Sinar Harian Utara (25.8.2010)
Isu perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini kini semakin menjadi-jadi. Ramai dalam kalangan pemimpin Melayu tidak kira daripada parti pembangkang mahu pun parti pemerintah nampaknya berlumba-lumba untuk menunjukkan betapa orang Melayu ini rela untuk berkorban apa saja demi mendapat undi daripada golongan bukan Islam.
Tidak cukup isu yang melibatkan bangsa, kini agama pula ingin dicampur-adukkan dengan politik . Terbaru adalah kontroversi dimana terdapat dakwaan bahawa seorang (dan mungkin beberapa orang lagi) khatib mendoakan kesejahteraan Ketua Menteri Pulau Pinang dalam Khutbah Jumaat sebagai ganti doa yang sepatutnya ditujukan kepada Yang Dipertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri.
Akhbar utama hari ini (25.8.2010) melaporkan salah seorang daripada mereka dengan bangganya memberi kenyataan bahawa memang benar dialah orang yang melakukannya. Pada masa yang sama, beliau tidak langsung meminta maaf kepada umat Islam yang lain di negara ini di atas kesilapan yang dilakukan, sebaliknya hanya menyatakan ia adalah satu kesilapan dari segi pertimbangan....
Beginilah yang terjadi kepada pemimpin kita sekarang. Nak dikatakan bodoh, mereka dengan lantangnya mengatakan mereka tidak jahil. Tetapi hakikatnya mereka ini jelas tidak cukup cerdik... Klasifikasi yang lebih baik mungkin adalah golongan yang bak kata pepatah, bodoh tapi tak boleh ajar, pandai tapi tidak boleh diturut.
Soalan yang harus dikemukakan, kenapa beliau sanggup melakukannya dalam Khutbah Jumaat? Juga kenapa baru sekarang ingin memohon maaf, hanya setelah ia menjadi satu kontroversi yang hangat dan juga setelah satu negara kecoh dibuatnya?
Kenapa tidak mengangkat tangan dan mengaku kesilapan terlebih dahulu, sebelum ia terpampang di dada rata-rata akhbar utama di Malaysia? Kenapa ? Takut atau cuba mencari alasan untuk menegakkan benang yang basah terlebih dahulu ?
Dalam keghairahan untuk menunjukkan bahawa Ketua Menteri daripada Pakatan Pembangkang ini mungkin dianggap beliau cukup hebat hingga sanggup si Khatib itu menggunakan pentas utama yang khusus untuk umat Islam sahaja, beliau telah melakukan satu dosa yang cukup berat untuk dimaafkan dengan begitu mudah.
Kita bimbang bahawa dengan melakukan sedemikian, ia seolah-olah memberi gambaran pemimpin Melayu dan Islam lain di negara ini (tidak kira dari parti apa pun) begitu lemah, tidak berguna atau tidak mampu untuk memimpin negeri sebaik Ketua Menteri yang sedia ada.
Rasanya pemimpin yang didoakan itu tidaklah setaraf dengan Saidina Omar Al Khattab atau pun Khalid Al Walid untuk diangkat ke darjat yang sebegitu tinggi dalam Khutbah Jumaat. Apakah sumbangan beliau begitu besar kepada umat Islam di Pulau Pinang khasnya dan Malaysia amnya hingga melayakkan dia dipuja sebegitu rupa? Realitinya lebih ramai pemimpin Melayu dan Islam di negara ini yang lebih layak untuk didoakan. Kenapa tidak menyebut nama mereka dalam Khutbah Jumaat?
Kalau sudah begitu benci kepada pemimpin pemerintah tertentu, kenapa tidak mendoakan kesejahteraan pemimpin pembangkang yang beragama Islam yang lain? Itu tentunya lebih munasabah daripada alasan untuk mendoakan Ketua Menteri yang sedia ada?
Sesungguhnya mereka yang menggelarkan diri atau ingin menonjolkan diri sebagai pemimpin di negara ini, harus melakukan muhasabah diri dengan lebih mendalam lagi. Agama bukanlah sesuatu yang boleh dipermain-mainkan seperti ini. Tidak kira setinggi mana kelulusan anda atau selama mana anda berguru, maruah agama dan maruah bangsa perlu dipelihara.
Jangan kerana ingin mencari peluang dalam politik atau ingin mempopularkan diri di mata rakyat dan pemimpin lain, kita sanggup menggadaikan itu semua. Hidup ini hanya sementara. Di dunia anda mungkin akan terlepas hukuman, namun di akhirat nanti, anda akan menerima balasan yang setimpal.
Umat Islam di seluruh dunia kini ditindas, diperbodoh dan dipermain-mainkan oleh masyarakat dunia. Adalah menjadi tanggung jawab kita untuk mempertahankan kesucian agama yang kita anuti dan bukan menghancurkannya lagi dengan melakukan tindakan yang hanya akan membuka ruang untuk musuh Islam terus bermaharajalela.
Politik bukanlah alasan untuk menghalalkan yang haram, atau mengkafirkan mereka yang Islam. Tingkah laku dan peradaban pemimpin harus mencerminkan dan menonjolkan ciri-ciri yang boleh dituruti dan dihayati oleh semua termasuk mereka yang bukan beragama Islam.
Gimik-gimik murahan yang menonjolkan betapa ceteknya ilmu seseorang pemimpin itu harus dihindari. Jangan menjadi seperi tong kosong, lantang di luar, tetapi tidak ada isi di dalam. Perpaduan ummah mestilah dijadikan matlamat kita semua. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.....
No comments:
Post a Comment