Followers

Tuesday, 9 April 2013

Pi Mai Pi Mai Cara Tu Juga....




Baru-baru ini saya telah berkesempatan untuk menghadiri dua ceramah politik yang diadakan serentak di Kuala Kedah. Menariknya kedua-dua di adakan tak sampai 1 kilometer antara satu sama lain. Sama ada sengaja atau kebetulan, Wallahuaklam. 

Namun apa yang menyedihkan ialah isi kandungan ceramah kedua2 pihak lebih terujurus kepada memburuk-burukkan antara satu sama lain. Sipolan dan sipolan buat itu dan ini, ambil duit, buat kerja tak senonoh dan sebagainya. Tidak banyak masa diperuntuk untuk menonjolkan apa sebenarnya perjuangan mereka sendiri. 

Nampaknya senario politik Malaysia masih di takuk lama. Tidak berubah dari dulu hingga kini dan mungkin juga untuk selama-lamanya. Kata orang, nak buat macam mana.. Itu yang orang kita suka. Memaki hamun, mengata dan mengadu domba....

Entahlah....Tepuk dada tanya selera...:-)

Gendang Dipalu, Pilihanraya Ditunggu...




Dato Seri Najib telah umumkan pembubaran Parlimen pada 3 April 2013 baru-baru ini. Semua pihak sebenarnya  dah lama bersedia untuk berkempen...

Apa pun dalam situasi begini, jangan sampai lupa diri. Kita boleh berpolitik tetapi cara perlu lebih matang. Jangan sampai berkerat rotan berpatah arang. Kata orang puteh, ...' at the end of the day, we must be able to agree to disagree' dalam isu-isu tertentu.

Jadi, selamat berkempen dan selamat beramal...:-)

Tuesday, 20 December 2011

Amal Ibadah Yang Paling Dicintai Allah SWT

Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra : Rasulullah Saw pernah bersabda, “perbuatan yang engkau lakukan tidak akan menyelamatkan engkau dari api neraka”, mereka berkata, “bahkan engkau sendiri ya Rasulullah?” Nabi Muhammad Saw bersabda, “bahkan aku sendiri, kecuali Allah melindungiku dengan kasih dan rahmatNya. Oleh karena itu lakukanlah perbuatan baik sepatut mungkin, setulus mungkin, sedapat mungkin dan beribadahlah kepada Allah pada pagi dan sore hari, pada sebagian dari malam hari dan bersikaplah al-qashd (mengambil pertengahan dan melaksanakannnya secara tetap) karena dengan cara itulah kamu akan mencapai (surga)”.


Diriwayatkan dari Aisyah ra : seseorang bertanya kepada Nabi Muhammad Saw, “apakah amal (ibadah) yang paling dicintai Allah?” Nabi Muhammad Saw bersabda,” amal (ibadah) yang dilakukan secara tetap meskipun sedikit”

Anak Muda , Jangan Terlalu Gelojoh...

Seronok rasanya melihat ramai anak muda di kampung mahupun di bandar yang begitu berminat dengan politik. Blog, facebook, twitter dan pelbagai media alternatif menjadi pilihan dan medan untuk mereka meluahkan isi hati dan perasaan..

Hebat... Memang hebat...

Namun jika direnung dan diteliti, terserlah juga ketidak matangan mereka. Idea mereka bagus. Hujah yang dikemukakan pun boleh lah masuk akal. Cuma yang tidak kena ialah mereka sukar untuk menerima pendapat orang lain.

Mereka lebih gemar mendabik dada mengatakan merekalah panglima dan mereka lah pahlawan. Semua musuh politik harus dihancurkan dan dilawan tanpa mengira bangsa sendiri atau kawan sepermainan. Kalau anda tidak dalam parti kami, anda adalah musuh kami....

Sesiapa yang enggan atau tidak bersetuju dengan pendapat atau cadangan, mereka perlu disingkirkan. Dimalu, dihina, dicerca dan dikeji berhabis-habisan tanpa mengira belas dan kasihan. Pendapat orang lain semuanya salah. Tidak setuju dengan mereka, terus dianggap penderhaka.

Rasanya elok kalau mereka berhenti sejenak dan bermuhasabah diri. Kalau kita rasa kita bijak, ramai lagi orang yang lebih bijak dari kita. Jangan terlalu mudah melatah dan gelojoh dalam perjuangan. Berbicara biar beradap bukan biadap. Tidak salah mendengar pandangan orang. Nak ikut atau tidak , itu soal kedua....

Sekadar renungan kita bersama....

Jika Ingin Dilayan Seperti Orang Dewasa, Berkelakuan Seperti Orang Dewasa...



Kadang2 rasa sedih melihat perangai sesetengah mahasiswa di Malaysia ini. Tidak salah kalau bersemangat untuk berpolitik. Tetapi buatlah dengan cara yang sesuai dengan imej anda sebagai mahasiswa. Usah mudah terpengaruh dengan politik jalanan atau sekadar mencari publisiti murahan.

Anda semua pemimpin di masa hadapan. Perlu sedar bahawa keganasan, kekacauan atau huru hara tidak memberi faedah kepada sesiapa. Kalau anda ingin dipandang serius dan dilayan seperti orang dewasa, berkelakuanlah seperti orang dewasa yang matang akalnya. Bukan seperti lembu yang dicucuk hidungnya....:-)

Monday, 24 October 2011

Hidup Umpama Roda....





Kepada para pemimpin kita , 


Ingatlah bahawa hidup ini umpama roda. Ada masa kita di atas dan ada masa kita di bawah. Idealnya ialah bila berada di atas, kita prihatin dengan orang-orang di bawah. 


Jangan mudah lupa diri, sombong, takabbur atau lupa diri ; dan jangan ingkar kepada perintah dan suruhan Allah SWT. 


Ingat ... bahawa nasib kita boleh berubah dalam sekelip mata tidak kira sehebat mana kita di dunia kerana sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa di atas segala-galanya....

Wednesday, 17 August 2011

Umat Islam di Akhir Zaman...

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah  SAW bersabda;


"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".

Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?"

Rasulullah SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah SWT. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah SWT akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'.

Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Rasulullah SAW menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".

H.R. Abu Daud


Wednesday, 29 June 2011

Bersih oh Bersih... Jangan Suka Bermain Api, Takut Nanti Membakar Diri...

Iklim politik Malaysia semakin hari dilihat semakin bercelaru. Kalau dulu, rakyat berbilang kaum dapat hidup dengan aman dan harmoni, kini sedikit sebanyak sudah mula rasa terancam dek perbuatan segelintir individu yang buta sejarah atau lebih tepat lagi pengkhianat bangsa dan negara.

Golongan ini sering mempertikai apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan. Semuanya salah dan tidak kena di mata mereka. Berilah nasihat mahupun bukti, namun ia tidak ubah seperti mencurah air ke daun keladi. Mereka tetap berdegil dan terus mengguna pelbagai tipu muslihat demi memperoleh apa yang dihajati.

Isu terbaru adalah berkaitan dengan perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadual berlangsung pada 9 Julai 2011 ini. Pelbagai alasan dikemuka sebagai justifikasi. Mulanya fokus utama konon untuk ‘membersih kekotoran’ yang wujud dalam Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), khususnya penyelewengan daftar pemilih dan undi pos. Bagi mereka, Suruhanjaya berkenaan telah gagal melaksanakan tugas dan terdapat ketidakadilan dalam proses pengundian di negara ini.

Peliknya kenapa mahu dipertikai sekarang? Adakah kerana bahang pilihanraya umum ke 13 sudah semakin terasa atau mungkin juga ada agenda lain yang lebih utama? Ramai pemerhati politik beranggapan, semuanya ini sebenarnya hanya satu sandiwara.

Pakatan pembangkang sedar sokongan rakyat semakin memihak kepada kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan ini membimbangkan mereka. Apatah lagi, kemelut dalaman yang melanda parti komponen, krisis pentadbiran khususnya di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang; serta pelbagai kontroversi yang melanda pemimpin agung mereka, telah banyak menghakis kepercayaan rakyat terhadap kejujuran serta keikhlasan perjuangan yang dilaungkan selama ini. Oleh yang demikian, perhimpunan Bersih 2.0 dilihat sebagai alternatif terbaik bagi mengalih tumpuan terhadap isu-isu berkenaan untuk sementara waktu.

Walaupun pihak berkuasa dan pelbagai lapisan masyarakat merayu agar ianya dibatal memandangkan ia berkemungkinan besar bakal mencetus huru-hara, namun ia dipandang sepi oleh pihak penganjur. Mereka bertegas untuk terus berarak kerana ia dianggap hak asasi sebagai rakyat Malaysia.

Memang benar, mereka berhak berbuat demikian. Namun bolehkah mereka memberi jaminan ianya akan berlangsung tanpa sebarang insiden yang tidak diingini? Mahukah mereka bertanggungjawab sepenuhnya jika kekecohan tercetus atau lebih buruk lagi, bila berlaku pertumpahan darah?

Cakap-cakap politik yang berjanji untuk mengawal keadaan tidak boleh diterima kerana mereka bukaannya mempunyai kuasa mahupun pengalaman untuk berbuat demikian. Begitu juga dengan jaminan untuk membela nasib mereka yang mengambil bahagian sekiranya sesuatu yang buruk berlaku. Itu semua hanya umpama menanam tebu di pinggir bibir sahaja. Lazimnya jika sebarang insiden terjadi, mereka hanya pandai menuding jari dan mendakwa konon wujud konspirasi atau provokasi.

Dari awal lagi motif penganjuran jelas berbau politik. Kalau penyelesaian yang dicari, kenapa apabila Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bersetuju memberi ruang untuk berbincang, ia ditolak mentah-mentah tanpa sebarang alasan yang munasabah? Jauh di sudut hati busuk mereka, telah wujud niat untuk memalukan negara di mata dunia dengan dakwaan dan tindakan yang sebegitu rupa.

Perhimpunan sama pernah dianjurkan pada 10 November 2007 yang lalu. Hasilnya pun semua orang sudah tahu. Walau telah jelas implikasinya kepada rakyat jelata, namun penganjur tetap tidak mahu berpijak di bumi nyata dan masih mahu meneruskan niat buruk mereka.

Mungkin mereka ini tergolong dalam kalangan orang yang buta sejarah. Ingatlah, kemerdekaan Malaysia diperoleh bukan dengan pertumpahan darah. Sebaliknya ia dicapai dengan rundingan yang penuh bijaksana oleh pemimpin terdahulu daripada kita. Begitu juga dengan peralihan kuasa dari satu generasi kepada generasi yang lain. Malah ketika Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan di beberapa negeri selepas kejayaan dalam Pilihanraya Umum ke 12 pada tahun 2008 yang lalu, ia berlaku tanpa sebarang kekecohan mahupun keganasan.

Sejak dulu lagi, keharmonian dan keamanan yang wujud di negara ini lahir hasil daripada sikap bertolak ansur, bekerjasama, dan hormat menghormati antara kita. Perselisihan faham harus diselesaikan di meja rundingan bukan di medan pertempuran. Tragedi 13 Mei 1969 umpamanya menjadi titik hitam dalam sejarah negara. Titik tolaknya ia berlaku apabila pemimpin dan rakyat mula lupa dan alpa betapa pentingnya perbincangan dalam menyelesaikan apa sahaja kemelut yang melanda.

Sedihnya, sudah ada tanda-tanda bahawa sejarah mungkin berulang kembali. Kebanjiran individu yang keras kepala, rasis dan cauvinis, serta berniat jahat dalam kalangan pemimpin menyebabkan risiko itu semakin tinggi. Golongan ini sering berselindung di sebalik alasan memperjuang demokrasi atau hak asasi demi mendapat sokongan dan meraih simpati.

Realitinya, hanya kepentingan peribadi dan politik perkauman yang sempit menjadi objektif utama. Mereka tamak kuasa dan mahukan segalanya. Kejayaan menguasai beberapa negeri, menyebabkan keangkuhan mereka menjadi-jadi. Menguasai Putrajaya dijadikan matlamat yang perlu dicapai dengan apa cara sekalipun tanpa mengira implikasi yang bakal terjadi.

Pelbagai tuduhan telah dilempar untuk menjatuhkan kerajaan. Pilihanraya yang tidak telus, rasuah, politik kotor dan sebagainya menjadi senjata utama mereka dalam menyerang pemerintah. Slogan berjuang demi agama, bangsa dan negara sentiasa diulang dalam ucapan berapi mereka. Walhal semua itu hanya retorik semata-mata.

Soalan seterusnya, kenapa keganasan dan kekacauan jadi pilihan? Agama Islam sebagai agama rasmi tidak pernah menghalalkannya. Tidak bolehkah diadakan perbincangan atau musyawarah? Mungkin pemimpin besar mereka sudah ketandusan idea dan helah untuk menang melalui peti undi, lalu jalan singkat begini yang dicari untuk menaikkan diri sendiri dalam usaha menjadi Perdana Menteri. Bukankah itu jawatan yang telah sekian lama dicari dan dimimpi sejak dahulu lagi?

Kenapa perlu melibatkan rakyat yang tidak berdosa untuk melakukan kerja kotor mereka? Pelbagai lapisan masyarakat dikerah untuk berhimpun dan berarak, konon untuk menuntut keadilan. Keadilan untuk siapa sebenarnya? Perlukah kita berkorban harta dan tenaga untuk pemimpin yang terang-terangan menentang hak keistimewaan orang Melayu; atau pemimpin yang telah beria-ia mempertikai kesucian Islam sebagai agama rasmi? Golongan ini bukan perwira atau srikandi tetapi hanya sekumpulan individu yang gilakan publisiti.

Mereka ini dengan sombong dan bongkak sering memutarbelit fakta, mempermain undang-undang dan terang-terangan mencabar kesabaran pihak yang berkuasa. Orang beginikah yang ingin kita tabalkan sebagai pemimpin? Kalau undang-undang sedia ada pun tidak dipeduli, bayangkan apa yang boleh dilakukan sekiranya kuasa sudah berada di tangan mereka.

Tuduhan kepimpinan pembangkang kononnya pilihan raya negara ini penuh dengan penipuan dan ketidakadilan boleh dianggap satu jenaka. Kalau benar begitu, bagaimana pula mereka boleh menang dengan hebatnya tiga tahun yang lalu? Jika pemerintah memang menipu, jangankan 1 negeri, 1 kerusi Dewan Undangan Negeri / Parlimen pun belum tentu boleh dimenangi…

Lebih melucukan lagi bila diimbas senario dalam pemilihan pucuk pimpinan parti mereka sendiri. Penuh dengan kontroversi, adegan membaling kerusi serta memaki hamun sesama sendiri. Itu baru pemilihan parti, belum lagi sampai ke tahap negeri atau negara yang kita kasihi. Pepatah Melayu ada menyebut, mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Cerminlah dulu diri sendiri sebelum ingin berlagak hero di peringkat yang lebih tinggi.

Kita bersetuju dengan tindakan tegas yang dicadangkan oleh Dato’ Seri Hishamudin, selaku Menteri Dalam Negeri. Kalau enggan mengikut kata, mungkin sudah tiba masaya kita menggunakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Ini adalah soal keselamatan negara. Kalau enggan mematuhinya, bersedialah untuk menerima hukuman yang bakal tiba. Negara ini bukan milik peribadi Dato’ Seri Anwar, Dato’ Ambiga atau sesiapa sahaja. Ia adalah milik semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan benci kepada keganasan.

Kita juga bersetuju dengan cabaran Perdana Menteri kepada mereka dalam ucapan beliau baru-baru ini. Kalau betul anak jantan, tunjukkan kehebatan ketika pilihan raya dan bukan di jalan raya. Biar peti undi menjadi saksi, siapa sebenarnya yang rakyat kehendaki. Usah berselindung di sebalik memperjuang hak asasi atau apa sahaja alasan yang sudah basi. Ingat pepatah orang Melayu lagi, jangan suka bermain api, takut nanti membakar diri. Lebih afdal, kalau rasa diri sudah tidak diperlukan lagi, undurlah dengan rela hati sebelum dihina dan dicaci oleh anak cucu sendiri suatu hari nanti….

Sunday, 26 June 2011

Mengata Dulang Paku Serpih, Mengata Orang Kita Yang Lebih

 

Sejak kebelakangan ini, istilah 'pembunuhan karakter' menjadi topik perbincangan utama dalam kalangan orang politik di negara ini. Yang terhangat adalah kes yang melibatkan isu pita video yang dikatakan melibatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan manakala yang terbaru ialah kes tuduhan khalwat yang melibatkan Ketua Puteri & Setiausaha UMNO Bahagian Jerlun.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan perbandingan ini, namun kalau dilihat dengan teliti, kedua-duanya mempunyai motif yang sama - menjatuhkan maruah orang yang terlibat ; dan secara tidak langsung  menyebabkan hancurnya masa depan dan kerjaya mereka dalam politik .

Skandal seks atau apa yang berkaitan dengannya memang cukup senang untuk 'dijual' kepada masyarakat Malaysia yang majoritinya terdiri daripada bangsa Melayu yang beragama Islam. Pemimpin yang terlibat dalam kes begini satu masa dulu lazimnya akan hilang terus dari arena politik tanahair. Kemungkinan untuk kembali mendapat tempat kembali dalam parti boleh dikatakan tipis sama sekali. Agaknya itulah motif mengapa isu-isu hangat seperti ini masih kekal dalam senario masa kini.

Namun harus diingat, 'pembunuhan karakter' begini ada risikonya. Ia bergantung kepada keadaan di mana musuh politik tersebut harus dilihat sebagai 'penjenayah' atau 'orang yang rendah moralnya' ; manakala orang yang menuduh pula mesti dilihat sebagai orang yang tinggi maruah dan martabatnya di mata masyarakat. Kalau orang yang membuat tuduhan itupun dianggap 'dua kali lima' dengan orang yang kena tuduh, maka impak yang dikehendaki tidak akan menjadi kenyataan...

Dalam kes yang kononnya melibatkan Dato' Seri Anwar, atas kertas, ia boleh dianggap sesuatu yang boleh menjejaskan reputasi beliau dalam skala yang amat besar. Malah ia mungkin diumpamakan sebagai senjata pemusnah yang cukup hebat.

Namun hakikatnya kenapa ia tidak memberi impak seperti yang diharapkan? Jawapannya mudah sahaja. Sebahagian pemimpin-pemimpin dalam UMNO dan parti komponen dalam Barisan Nasional sendiri juga dilihat tidak se-'BERSIH' (istilah yang cukup sensitif masa kini...) mana. Mereka juga tidak 'maksum' daripada dosa-dosa yang seumpamanya dengannya.

Mungkin susah untuk mencari pemimpin yang benar-benar jujur dan bebas dari segala kontroversi sebegini. Tun Mahathir adalah contoh yang paling baik dalam kalangan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Itulah sebabnya beliau masih kekal dihormati hingga ke saat ini.

Bagi mereka yang ingin terjun ke arena politik, beringatlah. Jangan biarkan NAFSU menguasai diri kerana ia akan MENGHANTUI anda di kemudian hari....

Sunday, 8 May 2011

Jangan Suka Bermain Api, Takut Kelak Membakar Diri....


Utusan Malaysia 8.5.2011

 
Utusan Malaysia : 7.5.2011

Pemimpin politik di Malaysia masa kini nampaknya semakin hari semakin lupa kepada sejarah (atau pun mungkin sebenarnya buta sejarah...). Kalau kita katakan kurang cerdik, sudah tentu mereka ini akan melenting. Namun hakikatnya, golongan ini sengaja mencari jalan untuk menyusahkan orang lain. Meniupkan isu perkauman atau isu yang membabitkan agama, bukanlah sesuatu yang bijak dalam negara yang berbilang kaum seperti Malaysia.

Tragedi 13 Mei 1969 sepatutnya dijadikan iktibar untuk tidak mengulangi kesilapan silam. Hakikatnya ini majoriti rakyat di negara ini adalah Melayu yang beragama Islam. Agama Islam juga merupakan agama rasmi dan telah termaktub dalam perlembagaan sejak bertahun-tahun lamanya.

Kenapa harus ada pemimpin politik masih mahu bermain dengan api? Apakah mereka ingin menguji kesabaran orang Melayu atau kempimpinan kerajaan kini yang terbukti kian lemah dan terlalu ghairah memberikan apa sahaja yang diminta oleh golongan-golongan ekstrimis sebegini.

Alasan hak asasi sering dijadikan pelindung oleh mereka-mereka yang ingin melihat negara ini hancur. Apabila kehendak mereka tidak dipenuhi, mereka dengan pantas akan menuduh kepimpinan sedia ada tidak mengamalkan semangat 1 Malaysia yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri.

Mungkin juga salah pemimpimn kita juga termasuk PM sendiri , kerana daripada awal terlalu memberi muka kepada golongan pelampau sebegini, baik daripada parti pembangkang mahu pun golongan ekstrimis dalam parti Barisan Nasional sendiri.

Kini apa yang dibimbangi telah mula menampakkan bayangan. Kalau tidak dibendung dengan segera, kemungkinan ia akan menjadi bara, yang semakin hari semakin susah untuk dipadamkan. Golongan seperti ini tidak akan takut kepada amaran Menteri Dalam Negeri, kerana setakat ini ia umpama singa yang tidak bergigi.....(maaf sekiranya ungkapan ini mengguris hati sesiapa tetapi hakikatnya itulah yang sering dikatakan oleh ramai rakyat jelata...)

Jangan biarkan demokrasi yang dipupuk dan dibina oleh pemimpin terdahulu, hancur berkecai dek kerana kejahilan dan kedayusan mereka yang memegang tampuk pemerintahan untuk bertindak mengawal keadaan. Usah biarkan ia berlarutan atau berpanjangan. Tangkap sahaja mereka yang angkuh itu dan humbankan mereka ke dalam penjara. Kalau tidak mahu pun, usir atau halau sahaja dari negara yang kita cintai ini.... Habis cerita....


Tuesday, 5 April 2011

Penderaan Yang Tidak Sepatutnya Dibiarkan....


Kisah yang melibatkan adik Siful ini sesungguhnya amat menyayat hati. Bagi Paksu, apa pun alasan yang diberi, ia tidak boleh diterimapakai. Salah tetap salah dan ustaz berkenaan patut menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatan beliau.

Sebagai individu yang mempunyai akal dan fikiran, tindakan beliau tidak ubah seperti binatang yang tidak tahu erti perikemanusiaan. Ia bukan sahaja memalukan bangsa malah agama. Inikah imej Islam yang ingin ditonjolkan kepada masyarakat umum? Tidak hairanlah kenapa umat Islam di dunia dilabel sebagai pengganas atau penjenayah....

Apa pun biarlah beliau diadili dan dihukum oleh mahkamah. Namun diharap beliau juga tidak lupa dengan hukuman yang bakal diterima daripada 'Mahkamah Agong' di akhirat nanti.....

Wallahuaklam..

Sunday, 3 April 2011

Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi....

Kosmo 2.4.2011

Apabila terbaca kisah2 begini, orang awam seperti kita pasti tertanya-tanya, kenapa ia boleh berlaku? Kalau benarlah apa yang didakwa atau diputuskan oleh Mahkamah, maka ini sudah tentu menjadi satu lagi titik hitam dalam sejarah politik UMNO dan Barisan Nasional.

Tak perlu rasanya ia diulas dan dipanjangkan. Harapannya ia akan menjadi panduan dan teladan kepada kita semua. Kepada Tuan yang empunya badan, mungkin beliau perlu kembali segera ke pangkal jalan. Kalau ditakdirkan beliau berjaya mengekalkan jawatan yang dipegang, berkhidmatlah dengan lebih baik , lebih jujur dan lebih amanah supaya segala pekerjaan yang dilakukan itu, akan mendapat berkat dan keredhaan daripada Allah SWT, Insya Allah.

Friday, 25 March 2011

Tabiat Kerja 1 Malaysia


Paksu dapat keratan ini daripada salah seorang rakan facebook. Oleh kerana ia menarik dan mempunyai pelbagai maksud yang tersirat dan tersurat, jadi Paksu paparkan untuk renungan kita bersama.

Wednesday, 16 February 2011

Keratan Akhbar Utusan Malaysia (12.2.2011) & Berita Harian (11.2.2011)

Utusan Malaysia - Forum (12.2.2011)


Berita Harian - Surat (11.2.2011)


Monday, 7 February 2011

Kalah Jadi Abu, Menang Jadi Arang

Ertinya :
Kalah atau menang dalam sesuatu pertengkaran tak akan menguntungkan kepada pihak mana pun juga.


Sejak kebelakangan ini, debat menjadi suatu isu. Ramai pemimpin Melayu tidak kira daripada golongan muda mahupun yang sudah berumur, sering cabar mencabar antara satu sama lain. Media arus perdana dan media alternatif dijadikan medan menyampaikan hasrat kepada pihak lawan.


Anehnya bila ada individu yang menyahut cabaran yang dilontarkan, pelbagai alasan pula diberikan sebagai pra-syarat untuk ianya dilangsungkan. Mesti dibuat secara terbuka, perlu disiarkan dalam media, harus dihadiri oleh pendebat yang berkedudukan, berpangkat atau berjawatan. Lalu akhirnya ia berlalu begitu sahaja tanpa sebarang noktah mahupun jalan penyelesaian.

Sebagai orang awam, kita tertanya-tanya apa sebenarnya motif dan tujuan mewar-warkan niat untuk berdebat ini? Begitu juga apakah niat sebenar perdebatan yang ingin dipentaskan? Adakah semuanya itu ikhlas untuk mencari kebenaran atau sekadar mencari publisiti murahan?

Jika ingin mendapatkan maklumbalas, atau memberi input serta pandangan, bukankah dialog atau perbincangan lebih sesuai. Tidak perlu menghebahkan ke sana sini atau saling bercakaran di media. Bukankah itu hanya membuang masa dan membazir tenaga?

Andai kedua pihak jujur niatnya untuk mencari kebenaran yang hakiki dan jalan penyelesaian yang diredhai, bukankah berbicara secara tertutup lebih afdhal dan lebih besar pahalanya? Lagipun topik yang ingin diutarakan kebanyakannya sensitif dan boleh mengundang pelbagai kontroversi. Tidak perlu dirumitkan lagi dengan perdebatan yang tentunya penuh dengan emosi.

Kita semua maklum bahawa jika perdebatan menjadi realiti, tentulah akan ada yang menang dan yang kalah nanti. Mencari kebenaran bukanlah satu pertandingan atau sesuatu yang boleh dijual beli. Sebagai orang yang berkecuali, kita tidak rela melihat orang Melayu berpecah lagi hasil daripada rasa marah, iri hati dan hasad dengki.

Di sisi Allah SWT, kemuliaan kita dinilai dari segi iman dan amal yang dilakukan. Bukan daripada pangkat dan kedudukan. Tidak perlulah mendabik dada mengatakan akulah ulama besar yang hanya boleh berbincang dengan mereka yang setaraf dan berpangkat tinggi sahaja.

Jangan lupa bahawa seberapa tinggi ilmu yang dimiliki, ianya tidak lebih dari setitik air di lautan yang luas di dunia ini. Begitu juga jangan lupa, alim ulama bukannya maksum seperti Nabi Muhammad SAW yang kita cinta. Mereka juga akan disoal dan diadili. Status Tok Guru , Presiden Parti mahupun Perdana Menteri bukannya bererti anda akan dilayan seperti VVIP bila tiba masa mengadap Ilahi.

Umat Islam kini ditindas di serata dunia. Janganlah kita di Malaysia pula ingin menambahkan derita. Elok cermin diri dulu sebelum berkata-kata. Jangan hanya kerana kepentingan diri dan gilakan kuasa, kita sanggup menggadai maruah bangsa, agama dan negara.

Jika benar ingin mencari kebenaran, duduklah semeja dan berbincanglah dengan seberapa segera. Jangan letakkan pelbagai pra-syarat atau alasan, jika benar inginkan keredhaan. Al Quran dan Hadis kita jadikan panduan supaya tidak tersesat di tengah jalan. Insya Allah, kalau itu menjadi realiti, anak cucu kita tentu akan bahagia di kemudian hari….

Friday, 7 January 2011

Interaksi PM di Laman Maya : Antara Fantasi & Realiti ....

Laman Sesawang : Dato' Seri Najib : http://www.1malaysia.com.my/


Ketika melayari internet semalam, barulah Paksu sedar bahawa rupanya PM kita, DS Najib ada pelbagai laman di 'alam maya' (maaf ye.. Paksu agak ketinggalan zaman sedikit rupanya..). Sebut sahaja apa laman sembang yang popular di Malaysia, maka akan adalah ruang untuk beliau. Contohnya :
  1. Facebook           :     http://www.facebook.com/najibrazak
  2. Twitter                :     http://twitter.com/najibrazak
  3. You tube             :     http://www.youtube.com/NajibRazak
  4. Flickr                  :     http://www.flickr.com/photos/najibrazak
  5. Website               :    http://www.1malaysia.com.my/
Sepanjang pengetahuan Paksu lah (betulkan jika ianya tidak benar..), belum ada satu pemimpin di Malaysia (terdahulu dan kini atau mungkin selama2nya...) atau rasanya di mana-mana negara pun di dunia yang sehebat itu...

Secara teorinya, ini akan memberi akses yang seluas-luasnya untuk semua rakyat Malaysia untuk dapat mendekati pemimpin nombor 1 negara ini. Hantarlah mesej atau apa sahaja ; dan ianya akan sampai ke pengetahuan beliau. Excellent....

Begitu juga, kita dapat melihat betapa sibuknya beliau dengan pelbagai aktiviti setiap hari - siang malam pagi petang subuh senja...Maksudnya, memang benarlah PM kita amat kuat bekerja demi rakyat dan negara. Itu pun excellent...

Kita pun faham, kemungkinan besar, DS Najib akan menggunakan semua pembantu / pegawai-pegawai khas / tugas khas / setiausaha dan sebagainya untuk tujuan tersebut kerana mustahil untuk beliau melakukannya sendiri (alamat tak tidur malam lah kalau nak buat itu semua on his own...)

Cuma apa yang diharapkan, kewujudan semua laman maya ini mencerminkan keprihatinan beliau terhadap isu dan masalah yang menimpa rakyat di negara ini. Kita tidak mahu ianya hanya retorik semata-mata atau sekadar melepaskan batuk di tangga.

Memang benar, antara kepincangan besar dan punca kekalahan BN dalam PRU 12 adalah kerana kurangnya keprihatinan kepimpinan parti terhadap apa yang berlaku di alam maya. Kewujudan laman-laman ini menunjukkan memang ianya telah diberi perhatian....

Namun begitu, akan menjadi malang sekiranya pengisiannya lebih tertumpu kepada propaganda atau sekadar menjadi ruang untuk mempromosi diri semata-mata. Jika ianya hanya berfungsi sedemikian, maka lebih baiklah kita menonton Berita RTM atau TV3 sahaja. Tak perlu membuang masa di laman maya...

Apa yang lebih penting ialah elemen interaktif. Maksudnya wujud unsur-unsur 'personal touch' di dalamnya. Kita semua sukakan Facebook / Twitter dan sebagainya kerana ia memenuhi cita rasa dan keperluan ini. Persoalan timbul, sejauh mana DS Najib terlibat dalam perjalanan dan aktiviti laman-laman tersebut? Berapa banyakkah masa yang diperuntukan oleh beliau untuk membaca isi hati rakyat dari pelbagai golongan masyarakat, baik di kota mahupun di desa, mereka yang berpangkat tinggi dan kaya raya atau orang-orang lain yang miskin dan papa kedana di negara kita ini...

Kalau ianya hanya dibaca oleh pembantu dan kuncu-kuncunya semata-mata, mungkin isu-isu sensitif atau yang tidak sedap didengar dek telinga tidak akan sampai ke pengetahuan pemimpin yang kita sayangi ini. Tak ubah seperti senario terdahulu dimana luahan rakyat kepada wakil / orang kuat / ketua cawangan / ketua bahagian / JKK dan sebagainya  kepada wakil rakyat / YB / Tan Sri / Dato' dan Pak Menteri hilang begitu sahaja...

Almaklum, kebanyakan mereka ini akan cuba untuk memberi gambaran bahawa semuanya OK di bawah ini (mungkin nak tunjukkan bahawa mereka ni dah jalankan tugas dengan baiknya), walhal apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya.. Ya Dato' , OK Dato', semua CLEAR Dato' , Tak payah risau Dato', semuanya dalam tangan Dato' merupakan ungkapan yang sering diucapkan. Akibatnya pemimpin berkenaan akan terus dibuai mimpi hingga lupa kepada rakyat yang menderita setiap hari....

Kalau benar, DS Najib bukan begini, barulah beliau boleh digelar pemimpin sejati. Jika tidak, maka tidak ada bezanya beliau dengan beribu pemimpin lain di Malaysia ini yang kebanyakannya syok sendiri di alam fantasi....

Sunday, 5 December 2010

Berketak Ayam, Tahu Akan Bertelur atau Tidak.

Maksudnya: Orang yang bijaksana itu, apabila mendengar orang bercakap, tahu ia benar atau bohong, berilmu atau tidak.

Kata orang bijaksana, menjadi ahli politik perlu ada kemahirannya. Tak perlu IQ yang tinggi, apa yang perlu adalah kebolehan untuk membuatkan orang lain percaya dengan apa yang kita ingini. Dalam erti kata lain, kita mahukan orang mengikut telunjuk kita, mengikut apa sahaja dan mempercayai apa sahaja yang kita ceritakan. Betul atau salah, bukan menjadi persoalan. Yang lebih penting ialah kehendak kita dapat dilaksanakan...

Mungkin menjadi ahli politik di sekitar zaman merdeka lebih mudah agaknya. Maklumlah, rakyat ketika itu tidak ramai yang mempunyai tidak ramai yang berpendidikan tinggi. Bersekolah darjah 6 pun dah kira hebat. Kalau sekolah orang putih, lagi 'glamour'lah jawabnya...

Golongan pemimpin, kebanyakannya daripada keturunan orang berada. Ada wang yang berjuta dan harta yang berkoyan-koyan banyaknya. Mereka ini jugalah yang lebih berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Itupun boleh dibilang dengan jari.

Rakyat masa dahulu mudah dikawal. Begitu juga dengan informasi yang hendak diberikan kepada mereka. Semuanya berada dalam kawalan kerajaan dan tiada sesiapa yang akan mampu melawan. Cakaplah apa sahaja, nescaya rakyat semua akan percaya. Tidak akan persoal atau banyak bertanya, kerana maklumlah, mengaji pun tidak setinggi mana...

Tapi itu dulu... Kini zaman dah banyak berubah. Informasi kini dengan mudah boleh diperolehi. Ramai anak-anak muda yang telah menjejak kaki ke universiti sama ada di dalam mahupun di luar negeri. Media tidak boleh dikongkong lagi, kerana dalam dunia tanpa sempadan, segala maklumat boleh diakses dengan hanya menekan butang di hujung jari.

Peliknya, ramai pemimpin kita masih tidak mahu mengakui hakikat ini. Mungkin terlalu leka dalam kemewahan yang ada hingga lupa untuk sedar dari lamunan mereka. Atau mungkin juga terlalu bongkak dengan kepandaian sendiri, hingga tidak mahu percaya bahawa orang lain juga boleh ada kehebatan dan kebijaksanaan yang jauh lebih hebat daripada apa yang mereka miliki.

Dipendekkan cerita, ramai daripada ahli-ahli politik ini masih terperangkap dalam landskap politik masa silam; dan masih menggunakan taktik dan falsafah yang telah lapuk dan ketinggalan zaman. Kerapkalinya mereka cuba mengeluarkan kenyataan dan fakta tanpa berfikir panjang yang akhirnya memakan diri sendiri.

Terbaru ialah isu kenaikan harga gula dan bahan api. Alasan yang digunakan oleh Pak Menteri, kononnya untuk penyelarasan subsidi dan kalau tidak dilakukan, negara akan muflis di masa hadapan... Begitu juga ulangan kenyataan bahawa ' kenaikan ini adalah minima dan masih rendah jika dibandingkan dengan negara jiran yang lain'....Tak ubah seperti 'a broken record' , kata bahasa penjajah kita. "Insulting our intelligence" - kata orang-orang muda kita semakin berilmu dan bijaksana.

'Kenaikan itu sedikit sahaja', ujar seorang lagi pemimpin lain pula. Benar... tapi sedikit itu relatif kepada siapa? Orang yang ada wang yang berjuta atau kepada mereka yang hendak makan pun terpaksa berkira...Kepada Pak Menteri yang kaya raya, kenaikan sekupang dua itu memanglah tidak akan memberi apa-apa makna, tetapi kepada si nelayan atau petani, ianya mungkin bererti keluarga mereka terpaksa mengikat perut untuk sehari dua....

Kerajaan yang bijak, akan mencari jalan alternatif untuk menyelamatkan keadaan tanpa memerlukan pengorbanan atau menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kesengsaraan. Tidak ada gunanya menjadi negara maju, kalau rakyat sendiri terpaksa mengemis untuk mendapatkan sesuatu!

Negara bukanlah satu makmal yang boleh diexperimentasi. Penderitaan rakyat tidak boleh dijual beli atau dikompromi. Janganlah terlalu mementingkan diri sendiri kerana takut nanti, rakyat pula yang akan membuatkan anda semua menggigit jari.....

Sunday, 28 November 2010

Anwar Ibrahim : Pemimpin Anugerah Tuhan Atau Pemimpin Yang Sedang Miniti Era Kehancuran...


Akhbar hari ini banyak menyiarkan kenyataan Datin Seri Wan Azizah - Presiden Keadilan yang menyifatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI)  sebagai anugerah Tuhan bagi memimpin negara ini...

(anda boleh membacanya di sini http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
atau di penghujung artikel ini....

Sukar sebenarnya untuk menginterpretasikan ungkapan ini. Benarkah DSAI ini memperjuangkan hak rakyat dan sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan rakyat ; atau mungkinkah perjuangannya hanya untuk memiliki gelaran Perdana Menteri yang telah hilang darinya selama ini....

Sebagai seorang isteri, tidak salah untuk DSWA membela suaminya. Namun perlu ada garis pemisah antara pandangan peribadi dengan pandangan yang diberikan oleh beliau sebagai seorang pemimpin parti. Ia tidak boleh dikaburi dengan emosi.

Benar, DSAI ada kehebatan beliau. Begitu juga ramai pemimpin-pemimpin sebelum ini. Beliau juga telah menanggung pelbagai dugaan setelah jatuh merudum dari pesada kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional tidak lama dahulu. Kebolehan beliau untuk terus berada hampir di puncak sehingga kini perlu diakui.

Sebagai pemerhati dari luar, kita bimbang, dalam keghairahan untuk mencapai takhta pentadbiran di negara ini, mungkin DSAI telah lupa bahawa matlamat utama ialah apa yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara ; dan bukannya kepentingan dan kehendak peribadi.

Keangkuhan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Malah akan menjadi ejekan dan mainan dalam media semata-mata. Kalau beliau benar-benar dilahirkan di dunia untuk memerintah Malaysia, Insya Allah, ia akan berlaku juga, tak kira apa jua halangan yang menimpa.

Tidaklah perlu memukul canang untuk menghebahkan kehebatan sendiri di sana sini. Allah SWT mempunyai cara yang tersendiri untuk memastikan apa yang ditakdirkan tetap akan menjadi kenyataan suatu hari nanti....



Tuesday, 23 November 2010

Angguk Enggan, Geleng Ia

Ertinya : Lain di mulut , lain di hati.

Bila terbaca peribahasa ini, Paksu tersenyum sendirian. Teringat ketika aktif dalam politik satu ketika dahulu - betapa ramai individu yang Paksu sangka cukup jujur dan ikhlas, rupa-rupanya hanya bersandiwara semata-mata. Mulut manis ketika di depan, tapi di dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu....

Susah sebenarnya hidup begini. Siang dan malam, berhasad dengki sesama bangsa sendiri. Suka melihat orang lain jatuh tersungkur demi memburu harta, kedudukan dan kepentingan diri.

Malang sekali , orang begini realitinya terlalu ramai dalam kalangan kita. Hingga tidak terkira rasanya. Orang yang jujur pula seringkali menjadi mangsa. Rakan dan saudara juga tidak tidak dipedulikannya. Janji apa yang dihajati menjadi milik mereka.

Sedih juga bila memikirkannya. Tapi itulah lumrah dunia. Ramai veteran yang Paksu jumpa ada berkata -" if you can't beat them, why not join them..." Hmmmm....tak payahlah kut...Dunia ni dah penuh dengan orang seperti itu.... Betul tak? Betullll......


Pesan Paksu....Ingatlah, bahawa mungkin hari ini hari kita, esok mungkin  hari orang lain pula. Jangan terlalu angkuh dan suka mendabik dada bila melihat orang lain menderita. Takut satu hari nanti anda akan menangis teresak-esak akibat diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain pula......

Lebih penting lagi....Allah SWT itu Maha Berkuasa. Dosa dan pahala usah dilupa. Begitu juga kewujudan syurga dan neraka....!

Kuman di Seberang Laut Nampak, Gajah di Depan Mata Tak Nampak


Dalam hidup ini, ramai daripada kalangan kita yang sering berasa apa yang kita lakukan adalah terbaik. Kita lah yang paling pandai, paling cerdik, teramat arif dalam segala hal. Seperti kata orang putih, ' i can do no wrong...'

Begitu juga adalah lumrah untuk mengandaikan bahawa semua pendapat yang kita keluarkan adalah benar dan tidak ada lain yang lebih benar daripadanya. Pendapat orang lain yang tidak menyokong pandangan atau matlamat yang kita perjuangkan, akan dianggap salah, kolot atau bodoh.

Tak payah melihat jauh' Lihat sahaja apa yang sedang berlaku di negara kita sendiri. Berapa ramaikah dalam kalangan pemimpin negara ini yang berasa diri mereka sebagai terbaik. terpandai, terbilang dan apa-apa lagi istilah yang boleh digunakan untuk menunjukkan bahawa mereka ini 'infallible' (incapable of error). Tidak hairanlah kalau sifat angkuh, bongkak, sombong ini menjadi budaya dan 'nature' mereka.

Bagi golongan ini , ' i lead , you follow...' adalah prinsip utama. Dalam erti kata lain, akulah pemimpin yang sejati, paling demokratik, paling memahami dan tahu apa yang diperlukan oleh rakyat, bangsa dan negara. Ungkapan "I know best...." menjadi pegangan dan kepercayaan.

Sukar untuk mereka menerima pendapat atau pendirian yang sebaliknya. Bila ramai yang bersorak menyokong mereka, pemimpin sebegini akan tersenyum lebar dan mendabik dada. Bila rakyat tidak menyebelahi mereka, lantaran orang lain pula yang akan dipersalahkan bagi menutup kesalahan atau kelemahan diri sendiri.

Coretan ini bukan untuk menghina mana-mana pemimpin atau daripada parti mana beliau berasal. Gambar di atas juga tidak bertujuan untuk menuduh sesiapa...

Namun ia sekadar cubaan untuk menggambarkan apa yang sedang, telah dan mungkin akan terus berlaku di masa yang akan datang. Pemimpin datang pemimpin pergi. Begitu juga dengan rakyat jelata.  Kita semua bukan akan terus menongkat langit.....

Apa pun, mesej yang ingin diutarakan mudah sahaja. Untuk menjadi pemimpin yang bertanggungjawab, mungkin adalah lebih baik kalau kadang kala kita bermuhasabah diri sendiri terlebih dahulu, sebelum beria-ia menuduh, menghina, mengecam atau membesar-besarkan kesalahan orang lain. Benar, setiap manusia akan ada salah dan silapnya, tapi mungkin kita juga patut mengakui bahawa diri sendiri juga tidak terkecuali.

Matlamat  kita seharusnya ialah memperjuangkan agama, bangsa dan negara; bukannya menonjolkan kehebatan diri dan pada masa yang sama menindas serta memperkecil-kecilkan kemampuan orang lain. Kalau anda benar-benar berkemampuan dan berada di pihak yang benar, buktikannya secara 'gentleman'. Bukannya bak kata pepatah seperti melempar batu, sembunyi tangan...

Ingat ya, (sekadar peringatan kepada saudara kita yang mungkin dah terlupa...) dalam Islam, fitnah itu berdosa besar hukumnya....

Saturday, 6 November 2010

Setiap Yang Berlaku Ada HIkmahnya...

Negeri Kedah kini mengalami antara bencana banjir yang terburuk dalam sejarah. Terkini, lebih 39, 000 orang telah dipindahkan ke tempat-tempat perlindungan dan bandar Alor Setar dikatakan telah 'tenggelam' hari ini.

Dua negeri lain di Semenanjung Malaysia yang terlibat adalah Perlis dan Kelantan. Namun jika dibandingkan, mungkin ianya tidaklah seburuk apa yang sedang dialami di negeri Jelapang Padi  ini.

Di Indonesia, Gunung Merapi dilaporkan semakin ganas dan telah melibatkan pelbagai kerosakan harta benda dan nyawa dalam jumlah yang amat menakutkan. Ramai yang berpendapat, apa yang berlaku di negara jiran kita itulah yang menyebabkan negara ini mengalami perubahan cuaca yang luar biasa, sama seperti apa yang berlaku ketika peristiwa Tsunami tidak lama dahulu.

Sukar untuk kita membayangkan apa yang sedang, telah dan akan dilalui oleh mangsa-mangsa tersebut. Mungkin sumbangan dalam bentuk kewangan dan pelbagai sokongan boleh diberikan. Mungkin juga kita boleh mengucapkan kata-kata tanda simpati...Walau bagaimanapun, kita semua tahu, bahawa betapa berat mata memandang, berat lagilah bahu yang memikul.

Bila berlaku peristiwa sebegini, elok kita berhenti dan merenung sejenak apa yang telah berlaku . Benar, ia merupakan ujian Allah SWT. Namun pada masa yang sama, elok kita pertimbangkan kemungkinan bencana ini merupakan satu petunjuk bahawa - 'there is something wrong somewhere...'. Dalam erti kata lain, mungkin kita telah melakukan sesuatu yang membuatkan Allah SWT bertindak menurunkan bala dan bencana dengan sebegitu rupa...

Islam masa kini dipersenda dan dihina hampir setiap hari dan setiap masa. Di merata-rata dunia, maruah umat Islam semakin tercabar dan terluka. Malang sekali, ramai dalam kalangan pemimpin kita (yang mengaku diri beragama Islam) bukannya mahu membela, sebaliknya turut sama menghina agama dan bangsa sendiri....

Perangai dan pemikiran mereka juga turut jauh menyimpang. Arak, dadah, judi dan maksiat berleluasa, bukannya semakin berkurang, malah semakin bertambah dari hari ke hari....

Rakyat seperti kita juga tidak terkecuali. Pembohongan, penipuan dan sebagainya menjadi lumrah dalam kehidupan seharian. Kita bersengketa, tuduh menuduh, caci mencaci sesama sendiri. Dengki mendengki menjadi amalan, dosa pahala tidak lagi dihiraukan...

Mungkinkah ini semua merupakan hukuman atau balasan daripada Allah SWT? Kita semua tahu bahawa sekiranya Allah SWT ingin menjatuhkan hukuman, bukan sahaja mereka yang telah melakukan kemungkaran itu sahaja akan dihukum, sebaliknya orang lain juga turut akan menerima akibatnya....

Hakikatnya, semua yang berlaku itu ada hikmahnya. Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui rahsianya... Sebagai hamba, kita semua hanya mampu berdoa dan memohon perlindungan daripadaNya, Allah yang Maha Esa.....

Friday, 29 October 2010

Islam Bukan Untuk Hiasan.....


Kadang-kadang kita musykil dengan sikap pemimpin kita masa kini. Dalam kegilaan untuk mencari nama, pangkat, kedudukan dan kekayaan, mereka mudah lupa kepada asal usul budaya dan agama sendiri.

Benar, kita mahu mencapai status negara maju dengan rakyat yang berpendapatan tinggi. Tetapi apakah ia menghalalkan kita untuk melakukan kemungkaran atau dosa hanya semata-mata untuk mencapai tujuan tersebut? Matlamat tidak menghalalkan cara. Yang haram tetap haram dan begitu juga sebaliknya.

Kita telah berada di landasan yang betul selama ini, Kenapa perlu merubahnya hanya untuk mengejar sesuatu yang belum pasti akan berjaya tetapi pada masa yang sama , sudah tentu akan membawa impikasi dan imej buruk kepada status negara ini sebagai sebuah negara Islam?

Entahlah... mungkin pemimpin kita telah terlalu bongkak dan angkuh untuk mendengar kata-kata alim ulama dan para penasihat agama mereka. Aku betul... kamu semua tahu apa... Mungkin itulah antara ungkapan yang sentiasa bermain di fikiran mereka.

Sebagai rakyat yang kerdil di negara ini, kita hanya boleh berdoa agar pemimpin kita yang telah jauh menyimpang, supaya kembali ke pangkal jalan. Ini bukan soal politik, tetapi lebih kepada soal  maruah agama....

Usah biarkan negara ini hancur hanya untuk tuntutan nafsu buas anda semua.... Ingatlah Allah itu Maha Berkuasa. Pangkat dan kedudukan hanya sementara. Semuanya boleh berubah dengan sekelip mata.....

Hadith : Amanah Kunci Keamanan

Dari Huzaifah, katanya: “Diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kami dua buah hadis; salah satu dari padanya telah saya lihat kenyataannya; dan sekarang saya sedang menunggu kenyataan hadis yang kedua. Hadis yang pertama, bahawa amanah itu turun lalu masuk ke lubuk hati orang, Kemudian turun Al-Quran lalu menjadi pedomannya, demikian pula sunnah Rasulullah SAW. Hadis yang kedua, tentang pencabutan amanah. Kata Rasulullah SAW: “Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah dari hatinya dan tinggallah bekasnya seperti titik yang kecil; kemudian ia tidur pula lalu dicabut lagi sisa amanah itu, dan hanya tinggal seperti bengkak kecil di telapak tangan yang timbul setelah mengerjakan sesuatu dengan memakai kapak atau sebagai bengkak di kaki kerana memijak bara, isinya hanya sedikit cairan. Pada masa itu kelak hampir saja tak ada lagi amanah dalam masyarakat sehingga dikatakan: “Oh, di sana ada orang yang amanah; kata orang kepadanya; alangkah sabarnya, alangkah baiknya, alangkah cerdiknya; tetapi sebenarnya batin orang itu kosong dari keimanan, Kata Huzaifah:” Pada masa yang silam, zaman kejujuran itu telah ku alami, sehingga saya biasa berniaga dengan siapa pun; jika dengan orang Muslim ia jujur kerana agamanya, jika dengan orang Nasrani atau Yahudi maka kejujuran itu ada di tangan atasannya.” Adapun zaman sekarang, aku tidak mahu lagi berniaga kecuali dengan si Anu dan si Anu (kerana amanah)”
(Muslim)

Thursday, 28 October 2010

Ingat 5 Perkara Sebelum 5 Perkara



Rasanya dah lama tangan ini tidak menulis. Banyak perkara yang ingin disentuh tetapi apa kan daya, masa yang ada terlalu suntuk untuk memulakan bicara....

Pagi tadi terdengar lagu Raihan yang lama - Demi Masa . Antara liriknya berbunyi...

Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara...

Sihat sebelum sakit,
Muda sebelum tua,
Kaya sebelum miskin,
Lapang sebelum sempit,
Hidup sebelum mati.

Mungkin bila kita mengingatinya, maka kita akan lebih menghargai kurniaan Allah SWT kepada kita semua.....


Wednesday, 25 August 2010

Bukan Jahil Cuma Tak Cukup Cerdik....

Sinar Harian Utara (25.8.2010)



Isu perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini kini semakin menjadi-jadi. Ramai dalam kalangan pemimpin Melayu tidak kira daripada parti pembangkang mahu pun parti pemerintah nampaknya berlumba-lumba untuk menunjukkan betapa orang Melayu ini rela untuk berkorban apa saja demi mendapat undi daripada golongan bukan Islam.

Tidak cukup isu yang melibatkan bangsa, kini agama pula ingin dicampur-adukkan dengan politik . Terbaru adalah kontroversi dimana terdapat dakwaan bahawa seorang (dan mungkin beberapa orang lagi) khatib mendoakan kesejahteraan Ketua Menteri Pulau Pinang dalam Khutbah Jumaat sebagai ganti doa yang sepatutnya ditujukan kepada Yang Dipertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri.

Wednesday, 30 June 2010

Kenapa Manusia Semakin Gila..?



Harian Metro : 30.06.2010 - http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Buangatasdaunpisang/Article ;
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayimenggigil1/Article


Semalam tersiar berita mengenai bayi lelaki yang ditinggalkan dalam 'Baby Hatch'. Hari ini pula dua bayi dibuang, satu di dalam tong sampah dan satu lagi di atas daun pisang.

Kenapa kita harus terus membiarkan perkara sebegini berlarutan? Mengapa begitu lambat untuk mengambil tindakan untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik menangani isu ini?

Rasanya kita cukup bosan dengan kata-kata yang klise' seperti pentingkan didikan agama, dan sebagainya. Benar, itu penting. Tidak ada siapa yang menafikannya. Tetapi cukupkah dengan kata-kata?

Kita perlu ada pelan segera, jangka pendek dan jangka panjang. Kalau setakat mahu berdolak dalih dengan mengatakan masyarakat kita semakin sesat, apakah itu cukup untuk menyelesaikan masalah?

Tuesday, 29 June 2010

Pesanan Lukman Al Hakim Mengenai Nafsu



Lukman berkata kepada puteranya
“Puteraku..yang pertama kali ingin aku peringatkan kepadamu untuk dijaga adalah nafsumu. Tiap orang pasti mempunyai nafsu dan syahwat. Jika kamu menuruti keinginan nafsu, maka dia akan terus menuntutmu. Nafsu itu tersembunyi di dalam diri sebagaimana tersembunyinya api di dalam batu. Jika batu itu digesek-gesek maka ia akan memercikkan api. Namun jika batu itu dibiarkan, maka api itu tidak akan keluar”

Wednesday, 26 May 2010

Lompat Si Katak Lompat...

Kebelakangan ini kisah lompat-melompat parti sudah menjadi satu kegilaan semasa. Lazimnya bila sudah melompat, macam-macam lah cemuhan dilontarkan kepada parti asal mereka. Memburuk-burukkan kepimpinan, membuka pelbagai rahsia dan sebagainya. Alasan paling klasik ialah sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan tertinggi parti...

Lebih menarik ialah bila yang melompat ialah mereka yang mempunyai jawatan sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri. Kadang kala tindakan tersebut boleh mendatangkan kesan yang cukup buruk kepada parti dan mungkin pula hingga menyebabkan jatuhnya sebuah kerajaan yang memerintah.

Sukar untuk kita membuat interpretasi kenapa ia dibiarkan berlaku. Menurut undang-undang sedia ada, seseorang wakil rakyat tidak akan kehilangan jawatan dan kedudukannya walau pun dia bertukar parti atau memilih untuk tidak mewakili mana-mana parti (menjadi wakil bebas).

Terima Kasih PM...

Paksu ingin nak ambil kesempatan di sini untuk mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada DS Najib di atas pemberian biasiswa tersebut. Ingatkan PM dah lupa kepada anak-anak Melayu.. Tapi jelas dengan pemberian ini, masih ada ruang di hati beliau untuk anak bangsa kita.

Terima kasih sekali lagi Dato' Seri...

Thursday, 20 May 2010

Seperti Ketam Mahu Mengajar Anaknya Berjalan Betul....


Kisah ini sebenarnya umpama satu drama. Tetapi hakikatnya ia memberikan gambaran yang cukup tidak menyenangkan kepada parti Barisan Nasional. Mari kita merenung kata-kata Hakim Syarie ketika menjatuhkan hukuman tersebut :

''Tertuduh merupakan seorang ahli Parlimen yang terlibat dalam meluluskan sesuatu undang-undang. Beliau seharusnya menghormati dan mendukung undang-undang tersebut tidak kira undang-undang sivil atau syariah. ''Tertuduh wanita pula seorang pelakon wanita Muslim yang menjadi idola dan ikutan.
''Sekiranya kedua-dua mereka tidak boleh mengikut undang-undang, ia menunjukkan seolah-olah undang-undang syariah boleh dipermainkan oleh mereka yang berpengaruh dan berkepentingan,'' katanya.

Apakah seorang Ahli Parlimen itu 'above the law' atau tidak perlu menghormati undang-undang? Mungkinkah undang-undang negara ini hanya perlu dipatuhi oleh orang yang daripada 'kasta yang lebih rendah' daripada mereka?

Semuanya Bergantung Kepada Apa Yang Kita Fikirkan....


Gambar ini diambil pagi tadi. Paksu cukup tertarik kerana ia boleh mengundang pelbagai kesimpulan. Pertama : Pemiliknya sememang orang kuat Parti PAS; Kedua : Dia juga penyokong BN dan PAS (Kati / penimbang + Lambang PAS dalam 1).

Tapi mungkin juga ia hanya secara kebetulan. Cuma kita sahaja yang cuba memberi makna kepada gambaran walhal pemiliknya tidak tahu apa-apa pun...

Moral of the story : Satu gambar boleh membawa seribu makna. Interpretasi juga berbeza. Sebab itulah jangan mudah menilai atau menuduh orang lain hanya kerana sesuatu yang dilihat dari luar / melalui sesuatu yang tidak pasti hujung atau pangkal tanpa meneliti dan mengetahui hal yang sebenarnya.....

Sunday, 9 May 2010

Cium Tapak Tangan, Berbaukah Atau Tidak?

Maksudnya: Lihatlah diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengatakan orang lain.

(Tapak tangan tidak akan mengeluarkan apa-apa bau. Ia hanya akan berbau sekiranya kita memegang sesuatu yang berbau. Jika terbau sesuatu, hendaklah mencium tangan sendiri dahulu sebelum menuduh orang lain, mungkin tangan sendiri yang membawa bau tersebut)

Paksu sebenarnya tidak berapa sihat untuk menulis malam ini. Tetapi entah kenapa ketika melayari internet, tiba-tiba terjumpa peribahasa ini. Cukup hebat dan ulasan maknanya juga amat menarik perhatian.

Semenangnya dalam kehidupan seharian, kita suka mendengar cerita. Apa saja cerita, asalkan ia boleh mengisi masa. Cerita panas tentulah lebih dicari kerana ia boleh digunakan untuk mengeji dan mencaci...

Sunday, 2 May 2010

Sayangi Saudara Kamu Seperti Mana Kamu Menyayangi Diri Sendiri

Ketika berada di Maktab Mahmud untuk Mesyuarat Agung PIBG semalam, tiba-tiba teringat satu Hadis yang dipelajari semasa Paksu  masih belajar di situ hampir 29 tahun yang lalu .

Nabi Muhammad SAW telah bersabda:

Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri..

(Diriwayatkan oleh : Anas Ibnu Malik)

Paksu rasa, kadang-kadang dalam keghairahan sahabat-sahabat dan saudara-saudara kita berpolitik, mungkin ramai daripada mereka yang telah terlupa Hadis ini atau mungkin juga ada di antara mereka yang belum pernah mendengarnya.

Bukannya apa, sejak kebelakangan ini, Paksu amat sedih dan kecewa bila melihat bangsa kita dan mereka yang seagama saling 'berperang' dan bertikam lidah demi untuk mencari populariti atau kepentingan parti dan peribadi.

Terjadilah fenomena tuduh menuduh, fitnah memfitnah , keji mengeji sesama sendiri. Habis segala rahsia peribadi disingkap dan didedahkan. Tuduhan demi tuduhan, kecaman bersilih ganti. Semua aib menjadi tontonan umum dan yang lebih pelik ialah ianya dilakukan oleh mereka yang mengaku diri BERAGAMA ISLAM....

Monday, 26 April 2010

Mulut Disuap Pisang, Buntut Dikait Onak

Maksudnya:

Bila berhadapan sentiasa bercakap manis dan asyik memuji, tetapi bila di belakang, asyik mengeji dan mengumpat.

Peribahasa ini walau pun agak keras dan kurang manis untuk diucap, namun ia cukup sinonim dengan kehidupan masyarakat kita masa kini.

Ramai daripada orang kita gemar berpura-pura, berlagak baik di hadapan tetapi sebenarnya penuh dengan tipu muslihat. Apatah lagi dalam politik. Ia ada di mana-mana. Hanya perlu memasang telinga. Tentu sekali anda tidak akan kecewa...

" Ya Dato' ..., Bagus Dato'..., Idea yang hebat, Dato'.... Tahniah Dato'....., Jangan bimbang Dato', semua ditanggung beres....Sokongan akar umbi kepada kita Dato'. Jangan risau, kami akan bersama Dato'..."

Ini semua ungkapan yang sering kedengaran. Pergilah mana-mana program UMNO / Barisan Nasional. Kata-kata begini seolah-olah menjadi  satu 'trade mark'. Malah ia kini telah menular  kepada parti-parti lain juga.

Thursday, 15 April 2010

'Do Not Take Things For Granted'

Ini adalah satu ungkapan yang cukup penting dalam kehidupan kita seharian. Kerapkali kita jarang akan menghargai sesuatu kecuali bila kita telah kehilangannya.

Begitu juga dalam politik. Bila kita telah lama berkuasa, kita mempunyai 'tendency to take everything for granted'. Kita rasa kita kuat. Kita anggap kita 'indispensible' , berkuasa di atas segala-galanya dan berhak untuk menentukan hala tuju / nasib orang lain. Dalam erti kata lain, rakyat tidak akan dapat hidup tanpa kita.

Maka timbullah apa yang disebut riak, takbur, atau bahasa yang lebih mudahnya , perasan! Kita saja yang pandai semua. Rakyat semuanya bodoh. Tak perlu dijaga atau dihormati kehendak mereka. Lagi pun apa susah, bila pilihan raya hampir tiba, hamburkan saja duit sebanyak mungkin ( pssst...jangan bimbang, kita akan dapatkan lebih banyak selepas itu bila kita dah menang semula...) dan pastinya mereka akan menyokong kita.

Pak Lah, Tok Mat, Cik Melah, Cik Jan... Nama mereka tak penting. Hulur saja RM 40 atau 50 (mungkin lebih sedikit..), nescaya depa akan memuji kita sampai bila-bila. Bagi hamper besar-besar (yang harganya tak seberapa pun...), depa akan bercakap pasal tu bertahun-tahun lamanya!. Pendek kata, rakyat semuanya mudah diperdaya dan senang dibeli sebenarnya....

Kamu semua jangan pertikai lagi mengenai kehebatan kami. Pemimpin kami dulu buat macam-macam. Dapatkan kemerdekaan, bagi negara ini maju, dan lain-lain lagi. Bla... bla...bla...So kamilah yang JUARA dalam segala-galanya.(walaupun sebenarnya yang buat kerja tu orang yang terdahulu... kami ni belum buat apa-apa lagi!)

Setiap kali orang mula cuba mempertikai kehebatan kita, kita mudah melenting. Melatah tak tentu hala. "Kamu semua diam. Jangan mengkhianati kami. Tidak sedarkah betapa berjasanya kami.? Betapa hebatnya kami? .". Mungkin itulah agaknya alasan kita. Bukan memberi bukti tapi lebih kepada cuba mencari konfrontasi demi untuk menutup kelemahan diri!


Never mind hakikatnya kita semua ini tidak tahu apa-apa dan malas untuk berkhidmat untuk rakyat jelata. Kita nak kemewahan saja, bekerja bukannya  'priority' kita...Siapa sahaja yang cuba bersuara, anda itulah PENGKHIANAT BANGSA....

Kita tidak lagi prihatin dengan kehendak akar umbi. Kita tidak mahu tahu apa yang mereka kehendaki. Tugas rakyat hanyalah untuk memangkah kita pada waktu pilihan raya. Lepas itu, semuanya akan menjadi milik kita dan keluarga kita. Mungkin juga boleh diberi kepada sahabat-sahabat dan kuncu-kuncu kita. Macam-macam projek kan ada. Tak payah risau pasal itu, semuanya dalam poket kita....

Mungkin ada di antara kita yang telah sedar. Tapi jumlahnya sangat sedikit...Yang lain, masih enak dibuai mimpi indah yang tidak ada penghujungnya. TIdak mahu berubah kerana telah terlalu selesa dengan kemewahan dan kehebatan kita....

Tak mengapa. Kita pasti akan menang lagi. Tak payah risau kerana kita dah ada formula yang tiada tandingannya. Wang, wang, wang dan wang..... itulah senjata kita. Pasti kita tidak akan kehilangan kuasa.!

Malangnya kita mungkin telah  terlupa satu perkara. Apa dia? Terlupa bahawa Allah SWT itu sebenarnya lebih BERKUASA untuk menentukan segala-galanya!

Wednesday, 31 March 2010

Forum Politik di Alam Maya

Media Baru - satu bentuk media yang cukup digeruni satu masa dulu oleh Barisan Nasional. Dalam PRU-12 yang lalu, ia memberi impak dan advantage yang cukup besar kepada Pakatan Rakyat. Segala berita mahupun propaganda kerajaan ditangkis dan dijawab oleh mereka dengan begitu berkesan sekali. Malah ketika pilihan raya berjalan, orang ramai khususnya golongan muda lebih gemar mendapat berita melalui saluran ini berbanding saluran konvensional.

Namun begitu, setelah lebih 2 tahun berlalu, UMNO dan Barisan Nasional kini telah belajar daripada kesilapan mereka. Media Baru ini kini menjadi fokus utama dalam memenangi semula hati rakyat di negara ini. Kalau dulu, majoriti blog dan laman web yang berpihak kepada Pakatan Rakyat, kini senarionya telah jauh berubah. UMNO khususnya telah begitu aktif mewujudkan laman-laman web yang menyokong Barisan Nasional.

Memetik kata-kata  Dato' Ahmad Maslan (Ketua Penerangan UMNO Malaysia) bahawa UMNO kalu dulu UMNO hanya lebih memfokuskan kepada Media Bersemuka, Media Cetak, Media Elektronik, kini Media Maya juga digunakan bagi mendekati rakyat.

Benar, Media Cetak dan Eletronik sememangnya telah didominasikan oleh parti pemerintah. Jadi itu tentulah tidak akan mengundang sebarang masalah.

Media Bersemuka pula agak tricky kerana sebelum PRU-12, ramai pemimpin Barisan Nasional mungkin telah 'terlena' sekejap. Mereka tidak mendekati rakyat, menghampiri rakyat atau mengambil tahu hal rakyat hingga menyebabkan akhirnya mereka juga dilupakan oleh rakyat. Jadi tidak hairanlah kenapa peranan Media Bersemuka juga penting khususnya untuk memenangi hati golongan veteran, warga tua, suri rumah tangga dan mereka-mereka yang kurang terdedah kepada ledakan teknologi yang berlaku di negara ini.

Walaupun begitu, trend terkini ialah berinteraksi di alam maya.Kalau dulu kita gemar bersembang dengan rabungnya di kedai-kedai kopi, kini ruang sembang menjadi lebih luas dan terbuka. Kopi boleh dibancuh sendiri dan anda boleh duduk berjam-jam untuk bersembang walau di mana sahaja anda berada atau pada bila-bila masa. Bagi yang lebih advance dan berkemampuan, telefon bimbit 'Blackberry' atau lain-lain model yang canggih menjadi pilihan kerana ia lebih mudah diakses berbanding komputer riba atau komputer biasa.

Anak-anak muda memang menggilainya. Begitu juga golongan terpelajar atau profesional. Mereka ini sebenarnya mendominasi kelompok pengundi di masa yang akan datang dan mereka juga lebih terbuka dalam berbicara.

Ruang sembang di alam maya sebenarnya jauh lebih fleksible. Tak perlu duduk berjam-jam di kedai kopi. Anda boleh berbicara sambil bekerja atau berbuat apa sahaja. Tanpa sempadan dan tanpa halangan ; dan boleh dilakukan pada bila-bila masa atau di mana-mana sahaja. 

Oleh yang demikian tidak hairanlah forum sebegini menjadi pilihan. Kalau satu masa dulu, blog-blog  menjadi fokus utama namun kini  Facebook pula mengambil tempatnya.

Ada yang berpendapat menulis blog ini ada perlu ada skillnya. Bukan semudah yang disangka. Pendek kata ia memerlukan kemahiran dan kepetahan berbicara. Idea perlu disusun dengan teliti supaya ia lebih mudah dibaca dan difahami. Hiasan dan pautan dalamnya perlu kreatif supaya pengunjung lebih kagum dengan apa yang anda cuba paparkan. Ertinya bukan isi sahaja yang penting, presentation nya juga akan dinilai oleh pembaca.

Sebab itulah ramai penulis blog yang kecundang. Mungkin pada awalnya mereka begitu bersemangat. Namun sedikit demi sedikit, post mereka menjadi lebih jarang dan isinya pun tidak lagi menyengat.

Maka wujudlah blog-blog yang hanya dipenuhi dengan gambar-gambar. Kalau ada pun tulisan, mungkin hanya satu dua perkataan untuk menjelaskan keadaan.Jadilah ia seperti album kosong yang tidak ada nilainya di mata pembaca.

Ada pula yang gemar memaparkan gambar-gambar lucah dan provokatif. Alasannya - supaya ia  memberi mesej yang lebih jelas kepada pembaca. Tapi dalam keseronokan dan keghairahan berbuat demikian, mungkin mereka terlupa bahawa ia sebenarnya haram di sisi agama..... 

Kalau dulu blog menjadi medan percambahan idea dan informasi, kini kebanyakannya menjadi ruang mempromosi diri dan memenuhi agenda peribadi. Oleh yang demikian tidak hairanlah kenapa banyak blog-blog yang telah di private kan, dan tidak kurang pula yang tidak langsung memberi ruang kepada orang ramai atau pembaca untuk berinteraksi. Ialah....bagaimana hendak berinteraksi kalau alamat emel tidak diberi, dan ruang untuk memberi komen pula dibuang sama sekali.....

Disebabkan kepincangan inilah Group Facebook menjadi pilihan. Fungsinya lebih kemas dan tersusun. Komunikasi  juga bercorak dua hala . Semua orang boleh memberi komen dan orang yang berbicara juga lebih mudah untuk dikenali (walau pun masih ramai yang memilih untuk menggunakan nama samaran dan sebagainya). Tidak perlu ada gambar besar yang provokatif kerana apa yang lebih penting di forum tersebut ialah isinya dan bukan hiasannya.

Di Kuala Kedah sahaja terdapat 3 forum Facebook.

  1. UMB Kuala Kedah  - Admin : Rozairi (Pegawai JASA Kubang Rotan)
  2. UMNO Kuala Kedah - Admin : Dr Zaki dan Cikgu Zul 
  3. Forum Politik 1 Kuala Kedah - Admin : Politik Kuala Kedah
UMNO Kuala Kedah adalah forum tertutup. Anda perlu dijemput atau diluluskan keahlian. Isinya pula lebih tertumpu kepada aktiviti bahagian mahupun diskusi antara mereka yang sememangnya menyokong UMNO. Rasanya mungkin mereka lebih selesa berbuat demikian kerana tidak mahu orang luar mencampuri urusan bahagian atau tidak mahu ianya dijadikan medan pertempuran....

UMB pula setakat ini nampak kurang mendapat sambutan. Walaupun ia forum terbuka namun admin ruang tersebut rasanya perlu lebih kreatif dalam menyampaikan mesej yang ingin diutarakan. Kenyataan yang bersifat retorik atau klise' selalunya jarang mendapat sambutan.

Kalau setakat ucapan tahniah atau well done yang dicari, lebih baik tidak payah mewujudkan forum sebegini. Masyarakat bukannya mahukan itu semua. Jika ia dianggap forum rasmi untuk UMNO, rasanya eloklah ia dipenuhi dengan informasi terkini mengenai kegiatan dan aktiviti parti. Perlu diingat, matlamatnya bukan setakat menarik perhatian ahli sendiri, tetapi ia juga perlu meyakinkan orang di luar sana betapa hebatnya UMNO di media maya....

Ruang Forum Politik 1 Kuala Kedah dilihat lebih provokatif dan sangat aktif sejak ia mula beroperasi. Sejauh mana ia akan bertahan,  sama-sama kita tunggu dan lihat. Mungkin juga ia lebih diterima oleh komuniti maya dek kerana sifatnya seperti akhbar SINAR - memberi informasi tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Namun begitu daripada pengamatan  setakat ini, ia lebih pro kepada UMNO berbanding pembangkang. Betul atau tidak, sama-samalah kita menilainya sendiri....

Secara ringkasnya, Kuala Kedah amat hebat dari segi media maya. UMNO Negeri sendiri tidak sehebat itu... Namun apa yang menyedihkan ialah sambutan yang diterima masih jauh daripada yang diharapkan. Terlalu sedikit warga Kuala Kedah yang sanggup mengambil bahagian. Tapi entahlah.. mungkin apabila pilihan raya semakin menjelang tiba, sambutan mungkin berubah daripada beratus kepada beribu-ribu pula. Ketika itu rasanya, barulah forum sebegini akan dapat mencapai matlamatnya....

Monday, 22 March 2010

Hati orang yang bodoh itu di mulutnya, dan lidah orang yang cerdik itu di belakang hatinya.

Maknanya :

Orang bodoh berbicara tanpa perhitungan, orang pandai berfikir sebelum berkata-kata.


Sejak meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah 17.7.2009 iaitu telah hampir 8 bulan yang lalu, Paksu lebih banyak mengambil pendekatan menjauhkan diri daripada terlibat dengan UMNO Kuala Kedah dan menumpukan kepada kerjaya sendiri.

Paksu lebih gemar mengisi masa lapang dengan menulis blog sendiri, samada blog ini atau blog-blog yang bersifat akademik. Minat dalam politik memang ada, tetapi cukuplah sekadar berada di luar dan tidak mengacau sesiapa. Paksu tidak lagi hadir ke mana-mana majlis yang berunsurkan politik. Bimbang nanti disalahertikan ingin menonjol diri kembali ke arena politik Kuala Kedah.

Pada bulan yang lalu, Paksu mengundur diri daripada menjadi Pengerusi Tabika Kemas Kampung Telok Layang. Sebenarnya Paksu telah meletak jawatan tersebut pada hari yang sama dengan perletakan jawatan sebagai Ketua Penerangan. Namun disebabkan rayuan daripada AJK Tabika yang selama ini telah banyak berkorban sepanjang 7 tahun memegang jawatan tersebut, Paksu teruskan juga hingga ke penghujungnya. Paksu telah berjanji kepada mereka untuk menjadikannya sebagai Tabika Kemas paling aktif bagi DUN Pengkalan Kundur.

Oleh yang demikian, sebaik sahaja kami berjaya mencapainya di penghujung tahun lalu, Paksu rasakan ia merupakan masa yang terbaik untuk mengundur diri. Ia juga bagi memuaskan hati mereka yang selama ini tidak suka Paksu aktif dalam UMNO lagi walaupun hanya sekadar untuk membantu anak-anak kecil di kampung sendiri. Tak mengapalah...Bukannya pangkat dan kedudukan begitu yang Paksu cari di dunia ini.

Dalam tulisan-tulisan di blog Tinta Persona sejak kebelakangan ini, Paksu tidak pernah menyentuh peribadi mahupun aktiviti mana-mana pihak dalam kepimpinan UMNO Kuala Kedah. Kecuali mungkin di peringkat awal dahulu di mana Paksu terpaksa menangkis tuduhan berniat jahat yang telah dilemparkan sama ada oleh orang yang di luar UMNO mahupun mereka yang di dalam UMNO itu sendiri. Biarlah itu semua menjadi kenangan pahit yang boleh dijadikan sempadan di kemudian hari.

Jauh di sudut hati, Paksu juga berharap mereka-mereka itu semua tidak lagi akan 'menganggu' diri ini kerana Paksu sepatutnya tidak lagi boleh dianggap sebagai 'a threat' atau ancaman kepada hasrat mereka untuk mendapatkan pangkat, kedudukan dan apa sahaja yang diimpikan sebelum ini.

Namun apa yang berlaku baru-baru ini amat menghiris perasaan khususnya merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah dalam mesyuarat biro beliau beberapa hari lalu. Oleh kerana bimbang, mungkin sahabat yang menyampaikan maklumat tersebut terkhilaf dalam pendengarannya, Paksu turut bertanya orang lain untuk kepastian. Entahlah... Paksu juga musykil kenapa beliau berbuat demikian......

Secara ringkasnya, Paksu dikatakan tidak membuat sebarang dokumentasi dan laporan sepanjang memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan....Tiada fail , tiada laporan dan tiada apa langsung yang boleh dijadikan bukti. Betulkah ini datang daripada Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah? Atau mungkin ada tangan-tangan lain yang bermain di sebalik tabir?

Izinkan Paksu menerangkan apa yang telah berlaku beberapa bulan yang lalu.

Setelah Cikgu Zul mengambil alih jawatan dan timbul isu berkenaan blog yang ditimbulkan oleh oleh SUK UMNO ketika itu, beliau telah datang berjumpa Paksu bersama-sama Dr Razif. Sama ada tujuan sebenar mereka datang, sama ada ikhlas ingin berbincang dengan Paksu dari hati ke hati atau semata-mata ingin mengambil alih blog itu, mungkin Allah sahaja yang tahu.....

Dalam pertemuan tersebut, antaranya Paksu ada memaklumkan bahawa semua laporan yang dibuat sebelum ini telah diserahkan kepada Setiausaha UMNO Bahagian (Tuan Haji Ahmad Shafiee - ketika itu). Laporan berkenaan mencangkupi setiap aktiviti dan minit mesyuarat yang telah dilaksanakan, serta salinan tulisan dalam blog telah diserahkan kepada beliau, kalau tidak silap di penghujung mesyuarat AJK Bahagian ke 2 pada awal tahun 2009.

Bagi setiap aktiviti yang dijalankan selepas laporan pertama itu, ia telah direkodkan dan dibukukan oleh Paksu sendiri dan kemudiannya ditambah oleh laporan yang telah dibuat oleh Setiausaha Penerangan UMNO Kuala Kedah ketika itu (Cikgu Man), siap dengan pelan tindakan dan senarai aktiviti yang bakal dijalankan hingga ke penghujung 2009.

Oleh kerana Cikgu Zul masih mahukan Cikgu Man kekal sebagai setiausaha, dan mengekalkan hampir kesemua AJK Paksu pada masa tersebut (atas alasan tidak mahu merubah apa-apa lagi),  Paksu meminta beliau mendapatkan baki laporan atau minit mesyuarat yang lain daripada Cikgu Man sendiri. Malah dalam mesyuarat biro yang diadakan selepas itu, kenapa ia tidak ditimbulkan ? (ketika itu Cikgu Man masih kekal sebagai setiausaha). Hanya setelah 8 bulan berlalu dan Cikgu Man pun telah meletak jawatan, tiba-tiba isu ini timbul kembali.

Pelik bin ajaib. Itulah rasanya jawapan yang paling baik menggambarkan apa yang telah berlaku. sama ada beliau lupa atau pura-pura lupa..itu bukan terletak pada diri ini untuk menjawabnya.

Bagi diri ini, Paksu masih ingat segala perbualan yang telah berlaku pada malam tersebut. Rasanya sebagai Pakar Jiwa yang banyak menggunakan akal dan ingatan dalam melakukan rawatan, memori Paksu masih lagi boleh berfungsi dengan baik hingga kini.....

Apakah ia bertujuan untuk menjatuhkan maruah Paksu lagi? Tidak cukupkah apa yang telah dilakukan sebelum ini?

Untuk apa? Demi keseronokan untuk mengumpat atau mengadu domba? Atau mungkin untuk memberi 'impression' bahawa Paksu ini tidak menjalankan tugas dengan baik kepada AJK baru demi meraih pubilisiti murahan..?

Kenapa ya? Tidak bolehkan mengangkat telefon dan bercakap walau seminit dengan Paksu untuk mendapat kepastian? Itupun jika telah lupa apa yang Paksu terangkan pada malam tersebut?

Mungkin Paksu ini terlalu hina untuk dihubungi ? Atau mungkin dianggap sebagai pariah yang tidak boleh disentuh atau dilihat bersama-sama orang yang dari kasta yang lebih tinggi?

Tak mengapalah...Paksu dah muak dan dah letih dengan mainan politik begini. Tidak ada faedahnya..... Jika ia boleh menyebabkan mereka rasa bahagia, biarlah...Paksu tak rugi sekupang pun. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui apa sebenarnya berlaku.

Cuma satu sahaja nasihat Paksu, itupun kalau masih sudi mendengarnya. Ingatlah...hidup ini ibarat roda. Ada hari kita di atas dan akan ada hari di mana kita akan berada di bawah. Janganlah terlalu angkuh ketika berada di puncak, takut nanti akan lebih pedih diperlakukan oleh orang lain ketika kita berada di bawah.....

Sunday, 21 March 2010

Bahasa Menunjukkan Bangsa.

Satu perkembangan yang tidak begitu menyenangkan kebelakangan ini adalah kecenderungan para bloggers khususnya blog-blog politik yang menggunakan atau menunjukkan gambar-gambar berunsur lucah , menghina atau memaki hamun orang lain.

Lebih menyedihkan ialah bilamana ada blog-blog tersebut yang pemiliknya adalah mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Tidak kiralah sama ada mereka yang dihina atau dikritik itu parti pembangkang atau kerajaan, atau individu terbabit itu orang Islam atau bukan Islam. Bottomline..dari segi Islam, ianya haram dan tidak dibenarkan sama sekali...

Kita mungkin tidak bersetuju dengan mereka, membenci mereka atau tidak menyenangi kewujudan mereka. Tetapi hakikatnya, jika ingin berbicara atau menyampaikan pendapat, buatlah dengan cara yang lebih bermaruah. Jika kita berkelakuan tidak senonoh seperti itu, ianya akan mencerminkan betapa rendahnya akhlak dan peribadi kita sebagai seorang insan.

Orang yang bijak dan berintegriti tidak memerlukan semua itu. Kita berbahas dengan menggunakan akal fikiran yang waras bukannya nafsu yang tidak menentu. Mesej boleh disampaikan dan perhatian boleh ditarik tanpa perlu menggunakan taktik sedemikian.

Oleh itu, janganlah menggunakan alasan yang tidak begitu cerdik untuk menyokong atau menghalalkan sesuatu yang sememangnya begitu jelas halal dan haramnya. Jika parti lawan ada berbuat demikian, kenapa pula kita harus mengikut rentak mereka? Kalau mereka terjun ke lubang, adakah kita perlu terjun ke lubang yang sama?

Wahai sahabat-sahabat dan saudara-saudaraku dalam Islam. Kembalilah ke pangkal jalan sebelum terlambat. Bertaubatlah kerana itulah cara yang sebaik-baiknya untuk menebus dosa-dosa yang telah dilakukan.....

Wednesday, 10 March 2010

Bila Ayam Bercakap Dengan Itik... Boleh Faham Ke?

Mari kita merenung sejenak senario politik negara yang tercinta ini. Gabungan parti politik utama boleh dibahagi dua, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Dalam setiap gabungan, terdapat beberapa parti lain yang bernaung di bawah satu bendera.

Sebagai rakyat biasa, kerapkali kita berasa hairan kenapa kedua-dua parti utama ini seolah-olah tidak memahami maksud yang ingin disampaikan sesama sendiri. Bahasa yang digunakan tetap bahasa Malaysia tetapi mengapa interpretasinya - contohnya terhadap  yang ingin disampaikan oleh pihak A - begitu berlawanan sekali dengan apa yang difahami oleh pihak B. Mereka seolah-olah bercakap dalam bahasa yang berbeza, seperti ayam bercakap dengan itik , kata orang tua-tua.

Mungkin juga ada yang berpendapat, parti Cina atau India mungkin tidak begitu memahami bahasa Malaysia. Sebab itulah masalah interpretasi itu berlaku. Ya, mungkin alasan itu boleh diterima tetapi bagaimana pula bila dua parti yang mewakili satu bangsa, contohnya PAS dan UMNO, boleh melakukan kesilapan yang sama?

Adakah salah faham ini disebabkan masalah bahasa, tidak disengajakan atau yang lebih membimbangkan, fakta yang diputarbelitkan supaya ia memenuhi kehendak dan natijah parti mereka sendiri ? Seperti kata pepatah Inggeris, 'there are always two sides of a coin' .

Naluri manusia memang begitu. Manusia mempunyai pandangan dan interpretasi yang berbeza. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Kita lebih selesa menginterpretasikan sesuatu mengikut selera dan nafsu sendiri. Asalkan ia memenuhi kehendak kita atau memberi kelebihan agenda pribadi, maka itulah penilaian yang akan dianggap terbaik. Jika sebaliknya, maka ia tidak akan dipersetujui atau akan dibantah sepenuh hati.

Sesuatu kenyataan yang biasa ('innocence') misalnya, boleh dianggap sensitif atau mencetuskan kontroversi, jika interpretasi kita adalah ke arah tersebut.Hakikatnya sifat 'paranoia' atau prasangka buruk ada pada setiap daripada kita. Cuma ianya terletak kepada akal fikiran yang waras dan keimanan yang kukuh untuk menjauhkan diri daripada tuntutan hawa nafsu. Kemenangan sementara yang dinikmati atas kejatuhan dan penderitaan orang lain, hanya atas nama politik, tidak wajar dilihat sebagai satu kejayaan. Ia hanya satu bukti betapa runtuhnya akhlak pemimpin (dan pada masa yang sama diri kita sendiri kerana sanggup membiarkan ianya terus berlaku..) kita masa kini..

Istilah memutar belitkan fakta telah diganti dengan ungkapan memberi interpretasi yang berbeza - semata-mata untuk menghalalkan sesuatu yang sememangnya jelas bertentangan dengan kehendak agama. Ingatlah bahawa dalam Islam, daging babi akan tetap haram untuk dimakan walaupun dengan cara apa sekalipun kita membasuhnya atau bagaimana cantik pun kita menghiasnya...

Hanya Allah sahaja yang Maha Pemurah lagi Maha Mengetahui.
Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails