Followers

Sunday, 28 November 2010

Anwar Ibrahim : Pemimpin Anugerah Tuhan Atau Pemimpin Yang Sedang Miniti Era Kehancuran...


Akhbar hari ini banyak menyiarkan kenyataan Datin Seri Wan Azizah - Presiden Keadilan yang menyifatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI)  sebagai anugerah Tuhan bagi memimpin negara ini...

(anda boleh membacanya di sini http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
atau di penghujung artikel ini....

Sukar sebenarnya untuk menginterpretasikan ungkapan ini. Benarkah DSAI ini memperjuangkan hak rakyat dan sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan rakyat ; atau mungkinkah perjuangannya hanya untuk memiliki gelaran Perdana Menteri yang telah hilang darinya selama ini....

Sebagai seorang isteri, tidak salah untuk DSWA membela suaminya. Namun perlu ada garis pemisah antara pandangan peribadi dengan pandangan yang diberikan oleh beliau sebagai seorang pemimpin parti. Ia tidak boleh dikaburi dengan emosi.

Benar, DSAI ada kehebatan beliau. Begitu juga ramai pemimpin-pemimpin sebelum ini. Beliau juga telah menanggung pelbagai dugaan setelah jatuh merudum dari pesada kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional tidak lama dahulu. Kebolehan beliau untuk terus berada hampir di puncak sehingga kini perlu diakui.

Sebagai pemerhati dari luar, kita bimbang, dalam keghairahan untuk mencapai takhta pentadbiran di negara ini, mungkin DSAI telah lupa bahawa matlamat utama ialah apa yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara ; dan bukannya kepentingan dan kehendak peribadi.

Keangkuhan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Malah akan menjadi ejekan dan mainan dalam media semata-mata. Kalau beliau benar-benar dilahirkan di dunia untuk memerintah Malaysia, Insya Allah, ia akan berlaku juga, tak kira apa jua halangan yang menimpa.

Tidaklah perlu memukul canang untuk menghebahkan kehebatan sendiri di sana sini. Allah SWT mempunyai cara yang tersendiri untuk memastikan apa yang ditakdirkan tetap akan menjadi kenyataan suatu hari nanti....





'Anwar Anugerah Tuhan’


Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

syahrir.bakar@utusan.com.my

PETALING JAYA 27 Nov. – Dalam tindakan yang dilihat sebagai cubaan untuk mengembalikan keyakinan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden parti, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan suaminya ‘anugerah Tuhan’ bagi memimpin rakyat negara ini.

Menurut Wan Azizah, suaminya yang merupakan Penasihat PKR ialah seorang insan hebat yang bersifat amanah, tegas serta berani dan kewibawaannya terserlah sejak zaman remaja lagi.

Selain itu, katanya, Anwar juga pernah melalui pelbagai cabaran seperti ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dipenjarakan.

“Apakah rahsia sehingga beliau tetap kental sehingga ke hari ini. Jawapan saya, saudara Anwar Ibrahim adalah seorang insan hebat yang memang dianugerahkan Tuhan untuk kita semua untuk menjadi pemimpin rakyat.

“Jika beliau insan biasa seperti kita, sudah lama mengundur dan tenggelam di celah segala cabaran dan gelora yang berlalu,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar bagi merasmikan Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh di sini hari ini.

Sementara itu pada sidang akhbar selepas ucapan dasarnya, Wan Azizah menegaskan jawatan Ketua Umum PKR tidak perlu diwujudkan secara rasmi untuk Anwar.

“Buat masa ini perjalanan parti berjalan baik (dengan kedudukan Anwar sebagai ‘de facto’), beliau melaksanakan tugasnya dan kita tidak perlu menukarnya (sistem PKR),” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, beliau menghormati cadangan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang mahukan jawatan itu diwujudkan dan digubal dalam perlembagaan parti.

Semalam, Zuraida ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Wanita PKR mencadangkan agar jawatan ketua umum yang akan ditubuhkan itu tidak boleh dipertandingkan dengan Anwar sahaja yang berhak menjawatnya.

Dalam perkembangan lain, Wan Azizah berikrar untuk tidak meneruskan konsep ‘ketuanan Melayu’ supaya golongan muda kaum itu membesar dengan bermaruah.

Katanya, konsep itu hanya slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdayakan kaum itu demi kepentingan diri sendiri.

“Justeru, konsep ‘ketuanan Melayu’ tidak perlu diteruskan supaya anak-anak kita membesar dengan visi bangsa bermaruah atau Melayu bermaruah,” jelasnya.

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails