Followers

Wednesday 10 March 2010

Bila Ayam Bercakap Dengan Itik... Boleh Faham Ke?

Mari kita merenung sejenak senario politik negara yang tercinta ini. Gabungan parti politik utama boleh dibahagi dua, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Dalam setiap gabungan, terdapat beberapa parti lain yang bernaung di bawah satu bendera.

Sebagai rakyat biasa, kerapkali kita berasa hairan kenapa kedua-dua parti utama ini seolah-olah tidak memahami maksud yang ingin disampaikan sesama sendiri. Bahasa yang digunakan tetap bahasa Malaysia tetapi mengapa interpretasinya - contohnya terhadap  yang ingin disampaikan oleh pihak A - begitu berlawanan sekali dengan apa yang difahami oleh pihak B. Mereka seolah-olah bercakap dalam bahasa yang berbeza, seperti ayam bercakap dengan itik , kata orang tua-tua.

Mungkin juga ada yang berpendapat, parti Cina atau India mungkin tidak begitu memahami bahasa Malaysia. Sebab itulah masalah interpretasi itu berlaku. Ya, mungkin alasan itu boleh diterima tetapi bagaimana pula bila dua parti yang mewakili satu bangsa, contohnya PAS dan UMNO, boleh melakukan kesilapan yang sama?

Adakah salah faham ini disebabkan masalah bahasa, tidak disengajakan atau yang lebih membimbangkan, fakta yang diputarbelitkan supaya ia memenuhi kehendak dan natijah parti mereka sendiri ? Seperti kata pepatah Inggeris, 'there are always two sides of a coin' .

Naluri manusia memang begitu. Manusia mempunyai pandangan dan interpretasi yang berbeza. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Kita lebih selesa menginterpretasikan sesuatu mengikut selera dan nafsu sendiri. Asalkan ia memenuhi kehendak kita atau memberi kelebihan agenda pribadi, maka itulah penilaian yang akan dianggap terbaik. Jika sebaliknya, maka ia tidak akan dipersetujui atau akan dibantah sepenuh hati.

Sesuatu kenyataan yang biasa ('innocence') misalnya, boleh dianggap sensitif atau mencetuskan kontroversi, jika interpretasi kita adalah ke arah tersebut.Hakikatnya sifat 'paranoia' atau prasangka buruk ada pada setiap daripada kita. Cuma ianya terletak kepada akal fikiran yang waras dan keimanan yang kukuh untuk menjauhkan diri daripada tuntutan hawa nafsu. Kemenangan sementara yang dinikmati atas kejatuhan dan penderitaan orang lain, hanya atas nama politik, tidak wajar dilihat sebagai satu kejayaan. Ia hanya satu bukti betapa runtuhnya akhlak pemimpin (dan pada masa yang sama diri kita sendiri kerana sanggup membiarkan ianya terus berlaku..) kita masa kini..

Istilah memutar belitkan fakta telah diganti dengan ungkapan memberi interpretasi yang berbeza - semata-mata untuk menghalalkan sesuatu yang sememangnya jelas bertentangan dengan kehendak agama. Ingatlah bahawa dalam Islam, daging babi akan tetap haram untuk dimakan walaupun dengan cara apa sekalipun kita membasuhnya atau bagaimana cantik pun kita menghiasnya...

Hanya Allah sahaja yang Maha Pemurah lagi Maha Mengetahui.

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails