. Tidak mempunyai karisma tetapi lebih kepada pandai bermain kata-kata serta mengadu domba. Mereka oportunis yang pandai mengambil kesempatan. Mereka juga boleh diumpamakan sebagai pengkhianat kerana telah meninggalkan parti mereka dalam saat-saat getir begini.

Mungkin ada yang berpendapat, itu adalah hak mereka. Mungkin juga ada pelbagai persoalan dan alasan kenapa mereka telah terjun daripada kapal yang hampir karam...Tidak mengapa. Kalaupun alasan mereka tidak boleh diterima, kita perlu akur bahawa dalam hal ini, tidak ada siapa yang dapat berbuat apa-apa.

Cuma apa yang dibimbangkan ialah keghairahan pemimpin UMNO dan BN untuk mengalu-alukan mereka kembali kepada parti. Bukan tidak boleh, tapi rasanya elok sekiranya diperhatikan dan diawasi terlebih dahulu. Biarkan mereka wujud sebagai ahli bebas yang menyokong BN. Itu lebih baik daripada terhegeh-hegeh menyerahkan surat keahlian kepada mereka yang telah mengkhianati perjuangan parti sendiri.

Kalau mereka boleh membelot dengan sebegitu mudah, apa yang akan menyekat mereka daripada mengulangi perangai yang sama ketika berada dalam UMNO atau BN nanti. Tidakkah kita bimbang mereka mungkin akan berpaling tadah semula? Mungkin juga mereka akan menjadi umpama gunting dalam lipatan yang akan menghancurkan parti di suatu masa nanti?

Tidak ada sesiapa yang tahu niat mereka. Rambut manusia sama hitam tetapi hati sudah pastinya berlainan. Mungkin juga mereka akan menjadi aset yang penting kepada parti. Namun tidak salah sekiranya kita mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati. Seperti kata pepatah, berhati-hati sebelum kena. Jangan sudah terantuk baru tengadah....

Ahli UMNO dan BN seharusnya menumpukan kepada masalah sendiri. Kuatkan parti sendiri dahulu sebelum mengambil kisah hal orang lain. Kalau kita kuat, nescaya kita akan hebat. Kalau kita mengharapkan untuk menang , hanya kerana orang lain lemah, mungkin kemenangan itu tidak akan ada lagi kemanisan dan kehebatannya.....

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails