Followers

Sunday 28 November 2010

Anwar Ibrahim : Pemimpin Anugerah Tuhan Atau Pemimpin Yang Sedang Miniti Era Kehancuran...


Akhbar hari ini banyak menyiarkan kenyataan Datin Seri Wan Azizah - Presiden Keadilan yang menyifatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI)  sebagai anugerah Tuhan bagi memimpin negara ini...

(anda boleh membacanya di sini http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
atau di penghujung artikel ini....

Sukar sebenarnya untuk menginterpretasikan ungkapan ini. Benarkah DSAI ini memperjuangkan hak rakyat dan sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan rakyat ; atau mungkinkah perjuangannya hanya untuk memiliki gelaran Perdana Menteri yang telah hilang darinya selama ini....

Sebagai seorang isteri, tidak salah untuk DSWA membela suaminya. Namun perlu ada garis pemisah antara pandangan peribadi dengan pandangan yang diberikan oleh beliau sebagai seorang pemimpin parti. Ia tidak boleh dikaburi dengan emosi.

Benar, DSAI ada kehebatan beliau. Begitu juga ramai pemimpin-pemimpin sebelum ini. Beliau juga telah menanggung pelbagai dugaan setelah jatuh merudum dari pesada kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional tidak lama dahulu. Kebolehan beliau untuk terus berada hampir di puncak sehingga kini perlu diakui.

Sebagai pemerhati dari luar, kita bimbang, dalam keghairahan untuk mencapai takhta pentadbiran di negara ini, mungkin DSAI telah lupa bahawa matlamat utama ialah apa yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara ; dan bukannya kepentingan dan kehendak peribadi.

Keangkuhan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Malah akan menjadi ejekan dan mainan dalam media semata-mata. Kalau beliau benar-benar dilahirkan di dunia untuk memerintah Malaysia, Insya Allah, ia akan berlaku juga, tak kira apa jua halangan yang menimpa.

Tidaklah perlu memukul canang untuk menghebahkan kehebatan sendiri di sana sini. Allah SWT mempunyai cara yang tersendiri untuk memastikan apa yang ditakdirkan tetap akan menjadi kenyataan suatu hari nanti....



Tuesday 23 November 2010

Angguk Enggan, Geleng Ia

Ertinya : Lain di mulut , lain di hati.

Bila terbaca peribahasa ini, Paksu tersenyum sendirian. Teringat ketika aktif dalam politik satu ketika dahulu - betapa ramai individu yang Paksu sangka cukup jujur dan ikhlas, rupa-rupanya hanya bersandiwara semata-mata. Mulut manis ketika di depan, tapi di dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu....

Susah sebenarnya hidup begini. Siang dan malam, berhasad dengki sesama bangsa sendiri. Suka melihat orang lain jatuh tersungkur demi memburu harta, kedudukan dan kepentingan diri.

Malang sekali , orang begini realitinya terlalu ramai dalam kalangan kita. Hingga tidak terkira rasanya. Orang yang jujur pula seringkali menjadi mangsa. Rakan dan saudara juga tidak tidak dipedulikannya. Janji apa yang dihajati menjadi milik mereka.

Sedih juga bila memikirkannya. Tapi itulah lumrah dunia. Ramai veteran yang Paksu jumpa ada berkata -" if you can't beat them, why not join them..." Hmmmm....tak payahlah kut...Dunia ni dah penuh dengan orang seperti itu.... Betul tak? Betullll......


Pesan Paksu....Ingatlah, bahawa mungkin hari ini hari kita, esok mungkin  hari orang lain pula. Jangan terlalu angkuh dan suka mendabik dada bila melihat orang lain menderita. Takut satu hari nanti anda akan menangis teresak-esak akibat diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain pula......

Lebih penting lagi....Allah SWT itu Maha Berkuasa. Dosa dan pahala usah dilupa. Begitu juga kewujudan syurga dan neraka....!

Kuman di Seberang Laut Nampak, Gajah di Depan Mata Tak Nampak


Dalam hidup ini, ramai daripada kalangan kita yang sering berasa apa yang kita lakukan adalah terbaik. Kita lah yang paling pandai, paling cerdik, teramat arif dalam segala hal. Seperti kata orang putih, ' i can do no wrong...'

Begitu juga adalah lumrah untuk mengandaikan bahawa semua pendapat yang kita keluarkan adalah benar dan tidak ada lain yang lebih benar daripadanya. Pendapat orang lain yang tidak menyokong pandangan atau matlamat yang kita perjuangkan, akan dianggap salah, kolot atau bodoh.

Tak payah melihat jauh' Lihat sahaja apa yang sedang berlaku di negara kita sendiri. Berapa ramaikah dalam kalangan pemimpin negara ini yang berasa diri mereka sebagai terbaik. terpandai, terbilang dan apa-apa lagi istilah yang boleh digunakan untuk menunjukkan bahawa mereka ini 'infallible' (incapable of error). Tidak hairanlah kalau sifat angkuh, bongkak, sombong ini menjadi budaya dan 'nature' mereka.

Bagi golongan ini , ' i lead , you follow...' adalah prinsip utama. Dalam erti kata lain, akulah pemimpin yang sejati, paling demokratik, paling memahami dan tahu apa yang diperlukan oleh rakyat, bangsa dan negara. Ungkapan "I know best...." menjadi pegangan dan kepercayaan.

Sukar untuk mereka menerima pendapat atau pendirian yang sebaliknya. Bila ramai yang bersorak menyokong mereka, pemimpin sebegini akan tersenyum lebar dan mendabik dada. Bila rakyat tidak menyebelahi mereka, lantaran orang lain pula yang akan dipersalahkan bagi menutup kesalahan atau kelemahan diri sendiri.

Coretan ini bukan untuk menghina mana-mana pemimpin atau daripada parti mana beliau berasal. Gambar di atas juga tidak bertujuan untuk menuduh sesiapa...

Namun ia sekadar cubaan untuk menggambarkan apa yang sedang, telah dan mungkin akan terus berlaku di masa yang akan datang. Pemimpin datang pemimpin pergi. Begitu juga dengan rakyat jelata.  Kita semua bukan akan terus menongkat langit.....

Apa pun, mesej yang ingin diutarakan mudah sahaja. Untuk menjadi pemimpin yang bertanggungjawab, mungkin adalah lebih baik kalau kadang kala kita bermuhasabah diri sendiri terlebih dahulu, sebelum beria-ia menuduh, menghina, mengecam atau membesar-besarkan kesalahan orang lain. Benar, setiap manusia akan ada salah dan silapnya, tapi mungkin kita juga patut mengakui bahawa diri sendiri juga tidak terkecuali.

Matlamat  kita seharusnya ialah memperjuangkan agama, bangsa dan negara; bukannya menonjolkan kehebatan diri dan pada masa yang sama menindas serta memperkecil-kecilkan kemampuan orang lain. Kalau anda benar-benar berkemampuan dan berada di pihak yang benar, buktikannya secara 'gentleman'. Bukannya bak kata pepatah seperti melempar batu, sembunyi tangan...

Ingat ya, (sekadar peringatan kepada saudara kita yang mungkin dah terlupa...) dalam Islam, fitnah itu berdosa besar hukumnya....

Saturday 6 November 2010

Setiap Yang Berlaku Ada HIkmahnya...

Negeri Kedah kini mengalami antara bencana banjir yang terburuk dalam sejarah. Terkini, lebih 39, 000 orang telah dipindahkan ke tempat-tempat perlindungan dan bandar Alor Setar dikatakan telah 'tenggelam' hari ini.

Dua negeri lain di Semenanjung Malaysia yang terlibat adalah Perlis dan Kelantan. Namun jika dibandingkan, mungkin ianya tidaklah seburuk apa yang sedang dialami di negeri Jelapang Padi  ini.

Di Indonesia, Gunung Merapi dilaporkan semakin ganas dan telah melibatkan pelbagai kerosakan harta benda dan nyawa dalam jumlah yang amat menakutkan. Ramai yang berpendapat, apa yang berlaku di negara jiran kita itulah yang menyebabkan negara ini mengalami perubahan cuaca yang luar biasa, sama seperti apa yang berlaku ketika peristiwa Tsunami tidak lama dahulu.

Sukar untuk kita membayangkan apa yang sedang, telah dan akan dilalui oleh mangsa-mangsa tersebut. Mungkin sumbangan dalam bentuk kewangan dan pelbagai sokongan boleh diberikan. Mungkin juga kita boleh mengucapkan kata-kata tanda simpati...Walau bagaimanapun, kita semua tahu, bahawa betapa berat mata memandang, berat lagilah bahu yang memikul.

Bila berlaku peristiwa sebegini, elok kita berhenti dan merenung sejenak apa yang telah berlaku . Benar, ia merupakan ujian Allah SWT. Namun pada masa yang sama, elok kita pertimbangkan kemungkinan bencana ini merupakan satu petunjuk bahawa - 'there is something wrong somewhere...'. Dalam erti kata lain, mungkin kita telah melakukan sesuatu yang membuatkan Allah SWT bertindak menurunkan bala dan bencana dengan sebegitu rupa...

Islam masa kini dipersenda dan dihina hampir setiap hari dan setiap masa. Di merata-rata dunia, maruah umat Islam semakin tercabar dan terluka. Malang sekali, ramai dalam kalangan pemimpin kita (yang mengaku diri beragama Islam) bukannya mahu membela, sebaliknya turut sama menghina agama dan bangsa sendiri....

Perangai dan pemikiran mereka juga turut jauh menyimpang. Arak, dadah, judi dan maksiat berleluasa, bukannya semakin berkurang, malah semakin bertambah dari hari ke hari....

Rakyat seperti kita juga tidak terkecuali. Pembohongan, penipuan dan sebagainya menjadi lumrah dalam kehidupan seharian. Kita bersengketa, tuduh menuduh, caci mencaci sesama sendiri. Dengki mendengki menjadi amalan, dosa pahala tidak lagi dihiraukan...

Mungkinkah ini semua merupakan hukuman atau balasan daripada Allah SWT? Kita semua tahu bahawa sekiranya Allah SWT ingin menjatuhkan hukuman, bukan sahaja mereka yang telah melakukan kemungkaran itu sahaja akan dihukum, sebaliknya orang lain juga turut akan menerima akibatnya....

Hakikatnya, semua yang berlaku itu ada hikmahnya. Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui rahsianya... Sebagai hamba, kita semua hanya mampu berdoa dan memohon perlindungan daripadaNya, Allah yang Maha Esa.....
Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails