Followers

Wednesday, 16 February 2011

Keratan Akhbar Utusan Malaysia (12.2.2011) & Berita Harian (11.2.2011)

Utusan Malaysia - Forum (12.2.2011)


Berita Harian - Surat (11.2.2011)


Monday, 7 February 2011

Kalah Jadi Abu, Menang Jadi Arang

Ertinya :
Kalah atau menang dalam sesuatu pertengkaran tak akan menguntungkan kepada pihak mana pun juga.


Sejak kebelakangan ini, debat menjadi suatu isu. Ramai pemimpin Melayu tidak kira daripada golongan muda mahupun yang sudah berumur, sering cabar mencabar antara satu sama lain. Media arus perdana dan media alternatif dijadikan medan menyampaikan hasrat kepada pihak lawan.


Anehnya bila ada individu yang menyahut cabaran yang dilontarkan, pelbagai alasan pula diberikan sebagai pra-syarat untuk ianya dilangsungkan. Mesti dibuat secara terbuka, perlu disiarkan dalam media, harus dihadiri oleh pendebat yang berkedudukan, berpangkat atau berjawatan. Lalu akhirnya ia berlalu begitu sahaja tanpa sebarang noktah mahupun jalan penyelesaian.

Sebagai orang awam, kita tertanya-tanya apa sebenarnya motif dan tujuan mewar-warkan niat untuk berdebat ini? Begitu juga apakah niat sebenar perdebatan yang ingin dipentaskan? Adakah semuanya itu ikhlas untuk mencari kebenaran atau sekadar mencari publisiti murahan?

Jika ingin mendapatkan maklumbalas, atau memberi input serta pandangan, bukankah dialog atau perbincangan lebih sesuai. Tidak perlu menghebahkan ke sana sini atau saling bercakaran di media. Bukankah itu hanya membuang masa dan membazir tenaga?

Andai kedua pihak jujur niatnya untuk mencari kebenaran yang hakiki dan jalan penyelesaian yang diredhai, bukankah berbicara secara tertutup lebih afdhal dan lebih besar pahalanya? Lagipun topik yang ingin diutarakan kebanyakannya sensitif dan boleh mengundang pelbagai kontroversi. Tidak perlu dirumitkan lagi dengan perdebatan yang tentunya penuh dengan emosi.

Kita semua maklum bahawa jika perdebatan menjadi realiti, tentulah akan ada yang menang dan yang kalah nanti. Mencari kebenaran bukanlah satu pertandingan atau sesuatu yang boleh dijual beli. Sebagai orang yang berkecuali, kita tidak rela melihat orang Melayu berpecah lagi hasil daripada rasa marah, iri hati dan hasad dengki.

Di sisi Allah SWT, kemuliaan kita dinilai dari segi iman dan amal yang dilakukan. Bukan daripada pangkat dan kedudukan. Tidak perlulah mendabik dada mengatakan akulah ulama besar yang hanya boleh berbincang dengan mereka yang setaraf dan berpangkat tinggi sahaja.

Jangan lupa bahawa seberapa tinggi ilmu yang dimiliki, ianya tidak lebih dari setitik air di lautan yang luas di dunia ini. Begitu juga jangan lupa, alim ulama bukannya maksum seperti Nabi Muhammad SAW yang kita cinta. Mereka juga akan disoal dan diadili. Status Tok Guru , Presiden Parti mahupun Perdana Menteri bukannya bererti anda akan dilayan seperti VVIP bila tiba masa mengadap Ilahi.

Umat Islam kini ditindas di serata dunia. Janganlah kita di Malaysia pula ingin menambahkan derita. Elok cermin diri dulu sebelum berkata-kata. Jangan hanya kerana kepentingan diri dan gilakan kuasa, kita sanggup menggadai maruah bangsa, agama dan negara.

Jika benar ingin mencari kebenaran, duduklah semeja dan berbincanglah dengan seberapa segera. Jangan letakkan pelbagai pra-syarat atau alasan, jika benar inginkan keredhaan. Al Quran dan Hadis kita jadikan panduan supaya tidak tersesat di tengah jalan. Insya Allah, kalau itu menjadi realiti, anak cucu kita tentu akan bahagia di kemudian hari….
Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails