Followers

Saturday, 6 November 2010

Setiap Yang Berlaku Ada HIkmahnya...

Negeri Kedah kini mengalami antara bencana banjir yang terburuk dalam sejarah. Terkini, lebih 39, 000 orang telah dipindahkan ke tempat-tempat perlindungan dan bandar Alor Setar dikatakan telah 'tenggelam' hari ini.

Dua negeri lain di Semenanjung Malaysia yang terlibat adalah Perlis dan Kelantan. Namun jika dibandingkan, mungkin ianya tidaklah seburuk apa yang sedang dialami di negeri Jelapang Padi  ini.

Di Indonesia, Gunung Merapi dilaporkan semakin ganas dan telah melibatkan pelbagai kerosakan harta benda dan nyawa dalam jumlah yang amat menakutkan. Ramai yang berpendapat, apa yang berlaku di negara jiran kita itulah yang menyebabkan negara ini mengalami perubahan cuaca yang luar biasa, sama seperti apa yang berlaku ketika peristiwa Tsunami tidak lama dahulu.

Sukar untuk kita membayangkan apa yang sedang, telah dan akan dilalui oleh mangsa-mangsa tersebut. Mungkin sumbangan dalam bentuk kewangan dan pelbagai sokongan boleh diberikan. Mungkin juga kita boleh mengucapkan kata-kata tanda simpati...Walau bagaimanapun, kita semua tahu, bahawa betapa berat mata memandang, berat lagilah bahu yang memikul.

Bila berlaku peristiwa sebegini, elok kita berhenti dan merenung sejenak apa yang telah berlaku . Benar, ia merupakan ujian Allah SWT. Namun pada masa yang sama, elok kita pertimbangkan kemungkinan bencana ini merupakan satu petunjuk bahawa - 'there is something wrong somewhere...'. Dalam erti kata lain, mungkin kita telah melakukan sesuatu yang membuatkan Allah SWT bertindak menurunkan bala dan bencana dengan sebegitu rupa...

Islam masa kini dipersenda dan dihina hampir setiap hari dan setiap masa. Di merata-rata dunia, maruah umat Islam semakin tercabar dan terluka. Malang sekali, ramai dalam kalangan pemimpin kita (yang mengaku diri beragama Islam) bukannya mahu membela, sebaliknya turut sama menghina agama dan bangsa sendiri....

Perangai dan pemikiran mereka juga turut jauh menyimpang. Arak, dadah, judi dan maksiat berleluasa, bukannya semakin berkurang, malah semakin bertambah dari hari ke hari....

Rakyat seperti kita juga tidak terkecuali. Pembohongan, penipuan dan sebagainya menjadi lumrah dalam kehidupan seharian. Kita bersengketa, tuduh menuduh, caci mencaci sesama sendiri. Dengki mendengki menjadi amalan, dosa pahala tidak lagi dihiraukan...

Mungkinkah ini semua merupakan hukuman atau balasan daripada Allah SWT? Kita semua tahu bahawa sekiranya Allah SWT ingin menjatuhkan hukuman, bukan sahaja mereka yang telah melakukan kemungkaran itu sahaja akan dihukum, sebaliknya orang lain juga turut akan menerima akibatnya....

Hakikatnya, semua yang berlaku itu ada hikmahnya. Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui rahsianya... Sebagai hamba, kita semua hanya mampu berdoa dan memohon perlindungan daripadaNya, Allah yang Maha Esa.....

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails