Followers

Monday 22 March 2010

Hati orang yang bodoh itu di mulutnya, dan lidah orang yang cerdik itu di belakang hatinya.

Maknanya :

Orang bodoh berbicara tanpa perhitungan, orang pandai berfikir sebelum berkata-kata.


Sejak meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah 17.7.2009 iaitu telah hampir 8 bulan yang lalu, Paksu lebih banyak mengambil pendekatan menjauhkan diri daripada terlibat dengan UMNO Kuala Kedah dan menumpukan kepada kerjaya sendiri.

Paksu lebih gemar mengisi masa lapang dengan menulis blog sendiri, samada blog ini atau blog-blog yang bersifat akademik. Minat dalam politik memang ada, tetapi cukuplah sekadar berada di luar dan tidak mengacau sesiapa. Paksu tidak lagi hadir ke mana-mana majlis yang berunsurkan politik. Bimbang nanti disalahertikan ingin menonjol diri kembali ke arena politik Kuala Kedah.

Pada bulan yang lalu, Paksu mengundur diri daripada menjadi Pengerusi Tabika Kemas Kampung Telok Layang. Sebenarnya Paksu telah meletak jawatan tersebut pada hari yang sama dengan perletakan jawatan sebagai Ketua Penerangan. Namun disebabkan rayuan daripada AJK Tabika yang selama ini telah banyak berkorban sepanjang 7 tahun memegang jawatan tersebut, Paksu teruskan juga hingga ke penghujungnya. Paksu telah berjanji kepada mereka untuk menjadikannya sebagai Tabika Kemas paling aktif bagi DUN Pengkalan Kundur.

Oleh yang demikian, sebaik sahaja kami berjaya mencapainya di penghujung tahun lalu, Paksu rasakan ia merupakan masa yang terbaik untuk mengundur diri. Ia juga bagi memuaskan hati mereka yang selama ini tidak suka Paksu aktif dalam UMNO lagi walaupun hanya sekadar untuk membantu anak-anak kecil di kampung sendiri. Tak mengapalah...Bukannya pangkat dan kedudukan begitu yang Paksu cari di dunia ini.

Dalam tulisan-tulisan di blog Tinta Persona sejak kebelakangan ini, Paksu tidak pernah menyentuh peribadi mahupun aktiviti mana-mana pihak dalam kepimpinan UMNO Kuala Kedah. Kecuali mungkin di peringkat awal dahulu di mana Paksu terpaksa menangkis tuduhan berniat jahat yang telah dilemparkan sama ada oleh orang yang di luar UMNO mahupun mereka yang di dalam UMNO itu sendiri. Biarlah itu semua menjadi kenangan pahit yang boleh dijadikan sempadan di kemudian hari.

Jauh di sudut hati, Paksu juga berharap mereka-mereka itu semua tidak lagi akan 'menganggu' diri ini kerana Paksu sepatutnya tidak lagi boleh dianggap sebagai 'a threat' atau ancaman kepada hasrat mereka untuk mendapatkan pangkat, kedudukan dan apa sahaja yang diimpikan sebelum ini.

Namun apa yang berlaku baru-baru ini amat menghiris perasaan khususnya merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah dalam mesyuarat biro beliau beberapa hari lalu. Oleh kerana bimbang, mungkin sahabat yang menyampaikan maklumat tersebut terkhilaf dalam pendengarannya, Paksu turut bertanya orang lain untuk kepastian. Entahlah... Paksu juga musykil kenapa beliau berbuat demikian......

Secara ringkasnya, Paksu dikatakan tidak membuat sebarang dokumentasi dan laporan sepanjang memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan....Tiada fail , tiada laporan dan tiada apa langsung yang boleh dijadikan bukti. Betulkah ini datang daripada Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah? Atau mungkin ada tangan-tangan lain yang bermain di sebalik tabir?

Izinkan Paksu menerangkan apa yang telah berlaku beberapa bulan yang lalu.

Setelah Cikgu Zul mengambil alih jawatan dan timbul isu berkenaan blog yang ditimbulkan oleh oleh SUK UMNO ketika itu, beliau telah datang berjumpa Paksu bersama-sama Dr Razif. Sama ada tujuan sebenar mereka datang, sama ada ikhlas ingin berbincang dengan Paksu dari hati ke hati atau semata-mata ingin mengambil alih blog itu, mungkin Allah sahaja yang tahu.....

Dalam pertemuan tersebut, antaranya Paksu ada memaklumkan bahawa semua laporan yang dibuat sebelum ini telah diserahkan kepada Setiausaha UMNO Bahagian (Tuan Haji Ahmad Shafiee - ketika itu). Laporan berkenaan mencangkupi setiap aktiviti dan minit mesyuarat yang telah dilaksanakan, serta salinan tulisan dalam blog telah diserahkan kepada beliau, kalau tidak silap di penghujung mesyuarat AJK Bahagian ke 2 pada awal tahun 2009.

Bagi setiap aktiviti yang dijalankan selepas laporan pertama itu, ia telah direkodkan dan dibukukan oleh Paksu sendiri dan kemudiannya ditambah oleh laporan yang telah dibuat oleh Setiausaha Penerangan UMNO Kuala Kedah ketika itu (Cikgu Man), siap dengan pelan tindakan dan senarai aktiviti yang bakal dijalankan hingga ke penghujung 2009.

Oleh kerana Cikgu Zul masih mahukan Cikgu Man kekal sebagai setiausaha, dan mengekalkan hampir kesemua AJK Paksu pada masa tersebut (atas alasan tidak mahu merubah apa-apa lagi),  Paksu meminta beliau mendapatkan baki laporan atau minit mesyuarat yang lain daripada Cikgu Man sendiri. Malah dalam mesyuarat biro yang diadakan selepas itu, kenapa ia tidak ditimbulkan ? (ketika itu Cikgu Man masih kekal sebagai setiausaha). Hanya setelah 8 bulan berlalu dan Cikgu Man pun telah meletak jawatan, tiba-tiba isu ini timbul kembali.

Pelik bin ajaib. Itulah rasanya jawapan yang paling baik menggambarkan apa yang telah berlaku. sama ada beliau lupa atau pura-pura lupa..itu bukan terletak pada diri ini untuk menjawabnya.

Bagi diri ini, Paksu masih ingat segala perbualan yang telah berlaku pada malam tersebut. Rasanya sebagai Pakar Jiwa yang banyak menggunakan akal dan ingatan dalam melakukan rawatan, memori Paksu masih lagi boleh berfungsi dengan baik hingga kini.....

Apakah ia bertujuan untuk menjatuhkan maruah Paksu lagi? Tidak cukupkah apa yang telah dilakukan sebelum ini?

Untuk apa? Demi keseronokan untuk mengumpat atau mengadu domba? Atau mungkin untuk memberi 'impression' bahawa Paksu ini tidak menjalankan tugas dengan baik kepada AJK baru demi meraih pubilisiti murahan..?

Kenapa ya? Tidak bolehkan mengangkat telefon dan bercakap walau seminit dengan Paksu untuk mendapat kepastian? Itupun jika telah lupa apa yang Paksu terangkan pada malam tersebut?

Mungkin Paksu ini terlalu hina untuk dihubungi ? Atau mungkin dianggap sebagai pariah yang tidak boleh disentuh atau dilihat bersama-sama orang yang dari kasta yang lebih tinggi?

Tak mengapalah...Paksu dah muak dan dah letih dengan mainan politik begini. Tidak ada faedahnya..... Jika ia boleh menyebabkan mereka rasa bahagia, biarlah...Paksu tak rugi sekupang pun. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui apa sebenarnya berlaku.

Cuma satu sahaja nasihat Paksu, itupun kalau masih sudi mendengarnya. Ingatlah...hidup ini ibarat roda. Ada hari kita di atas dan akan ada hari di mana kita akan berada di bawah. Janganlah terlalu angkuh ketika berada di puncak, takut nanti akan lebih pedih diperlakukan oleh orang lain ketika kita berada di bawah.....

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails