Followers

Saturday, 6 March 2010

Krisis Parti - Kepentingan Akar Umbi atau Agenda Peribadi

Sejak PRU-12 yang lalu, hampir setiap hari, ada saja isu-isu menarik yang mewarnai senario politik tanah air.  Bermula dengan krisis yang melanda UMNO, MIC, PPP dan PAS, kini perhatian beralih pula kepada dua parti politik terkenal iaitu PKR dan MCA.

Kalau dilihat secara kritikal, isu pokoknya sama sahaja. Semua pemimpin merasakan diri mereka betul, diperlukan oleh akar umbi ; manakala orang lain atau pemimpin lain semuanya salah, tidak bersih, tidak layak atau cukup pandai untuk menerajui parti.

Maka berkempenlah mereka setiap hari, siang malam, pagi petang, subuh senja. Kononnya tidak ada orang yang lebih baik daripada mereka. Kadangkala akan kedengaran kenyataan yang menggelikan hati. "Saya buat begini adalah untuk parti dan akar umbi, bukannya untuk kepentingan peribadi". Ungkapan begini sedap didengar tetapi hakikatnya, mereka semua hanya mementingkan diri sendiri. Tanyalah mana-mana bijak pandai dalam politik, mereka akan berkata, "politics is all about power and money". Kuasa dan wang adalah natijah utama. Bukannya berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.

Trend terkini ialah kecenderungan untuk keluar parti. Konon hilang kepercayaan terhadap kepimpinan yang sedia ada atau mungkin kerana sudah benci kepada pemimpin sendiri. Peliknya, jawatan sebagai wakil rakyat atau ahli parlimen tidak pula mahu dilepaskan walaupun mereka dimaki dan dicaci. Maklumlah.. bukan senang nak dapat elaun yang begitu tinggi , tambahan pula , sayang untuk dibuang gelaran YB!

Menjadi pemimpin parti tentunya ada 'perks' dan keistimewaannya. Projek, jawatan dan sebagainya, tidak dapat tidak, akan dapat memenuhi poket sendiri. Ia juga perlu untuk menjaga anak buah dan penyokong-penyokong kuat di sana sini. Jarang sekali ada pemimpin yang tidak mempunyai agenda ini.

Rasanya sebagai rakyat, kita semua semakin muak dengan lakonan pemimpin politik masa kini. Terlalu asyik bersandiwara hingga lupa tanggungjawab mereka kepada nusa dan bangsa. Tidak salah nak bermuka-muka, tapi biarlah berpada-pada. Letih rasanya kalau mendengar cerita yang sama diulang-ulang berkali-kali. Benci, geram, meluat dan banyak lagi emosi yang boleh dikenal pasti. Mungkin elok kita kenal pasti mereka sekarang ini. Bukan apa, supaya mudah untuk tidak dipangkah bila tiba PRU-13 nanti.....

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails