Egocentric : Definition: thinking very highly of oneself
Antonyms: altruistic, humble, modest, reserved, selfless, shy, submissive, timid, unassuming
Dalam kehidupan seharian, ramai di antara kita sering merasakan diri masing-masing terlalu penting. Lebih penting daripada segala-galanya atau lebih penting daripada sesiapa sahaja. Ada yang beranggapan dunia tidak akan boleh berfungsi tanpa mereka. Semua orang memerlukan mereka. Merekalah umpama paksi di mana bumi berputar.
Sifat egocentric seperti ini amat berleluasa terutama dalam kalangan pemimpin politik. Kepercayaan beginilah yang mungkin mengakibatkan mereka enggan melepaskan kuasa walaupun telah tiba masanya untuk mengundur diri.
Individu sedemikian sering menggunakan alasan bahawa parti, negara dan rakyat jelata masih memerlukan khidmat mereka. Parti akan hancur tanpa mereka. Negara akan lumpuh tanpa kehadiran mereka. Lalu mereka terus bertangguh dan terus bertangguh kononnya demi kebaikan semua....
Kita tidak perlu melangkah jauh untuk melihat bukti semua ini. Di peringkat nasional, tempatan mahupun di peringkat kampung, semuanya sama sahaja. Cuma mungkin pendekatan atau alasan yang diberikan agak berbeza, namun intipatinya tetap sama.
Akulah pemimpin agong. Akulah pemimpin yang perlu disanjung. Pujalah aku. Pujilah aku. Aku ini tidak ada tolok tandingnya. Aku ini satu dalam berjuta.... Mungkin itulah yang terpahat di dalam jiwa sanubari mereka.
Fenomena ini mungkin juga berjangkit kepada parti yang dipimpin mereka. Parti akulah yang terbaik di dunia. Parti aku telah lama berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Oleh yang demikian, hanya parti aku layak memerintah. Hanya parti aku yang mampu memerintah.
Orang lain semua bodoh berlaka. Orang lain tidak mampu melakukan apa yang telah kami lakukan. Kamilah pemimpin dan parti yang kami pimpinlah yang sepatutnya diberi kepercayaan untuk memerintah hingga ke akhir zaman....
Mungkin tiba masanya kita mengubah persepsi ini. Kita semua insan biasa. Tidak lari daripada salah dan dosa. Namun kita juga boleh berubah bersesuaian dengan masa dan ketika.
Dunia semakin luas. Manusia semakin pandai dan semakin bijak menilai. Mungkin apa yang digunapakai satu masa dahulu sudah tidak lagi relevan di masa kini. Pendekatan yang berjaya di masa lampau tidak semestinya diteruskan hanya kerana ia telah terbukti berkesan. Tidak juga kita perlu membuang semuanya. Mungkin boleh diadaptasikan supaya ia tidak dianggap ketinggalan zaman.
Kalau kita rasa diri ini pandai, mungkin ada beribu orang lagi yang jauh lebih pandai daripada kita. Jika kita merasa diri ini bodoh, mungkin beribu orang lagi yang jauh lebih bodoh daripada kita.
Apa yang penting ialah kita perlu berpijak di bumi nyata. Bukan terus tenggelam dalam alam fantasi hingga tidak sedar bahawa orang lain telah jauh meningggalkan kita.
Bukan kita sahaja pandai memerintah. Orang lain pun pandai juga. Bukan kita sahaja pandai memimpin. Orang lain mungkin lebih pandai memimpin daripada kita. Hanya mungkin kita lebih bertuah kerana diberi peluang untuk melakukannya pada masa dan ketika ini.
Oleh yang demikian, wahai pemimpin-pemimpinku sekelian, ... gunakanlah peluang yang ada dengan sebaik mungkin. Bukan terus angkuh dalam kehebatan yang tidak seberapa. Bukan terus buta dalam kemewahan dan kerakusan dunia yang tidak akan berkekalan ini.
Tuhan telah memberi kesempatan ini kepada anda dan Tuhan juga boleh menariknya kembali dengan sekelip mata...
No comments:
Post a Comment