Followers

Sunday 2 May 2010

Sayangi Saudara Kamu Seperti Mana Kamu Menyayangi Diri Sendiri

Ketika berada di Maktab Mahmud untuk Mesyuarat Agung PIBG semalam, tiba-tiba teringat satu Hadis yang dipelajari semasa Paksu  masih belajar di situ hampir 29 tahun yang lalu .

Nabi Muhammad SAW telah bersabda:

Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri..

(Diriwayatkan oleh : Anas Ibnu Malik)

Paksu rasa, kadang-kadang dalam keghairahan sahabat-sahabat dan saudara-saudara kita berpolitik, mungkin ramai daripada mereka yang telah terlupa Hadis ini atau mungkin juga ada di antara mereka yang belum pernah mendengarnya.

Bukannya apa, sejak kebelakangan ini, Paksu amat sedih dan kecewa bila melihat bangsa kita dan mereka yang seagama saling 'berperang' dan bertikam lidah demi untuk mencari populariti atau kepentingan parti dan peribadi.

Terjadilah fenomena tuduh menuduh, fitnah memfitnah , keji mengeji sesama sendiri. Habis segala rahsia peribadi disingkap dan didedahkan. Tuduhan demi tuduhan, kecaman bersilih ganti. Semua aib menjadi tontonan umum dan yang lebih pelik ialah ianya dilakukan oleh mereka yang mengaku diri BERAGAMA ISLAM....

Mungkin ada yang berpendapat, "Biasalah tu Paksu... itukan politik. Dalam politik, kata mengata , hina menghina, kutuk mengutuk ni satu lumrah. Tidak ada benda begitu, bukan politik lah jawabnya... ". Begitulah antara pandangan orang yang 'alim' dalam ilmu politik di Kuala Kedah khasnya dan di negara ini amnya!

BENARKAH DEK KERANA POLITIK, SEMUANYA DIHALALKAN BELAKA? Adakah benar bahawa 'the end justifies the means' atau matlamat mengharuskan cara?

Kalau jawapannya adalah ya... mungkin elok rasanya kita berhenti sejenak untuk bermuhasabah diri. Sekuat manakah sebenarnya iman kita dan sejauh manakah kefahaman kita tentang Islam.

Sepanjang pengetahuan Paksu (yang tidaklah sealim mana...), rasanya belum pernah terjumpa dalam mana-maka kitab (baru atau lama) yang mengajar kita itu semua. Jauh sekali menghalalkan atau menggalakkannya....

Jadi kenapa dibuat juga? "Dah biasa....Nak buat macam mana...Eishh..kalau tak buat, tak syok lah... Mana boleh menang, kalau kita tak hentam parti lawan atau calon lawan?" Mungkin itu antara alasan mereka.

Terdapat pula segelintir ahli-ahli politik yang mengamalkan cara menyekat hak dan bantuan kepada mereka yang seagama. Walau pun mereka beragama Islam, dan sesungguhnya kita semua bersaudara, namun itu tidak juga menghalang mereka untuk terus mengaplikasikannya.

" Kalau mereka tak sokong kita, usah bagi apa-apa kemudahan kepada mereka. Lantaklah mereka orang Islam ka, Melayu ka...Itu soal kedua!".

"Sokong kita, dapat bantuan, tak sokong kita , sorrylah.. tidak ada habuan!"

Itulah rasanya yang terdetik di hati dan mengingatkan Paksu kepada hadis ini bila mendengar ucapan di Perasmian Mesyuarat Agong PIBG tersebut. Kata mereka, peruntukan daripada Lembaga Maktab Mahmud (Kerajaan Negeri) tidak berkurang tahun ini, namun peruntukan / bantuan untuk infrastruktur (daripada agensi Kerajaan Persekutuan) amat ketara kurangnya...

Teringat pula derma RM 3 juta yang diberikan kepada sebuah sekolah Cina di Hulu Selangor dan berita dalam beberapa akhbar arus perdana hari ini yang mengumumkan peruntukan RM 130 juta untuk menaik taraf sekolah Tamil.

Kenapa sekolah agama seperti ini dianak tirikan pula? Mungkinkah kita atau mereka-mereka yang mempunyai kuasa politik dan sebagainya lebih menyayangi orang lain daripada saudara sesama Islam? Mungkin itulah agaknya yang bermain di fikiran ramai orang-orang Melayu di seluruh negara?

Entahlah...Paksu ini hanya insan biasa yang tidak mempunyai apa-apa pangkat mahu pun kuasa. Hanya yang boleh dibuat ialah menadah tangan memohon doa agar saudara-saudara dan pemimpin-pemimpin kita yang seagama mendapat hidayah daripada Allah Subhanahu Wataala dan dapat berubah demi kebaikan bersama...Insya Allah.!

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails