Followers

Wednesday, 30 December 2009

Jangan Suka Bermain Api, Takut Nanti Membakar Diri

Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak kisah yang berlaku dalam arena politik tanah air. Ada yang boleh dijadikan tauladan, tidak kurang yang lebih baik dijadikan sempadan.

Perbincangan dan perdebatan secara terbuka mengenai banyak isu-isu yang dahulunya cukup sensitif untuk dibicarakan mungkin boleh dilihat sebagai indikasi betapa terbukanya pemikiran ahli politik kita masa kini. Walau bagaimana pun , kita cukup bimbang kerana tidak semua rakyat di negara ini telah sampai ke tahap pemikiran yang sedemikian.

Isu perkauman bukanlah sesuatu yang boleh dimain-mainkan. Begitu juga isu agama yang sememangnya cukup sensitif dalam kalangan orang Melayu. Mempertikaikan berapa banyak wang yang boleh dibelanjakan untuk membina masjid atau lain-lain isu yang berkaitan contohnya bukanlah satu cara yang baik untuk mencari populariti mahupun memancing undi.

Begitu juga isu tuduh menuduh mengenai rasuah, salah laku, pembaziran atau apa saja bentuk spekulasi yang boleh menjejaskan maruah orang yang dituduh tanpa sebarang asas yang kukuh. Lahirlah konsep baru iaitu bersalah hingga dibuktikan benar dan bukan sebaliknya.

Anehnya masyarakat kita semakin menyukai fenomena sebegini. Tuduhan demi tuduhan melalui media arus perdana, media eletronik, mahupun media baru seperti blog, facebook, twitter dan sebagainya cukup berleluasa. Tidak kurang pula ramai dalam kalangan kita yang begitu ghairah memberikan pendapat tanpa menyedari atau memikirkan akibat dan implikasi daripada perbuatan, kata-kata atau tindakan yang telah dilakukan.

Mungkin dalam keseronokan  pemimpin kita memberi reaksi terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan, mereka menjadi semakin hanyut dalam melayan emosi. Kata-kata kesat dihamburkan, caci mencaci menjadi amalan hingga seolah-olah kita telah lupa kepada budaya dan asas agama. Ada yang sanggup berkata apa saja demi untuk menegakkan benang yang basah. Ada juga hingga rela menggadai maruah agama dan bangsa demi mengejar '5 minutes of fame' atau populariti yang hanya bersifat sementara.

Hanya apa yang aku lakukan sahaja yang betul semuanya. Apa yang orang lain buat semuanya salah belaka. Falsafah "I can do no wrong" menjadi pegangan mereka. Maka lahirlah pendapat, arahan mahupun fatwa yang bukan-bukan. Semuanya demi untuk menyedapkan hati mereka sendiri mahupun pengikut fanatik yang sanggup mempercayai apa sahaja yang dilaungkan oleh pemimpin mereka.

Ayat Quran dan Hadis dijadikan mainan politik. Malah telah ada pendapat yang mengatakan tidak salah jika orang yang bukan Islam sekali pun menggunakan atau melafazkannya tanpa sebarang asas ilmu yang kukuh. Semuanya kerana untuk menang . Semuanya untuk menegakkan benang yang basah. Benarkah begitu? Bolehkah mereka yang jahil dalam ilmu agama bercakap mengalahkan seorang ulama?

Mungkin tiba masanya para pemimpin kita kembali bermuhasabah diri. Tidak salah kalau kita berbeza aliran dan fahaman politik. Itukan fenomena biasa yang telah diterima sejak berkurun lamanya. Bak kata pepatah, rambut sama hitam, hati lain-lain. Namun ada ketikanya kita perlu bersatu dan ada masanya kita perlu mengakui kesilapan kita sendiri. Tidak ada ruginya atau tidak akan tergugat ego kita sekiranya terpaksa berbuat demikian. Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya..

Jika kita semua masih berdegil atau terlalu enak dibuai mimpi, mungkin satu masa nanti kita akan hilang segala-galanya. Tidak ada gunanya kalau kita  hanya menang sorak tetapi kampung tergadai. Kepentingan diri  perlu dihindari. Sebaliknya maruah bangsa dan agama perlu dibela. Ianya bukan boleh dijual beli atau dimanipulasi demi memuaskan nafsu sendiri. Tanggungjawab yang diberikan adalah amanah yang perlu ditunaikan dengan baik dan sempurna

Ingatlah bahawa anak cucu kita akan menilai kita satu hari nanti. Tolong jangan biarkan mereka menangis di kemudian hari....

Monday, 14 December 2009

Takut Kepada Bayang-bayang Sendiri ?

par·a·noi·a / ˌparəˈnoiə/
• n. a mental condition characterized by delusions of persecution, unwarranted jealousy, or exaggerated self-importance, typically elaborated into an organized system. It may be an aspect of chronic personality disorder, of drug abuse, or of a serious condition such as schizophrenia in which the person loses touch with reality.
∎ suspicion and mistrust of people or their actions without evidence or justification: the global paranoia about hackers and viruses.

DERIVATIVES:
par·a·noi·ac / -ˈnoi-ak; -ˈnoi-ik/ adj. & n.
par·a·noi·a·cal·ly adv.
par·a·no·ic / -ˈnoi-ik/ adj.
par·a·no·i·cal·ly adv.

ORIGIN: early 19th cent.: modern Latin, from Greek, from paranoos ‘distracted,’ from para ‘irregular’ + noos ‘mind.’

The Oxford Pocket Dictionary of Current English
2009
© The Oxford Pocket Dictionary of Current English 2009, originally published by Oxford University Press 2009. (Hide copyright information) Copyright


Menurut ilmu perubatan jiwa , paranoia adalah satu simptom yang menggambarkan kemungkinan wujudnya masalah atau gangguan jiwa yang serius.

Mereka yang mengalami simptom ini....
  • seringkali dalam ketakutan,
  • berperasangka buruk terhadap orang lain
  • sentiasa melihat bahawa terdapat sesuatu motif yang tidak baik daripada apa saja yang dilakukan oleh sesiapa sahaja (tidak kira mereka yang dekat atau jauh daripada mereka)
Semua orang dilihat sebagai satu ancaman.

Segala tingkahlaku orang lain dilihat mempunyai niat buruk untuk menjatuhkan atau membuat sesuatu yang tidak elok terhadap mereka

Kerapkalinya tidak ada bukti yang jelas atau nyata bagi menyokong pandangan atau kepercayaan mereka itu. Ia hanya berdasarkan perasangka semata-mata....
Anehnya dalam politik, paranoia sebenarnya dianggap sesuatu yang normal dan sebahagian daripada 'lumrah hidup'.

Menurut bijak pandai , orang yang ingin menceburi arena politik atau ingin berjinak-jinak dalam politik perlu mempunyai sikap berperasangka buruk kepada orang lain. Semua orang lain perlu dilihat sebagai ancaman demi untuk mencapai cita-cita yang diinginkan atau demi untuk memanjat ke tahap yang lebih tinggi.

Musuh yang jelas seperti anggota pembangkang sebenarnya mudah untuk diperangi. Mereka ini terang-terangan mempunyai pandangan, pendapat dan ideologi politik yang berbeza. Justeru itu, mereka bukanlah sebenarnya ancaman yang perlu dibimbangi.

Musuh yang lebih ditakuti oleh orang politik ialah mereka yang berada dalam kalangan ahli parti mereka sendiri. Sahabat handai, kawan-kawan malah saudara mara mereka sendiri adalah sebenarnya musuh yang cukup digeruni.

Orang politik perlu sentiasa berwaspada. Sebagai ketua bahagian  contohnya beliau perlu sentiasa 'alert' dan 'bersedia'. Tindak tanduk rakan taulan, sahabat handai , timbalan, naib ketua , setiausaha, ketua penerangan, ahli jawatan kuasa bahagian , ketua cawangan, ketua pemuda , ketua puteri, dan sesiapa sahaja yang mempunyai jawatan perlu dipantau dan dihalusi. Apatah lagi veteran-veteran atau tokoh-tokoh lama yang masih berwibawa. Tidak dilupa juga pemimpin pelapis, cendikiawan atau pemimpin-pemimpin masyarakat yang sedia ada.

Semua mereka perlu diawasi. Sebarang usaha atau tingkah laku yang boleh memberikan 'political mileage' kepada mereka ini haruslah dicegah dan dibenteras dengan segera. Cantas mencantas merupakan istilah yang popular dan seringkali digunakan.

Akhirnya kebanyakan ahli politik menjadi mereka yang sentiasa takut kepada bayang-bayang sendiri. Sentiasa mempunyai prasangka kepada sesiapa sahaja. Sebahagian besar tenaga digunakan bukan untuk memajukan bangsa dan negara, sebaliknya lebih banyak difokuskan ke arah  menjaga dan memastikan kepentingan peribadi terus terbela.

Suka atau tidak, itu lah hakikatnya.... Mungkin senario begini akan terus kekal buat selama-lamanya di negara ini selagi nafsu dan bukannya iman yang menguasai diri. Entahlah... tepuk dada tanya selera.

Tuesday, 1 December 2009

Antara Fantasi dan Realiti...

Egocentric : Definition: thinking very highly of oneself

Antonyms: altruistic, humble, modest, reserved, selfless, shy, submissive, timid, unassuming


Dalam kehidupan seharian, ramai di antara kita sering merasakan diri masing-masing terlalu penting. Lebih penting daripada segala-galanya atau lebih penting daripada sesiapa sahaja. Ada yang beranggapan dunia tidak akan boleh berfungsi tanpa mereka. Semua orang memerlukan mereka. Merekalah umpama paksi di mana bumi berputar.

Sifat egocentric seperti ini amat berleluasa terutama dalam kalangan pemimpin politik. Kepercayaan beginilah yang mungkin mengakibatkan mereka enggan melepaskan kuasa walaupun telah tiba masanya untuk mengundur diri.

Individu sedemikian sering menggunakan alasan bahawa parti, negara dan rakyat jelata masih memerlukan khidmat mereka. Parti akan hancur tanpa mereka. Negara akan lumpuh tanpa kehadiran mereka. Lalu mereka terus bertangguh dan terus bertangguh kononnya demi kebaikan semua....

Kita tidak perlu melangkah jauh untuk melihat bukti semua ini. Di peringkat nasional, tempatan mahupun di peringkat kampung, semuanya sama sahaja. Cuma mungkin pendekatan atau alasan yang diberikan agak berbeza, namun intipatinya tetap sama.

Akulah pemimpin agong. Akulah pemimpin yang perlu disanjung. Pujalah aku. Pujilah aku. Aku ini tidak ada tolok tandingnya. Aku ini satu dalam berjuta.... Mungkin itulah yang terpahat di dalam jiwa sanubari mereka.

Fenomena ini mungkin juga berjangkit kepada parti yang dipimpin mereka. Parti akulah yang terbaik di dunia. Parti aku telah lama berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Oleh yang demikian, hanya parti aku layak memerintah. Hanya parti aku yang mampu memerintah.

Orang lain semua bodoh berlaka. Orang lain tidak mampu melakukan apa yang telah kami lakukan. Kamilah pemimpin dan parti yang kami pimpinlah yang sepatutnya diberi kepercayaan  untuk memerintah hingga ke akhir zaman....

Mungkin tiba masanya kita mengubah persepsi ini. Kita semua insan biasa. Tidak lari daripada salah dan dosa. Namun kita juga boleh berubah bersesuaian dengan masa dan ketika.

Dunia semakin luas. Manusia semakin pandai dan semakin bijak menilai. Mungkin apa yang digunapakai satu masa dahulu sudah tidak lagi relevan di masa kini. Pendekatan yang berjaya di masa lampau tidak semestinya diteruskan hanya kerana ia telah terbukti berkesan. Tidak juga kita perlu membuang semuanya. Mungkin boleh diadaptasikan supaya ia tidak dianggap ketinggalan zaman.

Kalau kita rasa diri ini pandai, mungkin ada beribu orang lagi yang jauh lebih pandai daripada kita. Jika kita merasa diri ini bodoh, mungkin beribu orang lagi yang jauh lebih bodoh daripada kita.

Apa yang penting ialah kita perlu berpijak di bumi nyata. Bukan terus tenggelam dalam alam fantasi hingga tidak sedar bahawa orang lain telah jauh meningggalkan kita.

Bukan kita sahaja pandai memerintah. Orang lain pun pandai juga. Bukan kita sahaja pandai memimpin. Orang lain mungkin lebih pandai memimpin daripada kita. Hanya mungkin kita lebih bertuah kerana diberi peluang untuk melakukannya pada masa dan ketika ini.

Oleh yang demikian, wahai pemimpin-pemimpinku sekelian, ... gunakanlah peluang yang ada dengan sebaik mungkin. Bukan terus angkuh dalam kehebatan yang tidak seberapa. Bukan terus buta dalam kemewahan dan kerakusan dunia yang tidak akan berkekalan ini.

Tuhan telah memberi kesempatan ini kepada anda dan Tuhan juga boleh menariknya kembali dengan sekelip mata...
Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails