Followers

Tuesday, 20 December 2011

Amal Ibadah Yang Paling Dicintai Allah SWT

Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra : Rasulullah Saw pernah bersabda, “perbuatan yang engkau lakukan tidak akan menyelamatkan engkau dari api neraka”, mereka berkata, “bahkan engkau sendiri ya Rasulullah?” Nabi Muhammad Saw bersabda, “bahkan aku sendiri, kecuali Allah melindungiku dengan kasih dan rahmatNya. Oleh karena itu lakukanlah perbuatan baik sepatut mungkin, setulus mungkin, sedapat mungkin dan beribadahlah kepada Allah pada pagi dan sore hari, pada sebagian dari malam hari dan bersikaplah al-qashd (mengambil pertengahan dan melaksanakannnya secara tetap) karena dengan cara itulah kamu akan mencapai (surga)”.


Diriwayatkan dari Aisyah ra : seseorang bertanya kepada Nabi Muhammad Saw, “apakah amal (ibadah) yang paling dicintai Allah?” Nabi Muhammad Saw bersabda,” amal (ibadah) yang dilakukan secara tetap meskipun sedikit”

Anak Muda , Jangan Terlalu Gelojoh...

Seronok rasanya melihat ramai anak muda di kampung mahupun di bandar yang begitu berminat dengan politik. Blog, facebook, twitter dan pelbagai media alternatif menjadi pilihan dan medan untuk mereka meluahkan isi hati dan perasaan..

Hebat... Memang hebat...

Namun jika direnung dan diteliti, terserlah juga ketidak matangan mereka. Idea mereka bagus. Hujah yang dikemukakan pun boleh lah masuk akal. Cuma yang tidak kena ialah mereka sukar untuk menerima pendapat orang lain.

Mereka lebih gemar mendabik dada mengatakan merekalah panglima dan mereka lah pahlawan. Semua musuh politik harus dihancurkan dan dilawan tanpa mengira bangsa sendiri atau kawan sepermainan. Kalau anda tidak dalam parti kami, anda adalah musuh kami....

Sesiapa yang enggan atau tidak bersetuju dengan pendapat atau cadangan, mereka perlu disingkirkan. Dimalu, dihina, dicerca dan dikeji berhabis-habisan tanpa mengira belas dan kasihan. Pendapat orang lain semuanya salah. Tidak setuju dengan mereka, terus dianggap penderhaka.

Rasanya elok kalau mereka berhenti sejenak dan bermuhasabah diri. Kalau kita rasa kita bijak, ramai lagi orang yang lebih bijak dari kita. Jangan terlalu mudah melatah dan gelojoh dalam perjuangan. Berbicara biar beradap bukan biadap. Tidak salah mendengar pandangan orang. Nak ikut atau tidak , itu soal kedua....

Sekadar renungan kita bersama....

Jika Ingin Dilayan Seperti Orang Dewasa, Berkelakuan Seperti Orang Dewasa...



Kadang2 rasa sedih melihat perangai sesetengah mahasiswa di Malaysia ini. Tidak salah kalau bersemangat untuk berpolitik. Tetapi buatlah dengan cara yang sesuai dengan imej anda sebagai mahasiswa. Usah mudah terpengaruh dengan politik jalanan atau sekadar mencari publisiti murahan.

Anda semua pemimpin di masa hadapan. Perlu sedar bahawa keganasan, kekacauan atau huru hara tidak memberi faedah kepada sesiapa. Kalau anda ingin dipandang serius dan dilayan seperti orang dewasa, berkelakuanlah seperti orang dewasa yang matang akalnya. Bukan seperti lembu yang dicucuk hidungnya....:-)

Monday, 24 October 2011

Hidup Umpama Roda....





Kepada para pemimpin kita , 


Ingatlah bahawa hidup ini umpama roda. Ada masa kita di atas dan ada masa kita di bawah. Idealnya ialah bila berada di atas, kita prihatin dengan orang-orang di bawah. 


Jangan mudah lupa diri, sombong, takabbur atau lupa diri ; dan jangan ingkar kepada perintah dan suruhan Allah SWT. 


Ingat ... bahawa nasib kita boleh berubah dalam sekelip mata tidak kira sehebat mana kita di dunia kerana sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa di atas segala-galanya....

Wednesday, 17 August 2011

Umat Islam di Akhir Zaman...

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah  SAW bersabda;


"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".

Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?"

Rasulullah SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah SWT. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah SWT akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'.

Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Rasulullah SAW menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".

H.R. Abu Daud


Wednesday, 29 June 2011

Bersih oh Bersih... Jangan Suka Bermain Api, Takut Nanti Membakar Diri...

Iklim politik Malaysia semakin hari dilihat semakin bercelaru. Kalau dulu, rakyat berbilang kaum dapat hidup dengan aman dan harmoni, kini sedikit sebanyak sudah mula rasa terancam dek perbuatan segelintir individu yang buta sejarah atau lebih tepat lagi pengkhianat bangsa dan negara.

Golongan ini sering mempertikai apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan. Semuanya salah dan tidak kena di mata mereka. Berilah nasihat mahupun bukti, namun ia tidak ubah seperti mencurah air ke daun keladi. Mereka tetap berdegil dan terus mengguna pelbagai tipu muslihat demi memperoleh apa yang dihajati.

Isu terbaru adalah berkaitan dengan perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadual berlangsung pada 9 Julai 2011 ini. Pelbagai alasan dikemuka sebagai justifikasi. Mulanya fokus utama konon untuk ‘membersih kekotoran’ yang wujud dalam Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), khususnya penyelewengan daftar pemilih dan undi pos. Bagi mereka, Suruhanjaya berkenaan telah gagal melaksanakan tugas dan terdapat ketidakadilan dalam proses pengundian di negara ini.

Peliknya kenapa mahu dipertikai sekarang? Adakah kerana bahang pilihanraya umum ke 13 sudah semakin terasa atau mungkin juga ada agenda lain yang lebih utama? Ramai pemerhati politik beranggapan, semuanya ini sebenarnya hanya satu sandiwara.

Pakatan pembangkang sedar sokongan rakyat semakin memihak kepada kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan ini membimbangkan mereka. Apatah lagi, kemelut dalaman yang melanda parti komponen, krisis pentadbiran khususnya di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang; serta pelbagai kontroversi yang melanda pemimpin agung mereka, telah banyak menghakis kepercayaan rakyat terhadap kejujuran serta keikhlasan perjuangan yang dilaungkan selama ini. Oleh yang demikian, perhimpunan Bersih 2.0 dilihat sebagai alternatif terbaik bagi mengalih tumpuan terhadap isu-isu berkenaan untuk sementara waktu.

Walaupun pihak berkuasa dan pelbagai lapisan masyarakat merayu agar ianya dibatal memandangkan ia berkemungkinan besar bakal mencetus huru-hara, namun ia dipandang sepi oleh pihak penganjur. Mereka bertegas untuk terus berarak kerana ia dianggap hak asasi sebagai rakyat Malaysia.

Memang benar, mereka berhak berbuat demikian. Namun bolehkah mereka memberi jaminan ianya akan berlangsung tanpa sebarang insiden yang tidak diingini? Mahukah mereka bertanggungjawab sepenuhnya jika kekecohan tercetus atau lebih buruk lagi, bila berlaku pertumpahan darah?

Cakap-cakap politik yang berjanji untuk mengawal keadaan tidak boleh diterima kerana mereka bukaannya mempunyai kuasa mahupun pengalaman untuk berbuat demikian. Begitu juga dengan jaminan untuk membela nasib mereka yang mengambil bahagian sekiranya sesuatu yang buruk berlaku. Itu semua hanya umpama menanam tebu di pinggir bibir sahaja. Lazimnya jika sebarang insiden terjadi, mereka hanya pandai menuding jari dan mendakwa konon wujud konspirasi atau provokasi.

Dari awal lagi motif penganjuran jelas berbau politik. Kalau penyelesaian yang dicari, kenapa apabila Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bersetuju memberi ruang untuk berbincang, ia ditolak mentah-mentah tanpa sebarang alasan yang munasabah? Jauh di sudut hati busuk mereka, telah wujud niat untuk memalukan negara di mata dunia dengan dakwaan dan tindakan yang sebegitu rupa.

Perhimpunan sama pernah dianjurkan pada 10 November 2007 yang lalu. Hasilnya pun semua orang sudah tahu. Walau telah jelas implikasinya kepada rakyat jelata, namun penganjur tetap tidak mahu berpijak di bumi nyata dan masih mahu meneruskan niat buruk mereka.

Mungkin mereka ini tergolong dalam kalangan orang yang buta sejarah. Ingatlah, kemerdekaan Malaysia diperoleh bukan dengan pertumpahan darah. Sebaliknya ia dicapai dengan rundingan yang penuh bijaksana oleh pemimpin terdahulu daripada kita. Begitu juga dengan peralihan kuasa dari satu generasi kepada generasi yang lain. Malah ketika Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan di beberapa negeri selepas kejayaan dalam Pilihanraya Umum ke 12 pada tahun 2008 yang lalu, ia berlaku tanpa sebarang kekecohan mahupun keganasan.

Sejak dulu lagi, keharmonian dan keamanan yang wujud di negara ini lahir hasil daripada sikap bertolak ansur, bekerjasama, dan hormat menghormati antara kita. Perselisihan faham harus diselesaikan di meja rundingan bukan di medan pertempuran. Tragedi 13 Mei 1969 umpamanya menjadi titik hitam dalam sejarah negara. Titik tolaknya ia berlaku apabila pemimpin dan rakyat mula lupa dan alpa betapa pentingnya perbincangan dalam menyelesaikan apa sahaja kemelut yang melanda.

Sedihnya, sudah ada tanda-tanda bahawa sejarah mungkin berulang kembali. Kebanjiran individu yang keras kepala, rasis dan cauvinis, serta berniat jahat dalam kalangan pemimpin menyebabkan risiko itu semakin tinggi. Golongan ini sering berselindung di sebalik alasan memperjuang demokrasi atau hak asasi demi mendapat sokongan dan meraih simpati.

Realitinya, hanya kepentingan peribadi dan politik perkauman yang sempit menjadi objektif utama. Mereka tamak kuasa dan mahukan segalanya. Kejayaan menguasai beberapa negeri, menyebabkan keangkuhan mereka menjadi-jadi. Menguasai Putrajaya dijadikan matlamat yang perlu dicapai dengan apa cara sekalipun tanpa mengira implikasi yang bakal terjadi.

Pelbagai tuduhan telah dilempar untuk menjatuhkan kerajaan. Pilihanraya yang tidak telus, rasuah, politik kotor dan sebagainya menjadi senjata utama mereka dalam menyerang pemerintah. Slogan berjuang demi agama, bangsa dan negara sentiasa diulang dalam ucapan berapi mereka. Walhal semua itu hanya retorik semata-mata.

Soalan seterusnya, kenapa keganasan dan kekacauan jadi pilihan? Agama Islam sebagai agama rasmi tidak pernah menghalalkannya. Tidak bolehkah diadakan perbincangan atau musyawarah? Mungkin pemimpin besar mereka sudah ketandusan idea dan helah untuk menang melalui peti undi, lalu jalan singkat begini yang dicari untuk menaikkan diri sendiri dalam usaha menjadi Perdana Menteri. Bukankah itu jawatan yang telah sekian lama dicari dan dimimpi sejak dahulu lagi?

Kenapa perlu melibatkan rakyat yang tidak berdosa untuk melakukan kerja kotor mereka? Pelbagai lapisan masyarakat dikerah untuk berhimpun dan berarak, konon untuk menuntut keadilan. Keadilan untuk siapa sebenarnya? Perlukah kita berkorban harta dan tenaga untuk pemimpin yang terang-terangan menentang hak keistimewaan orang Melayu; atau pemimpin yang telah beria-ia mempertikai kesucian Islam sebagai agama rasmi? Golongan ini bukan perwira atau srikandi tetapi hanya sekumpulan individu yang gilakan publisiti.

Mereka ini dengan sombong dan bongkak sering memutarbelit fakta, mempermain undang-undang dan terang-terangan mencabar kesabaran pihak yang berkuasa. Orang beginikah yang ingin kita tabalkan sebagai pemimpin? Kalau undang-undang sedia ada pun tidak dipeduli, bayangkan apa yang boleh dilakukan sekiranya kuasa sudah berada di tangan mereka.

Tuduhan kepimpinan pembangkang kononnya pilihan raya negara ini penuh dengan penipuan dan ketidakadilan boleh dianggap satu jenaka. Kalau benar begitu, bagaimana pula mereka boleh menang dengan hebatnya tiga tahun yang lalu? Jika pemerintah memang menipu, jangankan 1 negeri, 1 kerusi Dewan Undangan Negeri / Parlimen pun belum tentu boleh dimenangi…

Lebih melucukan lagi bila diimbas senario dalam pemilihan pucuk pimpinan parti mereka sendiri. Penuh dengan kontroversi, adegan membaling kerusi serta memaki hamun sesama sendiri. Itu baru pemilihan parti, belum lagi sampai ke tahap negeri atau negara yang kita kasihi. Pepatah Melayu ada menyebut, mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Cerminlah dulu diri sendiri sebelum ingin berlagak hero di peringkat yang lebih tinggi.

Kita bersetuju dengan tindakan tegas yang dicadangkan oleh Dato’ Seri Hishamudin, selaku Menteri Dalam Negeri. Kalau enggan mengikut kata, mungkin sudah tiba masaya kita menggunakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Ini adalah soal keselamatan negara. Kalau enggan mematuhinya, bersedialah untuk menerima hukuman yang bakal tiba. Negara ini bukan milik peribadi Dato’ Seri Anwar, Dato’ Ambiga atau sesiapa sahaja. Ia adalah milik semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan benci kepada keganasan.

Kita juga bersetuju dengan cabaran Perdana Menteri kepada mereka dalam ucapan beliau baru-baru ini. Kalau betul anak jantan, tunjukkan kehebatan ketika pilihan raya dan bukan di jalan raya. Biar peti undi menjadi saksi, siapa sebenarnya yang rakyat kehendaki. Usah berselindung di sebalik memperjuang hak asasi atau apa sahaja alasan yang sudah basi. Ingat pepatah orang Melayu lagi, jangan suka bermain api, takut nanti membakar diri. Lebih afdal, kalau rasa diri sudah tidak diperlukan lagi, undurlah dengan rela hati sebelum dihina dan dicaci oleh anak cucu sendiri suatu hari nanti….

Sunday, 26 June 2011

Mengata Dulang Paku Serpih, Mengata Orang Kita Yang Lebih

 

Sejak kebelakangan ini, istilah 'pembunuhan karakter' menjadi topik perbincangan utama dalam kalangan orang politik di negara ini. Yang terhangat adalah kes yang melibatkan isu pita video yang dikatakan melibatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan manakala yang terbaru ialah kes tuduhan khalwat yang melibatkan Ketua Puteri & Setiausaha UMNO Bahagian Jerlun.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan perbandingan ini, namun kalau dilihat dengan teliti, kedua-duanya mempunyai motif yang sama - menjatuhkan maruah orang yang terlibat ; dan secara tidak langsung  menyebabkan hancurnya masa depan dan kerjaya mereka dalam politik .

Skandal seks atau apa yang berkaitan dengannya memang cukup senang untuk 'dijual' kepada masyarakat Malaysia yang majoritinya terdiri daripada bangsa Melayu yang beragama Islam. Pemimpin yang terlibat dalam kes begini satu masa dulu lazimnya akan hilang terus dari arena politik tanahair. Kemungkinan untuk kembali mendapat tempat kembali dalam parti boleh dikatakan tipis sama sekali. Agaknya itulah motif mengapa isu-isu hangat seperti ini masih kekal dalam senario masa kini.

Namun harus diingat, 'pembunuhan karakter' begini ada risikonya. Ia bergantung kepada keadaan di mana musuh politik tersebut harus dilihat sebagai 'penjenayah' atau 'orang yang rendah moralnya' ; manakala orang yang menuduh pula mesti dilihat sebagai orang yang tinggi maruah dan martabatnya di mata masyarakat. Kalau orang yang membuat tuduhan itupun dianggap 'dua kali lima' dengan orang yang kena tuduh, maka impak yang dikehendaki tidak akan menjadi kenyataan...

Dalam kes yang kononnya melibatkan Dato' Seri Anwar, atas kertas, ia boleh dianggap sesuatu yang boleh menjejaskan reputasi beliau dalam skala yang amat besar. Malah ia mungkin diumpamakan sebagai senjata pemusnah yang cukup hebat.

Namun hakikatnya kenapa ia tidak memberi impak seperti yang diharapkan? Jawapannya mudah sahaja. Sebahagian pemimpin-pemimpin dalam UMNO dan parti komponen dalam Barisan Nasional sendiri juga dilihat tidak se-'BERSIH' (istilah yang cukup sensitif masa kini...) mana. Mereka juga tidak 'maksum' daripada dosa-dosa yang seumpamanya dengannya.

Mungkin susah untuk mencari pemimpin yang benar-benar jujur dan bebas dari segala kontroversi sebegini. Tun Mahathir adalah contoh yang paling baik dalam kalangan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Itulah sebabnya beliau masih kekal dihormati hingga ke saat ini.

Bagi mereka yang ingin terjun ke arena politik, beringatlah. Jangan biarkan NAFSU menguasai diri kerana ia akan MENGHANTUI anda di kemudian hari....

Sunday, 8 May 2011

Jangan Suka Bermain Api, Takut Kelak Membakar Diri....


Utusan Malaysia 8.5.2011

 
Utusan Malaysia : 7.5.2011

Pemimpin politik di Malaysia masa kini nampaknya semakin hari semakin lupa kepada sejarah (atau pun mungkin sebenarnya buta sejarah...). Kalau kita katakan kurang cerdik, sudah tentu mereka ini akan melenting. Namun hakikatnya, golongan ini sengaja mencari jalan untuk menyusahkan orang lain. Meniupkan isu perkauman atau isu yang membabitkan agama, bukanlah sesuatu yang bijak dalam negara yang berbilang kaum seperti Malaysia.

Tragedi 13 Mei 1969 sepatutnya dijadikan iktibar untuk tidak mengulangi kesilapan silam. Hakikatnya ini majoriti rakyat di negara ini adalah Melayu yang beragama Islam. Agama Islam juga merupakan agama rasmi dan telah termaktub dalam perlembagaan sejak bertahun-tahun lamanya.

Kenapa harus ada pemimpin politik masih mahu bermain dengan api? Apakah mereka ingin menguji kesabaran orang Melayu atau kempimpinan kerajaan kini yang terbukti kian lemah dan terlalu ghairah memberikan apa sahaja yang diminta oleh golongan-golongan ekstrimis sebegini.

Alasan hak asasi sering dijadikan pelindung oleh mereka-mereka yang ingin melihat negara ini hancur. Apabila kehendak mereka tidak dipenuhi, mereka dengan pantas akan menuduh kepimpinan sedia ada tidak mengamalkan semangat 1 Malaysia yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri.

Mungkin juga salah pemimpimn kita juga termasuk PM sendiri , kerana daripada awal terlalu memberi muka kepada golongan pelampau sebegini, baik daripada parti pembangkang mahu pun golongan ekstrimis dalam parti Barisan Nasional sendiri.

Kini apa yang dibimbangi telah mula menampakkan bayangan. Kalau tidak dibendung dengan segera, kemungkinan ia akan menjadi bara, yang semakin hari semakin susah untuk dipadamkan. Golongan seperti ini tidak akan takut kepada amaran Menteri Dalam Negeri, kerana setakat ini ia umpama singa yang tidak bergigi.....(maaf sekiranya ungkapan ini mengguris hati sesiapa tetapi hakikatnya itulah yang sering dikatakan oleh ramai rakyat jelata...)

Jangan biarkan demokrasi yang dipupuk dan dibina oleh pemimpin terdahulu, hancur berkecai dek kerana kejahilan dan kedayusan mereka yang memegang tampuk pemerintahan untuk bertindak mengawal keadaan. Usah biarkan ia berlarutan atau berpanjangan. Tangkap sahaja mereka yang angkuh itu dan humbankan mereka ke dalam penjara. Kalau tidak mahu pun, usir atau halau sahaja dari negara yang kita cintai ini.... Habis cerita....


Tuesday, 5 April 2011

Penderaan Yang Tidak Sepatutnya Dibiarkan....


Kisah yang melibatkan adik Siful ini sesungguhnya amat menyayat hati. Bagi Paksu, apa pun alasan yang diberi, ia tidak boleh diterimapakai. Salah tetap salah dan ustaz berkenaan patut menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatan beliau.

Sebagai individu yang mempunyai akal dan fikiran, tindakan beliau tidak ubah seperti binatang yang tidak tahu erti perikemanusiaan. Ia bukan sahaja memalukan bangsa malah agama. Inikah imej Islam yang ingin ditonjolkan kepada masyarakat umum? Tidak hairanlah kenapa umat Islam di dunia dilabel sebagai pengganas atau penjenayah....

Apa pun biarlah beliau diadili dan dihukum oleh mahkamah. Namun diharap beliau juga tidak lupa dengan hukuman yang bakal diterima daripada 'Mahkamah Agong' di akhirat nanti.....

Wallahuaklam..

Sunday, 3 April 2011

Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi....

Kosmo 2.4.2011

Apabila terbaca kisah2 begini, orang awam seperti kita pasti tertanya-tanya, kenapa ia boleh berlaku? Kalau benarlah apa yang didakwa atau diputuskan oleh Mahkamah, maka ini sudah tentu menjadi satu lagi titik hitam dalam sejarah politik UMNO dan Barisan Nasional.

Tak perlu rasanya ia diulas dan dipanjangkan. Harapannya ia akan menjadi panduan dan teladan kepada kita semua. Kepada Tuan yang empunya badan, mungkin beliau perlu kembali segera ke pangkal jalan. Kalau ditakdirkan beliau berjaya mengekalkan jawatan yang dipegang, berkhidmatlah dengan lebih baik , lebih jujur dan lebih amanah supaya segala pekerjaan yang dilakukan itu, akan mendapat berkat dan keredhaan daripada Allah SWT, Insya Allah.

Friday, 25 March 2011

Tabiat Kerja 1 Malaysia


Paksu dapat keratan ini daripada salah seorang rakan facebook. Oleh kerana ia menarik dan mempunyai pelbagai maksud yang tersirat dan tersurat, jadi Paksu paparkan untuk renungan kita bersama.

Wednesday, 16 February 2011

Keratan Akhbar Utusan Malaysia (12.2.2011) & Berita Harian (11.2.2011)

Utusan Malaysia - Forum (12.2.2011)


Berita Harian - Surat (11.2.2011)


Monday, 7 February 2011

Kalah Jadi Abu, Menang Jadi Arang

Ertinya :
Kalah atau menang dalam sesuatu pertengkaran tak akan menguntungkan kepada pihak mana pun juga.


Sejak kebelakangan ini, debat menjadi suatu isu. Ramai pemimpin Melayu tidak kira daripada golongan muda mahupun yang sudah berumur, sering cabar mencabar antara satu sama lain. Media arus perdana dan media alternatif dijadikan medan menyampaikan hasrat kepada pihak lawan.


Anehnya bila ada individu yang menyahut cabaran yang dilontarkan, pelbagai alasan pula diberikan sebagai pra-syarat untuk ianya dilangsungkan. Mesti dibuat secara terbuka, perlu disiarkan dalam media, harus dihadiri oleh pendebat yang berkedudukan, berpangkat atau berjawatan. Lalu akhirnya ia berlalu begitu sahaja tanpa sebarang noktah mahupun jalan penyelesaian.

Sebagai orang awam, kita tertanya-tanya apa sebenarnya motif dan tujuan mewar-warkan niat untuk berdebat ini? Begitu juga apakah niat sebenar perdebatan yang ingin dipentaskan? Adakah semuanya itu ikhlas untuk mencari kebenaran atau sekadar mencari publisiti murahan?

Jika ingin mendapatkan maklumbalas, atau memberi input serta pandangan, bukankah dialog atau perbincangan lebih sesuai. Tidak perlu menghebahkan ke sana sini atau saling bercakaran di media. Bukankah itu hanya membuang masa dan membazir tenaga?

Andai kedua pihak jujur niatnya untuk mencari kebenaran yang hakiki dan jalan penyelesaian yang diredhai, bukankah berbicara secara tertutup lebih afdhal dan lebih besar pahalanya? Lagipun topik yang ingin diutarakan kebanyakannya sensitif dan boleh mengundang pelbagai kontroversi. Tidak perlu dirumitkan lagi dengan perdebatan yang tentunya penuh dengan emosi.

Kita semua maklum bahawa jika perdebatan menjadi realiti, tentulah akan ada yang menang dan yang kalah nanti. Mencari kebenaran bukanlah satu pertandingan atau sesuatu yang boleh dijual beli. Sebagai orang yang berkecuali, kita tidak rela melihat orang Melayu berpecah lagi hasil daripada rasa marah, iri hati dan hasad dengki.

Di sisi Allah SWT, kemuliaan kita dinilai dari segi iman dan amal yang dilakukan. Bukan daripada pangkat dan kedudukan. Tidak perlulah mendabik dada mengatakan akulah ulama besar yang hanya boleh berbincang dengan mereka yang setaraf dan berpangkat tinggi sahaja.

Jangan lupa bahawa seberapa tinggi ilmu yang dimiliki, ianya tidak lebih dari setitik air di lautan yang luas di dunia ini. Begitu juga jangan lupa, alim ulama bukannya maksum seperti Nabi Muhammad SAW yang kita cinta. Mereka juga akan disoal dan diadili. Status Tok Guru , Presiden Parti mahupun Perdana Menteri bukannya bererti anda akan dilayan seperti VVIP bila tiba masa mengadap Ilahi.

Umat Islam kini ditindas di serata dunia. Janganlah kita di Malaysia pula ingin menambahkan derita. Elok cermin diri dulu sebelum berkata-kata. Jangan hanya kerana kepentingan diri dan gilakan kuasa, kita sanggup menggadai maruah bangsa, agama dan negara.

Jika benar ingin mencari kebenaran, duduklah semeja dan berbincanglah dengan seberapa segera. Jangan letakkan pelbagai pra-syarat atau alasan, jika benar inginkan keredhaan. Al Quran dan Hadis kita jadikan panduan supaya tidak tersesat di tengah jalan. Insya Allah, kalau itu menjadi realiti, anak cucu kita tentu akan bahagia di kemudian hari….

Friday, 7 January 2011

Interaksi PM di Laman Maya : Antara Fantasi & Realiti ....

Laman Sesawang : Dato' Seri Najib : http://www.1malaysia.com.my/


Ketika melayari internet semalam, barulah Paksu sedar bahawa rupanya PM kita, DS Najib ada pelbagai laman di 'alam maya' (maaf ye.. Paksu agak ketinggalan zaman sedikit rupanya..). Sebut sahaja apa laman sembang yang popular di Malaysia, maka akan adalah ruang untuk beliau. Contohnya :
  1. Facebook           :     http://www.facebook.com/najibrazak
  2. Twitter                :     http://twitter.com/najibrazak
  3. You tube             :     http://www.youtube.com/NajibRazak
  4. Flickr                  :     http://www.flickr.com/photos/najibrazak
  5. Website               :    http://www.1malaysia.com.my/
Sepanjang pengetahuan Paksu lah (betulkan jika ianya tidak benar..), belum ada satu pemimpin di Malaysia (terdahulu dan kini atau mungkin selama2nya...) atau rasanya di mana-mana negara pun di dunia yang sehebat itu...

Secara teorinya, ini akan memberi akses yang seluas-luasnya untuk semua rakyat Malaysia untuk dapat mendekati pemimpin nombor 1 negara ini. Hantarlah mesej atau apa sahaja ; dan ianya akan sampai ke pengetahuan beliau. Excellent....

Begitu juga, kita dapat melihat betapa sibuknya beliau dengan pelbagai aktiviti setiap hari - siang malam pagi petang subuh senja...Maksudnya, memang benarlah PM kita amat kuat bekerja demi rakyat dan negara. Itu pun excellent...

Kita pun faham, kemungkinan besar, DS Najib akan menggunakan semua pembantu / pegawai-pegawai khas / tugas khas / setiausaha dan sebagainya untuk tujuan tersebut kerana mustahil untuk beliau melakukannya sendiri (alamat tak tidur malam lah kalau nak buat itu semua on his own...)

Cuma apa yang diharapkan, kewujudan semua laman maya ini mencerminkan keprihatinan beliau terhadap isu dan masalah yang menimpa rakyat di negara ini. Kita tidak mahu ianya hanya retorik semata-mata atau sekadar melepaskan batuk di tangga.

Memang benar, antara kepincangan besar dan punca kekalahan BN dalam PRU 12 adalah kerana kurangnya keprihatinan kepimpinan parti terhadap apa yang berlaku di alam maya. Kewujudan laman-laman ini menunjukkan memang ianya telah diberi perhatian....

Namun begitu, akan menjadi malang sekiranya pengisiannya lebih tertumpu kepada propaganda atau sekadar menjadi ruang untuk mempromosi diri semata-mata. Jika ianya hanya berfungsi sedemikian, maka lebih baiklah kita menonton Berita RTM atau TV3 sahaja. Tak perlu membuang masa di laman maya...

Apa yang lebih penting ialah elemen interaktif. Maksudnya wujud unsur-unsur 'personal touch' di dalamnya. Kita semua sukakan Facebook / Twitter dan sebagainya kerana ia memenuhi cita rasa dan keperluan ini. Persoalan timbul, sejauh mana DS Najib terlibat dalam perjalanan dan aktiviti laman-laman tersebut? Berapa banyakkah masa yang diperuntukan oleh beliau untuk membaca isi hati rakyat dari pelbagai golongan masyarakat, baik di kota mahupun di desa, mereka yang berpangkat tinggi dan kaya raya atau orang-orang lain yang miskin dan papa kedana di negara kita ini...

Kalau ianya hanya dibaca oleh pembantu dan kuncu-kuncunya semata-mata, mungkin isu-isu sensitif atau yang tidak sedap didengar dek telinga tidak akan sampai ke pengetahuan pemimpin yang kita sayangi ini. Tak ubah seperti senario terdahulu dimana luahan rakyat kepada wakil / orang kuat / ketua cawangan / ketua bahagian / JKK dan sebagainya  kepada wakil rakyat / YB / Tan Sri / Dato' dan Pak Menteri hilang begitu sahaja...

Almaklum, kebanyakan mereka ini akan cuba untuk memberi gambaran bahawa semuanya OK di bawah ini (mungkin nak tunjukkan bahawa mereka ni dah jalankan tugas dengan baiknya), walhal apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya.. Ya Dato' , OK Dato', semua CLEAR Dato' , Tak payah risau Dato', semuanya dalam tangan Dato' merupakan ungkapan yang sering diucapkan. Akibatnya pemimpin berkenaan akan terus dibuai mimpi hingga lupa kepada rakyat yang menderita setiap hari....

Kalau benar, DS Najib bukan begini, barulah beliau boleh digelar pemimpin sejati. Jika tidak, maka tidak ada bezanya beliau dengan beribu pemimpin lain di Malaysia ini yang kebanyakannya syok sendiri di alam fantasi....

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails