Followers

Wednesday, 31 March 2010

Forum Politik di Alam Maya

Media Baru - satu bentuk media yang cukup digeruni satu masa dulu oleh Barisan Nasional. Dalam PRU-12 yang lalu, ia memberi impak dan advantage yang cukup besar kepada Pakatan Rakyat. Segala berita mahupun propaganda kerajaan ditangkis dan dijawab oleh mereka dengan begitu berkesan sekali. Malah ketika pilihan raya berjalan, orang ramai khususnya golongan muda lebih gemar mendapat berita melalui saluran ini berbanding saluran konvensional.

Namun begitu, setelah lebih 2 tahun berlalu, UMNO dan Barisan Nasional kini telah belajar daripada kesilapan mereka. Media Baru ini kini menjadi fokus utama dalam memenangi semula hati rakyat di negara ini. Kalau dulu, majoriti blog dan laman web yang berpihak kepada Pakatan Rakyat, kini senarionya telah jauh berubah. UMNO khususnya telah begitu aktif mewujudkan laman-laman web yang menyokong Barisan Nasional.

Memetik kata-kata  Dato' Ahmad Maslan (Ketua Penerangan UMNO Malaysia) bahawa UMNO kalu dulu UMNO hanya lebih memfokuskan kepada Media Bersemuka, Media Cetak, Media Elektronik, kini Media Maya juga digunakan bagi mendekati rakyat.

Benar, Media Cetak dan Eletronik sememangnya telah didominasikan oleh parti pemerintah. Jadi itu tentulah tidak akan mengundang sebarang masalah.

Media Bersemuka pula agak tricky kerana sebelum PRU-12, ramai pemimpin Barisan Nasional mungkin telah 'terlena' sekejap. Mereka tidak mendekati rakyat, menghampiri rakyat atau mengambil tahu hal rakyat hingga menyebabkan akhirnya mereka juga dilupakan oleh rakyat. Jadi tidak hairanlah kenapa peranan Media Bersemuka juga penting khususnya untuk memenangi hati golongan veteran, warga tua, suri rumah tangga dan mereka-mereka yang kurang terdedah kepada ledakan teknologi yang berlaku di negara ini.

Walaupun begitu, trend terkini ialah berinteraksi di alam maya.Kalau dulu kita gemar bersembang dengan rabungnya di kedai-kedai kopi, kini ruang sembang menjadi lebih luas dan terbuka. Kopi boleh dibancuh sendiri dan anda boleh duduk berjam-jam untuk bersembang walau di mana sahaja anda berada atau pada bila-bila masa. Bagi yang lebih advance dan berkemampuan, telefon bimbit 'Blackberry' atau lain-lain model yang canggih menjadi pilihan kerana ia lebih mudah diakses berbanding komputer riba atau komputer biasa.

Anak-anak muda memang menggilainya. Begitu juga golongan terpelajar atau profesional. Mereka ini sebenarnya mendominasi kelompok pengundi di masa yang akan datang dan mereka juga lebih terbuka dalam berbicara.

Ruang sembang di alam maya sebenarnya jauh lebih fleksible. Tak perlu duduk berjam-jam di kedai kopi. Anda boleh berbicara sambil bekerja atau berbuat apa sahaja. Tanpa sempadan dan tanpa halangan ; dan boleh dilakukan pada bila-bila masa atau di mana-mana sahaja. 

Oleh yang demikian tidak hairanlah forum sebegini menjadi pilihan. Kalau satu masa dulu, blog-blog  menjadi fokus utama namun kini  Facebook pula mengambil tempatnya.

Ada yang berpendapat menulis blog ini ada perlu ada skillnya. Bukan semudah yang disangka. Pendek kata ia memerlukan kemahiran dan kepetahan berbicara. Idea perlu disusun dengan teliti supaya ia lebih mudah dibaca dan difahami. Hiasan dan pautan dalamnya perlu kreatif supaya pengunjung lebih kagum dengan apa yang anda cuba paparkan. Ertinya bukan isi sahaja yang penting, presentation nya juga akan dinilai oleh pembaca.

Sebab itulah ramai penulis blog yang kecundang. Mungkin pada awalnya mereka begitu bersemangat. Namun sedikit demi sedikit, post mereka menjadi lebih jarang dan isinya pun tidak lagi menyengat.

Maka wujudlah blog-blog yang hanya dipenuhi dengan gambar-gambar. Kalau ada pun tulisan, mungkin hanya satu dua perkataan untuk menjelaskan keadaan.Jadilah ia seperti album kosong yang tidak ada nilainya di mata pembaca.

Ada pula yang gemar memaparkan gambar-gambar lucah dan provokatif. Alasannya - supaya ia  memberi mesej yang lebih jelas kepada pembaca. Tapi dalam keseronokan dan keghairahan berbuat demikian, mungkin mereka terlupa bahawa ia sebenarnya haram di sisi agama..... 

Kalau dulu blog menjadi medan percambahan idea dan informasi, kini kebanyakannya menjadi ruang mempromosi diri dan memenuhi agenda peribadi. Oleh yang demikian tidak hairanlah kenapa banyak blog-blog yang telah di private kan, dan tidak kurang pula yang tidak langsung memberi ruang kepada orang ramai atau pembaca untuk berinteraksi. Ialah....bagaimana hendak berinteraksi kalau alamat emel tidak diberi, dan ruang untuk memberi komen pula dibuang sama sekali.....

Disebabkan kepincangan inilah Group Facebook menjadi pilihan. Fungsinya lebih kemas dan tersusun. Komunikasi  juga bercorak dua hala . Semua orang boleh memberi komen dan orang yang berbicara juga lebih mudah untuk dikenali (walau pun masih ramai yang memilih untuk menggunakan nama samaran dan sebagainya). Tidak perlu ada gambar besar yang provokatif kerana apa yang lebih penting di forum tersebut ialah isinya dan bukan hiasannya.

Di Kuala Kedah sahaja terdapat 3 forum Facebook.

  1. UMB Kuala Kedah  - Admin : Rozairi (Pegawai JASA Kubang Rotan)
  2. UMNO Kuala Kedah - Admin : Dr Zaki dan Cikgu Zul 
  3. Forum Politik 1 Kuala Kedah - Admin : Politik Kuala Kedah
UMNO Kuala Kedah adalah forum tertutup. Anda perlu dijemput atau diluluskan keahlian. Isinya pula lebih tertumpu kepada aktiviti bahagian mahupun diskusi antara mereka yang sememangnya menyokong UMNO. Rasanya mungkin mereka lebih selesa berbuat demikian kerana tidak mahu orang luar mencampuri urusan bahagian atau tidak mahu ianya dijadikan medan pertempuran....

UMB pula setakat ini nampak kurang mendapat sambutan. Walaupun ia forum terbuka namun admin ruang tersebut rasanya perlu lebih kreatif dalam menyampaikan mesej yang ingin diutarakan. Kenyataan yang bersifat retorik atau klise' selalunya jarang mendapat sambutan.

Kalau setakat ucapan tahniah atau well done yang dicari, lebih baik tidak payah mewujudkan forum sebegini. Masyarakat bukannya mahukan itu semua. Jika ia dianggap forum rasmi untuk UMNO, rasanya eloklah ia dipenuhi dengan informasi terkini mengenai kegiatan dan aktiviti parti. Perlu diingat, matlamatnya bukan setakat menarik perhatian ahli sendiri, tetapi ia juga perlu meyakinkan orang di luar sana betapa hebatnya UMNO di media maya....

Ruang Forum Politik 1 Kuala Kedah dilihat lebih provokatif dan sangat aktif sejak ia mula beroperasi. Sejauh mana ia akan bertahan,  sama-sama kita tunggu dan lihat. Mungkin juga ia lebih diterima oleh komuniti maya dek kerana sifatnya seperti akhbar SINAR - memberi informasi tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Namun begitu daripada pengamatan  setakat ini, ia lebih pro kepada UMNO berbanding pembangkang. Betul atau tidak, sama-samalah kita menilainya sendiri....

Secara ringkasnya, Kuala Kedah amat hebat dari segi media maya. UMNO Negeri sendiri tidak sehebat itu... Namun apa yang menyedihkan ialah sambutan yang diterima masih jauh daripada yang diharapkan. Terlalu sedikit warga Kuala Kedah yang sanggup mengambil bahagian. Tapi entahlah.. mungkin apabila pilihan raya semakin menjelang tiba, sambutan mungkin berubah daripada beratus kepada beribu-ribu pula. Ketika itu rasanya, barulah forum sebegini akan dapat mencapai matlamatnya....

Monday, 22 March 2010

Hati orang yang bodoh itu di mulutnya, dan lidah orang yang cerdik itu di belakang hatinya.

Maknanya :

Orang bodoh berbicara tanpa perhitungan, orang pandai berfikir sebelum berkata-kata.


Sejak meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah 17.7.2009 iaitu telah hampir 8 bulan yang lalu, Paksu lebih banyak mengambil pendekatan menjauhkan diri daripada terlibat dengan UMNO Kuala Kedah dan menumpukan kepada kerjaya sendiri.

Paksu lebih gemar mengisi masa lapang dengan menulis blog sendiri, samada blog ini atau blog-blog yang bersifat akademik. Minat dalam politik memang ada, tetapi cukuplah sekadar berada di luar dan tidak mengacau sesiapa. Paksu tidak lagi hadir ke mana-mana majlis yang berunsurkan politik. Bimbang nanti disalahertikan ingin menonjol diri kembali ke arena politik Kuala Kedah.

Pada bulan yang lalu, Paksu mengundur diri daripada menjadi Pengerusi Tabika Kemas Kampung Telok Layang. Sebenarnya Paksu telah meletak jawatan tersebut pada hari yang sama dengan perletakan jawatan sebagai Ketua Penerangan. Namun disebabkan rayuan daripada AJK Tabika yang selama ini telah banyak berkorban sepanjang 7 tahun memegang jawatan tersebut, Paksu teruskan juga hingga ke penghujungnya. Paksu telah berjanji kepada mereka untuk menjadikannya sebagai Tabika Kemas paling aktif bagi DUN Pengkalan Kundur.

Oleh yang demikian, sebaik sahaja kami berjaya mencapainya di penghujung tahun lalu, Paksu rasakan ia merupakan masa yang terbaik untuk mengundur diri. Ia juga bagi memuaskan hati mereka yang selama ini tidak suka Paksu aktif dalam UMNO lagi walaupun hanya sekadar untuk membantu anak-anak kecil di kampung sendiri. Tak mengapalah...Bukannya pangkat dan kedudukan begitu yang Paksu cari di dunia ini.

Dalam tulisan-tulisan di blog Tinta Persona sejak kebelakangan ini, Paksu tidak pernah menyentuh peribadi mahupun aktiviti mana-mana pihak dalam kepimpinan UMNO Kuala Kedah. Kecuali mungkin di peringkat awal dahulu di mana Paksu terpaksa menangkis tuduhan berniat jahat yang telah dilemparkan sama ada oleh orang yang di luar UMNO mahupun mereka yang di dalam UMNO itu sendiri. Biarlah itu semua menjadi kenangan pahit yang boleh dijadikan sempadan di kemudian hari.

Jauh di sudut hati, Paksu juga berharap mereka-mereka itu semua tidak lagi akan 'menganggu' diri ini kerana Paksu sepatutnya tidak lagi boleh dianggap sebagai 'a threat' atau ancaman kepada hasrat mereka untuk mendapatkan pangkat, kedudukan dan apa sahaja yang diimpikan sebelum ini.

Namun apa yang berlaku baru-baru ini amat menghiris perasaan khususnya merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah dalam mesyuarat biro beliau beberapa hari lalu. Oleh kerana bimbang, mungkin sahabat yang menyampaikan maklumat tersebut terkhilaf dalam pendengarannya, Paksu turut bertanya orang lain untuk kepastian. Entahlah... Paksu juga musykil kenapa beliau berbuat demikian......

Secara ringkasnya, Paksu dikatakan tidak membuat sebarang dokumentasi dan laporan sepanjang memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan....Tiada fail , tiada laporan dan tiada apa langsung yang boleh dijadikan bukti. Betulkah ini datang daripada Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah? Atau mungkin ada tangan-tangan lain yang bermain di sebalik tabir?

Izinkan Paksu menerangkan apa yang telah berlaku beberapa bulan yang lalu.

Setelah Cikgu Zul mengambil alih jawatan dan timbul isu berkenaan blog yang ditimbulkan oleh oleh SUK UMNO ketika itu, beliau telah datang berjumpa Paksu bersama-sama Dr Razif. Sama ada tujuan sebenar mereka datang, sama ada ikhlas ingin berbincang dengan Paksu dari hati ke hati atau semata-mata ingin mengambil alih blog itu, mungkin Allah sahaja yang tahu.....

Dalam pertemuan tersebut, antaranya Paksu ada memaklumkan bahawa semua laporan yang dibuat sebelum ini telah diserahkan kepada Setiausaha UMNO Bahagian (Tuan Haji Ahmad Shafiee - ketika itu). Laporan berkenaan mencangkupi setiap aktiviti dan minit mesyuarat yang telah dilaksanakan, serta salinan tulisan dalam blog telah diserahkan kepada beliau, kalau tidak silap di penghujung mesyuarat AJK Bahagian ke 2 pada awal tahun 2009.

Bagi setiap aktiviti yang dijalankan selepas laporan pertama itu, ia telah direkodkan dan dibukukan oleh Paksu sendiri dan kemudiannya ditambah oleh laporan yang telah dibuat oleh Setiausaha Penerangan UMNO Kuala Kedah ketika itu (Cikgu Man), siap dengan pelan tindakan dan senarai aktiviti yang bakal dijalankan hingga ke penghujung 2009.

Oleh kerana Cikgu Zul masih mahukan Cikgu Man kekal sebagai setiausaha, dan mengekalkan hampir kesemua AJK Paksu pada masa tersebut (atas alasan tidak mahu merubah apa-apa lagi),  Paksu meminta beliau mendapatkan baki laporan atau minit mesyuarat yang lain daripada Cikgu Man sendiri. Malah dalam mesyuarat biro yang diadakan selepas itu, kenapa ia tidak ditimbulkan ? (ketika itu Cikgu Man masih kekal sebagai setiausaha). Hanya setelah 8 bulan berlalu dan Cikgu Man pun telah meletak jawatan, tiba-tiba isu ini timbul kembali.

Pelik bin ajaib. Itulah rasanya jawapan yang paling baik menggambarkan apa yang telah berlaku. sama ada beliau lupa atau pura-pura lupa..itu bukan terletak pada diri ini untuk menjawabnya.

Bagi diri ini, Paksu masih ingat segala perbualan yang telah berlaku pada malam tersebut. Rasanya sebagai Pakar Jiwa yang banyak menggunakan akal dan ingatan dalam melakukan rawatan, memori Paksu masih lagi boleh berfungsi dengan baik hingga kini.....

Apakah ia bertujuan untuk menjatuhkan maruah Paksu lagi? Tidak cukupkah apa yang telah dilakukan sebelum ini?

Untuk apa? Demi keseronokan untuk mengumpat atau mengadu domba? Atau mungkin untuk memberi 'impression' bahawa Paksu ini tidak menjalankan tugas dengan baik kepada AJK baru demi meraih pubilisiti murahan..?

Kenapa ya? Tidak bolehkan mengangkat telefon dan bercakap walau seminit dengan Paksu untuk mendapat kepastian? Itupun jika telah lupa apa yang Paksu terangkan pada malam tersebut?

Mungkin Paksu ini terlalu hina untuk dihubungi ? Atau mungkin dianggap sebagai pariah yang tidak boleh disentuh atau dilihat bersama-sama orang yang dari kasta yang lebih tinggi?

Tak mengapalah...Paksu dah muak dan dah letih dengan mainan politik begini. Tidak ada faedahnya..... Jika ia boleh menyebabkan mereka rasa bahagia, biarlah...Paksu tak rugi sekupang pun. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui apa sebenarnya berlaku.

Cuma satu sahaja nasihat Paksu, itupun kalau masih sudi mendengarnya. Ingatlah...hidup ini ibarat roda. Ada hari kita di atas dan akan ada hari di mana kita akan berada di bawah. Janganlah terlalu angkuh ketika berada di puncak, takut nanti akan lebih pedih diperlakukan oleh orang lain ketika kita berada di bawah.....

Sunday, 21 March 2010

Bahasa Menunjukkan Bangsa.

Satu perkembangan yang tidak begitu menyenangkan kebelakangan ini adalah kecenderungan para bloggers khususnya blog-blog politik yang menggunakan atau menunjukkan gambar-gambar berunsur lucah , menghina atau memaki hamun orang lain.

Lebih menyedihkan ialah bilamana ada blog-blog tersebut yang pemiliknya adalah mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Tidak kiralah sama ada mereka yang dihina atau dikritik itu parti pembangkang atau kerajaan, atau individu terbabit itu orang Islam atau bukan Islam. Bottomline..dari segi Islam, ianya haram dan tidak dibenarkan sama sekali...

Kita mungkin tidak bersetuju dengan mereka, membenci mereka atau tidak menyenangi kewujudan mereka. Tetapi hakikatnya, jika ingin berbicara atau menyampaikan pendapat, buatlah dengan cara yang lebih bermaruah. Jika kita berkelakuan tidak senonoh seperti itu, ianya akan mencerminkan betapa rendahnya akhlak dan peribadi kita sebagai seorang insan.

Orang yang bijak dan berintegriti tidak memerlukan semua itu. Kita berbahas dengan menggunakan akal fikiran yang waras bukannya nafsu yang tidak menentu. Mesej boleh disampaikan dan perhatian boleh ditarik tanpa perlu menggunakan taktik sedemikian.

Oleh itu, janganlah menggunakan alasan yang tidak begitu cerdik untuk menyokong atau menghalalkan sesuatu yang sememangnya begitu jelas halal dan haramnya. Jika parti lawan ada berbuat demikian, kenapa pula kita harus mengikut rentak mereka? Kalau mereka terjun ke lubang, adakah kita perlu terjun ke lubang yang sama?

Wahai sahabat-sahabat dan saudara-saudaraku dalam Islam. Kembalilah ke pangkal jalan sebelum terlambat. Bertaubatlah kerana itulah cara yang sebaik-baiknya untuk menebus dosa-dosa yang telah dilakukan.....

Wednesday, 10 March 2010

Bila Ayam Bercakap Dengan Itik... Boleh Faham Ke?

Mari kita merenung sejenak senario politik negara yang tercinta ini. Gabungan parti politik utama boleh dibahagi dua, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Dalam setiap gabungan, terdapat beberapa parti lain yang bernaung di bawah satu bendera.

Sebagai rakyat biasa, kerapkali kita berasa hairan kenapa kedua-dua parti utama ini seolah-olah tidak memahami maksud yang ingin disampaikan sesama sendiri. Bahasa yang digunakan tetap bahasa Malaysia tetapi mengapa interpretasinya - contohnya terhadap  yang ingin disampaikan oleh pihak A - begitu berlawanan sekali dengan apa yang difahami oleh pihak B. Mereka seolah-olah bercakap dalam bahasa yang berbeza, seperti ayam bercakap dengan itik , kata orang tua-tua.

Mungkin juga ada yang berpendapat, parti Cina atau India mungkin tidak begitu memahami bahasa Malaysia. Sebab itulah masalah interpretasi itu berlaku. Ya, mungkin alasan itu boleh diterima tetapi bagaimana pula bila dua parti yang mewakili satu bangsa, contohnya PAS dan UMNO, boleh melakukan kesilapan yang sama?

Adakah salah faham ini disebabkan masalah bahasa, tidak disengajakan atau yang lebih membimbangkan, fakta yang diputarbelitkan supaya ia memenuhi kehendak dan natijah parti mereka sendiri ? Seperti kata pepatah Inggeris, 'there are always two sides of a coin' .

Naluri manusia memang begitu. Manusia mempunyai pandangan dan interpretasi yang berbeza. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Kita lebih selesa menginterpretasikan sesuatu mengikut selera dan nafsu sendiri. Asalkan ia memenuhi kehendak kita atau memberi kelebihan agenda pribadi, maka itulah penilaian yang akan dianggap terbaik. Jika sebaliknya, maka ia tidak akan dipersetujui atau akan dibantah sepenuh hati.

Sesuatu kenyataan yang biasa ('innocence') misalnya, boleh dianggap sensitif atau mencetuskan kontroversi, jika interpretasi kita adalah ke arah tersebut.Hakikatnya sifat 'paranoia' atau prasangka buruk ada pada setiap daripada kita. Cuma ianya terletak kepada akal fikiran yang waras dan keimanan yang kukuh untuk menjauhkan diri daripada tuntutan hawa nafsu. Kemenangan sementara yang dinikmati atas kejatuhan dan penderitaan orang lain, hanya atas nama politik, tidak wajar dilihat sebagai satu kejayaan. Ia hanya satu bukti betapa runtuhnya akhlak pemimpin (dan pada masa yang sama diri kita sendiri kerana sanggup membiarkan ianya terus berlaku..) kita masa kini..

Istilah memutar belitkan fakta telah diganti dengan ungkapan memberi interpretasi yang berbeza - semata-mata untuk menghalalkan sesuatu yang sememangnya jelas bertentangan dengan kehendak agama. Ingatlah bahawa dalam Islam, daging babi akan tetap haram untuk dimakan walaupun dengan cara apa sekalipun kita membasuhnya atau bagaimana cantik pun kita menghiasnya...

Hanya Allah sahaja yang Maha Pemurah lagi Maha Mengetahui.

Sunday, 7 March 2010

Bumi Mana Yang Tidak Ditimpa Hujan, Lautan Mana Yang Tidak Bergelora..

Hari ini dalam Berita Perdana, ketika memberi sidang akhbar, Presiden MCA memohon maaf jika terdapat sebarang kesilapan yang telah dilakukannya semasa beliau memegang jawatan tersebut. "Semua orang akan melakukan kesilapan... lagipun bumi mana yang tidak ditimpa hujan", ujar beliau dengan selamba...


Menarik dan tepat pada masanya! Beliau ternyata lebih ikhlas dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dalam MCA berbanding dua lagi tokoh besar dalam parti itu iaitu Timbalan dan Naib Presiden yang sudah meletak jawatan sebelum ini.

Sekilas pandang, Presiden nampak lebih ampuh bermain reverse psychology. Beliau memilih untuk menonjolkan diri sebagai mangsa keadaan. Rela berkorban demi melaksanakan transformasi dan perubahan dalam MCA. Bersih, ikhlas dan terkini, dianiaya. Bijak, memang bijak....

Walaupun ada yang berpendapat strategi ini mungkin akan memakan diri sendiri. Namun setakat ini, (kalau dinilai dengan objektif), rasanya ia merupakan pendekatan terbaik bagi menghadapi dua seteru kuat beliau yang telah bergabung tenaga demi untuk merampas kuasa.

Dalam politik, apa pun boleh berlaku. Hari ini anda menjadi kawan, esok mungkin pula akan menjadi lawan. Begitu juga sebaliknya. Percaya kepada seseorang perlu ada hadnya kerana orang yang sama mungkin akan menikam anda dari belakang suatu hari kelak. Wang dan kuasa, bukankah itu natijah utama?

Bagaimana pula dalam UMNO Malaysia ? UMNO Kedah? UMNO Kuala Kedah ? Rasanya sama sahaja. Cuma mungkin kerana sudah lama wujud, ia telah dianggap sebagai 'lumrah kehidupan'. Pergeseran, pertengkaran, tikam menikam, cantas mencatas, bukan lagi luar biasa.

Istilah gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut atau yang paling extreme, gelaran munafik, merujuk kepada mereka ini. Manis dimulut namun busuk hatinya. Gembira bila melihat pemimpin sedia ada jatuh tersungkur, namun akan berduka bila melihat mereka berjaya. Sabotaj menjadi agenda utama. Pelbagai cara diguna demi memastikan UMNO terus merana. Apa yang lebih penting, ialah merampas kuasa. Kepentingan parti bukan agenda utama, sebaliknya kesenangan diri ternyata lebih utama.

Memang mudah untuk mencari salah orang lain. Benar, bumi mana tidak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora. Namun dalam keghairahan untuk mencari salah orang lain, manusia sering lupa bahawa mereka juga ada kelemahannya...

Jika benar ada pemimpin yang telah melakukan kesilapan, tegurlah dia. Kalau dia tersilap jalan, bawalah kembali ke pangkal jalan. Bukankah itu yang lebih afdhal dan yang dituntut oleh agama? Namun realitinya, itu mungkin ia angan-angan kosong semata-mata dan rasnya fenomena ini akan kekal dulu, kini dan selama-lamanya.....

Saturday, 6 March 2010

Krisis Parti - Kepentingan Akar Umbi atau Agenda Peribadi

Sejak PRU-12 yang lalu, hampir setiap hari, ada saja isu-isu menarik yang mewarnai senario politik tanah air.  Bermula dengan krisis yang melanda UMNO, MIC, PPP dan PAS, kini perhatian beralih pula kepada dua parti politik terkenal iaitu PKR dan MCA.

Kalau dilihat secara kritikal, isu pokoknya sama sahaja. Semua pemimpin merasakan diri mereka betul, diperlukan oleh akar umbi ; manakala orang lain atau pemimpin lain semuanya salah, tidak bersih, tidak layak atau cukup pandai untuk menerajui parti.

Maka berkempenlah mereka setiap hari, siang malam, pagi petang, subuh senja. Kononnya tidak ada orang yang lebih baik daripada mereka. Kadangkala akan kedengaran kenyataan yang menggelikan hati. "Saya buat begini adalah untuk parti dan akar umbi, bukannya untuk kepentingan peribadi". Ungkapan begini sedap didengar tetapi hakikatnya, mereka semua hanya mementingkan diri sendiri. Tanyalah mana-mana bijak pandai dalam politik, mereka akan berkata, "politics is all about power and money". Kuasa dan wang adalah natijah utama. Bukannya berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.

Trend terkini ialah kecenderungan untuk keluar parti. Konon hilang kepercayaan terhadap kepimpinan yang sedia ada atau mungkin kerana sudah benci kepada pemimpin sendiri. Peliknya, jawatan sebagai wakil rakyat atau ahli parlimen tidak pula mahu dilepaskan walaupun mereka dimaki dan dicaci. Maklumlah.. bukan senang nak dapat elaun yang begitu tinggi , tambahan pula , sayang untuk dibuang gelaran YB!

Menjadi pemimpin parti tentunya ada 'perks' dan keistimewaannya. Projek, jawatan dan sebagainya, tidak dapat tidak, akan dapat memenuhi poket sendiri. Ia juga perlu untuk menjaga anak buah dan penyokong-penyokong kuat di sana sini. Jarang sekali ada pemimpin yang tidak mempunyai agenda ini.

Rasanya sebagai rakyat, kita semua semakin muak dengan lakonan pemimpin politik masa kini. Terlalu asyik bersandiwara hingga lupa tanggungjawab mereka kepada nusa dan bangsa. Tidak salah nak bermuka-muka, tapi biarlah berpada-pada. Letih rasanya kalau mendengar cerita yang sama diulang-ulang berkali-kali. Benci, geram, meluat dan banyak lagi emosi yang boleh dikenal pasti. Mungkin elok kita kenal pasti mereka sekarang ini. Bukan apa, supaya mudah untuk tidak dipangkah bila tiba PRU-13 nanti.....

Thursday, 4 March 2010

Kegunaan Media Baru Dalam Politik - Tidak Faham Konsep atau Silap Interpretasi

Kalau dilihat senario politik tanah air sekarang ini. maka mungkin kita tidak boleh disalahkan jika beranggapan bahawa parti dan ahli politik sekarang kelihatannya lebih 'internet savvy' berbanding sebelum Pilihan Raya Umum ke 12 yang lalu. Jika sebelum ini, penyokong Pakatan Rakyat begitu dominan di alam maya, namun kini Barisan Nasional khususnya UMNO telah mula menunjukkan banyak kemajuan.

Lihatlah apa yang sedang berlaku. Blog, laman web, facebook dan sebagainya berlambak-lambak di alam siber. Mungkin ada yang berkata, itu satu petanda baik bahawa mereka kini telah mula mengorak langkah untuk memenangi hati pengundi muda.

Cuma apa yang kurang menyenangkan ialah ramai daripada pemilik blog, laman web atau facebook (khususnya Pemimpin Parti atau Yang Berhormat, Ketua Bahagian, Ketua Pemuda dan sebagainya) itu :
  1. menswastakan blog, facebook atau laman web mereka - ertinya orang lain yang mengendalikannya untuk mereka...
  2. malas update
  3. hanya syok sendiri dan lebih suka mempromosikan diri sendiri
  4. tidak ada interaksi dengan pengunjung - lebih berbentuk one way communication
  5. tidak mengulas sesuatu isu dengan idea yang tersendiri atau tidak ada diskusi yang boleh merangsang minda
Mungkin pemimpin kita boleh berusaha untuk menghayati natijah sebenar kewujudan media baru dan bagaimana untuk memunafaatkannya dengan lebih baik di masa yang akan datang.

Kalau dinilai keadaan sekarang, ianya nampak penuh dengan hipokrit, retorik atau the worse part - it is simply insulting our intelligence' !

Wednesday, 3 March 2010

Reformasi, Kontroversi dan Keluar Parti - PKR dalam Dilema

Umum mengetahui bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan sebuah parti diasaskan mulanya atas dasar memperjuangkan nasib Dato' Seri Anwar Ibrahim setelah beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Namun kemudian ia mula berkembang, bergabung dan akhirnya berjaya menaikkan martabatnya dalam senario politik tanah air. Maka lahirlah apa yang dipanggil Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.  Objektif mereka cukup mudah - iaitu menjadikannya sebagai alternatif kepada Barisan Nasional, parti pemerintah yang selama ini cukup gagah di bumi sendiri.

Kalau dulu PKR, DAP dan PAS gagal menandingi BN secara individu, namun gabungan ketiga-tiga parti tersebut dengan strategi yang lebih tersusun telah berjaya menafikan kerajaan sekarang daripada mendapat 2/3 majoriti di samping menguasai beberapa buah negeri di negara ini. "Cukup hebat", mungkin itulah ungkapan yang paling tepat dalam menggambarkan apa yang terjadi ketika itu.

Tetapi kini keretakan mula berlaku. Pergaduhan, tuduh menuduh, maki memaki menyebabkan parti yang asasnya memperjuangkan REFORMASI kini terjerut dalam pelbagai KONTROVERSI.  Terkini, ketika musim padi baru berlalu, maka tiba pula musim baru iaitu MUSIM KELUAR PARTI.

Maka beramai-ramailah ahli parti PKR yang mula menyuarakan rasa tidak puas hati, kecewa, marah dan sebagainya kepada pucuk pimpinan parti. "Kami tidak lagi percaya dengan kepimpinan PKR", ungkapan yang kini menjadi trend ketika mereka membuat sidang akhbar yang berhari-hari akan disiarkan dalam media perdana.

Seperti biasa dan mungkin sudah menjadi terlalu 'predictable", maka berlumba-lumbalah pemimpin (atasan dan bawahan) UMNO / BN membuat kenyataan dan ulasan. Malah tidak kurang yang mula bercakap mengenai kemungkinan diadakan pilihan raya umum dalam jangka masa yang terdekat.

Aduh... kenapa begitu singkat pemikiran mereka? Inilah masalahnya bila kita berbicara tanpa melihat kepada fakta. Gopoh , gelojoh atau mungkin lebih mudah, kurang matang dalam berpolitik.

Benar, PKR kini melalui masa yang sukar. Krisis yang melanda parti ini dalam saat-saat di mana pemimpin agong mereka juga bergelut dengan kes dalam mahkamah, sedikit sebanyak menampakkan kelemahan yang ketara dalam struktur kepimpinan mereka. Hanya DSAI sahaja yang menjadi penghubung atau penguat semangat. Samalah juga dalam Pakatan Rakyat.

Hakikatnya PKR dan Pakatan Rakyat terlalu bergantung kepada DSAI. Apa pun krisis sebelum ini, hanya beliau sahaja yang dilihat dapat memainkan peranan untuk menyatukan semua parti dalam gabungan tersebut. Hilang beliau, maka lumpuhlah pakatan alternatif ini.

Tidak harianlah kalau kita lihat dalam suasana sekarang, ketika kedudukan DSAI sendiri yang tidak menentu, maka ramailah ahli-ahli PKR yang cuba menangguk di air keruh. Mencetuskan pelbagai kontroversi demi untuk kepentingan diri. Ia tidak ubah seperti bila kucing tidak ada, maka tikus-tikus pun mula bermaharaja lela.

Ramai daripada mereka ini asalnya merupakan golongan serpihan daripada UMNO dan BN. Mereka yang kecewa kerana tidak mendapat tempat sebelum ini. Tidak mempunyai karisma tetapi lebih kepada pandai bermain kata-kata serta mengadu domba. Mereka oportunis yang pandai mengambil kesempatan. Mereka juga boleh diumpamakan sebagai pengkhianat kerana telah meninggalkan parti mereka dalam saat-saat getir begini.

Mungkin ada yang berpendapat, itu adalah hak mereka. Mungkin juga ada pelbagai persoalan dan alasan kenapa mereka telah terjun daripada kapal yang hampir karam...Tidak mengapa. Kalaupun alasan mereka tidak boleh diterima, kita perlu akur bahawa dalam hal ini, tidak ada siapa yang dapat berbuat apa-apa.

Cuma apa yang dibimbangkan ialah keghairahan pemimpin UMNO dan BN untuk mengalu-alukan mereka kembali kepada parti. Bukan tidak boleh, tapi rasanya elok sekiranya diperhatikan dan diawasi terlebih dahulu. Biarkan mereka wujud sebagai ahli bebas yang menyokong BN. Itu lebih baik daripada terhegeh-hegeh menyerahkan surat keahlian kepada mereka yang telah mengkhianati perjuangan parti sendiri.

Kalau mereka boleh membelot dengan sebegitu mudah, apa yang akan menyekat mereka daripada mengulangi perangai yang sama ketika berada dalam UMNO atau BN nanti. Tidakkah kita bimbang mereka mungkin akan berpaling tadah semula? Mungkin juga mereka akan menjadi umpama gunting dalam lipatan yang akan menghancurkan parti di suatu masa nanti?

Tidak ada sesiapa yang tahu niat mereka. Rambut manusia sama hitam tetapi hati sudah pastinya berlainan. Mungkin juga mereka akan menjadi aset yang penting kepada parti. Namun tidak salah sekiranya kita mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati. Seperti kata pepatah, berhati-hati sebelum kena. Jangan sudah terantuk baru tengadah....

Ahli UMNO dan BN seharusnya menumpukan kepada masalah sendiri. Kuatkan parti sendiri dahulu sebelum mengambil kisah hal orang lain. Kalau kita kuat, nescaya kita akan hebat. Kalau kita mengharapkan untuk menang , hanya kerana orang lain lemah, mungkin kemenangan itu tidak akan ada lagi kemanisan dan kehebatannya.....

Tuesday, 2 March 2010

Konsep Tidak Menjaga Tepi Kain Orang Rasanya Perlu Dikaji Semula.

Kisah menyayat hati yang berlaku baru-baru ini rasanya perlu dijadikan iktibar kepada kita. Dalam keghairahan mengejar kemajuan duniawi, ramai daripada kita yang telah lupa tanggung jawab sebagai seorang Islam.

Lihatlah di sekeliling kita. Berapa ramaikah jiran yang kita kenali? Adakah cukup makan minum dan pakaian mereka? Susah atau senangkah mereka? Apakah mereka memerlukan bantuan?

Kita semua menjadi semakin angkuh. Mementingkan diri sendiri. Tidak mahu mengambil tahu hal orang lain. "Biarlah... itu bukan hal kita". Mungkin itulah yang sering diungkap dibibir kita !

Bukankah sudah ada JKKK, Tok Imam, Tok Kadi , Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis, Wakil Rakyat dan sebagainya. Kenapa kita perlu menyusahkan diri?

Malangnya sikap beginilah yang menyebabkan masyarakat kita semakin hari semakin hilang nilai-nilai murni yang menjadi kebanggaan satu ketika dahulu. Kita umpama enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Mungkin tiba masanya kita semua mengkaji semula prinsip tidak mahu menjaga tepi kain orang. Konsep ini berakar umbi daripada barat dan tidak perlu diguna pakai dan diamalkan di negara ini. Mengapa tidak kita kembali kepada prinsip dan ajaran agama Islam yang telah lama wujud? Jiran kita ada hak terhadap kita dan begitu juga sebaliknya.

Islam bukanlah terhad kepada sembahyang lima waktu sahaja.. Banyak lagi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan demi kebaikan seluruh umat. Ingatlah juga bahawa kita semua akan disoal dan diadili di akhirat nanti.....


http://www.hmetro.com.my/articles/Dosabersekedudukandikongsisemua/Article/

Dosa bersekedudukan dikongsi semua

2010/03/02

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khir Jamil Baharom berkata, pasangan wanita lelaki yang tinggal bersekedudukan memang terbukti mereka bersalah kerana tinggal bersama tanpa akad nikah tetapi ‘saham’ itu dikongsi ibu bapa dan masyarakat jika tidak ambil peduli dan membiarkannya.

“Ibu bapa perlu ambil tahu bagaimana anak mereka bernikah, bila tarikhnya, siapa wali atau siapa izinkan. Mereka bersekedudukan memang bersalah tetapi paling penting masyarakat prihatin dan ambil perhatian perbuatan terkutuk itu dapat ditegah.

“Tidak hanya membabitkan mana-mana kes tetapi isu pasangan bersekedudukan amat merisaukan dan perkara itu perlu ditangani supaya tidak terus berleluasa,” katanya. mengulas kes seorang ibunya yang tinggal bersekedudukan dengan kekasihnya sehingga menyebabkan anak perempuannya berusia tiga tahun mati dipercayai disepak dan ditendang oleh teman lelaki dalam kejadian di Ulu Yam, dekat Batang Kali, Khamis lalu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pengeluaran Kad Nikah 1 Wilayah 1 Jam dan Pelancaran Logo Rasmi Jawi di sini semalam. Hadir Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails