Followers

Wednesday, 26 May 2010

Lompat Si Katak Lompat...

Kebelakangan ini kisah lompat-melompat parti sudah menjadi satu kegilaan semasa. Lazimnya bila sudah melompat, macam-macam lah cemuhan dilontarkan kepada parti asal mereka. Memburuk-burukkan kepimpinan, membuka pelbagai rahsia dan sebagainya. Alasan paling klasik ialah sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan tertinggi parti...

Lebih menarik ialah bila yang melompat ialah mereka yang mempunyai jawatan sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri. Kadang kala tindakan tersebut boleh mendatangkan kesan yang cukup buruk kepada parti dan mungkin pula hingga menyebabkan jatuhnya sebuah kerajaan yang memerintah.

Sukar untuk kita membuat interpretasi kenapa ia dibiarkan berlaku. Menurut undang-undang sedia ada, seseorang wakil rakyat tidak akan kehilangan jawatan dan kedudukannya walau pun dia bertukar parti atau memilih untuk tidak mewakili mana-mana parti (menjadi wakil bebas).

Barisan Nasional pernah dikejutkan dengan ancaman sebegini oleh DS Anwar sejurus selepas PRU-12 yang lalu. Ketika itu, BN bimbang akan kehilangan kuasa kerana katanya ramai daripada ahli parlimen mereka akan beralih arah kepada Pakatan Rakyat (PR).  Namun nasib lebih menyebelahi BN dan akhirnya itu semua tidak berlaku....

Malang sekali bagi PR, mereka pula kemudiannya kehilangan sebuah negeri akibat taktik kotor yang sama. Senjata makan tuan, mungkin itulah istilah yang paling tepat menggambarkan keadaan tersebut. Mereka sebenarnya lupa, kalau kita bermain kotor, orang lain pun sebenarnya boleh melakukan perkara yang sama....

Kini fenomena yang sama menghantui negeri Kedah yang kita sayangi ini. Sama ada ia dimanipulasikan atau ada tangan-tangan ghaib yang melakukannya, itu sebenarnya tidak penting. Pucuk pangkalnya, Kerajaan Kedah mungkin akan runtuh sekiranya ia tidak dibendung segera. 

Apa sebenarnya sebab mereka melompat parti? Benarkah ketidak puasan hati atau hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan menjadi punca utama? Atau mungkin ada motif yang lain? Wang? Kedudukan? Pangkat? Dilepaskan daripada tindakan undang-undang? Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui. 

Cuma sedih juga melihat orang kita begitu mudah beralih arah. Kerap kali motifnya bukanlah hilang keyakinan, tetapi sebenarnya  gilakan jawatan atau mungkin juga gagal memperolehi sesuatu daripada parti yang asal. Orang kita mudah digoda dan tergoda. Maruah digadai  hanya kerana pujuk rayu dan ganjaran duniawi semata-mata.

Fenomena ini bukan sahaja berlaku kepada Pakatan Rakyat, namun Barisan Nasional juga pernah menerima nasib yang sama. Kalau seorang yang begitu tinggi kedudukannya dalam masyarakat boleh melakukan perbuatan sehina itu, maka janganlah hendak disalahkan orang bawahan jika mereka juga berkelakuan yang sama.

Cuma kalau diberi pilihan, lebih baik kita memilih mereka yang tetap pendirian sebagai pemimpin. Kalau pun mereka tidak mempunyai jawatan atau tidak diberi sebarang ganjaran, kesetiaan kepada parti tentunya lebih utama. Tidak bersetuju dengan pucuk pimpinan bukan lah alasan untuk meninggalkan parti atau beralih arah. Perjuangan sebenar memerlukan lebih daripada itu. Ia memerlukan keikhlasan dan kekuatan dalaman.

Tidak salah rasanya menegur pemimpin jika mereka tersilap langkah. Begitu juga pemimpin perlu sedia menerima teguran. Kita semua bukan maksum atau tidak pernah melakukan kesalahan. Kalau ini boleh dihayati, maka akan bertambah kukuhlah sesebuah parti. Tidak akan ada lagi katak-katak yang berkeliaran merata-rata, dan negara pun akan menjadi lebih aman dan sentosa..

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails