Followers

Wednesday, 16 September 2009

Tidak Ada Guna Kita Bersengketa

Paksu sebenarnya belum cukup bersedia untuk kembali ke arena blog ini. Dulu sememangnya Paksu seorang yang cukup aktif meluahkan pendapat terutama dalam bidang politik. Namun ia lebih tertumpu kepada memberi pendapat dalam blog orang lain. Blog seperti depa kata - http://depa-kata.blogspot.com/ dan medan tempur - http://umnokualakedah.blogspot.com/ menjadi ruang utama meluahkan perasaan.

Cuma setelah menjadi Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah, Paksu mula berjinak-jinak di blog sendiri dan akhirnya lahirlah blog rasmi UMNO Kuala Kedah - http://umno-kualakedah.blogspot.com/ . Namun setelah Paksu meletak jawatan, ia telah diambilalih oleh orang lain. Kini ia di bawah tanggungjawab Setiausaha Kerja UMNO Kuala Kedah sementara menanti perlantikan Ketua Penerangan yang baru.

Mulai saat itu, Paksu memilih untuk menyepi diri. Terlalu banyak life-events yang telah berlaku dalam hidup Paksu dan keluarga dalam tempoh dua tiga bulan yang lalu, hampir serentak dengan perletakan jawatan Paksu dalam politik. Dicampur dengan luka yang masih berdarah dan hati yang masih terguris, Paksu mengambil pendekatan untuk menjauhkan diri dari politik untuk seketika.



Namun anehnya pula blog lain yang menjelma seolah-olah mengambil alih. Paksu sendiri pertama kali dimaklumkan mengenai kewujudan blog itu di Kuala Kedah oleh isteri Paksu ketika beliau melayari komen-komen yang dibuat dalam blog Depa Kata.

Blog Sembang Politik Kuala Kedah - http://sembangpolitikkuala.blogspot.com/ oleh Tok Mat Kuala - satu fenomena baru di Kuala Kedah. Ia ditulis dengan gaya yang hampir serupa dengan cara yang Paksu lakukan di Blog UMNO Kuala Kedah. Tak pasti mengapa tuan empunya blog berbuat demikian, namun hakikatnya ia banyak bercerita mengenai Paksu. Menyokong dan memuji hingga kepada perkara yang cukup peribadi.

Paksu sendiri tidak pasti siapa gerangannya Tok Mat Kuala. Apakah motif dan apakah tujuan beliau begitu beria-ia membela Paksu sedemikan rupa. Malah mengikut kata Borhan Sidqi (SUK UMNO Kuala Kedah) , ramai yang beranggapan Tok Mat Kuala adalah Paksu sendiri !

Paksu mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana telah berjaya membongkar diri Paksu hingga ke tahap yang demikian. Gaya penulisan beliau pun hampir sama dengan cara Paksu. Siapa beliau dan daripada mana sumber yang diperolehi, hingga kini Paksu sendiri masih tercari-cari.

Paksu sememangnya menghargai sokongan dan pertolongan beliau. Namun Paksu memohon agar ia dihentikan. Paksu sudah tidak lagi mempunyai apa-apa jawatan dalam UMNO. Tidak perlu memuji sebegitu tinggi kerana ia boleh mendatangkan riak dan menimbulkan kebencian di hati orang lain. Begitu juga, tidaklah perlu untuk melaga-lagakan Paksu dengan sesiapa sahaja.

Walaupun Paksu akui diri ini masih belum pulih sepenuhnya akibat daripada apa yang telah dilakukan oleh sesetengah pihak, namun Paksu berpendapat , tidak ada gunanya kita berdendam atau bermasam muka. Hasad dan dengki hanya akan membawa kepada kemungkaran dan mendekatkan diri kita kepada syaitan.

Paksu sudah memaafkan mereka sekiranya ada yang bersalah terhadap Paksu. Begitu juga Paksu dengan penuh rendah diri memohon jutaan ampun dan maaf sekiranya pernah melakukan apa-apa kesalahan. Kita hanya insan biasa , tidak akan dapat lari daripada dosa dan kesalahan. Apa yang perlu dilakukan ialah belajar daripada kesilapan dan berusaha untuk memajukan diri di masa hadapan.

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails