Akhbar hari ini banyak menyiarkan kenyataan Datin Seri Wan Azizah - Presiden Keadilan yang menyifatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai anugerah Tuhan bagi memimpin negara ini...
(anda boleh membacanya di sini http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
atau di penghujung artikel ini....
Sukar sebenarnya untuk menginterpretasikan ungkapan ini. Benarkah DSAI ini memperjuangkan hak rakyat dan sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan rakyat ; atau mungkinkah perjuangannya hanya untuk memiliki gelaran Perdana Menteri yang telah hilang darinya selama ini....
Sebagai seorang isteri, tidak salah untuk DSWA membela suaminya. Namun perlu ada garis pemisah antara pandangan peribadi dengan pandangan yang diberikan oleh beliau sebagai seorang pemimpin parti. Ia tidak boleh dikaburi dengan emosi.
Benar, DSAI ada kehebatan beliau. Begitu juga ramai pemimpin-pemimpin sebelum ini. Beliau juga telah menanggung pelbagai dugaan setelah jatuh merudum dari pesada kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional tidak lama dahulu. Kebolehan beliau untuk terus berada hampir di puncak sehingga kini perlu diakui.
Sebagai pemerhati dari luar, kita bimbang, dalam keghairahan untuk mencapai takhta pentadbiran di negara ini, mungkin DSAI telah lupa bahawa matlamat utama ialah apa yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara ; dan bukannya kepentingan dan kehendak peribadi.
Keangkuhan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Malah akan menjadi ejekan dan mainan dalam media semata-mata. Kalau beliau benar-benar dilahirkan di dunia untuk memerintah Malaysia, Insya Allah, ia akan berlaku juga, tak kira apa jua halangan yang menimpa.
Tidaklah perlu memukul canang untuk menghebahkan kehebatan sendiri di sana sini. Allah SWT mempunyai cara yang tersendiri untuk memastikan apa yang ditakdirkan tetap akan menjadi kenyataan suatu hari nanti....
