Followers

Sunday, 31 January 2010

Semuanya Retorik Semata-mata

Definisi :


Defition : rheroric :  http://www.thefreedictionary.com/rhetoric


rhetoric [ˈrɛtərɪk]
n
1. (Literature / Rhetoric) the study of the technique of using language effectively
2. (Literature / Rhetoric) the art of using speech to persuade, influence, or please; oratory
3. excessive use of ornamentation and contrivance in spoken or written discourse; bombast
4. speech or discourse that pretends to significance but lacks true meaning all the politician says is mere rhetoric
[via Latin from Greek rhētorikē (tekhnē) (the art of) rhetoric, from rhētōr rhetor]
Collins English Dictionary – Complete and Unabridged 6th Edition 2003. © William Collins Sons & Co. Ltd 1979, 1986 © HarperCollins Publishers 1991, 1994, 1998, 2000, 2003


Definisi Retorik (Kamus Dewan)


Retorik ialah teknik penggunaan bahasa, sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan yang mengandung aspek tatabahasa yang betul,selain penggunaan bahasa yang baik dalam penyampaian idea. Menurut Kamus Dewan (1996: 1135), retorik ialah seni penggunaan bahasa indah untuk menarik pemikiran pendengar. Justeru, ragam bahasa yang pelbagai diperlukan sebagai cara untuk mempengaruhi pendengar atau pembaca
 
Ulasan :

Sesungguhnya politik negara kita (dan boleh dikatakan majoriti semua negara di dunia ini...) dipenuhi dengan fenomena ini.
all the politician says is mere rhetoric.
maksudnya
apa yang diperkatakan oleh ahli politik hanyalah retorik semata-mata ...

Hakikatnya kebanyakan apa yang diperkatakan oleh pemimpin dan ahli politik berbentuk adalah berbentuk Retorik Pemujukan. Retorik jenis ini menggunakan bahasa pujukan untuk mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain supaya mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan.

Ambillah mana-mana ahli politik baik daripada pembangkang mahu pun kerajaan. Nada dan cara yang digunakan sama sahaja. Natijahnya pun sama - menang pilihan raya dan berkuasa memerintah.
 
Kadang-kadang pemimpin kita lupa (dengan sengaja atau tidak sengaja) bahawa rakyat bukanlah boleh diperbodohkan dengan kata-kata manis selama-lamanya. Pada zaman yang serba canggih dan dalam dunia yang tanpa sempadan ini, politik cara lama tidak lagi boleh digunapakai sepenuhnya. 
 
Jika dahulu, semua yang dihebohkan dalam Media Perdana dianggap sebagai 'the whole truth and nothing but the truth' dan  perlu dipercayainya sepenuhnya. Media Alternatif pula dilabelkan sebagai pembawa fitnah semata-mata. Namun kini MASA TELAH BERUBAH. Media Perdana kini telah hilang taringnya.

Begitu juga pemimpin kerajaan. Mereka juga menerima nasib yang sama - tidak kira daripada UMNO, MCA dan MIC atau mana-mana parti komponen dalam Barisan Nasional. Namun oleh kerana UMNO merupakan parti terbesar, impaknya mungkin lebih terserlah berbanding parti lain.
 
Siapakah yang perlu dipersalahkan dalam hal ini? PEMIMPIN - RAKYAT - PARTI - ATAU SEMUA ORANG ? Apa yang jelas ialah rakyat kini telah bijak menilai. Pemimpin yang hanya pandai bermain kata-kata tidak lagi menjadi pilihan. Janji manis dan wang yang ditabur tidak lagi boleh menjamin kejayaan yang cemerlang dan gemilang....
 
Tidak perlu terus-terusan berbohong atau bercakap berbunga-bunga. Tidaklah perlu bersembunyi di sebalik kata-kata yang indah tapi jelas dusta semata-mata.
 
Kalau ekonomi kita lemah -katalah lemah. Kalau negara tidak berduit - akuilah dengan ikhlas. Tidak perlu berdolak dalik . Tidak perlu mengindahkan kata-kata dengan statistik yang direka-reka.
 
Potong sana , potong sini. Kononya untuk tujuan berjimat cermat. Tapi mengapa pada yang sama kita berbelanja sakan dan membuat pembaziran di sana sini  pada sesuatu yang tidak langsung menguntungkan rakyat. 
 
Adakah slogan RAKYAT DIDAHULUKAN - PENCAPAIAN DIUTAMAKAN  atau UMNO JUARA RAKYAT  benar-benar dipegang secara hakiki? 
 
Rasanya daripada apa yang sedang dan telah berlaku, semua ini juga merupakan RETORIK semata-mata. Umum mengetahui bahawa ia tidak lebih seperti laungan kosong yang cuba memperbodohkan kita semua. 
 
Renunglah diri sendiri wahai pemimpin yang kami hormati. Jangan suka bercakap meninggi diri dan menabur janji yang tidak akan kamu tepati.
 
SEDARLAH BAHAWA RAKYAT AKAN SENTIASA MENILAI ANDA - TIDAK KIRA ANDA PEMIMPIN HINGUSAN DI AKAR UMBI ATAU ANDA ADALAH PERDANA MENTERI...

KURANGKAN BERCAKAP DAN BANYAKKAN BEKERJA
BUATLAH SESUATU UNTUK MENCARI PAHALA DAN BUKANYA UNTUK MENAGIH PUBLISITI MURAHAN SEMATA - MATA.  

Thursday, 28 January 2010

Apa Muslihat Dato' Seri Anwar?

http://malaysia.news.yahoo.com/bnm/20100127/tts-anwar-image-bm-993ba14.html
ALLAH ISSUE: ANWAR CRITICISED FOR TARNISHING COUNTRY'S IMAGE

Hmmm... Paksu rasa ramai orang Islam yang tidak bersetuju di negara ini tidak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim ini. Tapi kalau dilihat dari segi sejarah, DSAI sememangnya bijak menggunakan isu-isu begini untuk mendapat political milage dan mendapat publisiti murahan khususnya daripada media antarabangsa.

Entah apalah sebenarnya muslihat DSAI. Kenapa dan mengapa beliau berbuat demikian tanpa mengambilkira sensitiviti orang Melayu dan orang Islam , hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.

Setahu Paksu, Dato' Nik Aziz sendiri tidak bersetuju dengan penggunaan Kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini. Jadi kenapa beliau tidak berbincang dahulu dengan Tuan Guru ? Mengapa terus-terusan menyemarakkan sentimen api kemarahan dalam kalangan masyarakat kita dan pada masa yang sama memalukan negara di peringkat antarabangsa? 

Inilah yang Paksu sering katakan. Pemimpin kita baik daripada pembangkang mahu pun kerajaan semakin hari semakin gagal meletakkan kepentingan rakyat dan negara dahulu berbanding kepentingan politik atau peribadi. Akhirnya nanti , negara akan huru hara dan rakyat pula akan menderita.

Begitulah al kisah politik Malaysia masa kini. Semakin hari semakin bercelaru!


Bernama

Bernama - Thursday, January 28

KUALA LUMPUR, Jan 27 (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) adviser Datuk Seri Anwar Ibrahim was today criticised for not giving an accurate picture on the Allah issue in his writing which was published by the foreign media.

Federal Territory Umno liaison secretary Datuk Wira Syed Ali Alhabsee, who is also Cheras Umno division head, said Anwar was also actively lobbying overseas non-governmental organisations to tarnish the government's image on the matter.

“His action in colluding with foreign countries, including their media, is very worrying because what is happening in the country over the Allah issue has been exploited," he said in his blog.

He said Anwar claimed that the government had failed to tackle the issue on the attacks at churches and other houses of worships.

“It is an act of betrayal and gives a picture that the Barisan Nasional government, which is led by Umno, is cruel to the minority race in the country," he added.

He was commenting on an article by Anwar, titled “Muslim Have No Monopoly over Allah”, which was published in the Wall Street Journal recently.

Syed Ali regretted that Anwar accused the UMNO leaders and the mainstream newspapers for highlighting racial issues. On the incident of four severed wild boar heads being dumped at two mosques in Petaling Jaya this morning, he said the matter should be left to the police to investigate.
--BERNAMA

Bukan Tak Siuman Tan Sri TPM - Itu Biadap Namanya!

Paksu tertarik dengan komen yang dibuat oleh TPM kita dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini. Anda boleh membacanya di bawah atau di sini

TPM anggap tindakan tidak siuman

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm

Bagi Paksu, persoalannya bukan mereka ini siuman atau tidak siuman. Yang penting lebih penting ialah kenapa fenomena begini dibenarkan berlaku?

Sejak kebelakangan ini banyak kes yang terjadi dan seolah-olah cuba mencabar kesabaran kita sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia  di negara ini. Apa yang membimbangkan ialah cara pemimpin kita menangani masalah-masalah sebegini dilihat terlalu lembab, lemah dan tidak IMMEDIATE.

Kita tidak hanya boleh mengutuk atau mengulang-ulang amaran demi amaran. Mereka yang melakukan jenayah begini harus dihukum DENGAN SEGERA DAN SERTA MERTA. Menunggu kes mahkamah bagi Paksu terlalu lama dan tidak akan dapat memberi impak yang cukup kepada golongan begini.

Mereka ini KURANG AJAR, BIADAP DAN TIDAK BERHATI PERUT. Mungkin itulah ungkapan atau gelaran PALING MANIS dan SOPAN yang boleh diberikan. Banyak lagi perkataan yang BERSESUAIAN yang boleh Paksu diberikan tetapi mungkin ia kurang sesuai untuk diucapkan! (takut nanti blog ini akan hilang kredibilitinya pula..)

Paksu amat hairan dan kecewa kenapa PM, TPM dan Menteri Dalam Negeri tidak mahu menggunakan ISA bagi menangkap dalang-dalang di sebalik perbuatan sedemikian. Menghina Allah SWT, menyerang surau dan terkini melontarkan kepala babi hutan. Apakah ini tidak cukup untuk kita menggunakan akta tersebut? Tidakkah kita bimbang akan kemungkinan berlakunya rusuhan kaum atau agama jika ia dibiarkan berterusan?

Entahlah... Mungkin pemimpin kita ada alasan mereka tersendiri. Cuma Paksu risau kerana emosi ramai umat Islam di negara ini termasuk Paksu sendiri telah lama terguris dan terhiris. Mungkin bagi kita yang masih siuman dan boleh mengawal diri, perkara sebegini masih boleh difikir secara waras dan dinilai dengan sebaik mungkin.

Paksu sering termenung di waktu malam kebelakangan ini. Bimbang bumi Malaysia akan berlumuran darah dek akibat perbuatan sebegini. Bagaimanakah kita akan menghadapinya jika Peristiwa 13 Mei berulang semula? Apa pula yang akan jadi kepada anak cucu kita?

Paksu merayu dan berdoa agar pemimpin kita diberi petunjuk dan hidayah untuk menghadapi dugaan ini. Harapan Paksu, mereka akan berjaya menanganinya dengan bijak dan berkesan. Mereka ada kuasa dan Paksu berharap mereka akan menggunakannya dengan sebaik mungkin.

Ya Allah, peliharalah negara kami daripada terus dinoda dan dihancurkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini. Berikanlah kekuatan untuk kami semua menghadapi dugaan ini. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Berkuasa di atas segala-galanya...


Daripada Utusan Malaysia
CEBU 27 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa marah dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan biadap individu yang membaling kepada babi ke dalam dua buah masjid di ibu negara hari ini.
Sambil meminta semua pihak bertenang dan tenteram, beliau juga mahu polis mengambil langkah segera dan bertindak ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.
Muhyiddin turut menyifatkan kejadian itu sesuatu yang memalukan dan beranggapan seluruh rakyat Malaysia tidak kira umat Islam atau bukan Islam, mengutuk perbuatan tersebut.
‘‘Kejadian ini adalah sesuatu yang tidak siuman dan tidak seharusnya berlaku. Ia juga sangat bertentangan dengan amalan-amalan rakyat Malaysia yang rasional,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai reaksi kepada kejadian masjid Imam At-Tirmizi di Sri Sentosa, Kuala Lumpur dan Masjid Jumhuriahdi Taman Datuk Harun, Petaling Jaya yang dilempar dengan objek dipercayai kepala babi hutan.
Dalam kejadian awal pagi itu, objek tersebut ditemui oleh jemaah masjid selepas selesai menunaikan solat Subuh dalam keadaan berbungkus dengan plastik putih berserta wang tunai sebanyak RM35.

Lebih Baik Suruh Kerja Sampai Pencen....

Paksu tersenyum sendirian bila membaca komen YB Senator kita ini.  Tak ingin nak komen panjang kerana bagi Paksu, statement begini tidak lebih daripada cubaan untuk mencari publisiti murahan. 

Lagi baik suruh semua doktor bekerja dengan kerajaan sampai pencen. Atau lagi hebat, kerja sampai umur 65 tahun atau sampai sudah tak mampu lagi untuk berjalan!


Kenapa doktor saja, kenapa tidak masukkan sama pegawai farmasi, doktor gigi, peguam, arkitek, jurutera dan sebagainya? Bukankah itu lebih adil?

 Lanjutkan tempoh khidmat wajib doktor

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm



HOSPITAL kerajaan sering menghadapi masalah kekurangan doktor kerana ramai yang berhenti kerja selepas lima tahun. - Gambar hiasan



PUTRAJAYA - Tempoh perkhidmatan wajib doktor dalam kerajaan dicadang dilanjutkan sehingga lima atau 10 tahun berbanding tiga tahun pada masa ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah berkata, cadangan itu bertujuan mengatasi masalah kekurangan doktor di hospital-hospital kerajaan yang berlaku saban tahun.
Pada tahun lalu, katanya, negara menghadapi masalah kekurangan doktor sebanyak 5,000 orang.
"Tiap-tiap tahun kita ada masalah kekurangan doktor kerana mereka ini hanya berkhidmat dengan kerajaan selama lima tahun, iaitu dua tahun untuk housemanship (latihan) serta tiga tahun untuk perkhidmatan wajib dan selepas itu mereka tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan.
"Sistem ini diguna pakai sejak 1971, jadi kita perlu ada mekanisme baru untuk menyelesaikan masalah ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di sini semalam.

Monday, 25 January 2010

Kenapa Orang Kita Suka Meminta-minta?

Budaya meminta-minta sudah sememangnya sinonim dengan masyarakat Melayu. Entah mengapa, orang Melayu lebih selesa dengan fenomena ini. Ia malah dianggap sebagai sesuatu yang lumrah dan tidak lagi pelik di mata masyarakat kita.

Kita suka meminta apa sahaja. Bantuan sara hidup, baiki rumah, biasiswa , baiki basikal , motosikal, kereta, lori, bas dan sebagainya. Kita juga sukakan subsidi. Subsidi baju sekolah, kasut sekolah, buku sekolah, baja, minyak petrol , beras atau apa sahaja yang dirasakan perlu untuk kesenangan kita.

Yang peliknya, kalau yang menerima bantuan ini terdiri daripada orang yang susah dan tidak berkemampuan untuk bekerja lagi itu mungkinlah boleh diterima. Tapi yang peliknya mereka yang sihat tubuh badan dan akal fikiran juga berkehendakan benda yang sama. Aku pun ada hak, kata mereka. Kenapa dia saja yang dapat, kenapa pula aku tidak dapat?

Orang Melayu juga tidak malu untuk menerima zakat atau bantuan walaupun mereka sebenarnya tidak layak langsung untuk menerimanya. Mereka menggunakan saluran politik, orang dalam dan sesiapa sahaja yang dirasakan boleh membantu mereka mendapatkannya. Malah borang untuk Skim Baucer Tuisyen atau Skim Program Makanan Untuk Kanak-kanak Sekolah pun tidak terkecuali. Menipu dalam borang Penyata Pendapatan Ibu Bapa bukanlah sesuatu yang luar biasa. Maklumlah Pengerusi JKKKP bukankah orang kita, jawab mereka. Maka terjadilah senario di mana wang kerajaan disalurkan kepada mereka yang tidak benar-benar tidak berhak menerimanya.

Begitu juga dalam senario politik tanah air kita. Orang Melayu daripada peringkat bawah hingga ke peringkat atasnya gemar meminta-minta. Mungkin jumlah yang diminta sahaja berbeza. Biasalah ...ikan kecil perlukan umpan yang kecil , ikan besar tentulah memerlukan umpan yang lebih lumayan! Tanyalah kepada bijak pandai dalam politik. Kalau anda sebagai seorang ketua bahagian contohnya, dan anda tidak pandai 'menabur wang', maka karier anda dalam politik tidak lama lagi akan turut melayang.

Rakan-rakan dan orang sekeliling perlu 'dijaga'. Dalam erti kata lain, mereka perlu diberikan habuan dalam bentuk apa sekalipun untuk memastikan mereka terus menyokong anda. Pemimpin cawangan, pemuda, wanita, puteri dan sebagainya pun turut menjadi sebagaian dairpada tanggung jawab anda. Itu tidak kira lagi rakyat jelata yang hanya menunggu masa untuk anda datang ke tempat mereka.

Wang pun dihambur di sana sini. Rumah rosak perlu dibaiki. Basikal yang lama perlu diganti. Bot yang baru perlu dibeli. Bayaran bil letrik, air dan sebagainya jangan pula dilupa kerana itu semua penting dibantu oleh Tok Ketua....

Sakit demam perlu dilawati. Begitu juga kenduri kahwin dan apa saja lagi. Maklumlah orang UMNO kan kena Kerja Pagi Petang Siang Malam Subuh Senja....Tapi jelasnya poket ketua sendiri pun kena tebal juga. Kalau tidak bagaimana hendak dihulur ketika melawat ke tempat mereka. Diberi sedikit dikatakan kedekut. Diberi banyak dikata menunjuk-nunjuk. Tak dihulur langsung, alamat nama pemimpin akan diusung keliling kampung. Pemimpin begitu memang tak guna dan tak perlu disokong...Pulaukan dia, jatuhkan dia, hancurkan dia, laung mereka....

Duit kerajaan pun kadang-kadang digunakan juga. Maklumlah untuk salurkan bantuan kepada pengundi mereka. Maka dimintalah bantuan rumah PPRT, ASB dan apa saja. Khususnya untuk orang kuat mereka. Kadang-kadang ramai pemimpin yang mengeluh. Kenapa permintaan mereka ini tidak habis-habis? Duit aku berjuta aku laburkan. Namun suara mereka masih kedengaran...

Namun selagi pemimpin kita dari peringkat atas hingga ke bawah tidak mahu berubah, jangan haraplah fenomena ini akan bertemu noktah. Elakkan memberi sesuatu hanya untuk untuk mengabui mata atau menutup dosa. Bekerjalah  dengan ikhlas dan mematuhi kehendak agama. Budaya begini tentunya dapat dihindari.

Bolehkah kita semua berubah dengan sekelip mata ?? Hmmm.... rasanya masih terlalu awal untuk mengimpikannya....

Friday, 22 January 2010

Hati-hati Bila Berbicara.

Paksu sebenarnya cukup terkilan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Nazri kita terutamanya sejak kebelakangan ini. Mungkin ada sebab mengapa beliau bertindak sedemikian, namun rasanya elok kalau beliau berhenti sejenak dan bermuhasabah diri semula.

Kalau populariti yang dicari, rasanya tindakan yang dilakukan itu bukanlah sesuatu yang bijak. Sebelum ini beliau cuba mencari 'political milage' dengan mempersenda dan menghina bekas Perdana Menteri dengan menuduh beliau seorang yang 'racist' . Terkini beliau bersuara lagi. Kali ini tanpa sebarang justifikasi atau alasan yang kukuh , beliau membuat kenyataan membenarkan penggunaan Kalimah Allah di Pulau Pinang, Sabah & Sarawak tanpa mempedulikan proses rundingan serta perundangan yang sedang diusahakan.

Apa sebenarnya yang bermain di minda beliau? Inikah cara seorang yang bergelar Menteri? Layakkah beliau berbicara tentang agama dengan sewenang-wenangnya? Seperti yang Paksu pernah katakan, kita mempunyai Menteri yang khusus untuk hal ehwal agama. Bukankah itu sebabnya Dato' Seri Jamil Khir dan Dato' Masyitah Ibrahim dibawa masuk ke dalam kabinet? Tidakkah mereka ini lebih arif dalam bidang tersebut berbanding beliau sendiri?

Jadi kenapa ingin terus mencari publisiti murahan seperti ini? Tidakkah ada orang yang boleh menegur beliau supaya tidak terus melakukan tindakan yang kurang cerdik seperti itu? Kita semua mengutuk tindakan YB Khalid Samad kerana mempertikaikan keputusan Sultan Selangor mengenai isu tersebut, tetapi pada masa yang sama kita membiarkan Dato' Nazri terus mempersendakan perkara yang sama.

Hairan ya..... Perlukah Dato' Seri Najib memanggil beliau sekali lagi seperti mana beliau dipanggil dalam isu memperlekehkan Mantan Perdana Menteri kita dahulu? Perlukah beliau diberi arahan oleh PM baru beliau akan diam dan akur dengan perintah tersebut?

Susahlah kalau menteri-menteri kita semua bersikap begini. Bercakap tanpa berfikir implikasi yang mungkin timbul rasanya amat kurang bijak. Ini isu sensitif . Jadi biarlah orang yang berkelayakan diberi masa untuk menyelesaikannya. Jangan cuba menahan lukah di pergentingan. Jangan suka menangguk di air keruh. Nasihat Nabi kita, Muhammad SAW, jika tidak ada yang baik dan berfaedah yang hendak diperkatakan, adalah lebih baik kita berdiam diri.

Mencari populariti memang diakui lumrah dalam kalangan ahli politik. Tapi rasanya Dato' Nazri, bukankah cara begini sebenarnya lebih terarah kepada 'political hara kiri' ???

Entahlah.....Paksu ini bukan orang yang hebat dalam politik. Dato' Nazri dengan Paksu umpama langit dengan bumi. Paksu cuma ingin memberi nasihat sahaja. Itu pun sekiranya Dato' sudi menerima. Paksu bukan mengharapkan apa-apa. Cuma ingin melihat bangsa dan agama kita terus kukuh di persada dunia.

Tepuk Dada Tanya Iman....Hanya ALLAH SWT sahaja Yang Maha Mengetahui.

Saturday, 16 January 2010

Renungilah Pandangan Raja Nazrin Ini......

Dalam akhbar Utusan Malaysia 15.01.2010 , Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah telah menasihati dan mengingatkan semua pihak untuk tidak memandang ringan perkara-perkara yang berunsur kontroversi.....
(anda boleh membacanya di sini : Jangan Pandang Ringan - Raja Nazrin

Oleh HAMIMAH HAMID
 atau di bawah)

Ramai daripada kita mungkin terdiam sejenak bila mendengar nasihat bernas yang telah dikeluarkan itu. Sebelum ini Sultan Selangor pun pernah bertitah dengan nada yang sama. Terdetik di hati kita , hmmm... benar juga titah baginda.  Lantas kita pun terus menggaru-garu kepala kita yang tidak gatal itu.

Persoalannya - benarkah pemimpin kita masa kini makin leka, makin lupa atau makin mengambil mudah isu yang berpotensi untuk menjadi kontroversi. Jika ya, kenapa? Entahlah... adakah mungkin mereka terlalu ingin menunjuk-nunjuk bahawa mereka itu berfikiran luas , moden , hebat dan terbuka...?

Kami boleh berkongsi dan boleh berbincang semuanya. Kami boleh beri apa saja yang diminta. Kami sanggup berkorban apa saja. Kami pemimpin zaman moden. Bukan pemimpin kolot seperti mereka yang terdahulu. Kami boleh bagi apa saja demi mengkotakan semangat 1 Malaysia. Syaratnya anda semua mesti undi kami dan pastikan kami terus berkuasa... Mungkin itulah agaknya yang bermain di fikiran mereka.

Rasanya terlalu banyak isu yang timbul sebelum ini yang boleh diselesaikan dengan cara yang lebih cerdik berhemah dan 'subtle' kata orang putih. Malangnya, seperti biasa, ramai pemimpin kita semuanya lebih gemar menangguk di air keruh. Tak kiralah daripada parti apa mereka berasal dan logik apa yang mereka pakai. Isu kontroversi adalah tiket mudah untuk popular.

Pemimpin mana yang tidak ingin menjadi popular? Pemimpin mana yang tidak ingin menonjolkan diri ? Lihatlah semua rakyat Malaysia. Akulah pemimpin yang paling hebat sekali. Akulah pejuang bangsa. Akulah orang kuat Dato' Seri Najib , Tan Sri Muhyiddin dan sebagainya. Pandanglah aku, ingatlah aku dan ambillah aku bila pilihan raya menjelang nanti. Akulah hulubalang PM dan aku akan lawan siapa saja. Betul atau tidak apa yang aku kata, itu lain cerita. Bagilah aku jawatan tinggi kerana aku pandai menonjol diri walaupun kerja aku tak seberapa......Itulah rasanya yang berpusing-pusing dalam jiwa dan sanubari pemimpin kita.

Isu terkini ialah kontroversi penggunaan Kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Sungguh malang nasib orang Melayu dan orang Islam bila kebanyakan pemimpin kita pada mulanya mengambil ringan isu tersebut. Tak pasti pula mengapa. Juga tidak pasti mengapa akhbar berkenaan tiba-tiba beria-ia ingin menggunakan Kalimah Allah sedangkan sebelum ini tidak pula begitu.Apa sebenarnya motif mereka? Ingin cuba melihat sejauh mana toleransi umat Islam di negara ini? Mungkin ya atau mungkin juga ada muslihat yang lebih besar daripada itu. Tak berani pula kita hendak mentafsirkannya. Takut nanti dicap sebagai menghina mahkamah.

Bila penghakiman dibuat di Mahkamah Tinggi, tentulah sedih laymen seperti kita mendengar komen Tuan Hakim Yang Arif lagi bijaksana. Ujar beliau, pihak yang mewakili kerajaan antaranya gagal membuktikan secara jelas terperinci mengapa Kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam bagi menyampaikan mesej kepada orang bukan Islam yang lain.

Tentunya ramai daripada kita terkebil-kebil memikirkan penghakiman tersebut. Terdetik di hati kecil ini -  kenapa, mengapa dan bagaimana ia dibenarkan berlaku?  Mungkinkah Peguam Negara dan sahabat-sahabatnya yang ramai dan bijak pandai itu tidak (atau kurang) bersedia untuk menghadapi kes ini? Mungkinkah mereka terlalu yakin kerana telah mendapat kemenangan di peringkat awal hingga mereka lalai dan mengambil ringan bila ia tiba di Mahkamah Tinggi?

Tidakkah Peguam Negara mendapat nasihat yang baik daripada peguam Syariee yang berada di bawah tangan mereka? Terlalu sibukkah beliau untuk beliau bertanya kepada para ulama yang lebih maklum dalam bidang ini? Paling kurangpun kita ada Dato' Jamil Khir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Dato' Masyitah Ibrahim di tempat yang sama. Bukan calang2 orang mereka ini.

Itu belum lagi termasuk ribuan ilmuan dan cerdik pandai yang mampu menangkis seribu alasan dan hujah yang bakal dikemukakan oleh penguam yang menentang. Kenapa Yang Arif lagi Bijaksana Tuan Peguam Negara tidak mengganggapnya satu priority untuk mengendalikan kes ini sepenuhnya sendiri daripada dibiarkan anak buah beliau sahaja bertungkus lumus di mahkamah? Ini isu besar dan isu penting. Maruah agama yang dipertaruhkan. Bukan benda kecil...

Lebih pelik dan menyedihkan, ialah kenapa ia dibenarkan dibawa ke Mahkamah Sivil in the first place. Tidakkah ia merupakan satu isu sensitif? Bukankah Kalimah Allah tersebut telahpun diharamkan penggunaannya oleh orang bukan Islam di Malaysia sebelum ini? Tidak bolehkah Kementerian Dalam Negeri menggunakan cara yang lebih discrete dan lebih diplomasi bagi menghalangnya daripada sampai ke peringkat ini?

Benar, ada ketika kita boleh bertoleransi dan kita boleh bekerjasama. Namun janganlah sampai kepala kita pun hendak dipijak. Aduhh... kalau beginilah pemikiran pemimpin kita masa kini, bagaimanalah nasib anak cucu kita nanti? Mungkinkah kita akan merempat di negara sendiri? Mungkinkah kita semua akan pupus dek kerana kerakusan dan kealpaan pemimpin kita yang nampaknya seperti orang pandai tak boleh diturut , atau orang bodoh yang tak boleh diajar?

Entahlah, hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Kita hanya mampu berdoa. Tadahlah tangan setiap kali lepas sembahyang. Pohonlah agar pemimpin kita kembali ke jalan yang benar. Manalah tahu, moga-moga Allah akan makbulkan doa daripada hamba-hambanya yang kerdil ini....


Raja Dr. Nazrin Shah menerima zakat perniagaan daripada pengarah urusan tiga syarikat, Korakan Sdn. Bhd., GPB Corporation Sdn.Bhd dan DSI Bumi (M) Sdn. Bhd., Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (dua dari kiri) di Persidangan MAIAMP Ke-169 di Ipoh, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------
IPOH 14 Jan. - Raja Muda, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan semua pihak supaya tidak memandang ringan perkara-perkara berunsur kontroversi sebaliknya bijaksana mengenal pasti asas untuk meningkatkan perpaduan.

Baginda bertitah, untuk hidup dalam suasana harmoni, perkara-perkara yang boleh meningkatkan persefahaman wajar disuburkan dan mengelak sesuatu yang boleh menimbulkan persengketaan.

"Perkara-perkara yang bersifat kontroversi sangat mudah mendatangkan reaksi dan salah faham malah berpotensi mencetuskan suasana konfrontasi.

"Sejarah banyak membuktikan bahawa peperangan dan pertentangan bermula daripada perkara kecil. Sedarilah bahawa api yang besar lagi memusnahkan bermula daripada bara-bara kecil yang gagal dipadamkan," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah demikian pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) Ke-169 di sini hari ini.

Menurut Raja Muda, semua pihak perlu memahami implikasi negatif yang boleh dicetuskan daripada perkara-perkara yang bersifat kontroversi tersebut.

Tegas baginda, sifat tidak mahu berganjak semata-mata untuk mempertahankan ego hanya akan mengakibatkan kesemua pihak menanggung rugi.

"Kembalikanlah minda untuk mencapai kejayaan sejati yang tidak menjejaskan keharmonian insan dan perpaduan. Perpaduan adalah faktor yang sangat diutamakan.

"Perpaduan merupakan elemen menjamin hubungan di antara insan dapat berlangsung secara harmoni. Perpaduan akan dicapai melalui sifat persefahaman dan saling menghormati di antara satu sama lain," titah baginda.

Sementara itu, menurut Raja Nazrin, dalam memantapkan struktur organisasi dan pentadbiran, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 telah dipinda dan akan berkuat kuasa Februari ini.

Titah baginda, berasaskan Enakmen Pindaan 2009 itu, jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MAIAMP dipisahkan.

Baginda bertitah, lantikan Ketua Pegawai Eksekutif MAIAMP di bawah kuasa mutlak Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang bertanggungjawab memenuhi peranan setiausaha dan pentadbir serta menjalankan dasar dan ketetapan MAIAMP.

"Melalui pemisahan kuasa dan jawatan ini, MAIAMP dapat beroperasi dan berfungsi mencapai tahap kemajuan lebih tinggi, berupaya memperkenalkan budaya pengurusan lebih dinamik, inovatif, cekap dan berkesan.

"MAIAMP perlu adakan program lebih dinamik, berdimensi baru, lebih segar dan bernafas baru. Fikirkan, perkenalkan dan laksanakan program yang dapat membawa anak muda mendekati Islam," titah baginda.

Wednesday, 13 January 2010

Sudah Terantuk Baru Tengadah

Paksu tersenyum sendiri bila membaca kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengatakan bahawa setelah mengambil kira pandangan beban ibu bapa dan keselamatan pelajar, maka Kementerian Pelajaran telah bersetuju untuk menaikkan jumlah hari penyediaan makanan pelajar di asrama daripada 200 kepada 240 hari. Itupun masih kurang 10 hari daripada 250 hari yang ditetapkan sebelumnya.

Paksu musykil kenapa arahan awal yang tidak begitu cerdik dikeluarkan oleh pihak Kementerian. Tidak adakah orang dalam Kementerian Pelajaran yang dapat menjangka bahawa keputusan yang sedemikian akan menyebabkan ramai ibu bapa mengeluh dalam penuh penderitaan? Mungkinkah mereka yang membuat keputusan di bilik berhawa dingin dengan memakai baju yang mahal-mahal, telah lupa bahawa ramai orang Malaysia khususnya orang Melayu masih ramai yang berada dalam kesusahan? Mungkin juga mereka telah tidak lagi peduli dengan kesengsaraan yang ditanggung oleh orang-orang Melayu....

Kenapa , kenapa dan kenapa? Kementerian yang dikuasai oleh pemimpin UMNO yang berbangsa Melayu dan beragama Islam sendiri telah lupa bahawa ramai anak Melayu yang akan tersiksa dengan keputusan tersebut. Siapakah yang kebanyakannya menjadi penghuni asrama di sekolah-sekolah? Orang Melayu bukan? Berapa peratuskah daripada mereka mempunyai ibu bapa berpendapatan melebih RM 5000 sebulan? Amat sedikit bukan?

Jadi mengapa kita membuat keputusan yang jelas akan mendera orang Melayu? Sudah butakah mata pemimpin kita? Sudah pekak kah telinga mereka ? Sudah hilangkah belas kasihan mereka kepada orang yang sebangsa dan seagama dengan mereka?

Inikah yang dilaung-laungkan oleh UMNO sebagai Juara Rakyat? Juarakah UMNO kalau terus membantu menindas orang Melayu? Juarakah UMNO jika pemimpin yang hanya manis di mulut tetapi di hati masih busuk isinya?

Kenapa pemimpin kita semakin mudah lupa? Mengapa mereka tidak lagi peka dengan kehendak bangsa kita? Kenapa kita terikut-ikut rentak pembangkang yang inginkan kesamarataan tetapi pada masa yang sama menindas bangsa Melayu kita sendiri?

Kita masih ada kuasa. Kenapa begitu bodoh untuk tidak menggunakannya? Kenapa begitu mudah mengalah tanpa mahu berjuang? Adakah saki baki darah Laksamana Hang Tuah tidak lagi mengalir di dalam badan pemimpin kita? Mahukah kita terus menjadi tolol seperti kerbau yang dicucuk hidung?

Kadangkala Paksu rasa pemimpin kita masa kini sudah seperti kehilangan arah dan tujuan. Natijah perjuangan telah jauh menyimpang daripada landasan yang sebenar. Jika pemimpin atasan sendiri telah hanyut dalam keghairahan dan kerakusan untuk terus berkuasa hingga sanggup menggadai apa saja yang ada , apa lagi yang tinggal untuk kita?

Ya Allah... sedarkanlah pemimpin kami daripada mimpi mereka. Jauhkanlah mereka daripada kemungkaran dan godaan syaitan. Berilah mereka sedikit kekuatan untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara......

Wahai para pemimpin UMNO sekelian. Muhasabahlah diri kembali. Bangsa kamu masih mengharapkan kamu untuk terus berjuang. Bukan terus hanyut dalam kesenangan dan kehendak duniawi....Pangkat dan kedudukan bukan segala-galanya... Ingatlah bahawa setiap pemimpin itu akan disoal di akhirat nanti sama ada anda semua telah melakukan yang terbaik di dunia ini.....

Ingatlah wahai pemimpin ku sekelian. Bahawa Allah itu ada. Akhirat itu ada. Hari pengadilan itu ada. Kehidupan kita tidak berakhir di sini...........

Tuesday, 12 January 2010

Konsep 1 Malaysia - Menguntungkan Siapa Sebenarnya?

Konsep 1 Malaysia mula diperkenalkan oleh Dato' Seri Najib ketika beliau mula mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi pada tahun lalu. Prinsip utama ialah untuk menjadikan dan mewujudkan satu bangsa Malaysia - tanpa mengira bangsa dan keturunan asal mereka. Semua bangsa di Malaysia secara dasarnya dianggap sama rata dan mempunyai hak yang sama.

Ramai cendikiawan, bijak pandai dan pemimpin bangsa Melayu ketika itu melahirkan rasa bimbang dan ragu-ragu terhadap idea demikian. Apakah hak dan keistimewaan orang Melayu akan terhakis? Apakah orang Melayu akan dipinggirkan di bumi mereka sendiri? Bolehkah UMNO dan Barisan Nasional terus membela nasib anak-anak bangsa Melayu di masa yang akan datang?

Tentu sekali, jawab para pemimpin UMNO kita dari segenap lapisan. Kami akan terus membela dan mempertahankan hak kita di negara yang tercinta ini. Walau pun ketika itu, ramai pemimpin UMNO sendiri masih kabur dan bingung dengan konsep yang baru diperkenalkan, namun mereka terus mengulangi pendirian pemimpin atasan seperti 'a broken record' kata orang putih....Takkan lah pemimpin dari kalangan orang Melayu akan menganak tirikan orang Melayu sendiri, ujar mereka.

Setelah hampir setahun berkuasa, nampaknya apa yang dikhuatiri oleh ramai pemimpin dan cendikiawan Melayu mula menghantui kita semua. Mungkin pemimpin kita masih cuba berdolak dalih dengan pelbagai alasan dan ulasan, namun hakikatnya orang Melayu sekarang menjadi seperti menumpang di bumi sendiri.

Hak dan keistimewaan kita mula terhakis satu persatu. Untuk mengaku diri mempertahankan orang Melayu, tidak lagi dibenarkan oleh bangsa lain. Itu rasis kata mereka. Ianya berunsur perkauman, laung mereka.

Dari segi pendidikan contohnya, kerajaan sanggup membelanjakan RM 1 billion setahun untuk sekolah Cina dan Sekolah Tamil (kata Tan Sri Muhyiddin). Bagaimana pula dengan Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama Rakyat? Berapa banyakkah yang diperuntukkan kepada mereka?

Lihatlah di sekeliling kita. Berapa banyak pelajar dan guru dari Sekolah Agama Rakyat yang terpaksa mengemis dan meminta sedekah hanya untuk membina asrama dan mendapat kemudahan yang boleh dianggap primitif dan 'out dated' ketika ini. Anak-anak yatim terpaksa menjual minyak angin dan kalendar hanya untuk mencari sekupang dua bagi membiayai pengajian mereka.

Sekarang tidak ada lagi skim baucer tuisyen untuk kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan. Ditangguhkan kata kerajaan.....Sekolah-sekolah terpaksa membayar bayaran elektrik dan air sendiri. Sekolah berasrama hanya akan menanggung makan dan minum pelajar untuk tempoh 200 hari persekolahan sahaja...

Sekolah Cina dan Tamil dengan mudah mendapat pelbagai peruntukan kerajaan untuk memperbaiki prasarana. Sekolah Kebangsaan pula terpaksa mencari inisiatif sendiri. Mintalah kepada ibu bapa. Cari lah tajaan dan bantuan. Rayulah kepada Yang Berhormat dan sebagainya. Itupun kalau rayuan mereka masih didengar. Kerapkali Yang Berhormat, Ketua Bahagian, dan lain-lain hanya tersenyum dan memberi seribu dalih dan sejuta alasan. Itu bila melibatkan bangsa kita....Kalau bangsa lain., hmmm.... cepat pula ada peruntukannya...

Anehnya, kita masih punya kuasa. Namun kita tidak mampu untuk membuat sesuatu yang begitu mudah demi maruah bangsa dan agama kita. Isu Kalimah Allah menjadi contoh yang paling mudah. Sepatutnya ia tidak langsung menjadi perdebatan. Namun dek kerana ingin membuktikan sikap keterbukaan dan keharmonian yang entah di mana penghujungnya, kita terperangkap dalam dilema yang cukup memalukan. Inikah yang dikatakan ingin membela agama dan memelihara bangsa?

Kita sanggup memberi apa saja kepada orang lain dek kerana ingin berkuasa. Kita pernah menyalahkan Sultan dan Keturunan Diraja  kerana sanggup menggadai tanah dan hak orang Melayu kerana ingin mengekalkan kuasa satu masa dahulu. Namun apa bezanya kita dengan mereka? Kita lebih rela memberi tanah yang berjuta nilainya kepada bangsa lain tetapi tidak sanggup memberi seinci pun tanah kepada bangsa sendiri? Itukah yang dinamakan keadilan? Itukah yang dinamakan 1 Malaysia???

Pemimpin masa kini hanya pandai menggunakan wang untuk memujuk rakyat. Kononnya atas alasan simpati dan perikemanusiaan. Gereja yang dibom, secara automatik mendapat RM 500,000 untuk dibina semula. Bagaimana pula dengan masjid yang roboh dan surau yang telah musnah dipukul ribut? Berapa lama mereka perlu merayu hanya untuk mendapat sedikit peruntukan. Itupun kalau diberi. Kerapkali jawatankuasa qariah terpaksa mengemis dan merayu di sana sini. Bertahun lamanya diperlukan, baru boleh dibina semula. Bangsa lain..., hari ini rosak, esok peruntukan tiba!

Nampaknya pemimpin kita telah mula melupakan kita. Orang Melayu kini telah menjadi hamba dan pengemis di bumi sendiri....Pemimpin kita berlagak umpama suami yang tergila-gilakan janda dan bini orang, dan membiarkan isteri sendiri terbiar kesepian. Anak kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah dibiar mati kelaparan...

Kita hanya boleh berdoa agar mereka berubah. Agar mereka segera bermuhasabah diri dan menyedari hakikat ini. Tapi entahlah...Kita hanya boleh berdoa. Hanya Tuhan sahaja yang dapat menentukannya......
Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails